Friday, April 28, 2006

Pemimpin PAS ditegur pemimpin Umno bagaimana?

Apabila ahli Parlimen PAS kawasan Rantau Panjang, Fatah Harun mengeluarkan kenyataan yang dikira tidak manis didengar dan berbau penghinaan,, ramai pihak yang memberikan reaksi.

Penjelasan yang dipohon Fatah di Dewan Rakyat berbunyi:

Saya minta YB sedar atau tidak bahawa janda ada dua jenis, janda yang kematian suami dan janda yang bercerai. Antara katogeri ini berbeza. Janda yang kematian suami lebih berasa insaf dan memiliki air muka yang beriman. Manakala janda yang bercerai lain sikit sebahagian besarnya GATAL. minta penjelasan.



Tetapi apabila Menteri Besar Pahang Adnan Yaakub yang juga ahli MT Umno membuat kenyataan berikut di Dewan Undangan Negeri Pahang, tak banyak pula yang menumpang memberikan rekasi. Menurut laporan UTUSAN:

Adnan berkata: Sebenarnya surat khabar macam ini, kalau tak keluar (kenyataan berita) saya pun tak apalah, CAN GO TO HELL dengan izin, minta maaflah, maknanya kalau cakap Melayunya PERGI JAHANAMLAH.

Beliau selepas itu menoleh ke arah pemberita di belakang Dewan dan mengangkat tangan sambil berkata: Boleh keluar surat khabar, tulis, Menteri Besar Pahang kata GO TO HELL kepada berita-berita yang tidak tepat.

Saya pun seronok juga esok keluar surat khabar Perdana Menteri panggil: Apa cerita Nan?

Apa yang tak marahnya (sambil membuat gaya memegang telefon), benda yang tidak betul jadi betul, kita hendak biarkan ke kemungkaran, itu mungkar namanya.


Adalah juga kalangan pemimpin-pemimpin kecil yang membuat kenyataan dan mendapat liputan di UTUSAN, tetapi berlainan dengan kes Fatah.

Sehari selepas Fatah mengeluarkan kenyataan beliau itu di Dewan Rakyat, parti beliau sendiri memberikan reaksi.

Pertama Dewan Muslimat PAS Pusat mengeluarkan kenyataan membantah kenyataan Fatah itu yang dikatakan menghina golongan wanita, dan selang beberapa jam Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang pula mengeluarkan kenyataan menolak kenyataan Fatah atas alasan ianya tidak sensitif serta menjatuhkan martabat kaum ibu. Malah Presiden PAS mengarahkan supaya Fatah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada kaum wanita.

Tak cukup dengan itu, dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan Tok Guru Nik Abd Aziz pula mengeluarkan kenyataan berupa teguran kepada Fatah dengan mengatakan:

Kita panggil dewan negeri dan Parlimen yang mulia, jadi bahasa pun mesti bahasa mulia, tok sah bahasa-bahasa buangan dan sampah.

Bagi saya (penggunaan perkataan) laki-laki gatal dan perempuan gatal, ini satu bahasa terlalu kampungan yang tak sepatutnya dibawa ke dalam majlis-majlis yang rasmi.

Demikianlah sikap pimpinan PAS yang saya kira begitu berani walaupun terhadap pemimpin dan kalangannya sendiri.

Berbalik kepada kes Adnan tak dengar pula Dollah Badawi atau Najib memberikan reaksi. Umno sepatutnya tegas macam PAS dalam hal ini.

Apa pun bagi saya dalam hal ini Fatah salah dan Adnan pun salah.

Dalam hal ini PAS dan Umno tidak bersalah.

Jadi kalau pemimpin PAS berani menegur ahli parlimennya secara terbuka dan mendesak agar beliau memohon maaf saya kira pemimpin Umno juga perlu mengambil tindakan yang sama.

Thursday, April 27, 2006

Jangan sampai Islam yang tersepit

Saya dimaklumkan berkenaan kejadian ini semalam oleh seorang rakan ahli Parlimen. Kebetulan RTM pula menyiarkan perbahasan berkenaan dalam rancangan Parlimen Hari Ini nya.

Isunya ahli Parlimen Rantau Panjang telah mengeluarkan satu istilah yang agak kasar untuk menyifatkan golongan ibu tunggal yan berpunca dari kes perceraian. Kenyataan beliau dibuat ketika Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Shahrizat Jalil sedang menggulung perbahasan yang melibatkan kementerian beliau dalam RMK9.



Fatah Harun antara lain mengatakan, yang ibu tunggal kematian suami nampak insaf, tetapi menyifatkan ibu tunggal dari kes perceraian sebagai GATAL.

(Saya akan cuba dapatkan teks sebenar sebaik Hansard nya dikeluarkan , insyallah)

Lalu kenyataan Fatah itu telah dicemuh dan diserang oleh kalangan ahli-ahli Parlimen termasuklah menteri berkenaan dan ahli-ahli parlimen pembangkang dari DAP.

Saya lemas apabila ahli-ahli parlimen dengan mudah mengeluarkan kata-kata yang kasar dan tidak bersopan serta membuat pertuduhan melulu tanpa memelihara sensitiviti pihak lain tak kiralah dari parti mana sekalipun.

Menangkap borong dan membuat pertuduhan sedemikian rupa sesungguhnya menghina golongan wanita yang tidak pernah diamalkan oleh mana-mana pihak yang cerdik tambahan parti Islam yang diwakili oleh ahli Parlimen berkenaan.

Saya yakin kenyataan itu tidak mewakili pandangan parti mahupun pengundi yang mengundi Fatah melainkan pandangan peribadi beliau semata-mata.

Jangan kita ambil kira satu dua kes lalu kita pukul rata semuanya begitu, itu sifir dan sepak terajang penyamun namanya.

Saya harap ahli parlimen berkenaan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kenyataan sedemikian yang akan hanya akan mecacatkan wajah indah Islam yang dikendong dan dibawa oleh PAS.

Tahniah Dewan Muslimat PAS Pusat kerana segera mengeluarkan kenyataan mengasingkan diri dari kenyataan tersebut. Yang hak adalah hak dan yang batil tetap batil.

Sahabat saya Dr Lolo Dato Ghazali mengirim SMS berkenaan kepada saya:

Dewan Muslimat PAS Pusat meletakkan wanita ditempat yang mulia selaras dengan Islam yang memerdekakan dan memuliakan wanita.

Wanita adalah ibu, isteri, adik-beradik dan anak-anak kita sendiri, jadi tiada sebab wanita perlu diserang dan diperlekeh.

Kes-kes negatif yang berlaku secara terasing berlaku bukan kerana wanita itu berstatus janda (ibu tunggal) atau sebagainya tetapi lebih kerana kelemahan individu berkenaan sebagaimana kelemahan yang turut ada pada kaum lelaki termasuklah ahli-ahli Parlimen tidak kira siapun dia.

Pada masa yang sama DMPP membantah keras kenyataan Shahrizat Jalil yang mengaitkan pimpinan PAS sehingga seolah-olah cuba mahu mengajar Presiden PAS cara-cara bagaimana menghormati wanita yang sememangnya merupakan amalan beliau.

(Terima kasih Dr.)

Makmurnya judi di Malaysia

Semalam di Dewan Rakyat dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada pertanyaan ahli dari Tanjong, dewan dimaklumkan bahawa bagi tahun 2005 kerajaan Malaysia telah berjaya memungut sebanyak RM924juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri judi yang di HALAL kan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut Kementerian itu lagi jumlah wang kemenangan yang telah dibayar oleh firma-firma judi ini kepada mereka yang telah bertaruh dan berjaya adalah seperti berikut:

2004: RM4.7 billion
2005: RM4.8 billion

Bermakna hasil judi memberikan sumbangan besar kepada pendapatan negara iaitu dengan hasil yang hampir mencecah RM1 billion setahun.



Dan judi juga memberikan pulangan yang besar kepada rakyat Malaysia iaitu bagi tahun 2005 sahaja rakyat Malaysia (termasuk Indon, Bangla dan lain-lain) telah membawa pulangan hasil kemenangan judi bernilai RM4.8 billion, lebih besar dari penjimatan subsidi minyak yang kononnya diperolehi oleh kerajaan sebanyak RM4.4 billion!

