Monday, September 17, 2007

Rakyat Kelantan mahu terus berada di bawah Mr Clean

Presiden Umno dan PM, Dollah Badawi semalam mengunjungi Kelantan untuk kesekian kalinya. Beliau singgah di Pasir Mas dan kemudiannya berbuka puasa di Tanah Merah penuh dengan program yang disusun oleh orang kuatnya di Kelantan, Annuar Musa.

Saya mungkin silap tetapi setelah membaca laporan kesemua 4 akhbar media perdana (BM dan BI) berkenaan kunjungan Dollah ini, saya tidak terbaca pun kenyataan berkenaan menawan atau menggulingkan kerajaan PAS terbit dari Dollah kali ini. Jika sebelum ini masing-masing ghairah dengan agenda tawan Kelantan dan tumbangkan PAS, tetapi semalam nampaknya reda sedikit keghairahan itu. Mungkin berkat bulan Ramadhan yang mulia ini, wallahualam.

Berkebetulan, sempena lawatan Dollah itu juga, akhbar NST semalam menyiarkan laporan satu muka bertajuk:

Who will win Kelantan is anybody's guess
Siapa yang akan menang di Kelantan kini menjadi tandatanya semua


Saya tertarik dengan laporan Zabidi Ishar itu, kerana setelah mengulas berkenaan sejarah politik Umno dan PAS di negeri Serambi Mekah itu beliau terus menjurus kepada ulasan dua orang kuat masing-masing parti iaitu Annuar Musa dan Husam Musa (anak-anak Musa kata MSO). Annuar seperti biasa terus ghairah dengan mengatakan tidak ada sebab mengapa Umno tidak boleh menumbangkan PAS kali ini (saya percaya inilah ucapan yang sama diucapkannya pada pilihnaraya 95, 99 dan 2004 lalu). Husam pula berkata rakyat Kelantan sudah muak dengan Umno.

Dan MB Kelantan Tok Guru Nik Abd Aziz pula dipetik sebagai berkata bahawa: (dengan nada Annuar) Tidak ada sebab rakyat menolak PAS kerana PAS telah berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada rakyat dan tidak pernah mengkhianati mereka.

Dari tokoh-tokoh besar itu, Zabidi memuatkan pula pandangan seorang tukang emas, rakyat tempatan, Asri Yaakub 42, yang berkata bahawa beliau yakin rakyat Kelantan akan setia kepada kepimpinan ulamak yang ada. Tambahnya: Rakyat Kelantan kini memperolehi apa yang tidak pernah kami rasai sepanjang pemerintahan BN dulu.

Dan sebagai penutup dimuatkan pula ulasan tokoh veteran Umno, Tan Sri Hussien Ahmad yang berkata:

Umno memang telah melakukan beberapa lonjakkan namun ianya belum begitu kuat bagi memungkinkan (parti itu) berkuasa. Apa yang saya nyatakan ini memang tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi ia merupakan realiti yang perlu diterima.

Malah tambah Hussien lagi rakyat Kelantan memerlukan seorang Mr Clean untuk mentadbir negeri ini, dan ternyata BN tiada tokohnya.

Mungkin lantaran laporan ini maka Dollah tidak berapa minat untuk menonjolkan sangat Kelantan Baru yang kononnya dicipta dan dibawa oleh Annuar Musa itu. Apa pun rakyat atas rakyat Kelantanlah untuk membuat kata putus pada pilihanraya umum ke 12 nanti. Sementara itu terimalah longgokkan harta dan kekayaan yang dijanjikan oleh Umno dan BN itu.

No comments: