Selangor juga tak benar tazkirah
Solat tarawih kata Khir Toyo mesti dikerjakan sebanyak 20 rakaat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh Selangor, kalau 8 bermakna tak sempurna. Kemudian Khir selaku MB juga mengisytiharkan yang:
Kita tidak benarkan tazkirah ketika Tarawih sebab kita digalak kurangkan bercakap banyak berzikir membaca al Quran dan bersedekah selain berpuasa sepanjang Ramadhan.
Kerajaan negeri tidak membenarkan program tazkirah ini bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan dikalangan masyarakat Islam.
Tazkirah bermaksud peringatan dan program tazkirah samada sebelum, diantara atau selepas tarawih di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor sebelum ini sangat mendapat sambutan oleh umat Islam yang berbodong-bondong berjemaah dalam bulan yang mulia ini. Tazkirah ketika itu dikira sangat efektif kerana pada bulan Ramadhan lah masjid dan surau-surau di Malaysia akan tiba-tiba dipenuhi termasuklah oleh kehadiran mereka yang sebelum ini tidak pernah atau jarang-jarang ke masjid dan surau.
Saya hairan peluang terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat Islam yang selama ini di Selangor dihinggapi dengan pelbagai masalah sosial dan akidah yang celaru, tiba-tiba dilarang atas alasan kononnya mahu mengelakkan perpecahan dan kekeliruan. Beginikah formula penyelesaian terbaik yang mampu Khir fikirkan?
Jika Ramadhan pun tidak boleh tazkirah, kuliah-kuliah pengajian luar Ramadhan pun dikenakan pelbagai syarat dan perturan sehingga ada Tuan-tuan Guru yang ditangkap JAIS, khutbah Jumaat mesti berpandukan teks JAIS tanpa dipinda-pinda, lalu apalah yang tinggal pada ilmu dan dakwah Islam itu?
Kalau kita kekalkan larangan-larangan ini dalam keadaan hidup masyarakat kita sempurna, semuanya patuh kepada suruhan dan larangan agama, masjid dan suraunya sentiasa penuh, tiada masalah moral dikalangan masyarakat, tiada program maksiat dan tingkah laku maksiat dikalangan masyarakat, mungkin padan dan sesuai sangatlah. Tetapi realitinya dahlah maksiat dan kemungkaran kita tidak berjaya bendung dan tangani, dalam waktu yang sama kita bernafsu pula menutup ruang dakwah kononnya ia juga mengundang padah, maka ke manakah nasib dan masa depan ummah dan bangsa ini?
Maaf tetapi saya rasa Pak Pandir pun jika ia hidup tidak gunakan alasan kerana mahu galakkan kurang bercakap maka dilarang tazkirah di masjid dan surau! Aib sungguh apabila seorang MB boleh mencetuskan alasan sedemikian, lalu siapakah yang sebenarnya mengelirukan masyarakat Islam! Saya harap MB dan Exconya jika Pandir belaka semua akan walk the talk, kurangkan bercakap belaka, batalkan sahaja program-program politik sepanjang Ramadhan ini, jangan lagi bersyarah atau berceramah, zikir dan baca al Quran sahaja, boleh begitu?
No comments:
Post a Comment