Mengambil kira hal yang sebegini berserta sikap kerajaan yang toleran malah melesenkan pula industri yang dinamik ini, saya kira wajar sangatlah kerajaan melipatgandakan lagi lesen-lesen judi dengan mungkin memberi lesen pula kepada syarikat-syarikat asing untuk turut melabur di sini.



Mungkin dengan cara ini kerajaan boleh mengutip lebih lagi hasil dan rakyat Malaysia (termasuk Indon dan Bangla) juga boleh terus menikmati pulangan besar.

Sudah pastilah hasil judi yang besar itu juga dapat membantu membangunkan negara sehingga makmur dan sejahtera kita semua.

Bukankah antara prinsip Islam Hadhari itu menjanjikan:

Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif

Kehidupan berkualiti

Dan semasa Musabaqah Tilawatul Quran yang kerajaan Malaysia setiap tahun anjurkan dengan penuh bangga, kadangkala Qori atau Qoriah kita ada juga membaca ayat dari surah al Maidah (ayat 9) yang berbunyi:

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Tak tahulah dalam keadaan judi yang memakmurkan negara ini relevan atau tidak ayat ini? Kerana nampaknya hasil mencecah RM1 billion itu walaupun keji dan kotor kata Allah namun pulangannya besar pada anggapan kerajaan yang ada.

Kita juga tahu yang Rasulullah saw ada bersabda:

Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa ( haram seperti judi dan sebagainya ), lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah, atau berderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan dicampakkan bersamanya ( orang tersebut ) ke dalam neraka Jahannam. (Abu Daud)

Tak tahulah mana yang lebih utama Rasulullah ataupun wang berbillion?

Mudah-mudahan Allah swt mengampunkan dosa kita semua.

Wednesday, April 26, 2006

Berilah peluang kepada Tun Dr M

Rupanya surat terbuka yang panjang lebar berkenaan Isu Jambatan Bengkok yang saya terima baru-baru ini memang benar-benar ditulis oleh bekas PM Tun Dr Mahahtir.

Surat terbuka tersebut sepanjang enam mukasurat berserta lampiran sebanyak tigabelas mukasurat lagi.



Menurut akhbar THE STAR seorang pembantu Tun mengakui bahawa surat tersebut dikeluarkan oleh Tun sendiri dan dikirim kepada sebahagian besar ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat yang sudi mendengar keluhan hati beliau.

Menurut akhbar itu lagi surat terbuka tersebut dikirim sebelum Tun berangkat bercuti ke Eropah minggu lalu.

Saya telah membaca sepnuhnya surat Tun itu beserta lampirannya sekali.

Bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan demi menyelongkar yang hak, saya terpaksa meletakkan segala ketidakpuasan hati dan dendam kesumat lama terhadap Tun ketepi. Parut dan luka yang masih berdarah jangan kita ambil-kira dalam usaha kita mahu membongkar kebenaran, begitulah pandangan saya.

Bukankah Saidina Ali bin Abi Talib r.a yang sedang berpedang dengan seorang Yahudi akhirnya tidak jadi memenggal leher Yahudi itu apabila Yahudi itu semasa bergelut dengan beliau telah meludah ke arah mukanya.

Kata Saidina Ali pada asalnya beliau bergelut dan bersedia membunuh Yahudi itu atas nama Allah swt akan tetapi apabila mukanya diludah beliau tidak jadi membunuh si Yahudi itu kerana bimbang jika tindakan beliau itu bukan kerana tujuan asal tetapi kerana bertindak-balas terhadap ludahan itu.

Seharusnya dalam kes surat terbuka Tun ini berlapang dadalah kita semua demi menghambat kebenaran.

Di awal suratnya Tun menyebut:

Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.

Berkenaan pembinaan jambatan baru berkenaan Tun memetik surat dari Goh Chok Tong yang ketika itu PM Singapura yang dikirim kepada beliau:

Di antara sebuah jambatan baru bai menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.

Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007

Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta saya akan menyetujuinya walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.

Kata Tun:

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terban tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.

Dari sini kita dapat melihat betapa bertentangannya antara apa yang telah dicapai oleh Tun semasa beliau PM dengan alasan pembatalan projek jambatan ini oleh Dollah Badawi.

Tun terus membuka minda kita dengan mengatakan:

Mengapa kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.

Kata beliau lagi:

Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Disamping itu ia telah menyebabkan keruian berbillion ringgit wang rakyat jelata.

Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri.

Sesungguhnya pengakuan dan pendedahan berani Tun ini memberikan gambaran sebenar kepada rakyat jelata darihal apa yang telah berlaku dan dipersetujui sehingga terbinanya Komplek CIQ yang menelan belanja RM2 billion itu

Kini langkah seterusnya adalah pembinaan jambatan bengkok yang walaupun Dollah isytiharkan pembinaannya pada bulam Mac lalu namun dibatalkan dengan pelbagai alasan baru-baru ini.

Tun pernah menulis surat terbuka sebelum menjadi PM dizaman Almarhum YTM Tunku dahulu. Akibat dari surat tersebut beliau dipecat dari Umno namun bisanya surat itu telah berjaya menumbangkan Tunku dari takhta PM dan Presiden Umno.

Apakah bisa yang sama mampu berulang kembali kali ini?

Tuesday, April 25, 2006

OPEN POLICY Dollah Badawi yang tak OPEN

Semalam ketika berucap di hadapan tokoh-tokoh korporat dan usahawan di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Abdullah Hj Ahmad Badawi telah mencuba sedaya upaya mempertahankan kepimpinan beliau.



Majlis anjuran Kuala Lumpur Business Club di Grand Ballrom Hotel Shangrila itu telah dihadiri oleh ramai tokoh-tokoh berkenaan termasuklah para menteri dan kepimpinan Umno dan BN.

Pada majlis itu Dollah mendakwa mengguna pakai OPEN POLICY ataupun Polisi Terbuka dalam pentadbirannya.

Katanya sebagaimana dipetik akhbar THE STAR hari ini:

But I believe in it because I can hear what others have to say. Of course I do, at some stage, reply to those who criticise.

Tetapi saya mempercayainya (Polisi Terbuka) kerana saya dapat mendengar pandangan pihak lain. Sudah tentulah pada ketika tertentu saya memberikan jawapan kepada para pengkritik saya.

Some believe I should not allow it to fester but it is alright because this is a new situation and people are confused. It is a departure from before.

Ada yang berpandangan bahawa saya sepatutnya tidak melayan pandangan-pandangan seumpama ini, tetapi saya tidak kisah kerana ini adalah sesuatu yang baru dan rakyat masih terkeliru. Ia berbeza dari dahulu.

Melalui polisi ini Dollah kononnya bersedia mendengar pandangan semua pihak. Semua keputusannya adalah berdasarkan input dan pandangan yang beliau terima dari semua segmen dan kelompok. Ini barangkali berbeza dengan pentadbiran sebelum beliau, demikianlah lebih kurang maksudnya.

Soalnya benarkah demikian?

Benarkah Dollah mendengar hati dan luahan rakyat.

Ketika contohnya, rakyat merayu agar harga minyak tidak dinaikkan sebegitu drastik sebagaimana yang berlaku baru-baru ini, Dollah rasanya telah enggan mendengar. Protes dan bantahan rakyat dianjurkan di seluruh negara, Dollah mengarahkan pihak Polis khasnya FRU bertindak, itukah sebahagian dari Open Policy Dollah?

Rakyat membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri khasnya yang melibatkan tahanan tanpa bicara. Rakyat merasakan akta ini zalim dan mereka yang ditahan di bawah akta ini ditahan tanpa peluang membela diri. Mereka sepatutnya didakwa dan dibicarakan ataupun di bebaskan namun Dollah terus menerus menahan mereka di Kamunting. Adakah ini juga Open Poilicy?

Dalam Isu AP, rakyat menyangkakan Menteri berkenaan sekurang-kurangnya jika tidak pun diambil tindakan, akan digugurkan ataupun ditukar ke portfolio lain. Tetapi Dollah seolah tindak mendengar dan kini Menteri tersebut merupakan salah seorang Menteri kabinet yang paling kuat dan berpengaruh. Open Policy kah ini?

Diwaktu ini Dollah dan rakan-rakannya dalam kabinet sebenarnya sedang menghadapi serangan sengit dan bertalu-talu dari bekas PM Tun Dr Mahathir khasnya berkenaan isu Jambatan Bengkok yang dibatalkan pembinaannya baru-baru ini. Serangan-serangan ini menganggu dan menggugat kredibiliti Dollah dan beliau perlu bertindak.

Lalu akibatnya Dollah mengambil sikap defensif dan kini terpaksa menyuarakan isi hatinya bagi menghadapi bayangan Tun yang begitu berpengarauh itu.

Dan kini dijuallah apa yang dikatakan OPEN POLICY beliau yang terpaksa beliau tonjolkan kerana menurut beliau sendiri ada yang beranggapan yang beliau kini telah HILANG KAWALAN ataupun LOST CONTROL terhadap kerajaannya sendiri.

Benarkah Dollah dah LOST CONTROL, rasa-rasanya sedikit sebanyak berasas juga anggapan itu?

Monday, April 24, 2006

Tragedi PLKN: Menteri perlu dipertanggungjawabkan

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Haziq Jafar yang meninggal dunia akibat dipukul di Pusat Latihan PLKN di Kem Hijau, Keluang, Johor Jumaat lalu.

Semoga Allah swt mengurniakan kesabaran kepada keluarga beliau dalam menghadapi saat duka ini.


Solat hajat dan munajat
Tok Guru Nik Abd Aziz
di Padang Perdana seminggu lalu

Sesungguhnya kejadian ini menimbulkan seribu satu tanda-tanya dan mula mencetuskan keraguan dikalangan rakyat jelata terhadap keberkesanan program PLKN itu sendiri.

Sedangkan kita digambarkan dengan gambaran yang hebat-hebat berkenaan program PLKN ini malah objektifnya sahaja dengan jelas menyatakan tujuan program PLKN itu adalah:

Untuk membentuk sebuah masyarakat aman, harmoni dan bersatu padu tanpa mengira keturunan dan agama masing-masing menerusi pendekatan iaitu meningkatkan semangat patriotisma diantara kaum serta integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni dan juga menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan dikalangan masyarakat.

Tiba-tiba apa yang kita terima adalah kes kematian yang melibatkan para pelatih, sebelum ini pun terdapat kes-kes kejadian bergaduh dan pukul-memukul antara sesama pelatih dan dengan jurulatih. Malah disamping kes kematian ini kes rogol juga pernah berlaku membabitkan pelatih PLKN!

Nilai-nilai murni jenis apa yang mahu dilahirkan dalam keadaan enviromen sedemikian rupa?

Dan terbaru kita dengar pihak kementerian menyatakan bahawa ini merupakan kes terpencil.

Bagi saya apabila perlakuan jenayah berat seumpama ini berlaku di tempat dimana sepatutnya anak-anak kita diasuh untuk menjadi warga yang baik, maka ianya bukan lagi kes kecil tetapi suatu malapetaka yang perlu disiasat sehinggalah ke peringkat menyemak dan mengkaji-kembali keberkesanan program PLKN itu sendiri.

Saya yakin rata-rata ibu-bapa akan mula risau dengan perkembangan yang tragik ini, malah sememangnya kita tidak boleh pun menyalahkan mereka kerana bersikap sedemikian.

Menteri yang berkenaan perlu dipertanggungjawabkan. Jangan sapu isu ini ke bawah tikar!

Kebetulan kejadian tragis ini berlaku baru lepas seminggu YAB Tok Guru MB Kelantan mengerjakan solat hajat di tengah subuh di Kota Bharu bersama ribuan rakyat negerinya kerana memohon campurtangan terus dari Allah swt terhadap anakanya Nik Adli yang telah difitnah oleh pihak PLKN kerana digambarkan sebagai pengganas sedangkan beliau tidak pernah dibicarakan atau didapati bersalah melakukan apa-apa kesalahan.

Fikirkanlah.

Friday, April 21, 2006

Sudahlah YB Po Kuan

Sebagai seorang ahli Parlimen wanita yang memiliki latarbelakang undang-undang dari UIA, YB Fong Po Kuan, wakil rakyat dari Batu Gajah, yang masih muda dan bujang itu sering mendapat perhatian orang-ramai.



Rupa pun ada, lincah pun boleh tahan, Po Kuan adalah ayam tambatan DAP yang sangat berharga.

Akan tetapi sejak akhir-akhir ini beliau kelihatan ditonjol untuk mencabar sesuatu yang pasti mengundang musibah dan malapetaka terhadap karier politk beliau samada beliau sedari ataupun tidak.

Dalam isu kontroversial penakrifan perlakuan sumbang dan lucah dikhalayak ramai, Po Kuan memilih ataupun barangkali dipilih untuk menjadi juara mengemukakan versi liberal dan kononnya terbuka dan seiiring dengan perkembangan semasa.

Po Kuan dalam BLOG nya menulis:

Kissing and hugging per se should not be made an offence. Do not push the young people to go underground.

Malah beliau secara terbuka mencabar peraturan DBKL apabila membenarkan dirinya dikucup dikhalayak ramai ketika mengadakan demo di hadapan Bangunan DBKL baru-baru ini.

Po Kuan khayal membawa tuntutan ini tanpa sedikit pun memikirkan sensitiviti masyarakat Melayu Islam malah saya yakin masyarakat lain yang lebih selesa dengan peradaban dan budaya timur yang penuh sopan dan santun itu.

Dan semalam di Parlimen Po Kuan terus mencetuskan lagi kontroversi apabila menuntut penjelasan dari Menteri Perumahan Ong Ka Ting dengan soalan:

Jakim dan Mufti Perak kata pasangan Islam dan bukan Islam tidak boleh bercium di khalayak awam dan di taman, jadi apa pandangan Menteri berhubung perkara ini.

Penjelasan tersebut dilihat sesuatu yang sungguh sensitif kerana melibatkan JAKIM dan Mufti, iaitu urusan orang Islam, dibangkitkan oleh ahli bukan Islam dan dipohon penjelasan dari Menteri yang bukan Islam.

Lalu tercetuslah kekalutan dan hiruk-pikuk di dewan. Po Kuan terus menunjukkan belangnya dengan berkata:

Negara ini ada pelbagai kaum dan agama, negara ini bukan Islam.

Kalau kita katakan kenyataan Po Kuan itu membuktikan DAP itu parti anti Islam, maka ramai khasnya dari DAP yang akan membantah. Namun hakikatnya begitulah dari penglihatan kita.

Po Kuan berhak mengatakan apa sahaja yang terlintas di benak kepalanya. Walaubagaimanapun sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia beliau seharusnya sensitif dan berhati-hati dalam menyusun kata, jangan sampai nampak membenci mana-mana pihak.

Saya bimbang kalau beliau terus membenarkan dirinya lantang demikian rupa, akhirnya yang akan buruk dan tercalar adalah partinya juga yang sentiasa diragui oleh orang Melayu sejak dahul lagi.

Himpunan Protes Harga Minyak

Kenaikkan harga minyak tempoh hari terus menghantui dan menjejaskan penghidupan rakyat jelata dari pelbagai peringkat.

Esok Sabtu 22 April 2006 suatu HIMPUNAN PROTES HARGA MINYAK secara aman akan diadakan di Jalan Masjid India, Kuala Lumnpur mulai jam 3 petang.

Anda semua warga Malaysia yang prihatin khasnya yang berada di Lembah Kelang dijemput keluar beramai-ramai bagi menyatakan bantahan terbuka kita.

Untuk keterangan lanjut sila ke:

http://proteshargaminyak.blogspot.com

Jumpa anda di sana!

Thursday, April 20, 2006

Marina jangan kelirukan bangsa dan agama

Marina Mahathir adalah satu personaliti yang saya kagumi. Kagum bukan kerana kehebatannya tetapi kagum lebih kerana beliau merupakan seorang individu yang tidak pernah cuba mengawal emosi dan perasaannya. Apa sahaja yang melalui dan melintasi hati sanubarinya akan dimuntahkan dalam tulisannya tanpa memeprdulikan adat dan kepercayaan.

Bagi setengah orang Marina adalah penulis yang berani, yang terbuka dan liberal serta penuh dengan nafas yang provokatif dan mencabar.



Manakala ada juga melihat beliau sebagai penulis yang longgar ilmu dan pengetahuan Islamnya namun tidak jemu-jemu mahu juga memberikan penafsiran dan versi beliau sendiri terhadap Islam walaupun kadangkala tahu dan faham bahawa ianya tersasar dan bertentangan dengan hukum.

Yang penting beliau bersuara, yang penting Islam perlu dikeluarkan kononnya dari kepompongnya yang konservatif yang kolot dan dogmatik. Hanya dengan cara ini baru kita dikira maju dan terbuka.

Terbaru dalam runagan mingguannya di akhbar THE STAR beliau menulis di bawah tajuk:

Show of affection.
Menzahirkan kasih-sayang

Dari tajuknya kita dapat menduga bahawa kandungan tulisannya menjadi gelanggang untuk memukul dan membelasah keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan pihak berkuasa tempatan PBT untuk membuat undang-undang dan peraturan bagi mengawal aksi perlakuan sumbang dan lucah dikhalayak ramai.

Memang dugaan kita tepat sekali kerana Marina dengan sinis menulis:

Along comes a judge who declares that public displays of affection are unMalaysian. Really?

Lalu datanglah seorang hakim mengisytiharkan bahawa menzahirkan kasih-sayang dikhalayak ramai adalah tidak Malaysian. Benarkah begitu?

Saya tak berhasrat memetik lagi tulisan beliau seterusnya, anda semua yang mempunyai selera bolehlah membacanya. Apa yang saya mahu ketengahkan di sini adalah kekeliruan yang muncul hasil dari kerja tangan beliau itu.

Sebenarnya yang cuba dikawal oleh PBT itu (walaupun saya tak yakin ia mudah boleh berjaya) adalah perlakuan sumbang kumpulan dan pasangan di tempat-tempat awam yang di bawah kuasa mereka.

Umpamanya di taman-taman, pusat rekreasi dan seumpamanya.

Mengapa mahu dikawal perlakuan seumpama ini?

Kerana pertama perlakuan tersebut dilarang agama (bukan Islam sahaja, saya percaya demikian juga kepercayaan-kepercayaan yang lain), bertentangan dengan adat dan budaya Melayu dan Timur (termasuk India dan Cina).

Kedua ia akan menganggu ketenteraman orang-ramai, kaum keluarga yang bersantai dengan anak-isteri masin-masing sudah pasti tidak akan merasa selesa apabila ada pasangan atau kumpulan yang beraksi sedemikian secara terbuka di hadapan mereka.

Apakah aksi yan dimaksudkan dan kepada siapakah yang ditujukan?

Kawalan yang dimaksudkan mahu dikenakan terhadap pasangan yang berkelakuan tidak sopan.
Marina kalau anak Malaysia tulen akan tahu bahawa tidak ada pasangan sah (suami-isteri) di Malaysia yang normal (kecuali yang tidak normal yang kecil) yang mengamalkan perangai bercumbu-cumbu dan berpeluk-pelukkan dalam keadaan yang sumbang dan lucah dikhalayak ramai.

Memang adalah sesuatu yang normal bagi pasangan suami-isteri samada Islam ataupun tidak untuk berpegang-pegangan tangan di khalayak ramai dan bersalaman serta berkucup apabila berjumpa dan terpisah, itu normal dan perlakuan sedemikian bukanlah sasaran penguatkuasaan ini, jangan dikelirukan!

Yang mahu disasarkan adalah yang sumbang dan lucah bukannya yang menzahirkan kasih-sayang. Perbuatan berkucup dan bercium antara pasangan yang tiada ikatan bukanlah show of affection menurut kacamata kita. Apalagi bergomol dan raba-meraba, yang mungkin bagi standard Marina adalah sesuatu yang biasa dan boleh diterima.

Marina tak perlulah ambil contoh Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah dengan menulis:

In that case, my own parents, already in their 80s, will probably get arrested several times over.

untuk menguatkan hujahnya yang tak berasas pun.

Kalau kedua-dua Tun yang kita hormati itu sekadar berpegangan tangan atau berpelukan sekalipun ianya tidak termasuk di bawah perlakuan sumbang dan lucah yang kita maksudkan.

Takkanlah Marina yang bijaksana itu tak dapat membeza antara perlakuan sumbang dan lucah dengan pelukkan dan dakapan ayah-ibunya sendiri?

Soal bagaimana PBT mahu kuatkuasakan dan laksanakan undang-undang ditangan mereka itu, itu soal kedua. Isunya disini adalah usaha untuk mengawal sesuatu yang kita masyarakat Islam dan rakyat Malaysia kira sebagai sumbang dan lucah serta menganggu ketenteraman kita semua!

Sebagai seorang Islam Marina perlu tahu asas-asas hukum khasnya berhubung public display of affection. Perkara-perkara yang Islam larang termaktub di dalam al Quran dan as Sunnah yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai oleh orang yang beriman.

Sekiranya ada mana-nama golongan yang memiliki kepercayaan atau adat yang membenarkan perlakuan sumbang dan lucah seumpama ini, biarlah mereka keluar membuat tuntutan bagi mendapatkan pengecualian.

Tak perlulah mana-mana individu Muslim menuntut bagi pihak mereka, kerana bagi Islam samada kita bersetuju ataupun tidak, menzahirkan perbuatan sumbang dan lucah dikhalayak ramai, haram hukumnya.

(Marina berbangga kerana Mufti Bosnia Mustaffa Cedric kononnya mendakap beliau ketika diperkenalkan kepadanya. Saya tidak tahu apa maksud Mufti itu mendakap Marina yang bukan mahramnya, namun dalam hal ini perlakuan itu taklah sumbang dan lucah yang kita maksudkan, jadi tak perlulah Marina menjadikan insiden pelik itu sebagai hujah.)

Ungku Aziz pilih Selangor sebagai contoh buruk

Semasa hadir dalam siaran langsung di RTM semalam bersama Johan Jaafar dengan topik perbincangan RMK9, Prof Di Raja Ungku Aziz seperti biasa menyuarakan hatinya WITHOUT FEAR OR FAVOUR.

Sesungguhnya demikianlah Pak Ungku sejak dari dahulu sehingga kini, kerana itulah walaupun kadangkala cuba dirihatkan dan disimpan dalam almari oleh beberapa pihak yang tidak senang dengan keterbukaan beliau namun Pak Ungku terus diiktiraf sebagai intelek Melayu yang berilmu dan banyak pengalaman.



Banyak perkara yang disinggung dan disentuh Pak Ungku semalam dan banyak contoh dan perumpamaan, pengalaman dan nasib yang beliau utarakan. Semuanya menarik dan penuh berfakta.

Cuma yang sangat menarik perhatian saya apabila Pak Umgku mengambil negeri Selangor sebagai contoh pengurusan dan pentadbiran yang tidak cekap yang tercemar dengan rasuah dan seumpamanya.

Kata beliau lihat sahaja Selangor, dengan sungai-sungai yang tercemar serta bekalan air yang bermasalah, balak yang dicuri.kesemuanya mendatangkan masalah kepada rakyat.

Mengapa agaknya dipilih Selangor? Teruk sangat keSelangor?

Itu kena Tanya Khir Toyo!

Wednesday, April 19, 2006

Mufti Perak tolak tafsiran Ka Ting

Rata-rata ramai yang keliru, marah dan tidak dapat menerima tafsiran perlakuan sumbang dan lucah sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Ting baru-baru ini.

Menurut Ong perlakuan tersebut sebenarnya merujuk kepada:

Pasangan yang melakukan aksi melampau seperti berbogel atau melakukan aktiviti seks.

Bermakna hanya apabila pasangan atau sesuatu kumpulan itu berbogel ataupun melakukan aksi seks di khalayak ramai barulah ia dianggap sebagai perlakuan sumbang ataupun lucah. Ketika itu barulah penguatkuasa PBT boleh mengambil tindakan.

Ong mungkin mentafsir perlakuan tersebut menurut kaca mata barat ataupun menurut selera peribadinya ataupun apa sahaja namun ianya nyata dan jelas tersasar dan tergelincir dari landasan Islam dan adat serta budaya Melayu.

Islam dilahirkan untuk membentuk akhlak dan moral umat manusia dan budaya Melayu sendiri sungguh kaya dalam mempertahankan maruah dan harga diri bangsanya.

Bolehkah kita duduk selesa dan tidur nyenyak dengan tafsiran sesat Ka Ting itu?

Kita yang saya maksudkan adalah umat Islam dan orang Melayu. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan masyarakat Cina dan India dalam negara ini pun tidak dapat menerima atau bersetuju dengan tafsiran Ka Ting yang tidak selari dengan mana-mana kepercayaan, adat dan budaya timur itu.



Terubat juga hati hari ini apabila membaca kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria (sila rujuk HARIAN METRO hari ini) yang menyatakan bahawa:

Definisi PBT (pihak berkuasa tempatan) terhadap perlakuan sumbang mestilah tepat, mesti ada takrifannya. Kalau sampai bogel baru hendak tangkap, itu (menampakkan) teruk sangatlah negara ini

Kelakuan tidak sopan tidak semestinya bogel saja, bercium dan sebagainya boleh dianggap tidak sopan juga. Jadi, pengertiannya perlulah tepat

Teras kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu menjadi pegangan setiap individu di negara ini dalam mengawal kelakuan di khalayak ramai.Ia sepatutnya menjadi teras dan takrif bagi semua bangsa tidak mengira Melayu atau Cina. Undang-undang yang digubal juga melaksanakan apa yang terkandung dalam Rukun Negara.Jadi mestilah Rukun Negara dipatuhi semua. Mengikut Kanun Keseksaan tindakan boleh diambil terhadap individu yang didapati melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

Ini isu yang melibatkan maruah dan harga diri bangsa. Selesa dan tergamakkah kita melihat anak-anak bangsa kita diberikan lesen berkelakuan sumbang yang kononnya tidak sumbang menurut takrifan Ka Ting itu?!

Hakikatnya perbuatan berdua-duan, berpeluk-pelukkan dan bercumbu-cumbuan yang haram dan tidak senonoh dari kalangan anak-anak bangsa sudah menjadi suatu yang di luar kawalan, berlaku di depan mata dalam keadaan kita tidak berupaya melakukan sesuatu.

Penguatkuasaan sahaja disaat ini yang mampu mengawal perlakuan sumbang ini, itupun belum pasti dapat dibenteras. Sekurang-kurangnya usaha dan tindakan perlu dijalankan disamping pendidikan di sekolah dan IPTA dan IPTS serta penglibatan ibu-bapa dan penjaga.

Tetapi apabila kita pandai-pandai memberi tafsiran baru sebagaimana yang Ka Ting lahirkan itu maka yang akan punah dan ranap kelak adalah bangsa dan agam kita juga. Sesungguhnya disaat dan ketika ini golongan ulamak dan cerdik-pandai agama perlu bangun dan menyatakan pendirian dalam isu yang sangat serius dan kritikal ini sebagaimana Mufti Perak. Semoga berpadananlah dengan firman Allah swt:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama . Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun

Tuesday, April 18, 2006

Tafsiran perlakuan sumbang dan lucah menurut Ka Ting

Dalam tulisan terakhir saya di BLOG ini saya menyuarakan kebimbangan apabila Kabinet mengeluarkan arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengeluarkan garispanduan berhubung definisi kelakuan sumbang dan lucah di tempat-tempat awam

Benarlah Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT terletak di bawah bidangkuasa kementerian berkenaan, namun isu yang dimaksudkan adalah isu moral dan akhlak, oleh itu tidakkah Jabatan Perdana Menteri merupakan kementerian yang lebih sesuai dalam hal ini?



Dan terbukti dalam akhbar hari ini, Menteri berkenaan yang juga Presdien MCA dengan senang hati telah memberikan gambaran darihal definisi perlakuan sumbang dan lucah menurut selera dan pemahaman beliau.

Kata Ka Ting sebagaimana dilaporkan oleh UTUSAN:
Tindakan menghantar penguatkuasa untuk mengambil tindakan (hanya) setelah aduan diterima mengenai pasangan yang melakukan aksi melampau seperti berbogel atau melakukan aktiviti seks.
Saya menegaskan, tindakan tidak boleh diambil terhadap pasangan yang hanya berpegangan tangan
Dalam hal yang sama THE STAR memetik beliau sebagai berkata bahawa perlakuan sumbang dan lucah itu bermaksud:

Excessive indecent acts such as stripping.
Perlakuan keterlaluan umpamanya berbogel.

Demikianlah kurang-lebih apa yang bakal kita harapkan dari garispanduan perlakuan sumbang dan lucah dari hasil tangan Presiden MCA itu.

Kalau kita baca dari tafsiran Ka Ting itu maka bercium OK, bercumbu OK, berpeluk-pelukkan OK hatta bergomol atas bangku, bawah bangku, atas padan, celah batu semuanya OK asal jangan berbogel atau melakukan aktiviti seks, itu sahaja.

Maaf tetapi saya rasa itulah juga agaknya tafsiran Islam Hadhari sebab Perdana Menteri Islam Hadhari jugalah yang telah mewakilkan kuasa membuat tafsiran ini kepada Ka Ting tempoh hari. Bukan al Ghazali bukan juga as Syafiee tetapi rupa-rupanya Ka Ting yang dicari-cari.

Oleh itu bersedialah kita untuk menyaksikan keruntuhan moral anak-anak muda kita pada tahap yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Ya Allah Selamatkanlah Malaysia!

Monday, April 17, 2006

Mampukah Islam Hadhari pertahankan moral dan nilai budaya?

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memiliki kuasa untuk memperkenalkan undang-undang kecil bagi mendakwa sesiapa sahaja yang berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai ataupun di tempat awam.

Dengar khabarnya kabinet telah mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengeluarkan satu garispanduan ekoran keputusan mahkamah tersebut.

Mengapa Kementerian Ong Ka Ting yang diarahkan? Kita akui bahawa hal ehwal PBT terletak di bawah kementerian beliau, namun isunya di sini adalah isu moral, mengapa tidak diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri?

Namun itu bukan isu yang mahu saya ketengahkan di sini, isunya adalah kemampuan Islam Hadhari dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang cuba melakarkan moral dan nilai budaya baru yang jelas tersasar dari landasan dan paradigma Islam.

Dalam akhbar THE SUNDAY TIMES semalam Tan Sri Abu Talib Othman Pengerusi SUHAKAM yang juga bekas Peguam Negara dalam satu temuramah eksklusif telah mengajak masyarakat Malaysia termasuklah umat Islam agar membuat perubahan paradigma dengan kononnya mengikuti arus perkembangan semasa.

Di bawah tajuk:

A KISS IS JUST A KISS: We have to move with the times


YB Fong Po Kuan (DAP Batu Gajah) mencabar
peraturan DBKL apabila membenarkan
dirinya dikucup dihadapan Bangunan DBKL
baru-baru ini

Abu Talib menyatakan bahawa menurut pandangan beliau adalah tidak wajar bagi kita meluluskan undang-undang dan peraturan yang cuba mengawal tingkah-laku moral seseorang.

Beliau menambah dari sudut pandangan hak asasi, memanglah kita perlu menghormati adat dan budaya tempatan, walaubagaimanapun ianya tidak bermakna kita tidak boleh mengikuti perkembangan dan peredaran zaman.

Abu Talib tanpa segan-silu menyatakan:

You have to consider the action in the surrounding environment. It is not acceptable to hug and kiss at a religious ceremony but it may be acceptable to hug and kiss at a marriage ceremony.

Orang yang seumpama Abu Talib inilah yang akan digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memberikan gambaran yang songsang dan berserabut tentang Islam.

Kebetulan dalam MINGUAN MALAYSIA semalam PM Dollah Badawi semasa merasmikan Seminar Nadwah Ulama Nusantara di Kepala Batas telah dipetik pula sebagai berkata:

Perlaksanaan Islam Hadhari sebenarnya tidak jauh berbeza dengan yang diusahakan oleh golongan ulamak silam iaitu bagi membolehkan masyarakat menguasai ilmu pengetahuan dan membentuk komuniti yang mempunyai KEKUATAN NILAI BUDAYA dan MORAL.

Perhatian harus diberi kepada membentuk dan memperkasakan komuniti tempatan dengan mengunakan pendekatan Islam yang akhirnya melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan nilai dan jati diri.

Dan dalam seminar yang sama Prof Zakaria Stapa, Dekan Fakulti Penajian Islam, UKM telah mengatakan:

Pendekatan pertama perlu dilakukan oleh ulama ialah memperkukuhkan keimanan masyarakat seperti yang dinyatakan dalam prinsip pertama konsep Islam Hadhari.

Sebab itu Perdana Menteri meletakkan kekuatan iman sebagai prinsip pertama dalam Islam Hadhari kerana dalam masyarakat kita berlaku KEMUFLISAN IMAN.

Dalam isu perlakuan tidak bermoral dikhalayak ramai ini kita bimbang Islam Hadhari seolah cair di dalam asakkan kuat golongan moderat dan liberal yang terlalu rapuh pegangan Islamnya sebagaimana dinyatakan oleh Prof Zakaria, MUFLIS IMAN.

Itu ditambah pula dengan asakkan bertalu-talu masyarakat bukan Islam yang secara berani dan terbuka menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang peraturan yang cuba mengawal akhlak orang-ramai di tempat umum. Yang kita tahu DAP dan sebahagian parti komponan BN yang bukan Islam secara terang-terang menolak usaha mengawal moral orang-ramai ini.

Mampukah Islam Hadhari mampu dan berdaya berdiri tegak dalam deruan kencang taufan kontroversi ini? Atau apakah Islam Hadhari akan sesat entah kemana, yang cuma tingal adalah konsep dan dasarnya iaitu di atas kertas sahaja semata-mata?

Seriuskah Umno mahu kepada Islam?

Mungkin ada yang marah dengan tajuk ini. Ianya bukan bermaksud mahu mengkufurkan sesiapa, tetapi hakikatnya Umno merupakan tulang belakang parti pemerintah.

Dalam hal Islam, kepada Umnolah lantaran kuasa yang ada ditangan mereka, rakyat jelata yang beragama Islam berharap agar nasib dan kebajikan serta masa depan Islam dapat dipertahan dan dimartabatkan.



Soalnya, sebagai parti yang memegang tampuk pemerintahan, seriuskah Umno dalam melakukan tugas ini?

Cuba kita perhatikan MINGUAN MALAYSIA semalam.

Mukasurat enambelas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim dalam satu majlis di Baling dilaporkan sebagai berkata bahawa JAKIM sedang merangka garis panduan hiburan alternatif supaya dipatuhi dan diikuti oleh semua pihak.

Kata beliau lagi:

Kita mahu menetapkan garispanduan lengkap mengenai hiburan alternatif yang itdak bercangan dengan Islam. Kerajaan tidak mahu membiarkan hiburan cara barat mempengaruhi remaja Islam di negara ini sehingga mereka lalai.

Wujudnya kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT), Black Metal, ounk dan ROCK yang menular di negara ini amat MEMBIMBANGKAN kerajaan.

Manakala kalau kita selak akhbar yang sama mukasurat sebelas kita akan terjumpa berita dengan tajuk:

Konsert Malam Indonesia: 8 ditahan disyaki baling botol air

Berita tersebut merujuk kepada Konsert Malam Indonesia yang diadakan Sabtu lepas di Stadium Merdeka. Konsert gergasi tersebut atas anjuran HOTLINK membariskan artis-artis terkemuka Indonesia antaranya Dewa 19, Gigi, Padi, Cokelat, Ada Band, Ari Lasso, Ratu dan Unggu.

Menurut laporan konsert selama 8 jam bermula jam 3 petang itu telah dibanjiri oleh lebih 20,000 orang penonton yang bersesak-sesak menari dan melonjak-lonjak mengikuti persembahan artis-artis pujaan mereka. Penonton rata-rata terdiri dari rakyat Malaysia dan warga Indonesia sendiri.

Berdasarkan kedua-dua berita inilah maka saya bertanya: Seriuskah Umno mahu kepada Islam?

Pada satu ketika Umno atas platform Islam Hadhari cuba membawa imej bersih, bermoral dan taat pada agama.

Akan tetapi pada ketika yang lain Umno tanpa ragu memberi lesen besar kepada pihak-pihak tertentu menganjurkan konsert dan majlis hiburan yang sudang barang-pasti menghimpunkan muda-muda dan orang-ramai dalam cara yang paling tidak syarie.

Kalau benar kerajaan bimbang kepada penularan budaya ini mengapa kerajaan sendiri yang memberikan baja sehingga mekar subur ia.

Akhirnya yang menjadi keliru adalah rakyat jelata, yang menjadi mangsa adalah Islam, yang ditebuk dan dikikis mengikut selera dan kehendak mereka, asal sahaja menguntungkan dan mendapat sokongan ramai.

Air yang manis dan tawar tak dapat dihimpunkan dalam satu gelas. Kalau dihimpunkan juga hilanglah tawar dan yang tingal adalah manisnya. Atas kitalah samada mahu kekalkan tawar atau mahu yang manis.

Dalam erti kata lain Islam dan mungkar tak boleh dihimpunkan dalam satu bekas. Atas Umnolah untuk pilih yang mana satu.

Friday, April 14, 2006

Kelantan yang MISKIN kalahkan Selangor yang MAJU

Hampir kesemua negeri dalam Persekutuan Malaysia telah menswastakan sistem bekalan airnya. Matlamat penswastaan itu adalah agar bekalan air disatu-satu negeri kelak akan diuruskan secara cekap dan efektif demi kepentingan rakyat jelata.

Di Selangor urusan bekalan air ini telah diswastakan kepada SYABAS manakala di Kelantan sungguhpun telah diswastakan juga namun syarikat tersebut iaitu Syarikat Air Kelantan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Ahli EXCO kanan Kelantan Dato Hj Husam Musa semasa membentangkan kertasnya:



Membangun Bersama Islam Pengalaman Kelantan dalam Kongres Ekonomi Nasional 2006 di Subang Jaya baru-baru ini mengatakan walaupun bekalan air di Kelantan turut diswastakan namun masih dimiliki kerajaan negeri bertujuan bagi mengimbangi keperluan pengurusan yang cekap dan kos air yang tidak membebankan kerana keuntungan melampau pemilik swasta.

Husam menegaskan ternyata model pengurusan air Kelantan terbukti berjaya apabila analisa kewangan menunjukkan Syarikat Air Kelantan berjaya menyediakan tariff air kedua terendah dalam Negara iaitu pada kadar RM0.55sen per meter padu berbanding Selangor pada kadar RM0.72 sen per meter padu.

Di antara tempoh tahun 1960-2000, Kelantan hanya membuat kajian semula kadar tariff air sebanyak 3 kali berbanding Selangor sebanyak 5 kali.

Dan yang paling menarik adalah apabila Husam mengatakan Air Kelantan Sdn. Bhd. yang diurus secara telus telah berjaya mengekalkan margin keuntungan yang stabil pada kadar 26% sejak tahun 2001 berbanding Selangor yang mencatatkan kerugian besar 104% !

Dari segi kos operasi dan penyelengaraan per akaun setahun, Kelantan adalah antara yang terendah. Bagi tahun 2003 kos penyelengaraan per akaunnya adalah RM248 berbanding Selangor RM962.

Apa macam Khir? Sepatutnya Selangor Maju jauh meningalkan Kelantan yang dianggap antara negeri TERMISKIN di Malaysia, nampaknya dari segi kecekapan dan ketelusan negeri MISKIN berjaya mengalahkan Negeri Maju!

Mahathir iktiraf peranan pembangkang

Tun Dr Mahathir adalah seorang tokoh yang tidak mudah ditolak ke tepi apa lagi dilupakan begitu sahaja.

Walaupun telah bersara dan bukan lagi PM atau Presiden Umno namun komen dan pandangannya terus dicari-cari dan mendapat tempat di mana-mana pun.



Semasa PM dahulu beliau adalah satu-satunya PM yang paling kontroversial. Ramai yang menyanjungnya dan tidak kurang ramai juga yang membenci. Apa pun Tun kini bukan lagi PM, dan bukan lagi Presiden Umno.

Barangkali setelah kini bersara dan berpijak di bumi yang nyata, Tun sudah mula melihat dunia dari kacamata rakyat kebanyakkan. Dulu mungkin semasa di puncak mahligai kuasa, beliau tidak berkesempatan meninjau dan melihat dunia sebagaimana pandangan dan tinjauan rakyat. Tambahan pula juak-juak dan pemuka dikeliling-kelalang beliau sentiasa mengipas dan menyanyikan lagu dan irama yang manis dan merdu-merdu belaka buat beliau.

Dalam hal ini saya teringat Almarhum Ustaz Fadzil Nor pernah berkata, bila kita duduk di puncak yang tinggi kita lihat orang yang di bawah kita kecil-kecil belaka, kita tidak sedar sesungguhnya orang yang di bawah juga melihat kita yang di atas kecil juga!

Semalam semasa menyampaikan ucapannya dalam satu majlis forum anjuran IKIM iaitu Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan dan Relevannya kepada Cabaran-Cabaran Global Kontemporari Tun menyatakan:

Peranan parti pembangkang dalam sistem demokrasi sangat penting kerana mereka dapat bertindak bagi MEMERIKSA kerajaan dalam tindakan-tindakannya.

Pembangkang boleh menjadi CERMIN kepada kerajaan bagi menilai sama ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan negara.

Kalau parti pembangkang itu banyak, lagi bagus kerana ia dapat memberi kesan yang lebih baik kepada kerajaan bagi menilai keputusan dan tindakan yang dibuatnya.

Pembangkang juga akan memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa, memperalatkan penyokongnya serta memastikan kerajaan tidak MENJUAL negara ini kepada pihak luar.

Sebelum kita melenting dengan mengeluarkan pelbagai cemuhan dan sindiran bahawa di zaman Tun pun begitu juga, saya rasa lebih penting lagi dalam hal ini kita meneliti dan mengkaji secara mendalam kata-kata Tun itu.

Tun memang diketahui tidak menyenangi kepimpinan negara yang ada. Tun tidak senang dengan pemimpin-pemimpin tertentu di bawah Dollah Badawi termasuklah Rafidah. Tun keciwa dengan sikap kerajaan terhadap Proton dan Tun banyak mengeluarkan pandangan yang menyindir program dan dasar kerajaan termasuklah dalam hal kenaikkan harga minyak dan Jambatan Bengkok.

Oleh itu saya kira setiap pandangan beliau sebenarnya ada mesej dan isyarat yang tersirat yang perlu kita fahami.

Kita tahu hari ini kuasa pembangkang di Dewan Rakyat sungguh lemah. DAP ada 12 kerusi, PAS 6 dan Keadilan 1.

Bermakna Tun cuba memberi isyarat bahawa dengan kelemahan ini kerajaan seolah bergerak tanpa diperiksa atau dinilai.

Dan yang bahayanya jika apa yang Tun perkatakan itu kita ambil kira ketiadaan pembangkang yang kuat akan mengakibatkan penyalahgunaan kuasa serta kemungkinan kerajaan MNEJUAL negara kepada pihak luar!

Lain macam sahaja bunyinya, tetapi saya yakin dalam hal ini maksudnya Tun mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui.

Oleh itu saya rasa penting kita berlapang dada dan memberi ruang dan platform yang lebih kepada orang tua ini untuk berkonsi apa yang bersarang di dadanya. Sekurang-kurangnya dapat juga beliau menyumbang disaat-saat akhir usianya sebagaimana Tunku berjuang sehingga meninggal dunia bersama Semangat 46 dahulu.

Terbukanya pintu untuk murtad di Malaysia

Dalam kita leka memperkatakan darihal kontroversi Jambatan Bengkok yang dibatalkan pembinaannya oleh kerajaan tempoh hari, satu perkembangan yang bakal mengancam masadepan Islam sedang berlaku di Mahkamah Persekutuan.

Semalam Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya memberikan kebenaran kepada pemohon LINA JOY yang nama asal Islamnya AZLINA JAILANI untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi memohon keputusan berhubung keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggugurkan status agama pada kad pengenalannya.

JOY mendakwa beliau telah menukar agama dari ISLAM ke KRISTIAN pada tahun 1998 dan telah pun berkahwin dengan seorang pemuda YANG BERAGAMA Kristian.



Pihak JPN menolak permohonannya untuk menukar status agamanya dan meminta Joy mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan dia seorang murtad.
Kes ini bermula di Mahkamah Tinggi pada tahun 2001 dimana mahkamah ketika itu menolak permohonan Lina atas alasan kuasa menukar agama terletak ditangan Mahkamah Syariah dan bukannya mahkamah sivil.

Pada tahun lepas Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Lina apabila Hakim Datuk Abd Aziz Mohamad dan Datuk Ariffin Zakaria memutuskan bahawa tindakan Ketua Pengarah JPN menolak permohonan Lina atas alasan pihak berkuasa agama tidak pernah memutuskan status murtadnya itu adalah betul. (Hakim Gopal Sri Ram telah memberikan keputusan tidak bersetuju.).

Kini kes ini naik ke mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan, tiga panel hakim yang mendengar rayuan ini adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Datuk Richard Malanjum dan Datuk Augustine Paul.

Nampaknya isu pertembungan antara bidangkuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil tercetus sekali lagi. Tidakkah urusan agama Islam termasuklah keputusan mahu murtad terletak dalam bidangkuasa pihak berkuasa agama dan mahkamah syariah? Tidakkah Perakara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan telah jelas memperuntukkan bahawa kes seumpama ini jatuh di bawah bidangkuasa mahkamah syariah?

Sekiranya mahkamah memberikan kebenaran kepada LINA JOY dalam kes ini bermakana mahkamah akan membuka pintu pagar kepada mana-mana umat Islam lain yang memiliki niat dan minat seumpama LINA, lalu apa akan terjadi kepada maruah dan masadepan agama kita?

Kalau kita lihat peruntukkan Perakara 121 (1)(A) dan tindakan Pengarah JPN dalam kes LINA ini jelas, peraturan dan prosedur yang ada sebagaimana dinyatakan oleh Peguam Kanan Persektuan Umi Kalthum Abdul Majid tidak membangkitkan apa-apa isu baru, malah pernah pun diputuskan oleh mahkamah dalam kes-kes sebelum ini (termasuklah kes Allahyarham Moorthy)

Saya secara peribadi bimbang akan kemungkinan mahkamah memiliki kecenderungan untuk memihak kepada LINA memandangkan komposisi panel yang ada (walaupun kita tidak mempertikaikan pengalaman mereka). Namun jika mereka menolak permohonan ini saya merasakan pihak kerajaan perlu segera campurtangan dan memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya dalam bab murtad dan tukar agama ini.

Maruah dan martabat Islam perlu dipelihara. Sesiapa yang menerima dan memeluk Islam perlu faham akan syarat dan peraturan yang perlu mereka patuhi lebih-lebih lagi bagi mereka yang Islam sejak lahir.

Kes ini perlu ditangani segera, jika tidak tunggulah bala dan malapetaka yang akan ditimpa oleh Allah swt ke atas kita.

(saya harian kenapa NST memilih untuk meletakkan berita ini dimuka depannya dengan tajuk: WOMANS FIGHT TO CHANGE RELIGIOUS STATUS yang dilaporkan oleh V.Anbalagan)

Thursday, April 13, 2006

Dah terhantuk baru batalkan Jambatan Bengkok

Alhamdulillah akhirnya dibatalkan juga projek Jambatan Bengkok yang sepatutnya menggantikan Tambak Johor yang bersejarah itu .

Kata PM Dollah Badawi ianya dibatalkan setelah kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara



Betul ke demikian?

Mungkin suara kita semua, termasuklah dari laman-laman web hanyalah merupakan satu pecahan kecil dari faktor-faktor lain yang lebih besar dan mendesak.

Mungkin kerajaan baru sedar bahawa tanpa kerjasama Singapura, jambatan bengkok itu mustahil dapat dicantumkan. Mungkin juga kerajaan baru sedar tidak mudah ia mendapat persetujuan pihak Singapura kecuali terpaksa menggadaikan beberapa perkara antaranya pasir, ruang udara dan ada maklumat mengatakan termasuklah sebuah pulau di perairan Malaysia yang turut dituntut negara pulau itu.

Kerajaan tidak mampu dilihat mengalah dari sudut politik melainkan ia nanti akan dikritik oleh dan ditolak oleh rakyat jelata.

Soalnya takkanlah setelah berapa lama mengkaji dan membuat penyelidikan (oleh pakar dari pelbagai disiplin) baru hari ini kerajaan sedar bahawa apabila Tambak Johor itu dipotong maka laluan paip air dan laluan kereta api (yang sedia ada) akan turut terjejas?

Takkanlah baru hari ini kerajaan sedar implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit hasil dari penerusan projek ini?

Kalau memang kerajaan tak sedar maka tidak keterlaluanlah kalau kita katakan yang kerajaan Dollah Badawi ini sungguh lemah dan tidak ada kredibiliti serta integriti langsung!

Benarkah ianya dibatalkan setelah kerajaan mengambil kira suara dan pandangan rakyat?


Kalau begitu bagus, akan tetapi hakikatnya banyak lagi rungutan dan luahan hati rakyat yang lebih besar dari Jambatan Bengkok ini tidak langsung dipedulikan kerajaan. Rakyat membantah kenaikkan harga minyak sehingga ada yang ditangkap dan dikenakan tindakan oleh Pasukan FRU, mengapa pandangan mereka ini tidak diambil kira?

Mengapa dalam hal Jambatan Bengkok ini Dollah Badawi tiba-tiba menghargai dan menghormati pandangan dan luahan hati rakyat?

Yang kita tahu apabila kerajaan melancarkan pembinaan projek ini pada 9 Mac lalu sehingga perbelanjaannya dimasukkan dalam RMK9, semua pemimpin-pemimpin Umno dan BN menyokongnya tanpa berbelah bahagi.

Anehnya hari ini akhbar-akhbar tempatan memenuhi ruangan masing-masing dengan pandangan dan komen mereka yang sama tetapi kali ini bersetuju pula agar projek itu dibatalkan! Rapuh dan serabut sungguh pendirian tok-tok wakil Umno.

Memang kita mahu projek ini dibatalkan. Ia tidak sepatutnya pun dimulakan. Walaupun kita mungkin tidak bersetuju namun dalam hal ini jika projek itu mahu dilancarkan perundingan dengan Singapura, suka tak suka perlu dilakukan dan hanya dengan persetujuan kedua belah pihak barulah ianya patut dimulakan.

Ini tidak. Kerajaan Dollah Badawi telah menyondol projek ini walaupun masih diperingkat rundingan. Kontraktor Gerbang Perdana telah pun melancarkan projek mega ini dan kini ianya dibatalkan kononnya kerana mengambil-kira pandangan rakyat.

Apa pun dengan pembatalan ini Gerbang Perdana akan menerima pampasan RM100 juta (mungkin lebih apabila kerja-kerja pembersihan dan lain-lain tamat disempurnakan), maka walaupun kononnya pandangan rakyat Dollah ambil kira, maka suka tak suka rakyatlah juga yang akan dipaksa menanggung RM100 juta itu yang berpunca dari kelemahan kerajaan yang memang lemah itu.

Minyak naik, barang naik dan kini kena tanggung pula RM100 juta , syabas!

Wednesday, April 12, 2006

RMK9 paku terakhir buat keranda Khir?

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke (RMK9) di Dewan Rakyat pada 31 Mac lalu Perdana Menteri Dollah Badawi turut menyentuh bab Mempertingkat Sistem Pembekalan Air dan Menangani Banjir.

Semasa menyentuh isu ini, ahli-ahli dewan rakyat ketika itu kedengaran bersorak-sorak seolah tahu pihak manakah yang dimaksudkan oleh Dollah itu.

TV3 pun sejak akhir-akhir ini mengulang-ulang ucapan Dollah pada bahagian tersebut disegmen Beritanya seolah-olah ada maksud tersembunyi.



Berikut adalah teks ucapan Dollah yang dimaksudkan:

Air adalah sumber kehidupan yang amat penting. Apa yang sedang berlaku kepada sumber air di negara ini amatlah menyentuh hati saya, ianya sangat menyedikan.

Pencemaran yang berlaku telah membunuh kehidupan di air. Sungai pada satu ketika dahulu kaya dengan kehidupan seperti ikan, udang dan tuntong yang menjadi sumber bekalan protein memenuhi keperluan manusia. Segala-galanya telah pupus. Kejernihan air sungai menjadi keruh dan kini berbau BUSUK.

Segala bala ini adalah balasan bumi kepada perbuatan zalim manusia yang diperlihatkan oleh ILAHI. Tabiat buruk manusialah yang menjadi pencetus kepada bala yang mungkin terpaksa kita hadapi. Aktiviti membalak yang berlebihan, pencerobohan ke kawasan tadahan air, kerakusan manusia yang tamak kebendaan, perbuatan membuang sampah sarap ke sungai dan longkang, adalah antara puncanya.

Jelas kalau air busuk, aktiviti membalak berlebihan dan pencerobohan ke kawasan tadahan air yang dimaksudkan, cuma satu negeri sahaja yang layak menyandang juaranya iaitu tidak lain dan tidak bukan negeri Selangor.

Adakah sorakkan ahli-ahli dewan itu diarahkkan terhadap Khir Toyo dan kerajaan negerinya?

Adakah bala yang Dollah maksudkan itu merujuk kepada negeri Selangor?

Memang rata-rata performance Khir sebagai MB sungguh mengecewakan. Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT di Selangor adalah antara yang paling kontroversial sehingga Khir terpaksa arahkan tiap-tiap EXCO menjaga tiap-tiap satu PBT.



Kes Bukit Cerakah, banjir di TTDI dan baru-baru ini banjir lagi di Kelang semuanya berlaku diwaktu Khir adalah MB nya.

Apakah agenda Dollah dan wakil-wakil rakyat BN menelanjangkan Khir demikian rupa?

Apa pun masa depan politik Khir semakin kelam, dan diwaktu dan ketika inilah juak-juak yang mahu melompat ke atas akan menonjolkan diri dan terus membuka dan membongkar lagi pekong Khir sebagaimana yang pernah Abu Hassan lakukan terhadap Mat Taib dulu.

Selamat datang ke Negeri Selangor Maju, bumi cantas-mencantas politik yang paling subur.

Monday, April 10, 2006

Rais ajak rakyat kembali ke zaman jahiliyah

Sebagaimana yang dirancang akhirnya berjaya juga hajat Rais Yatim untuk menganjurkan persembahan Makyong di Kelantan.

Walaupun kerajaan negeri melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 telah mengharamkan persembahan tersebut kerana unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam yang terkandung di dalam persembahannya namun Rais tetap mahu meneruskan dan ternyata beliau berjaya juga.


Dengan penuh bangga Rais melangkah masuk
ambar PERAKAN

Sabtu malam minggu lepas bertempat di Kampung Bunuhan, Tumpat Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan telah menganjurkan program:

Merakyatkan Seni Budaya dan Kempen Berbudi Bahasa

Maka walaupun peraturan negeri melarangnya, walaupun persembahan itu memiliki unsur yang bertentangan dengan Islam dengan para penari yang tidak menutup aurat Rais berjaya membuktikan bahawa beliau juara mencabar dan melanggar undang-undang dan peraturan dunia serta juga peraturan Allah swt sendiri.

Cumanya kehadiran ke majlis tersebut menurut laporan Harakahdaily tidaklah segah sebagaimana yang Rais harapkan. Kalau kita masih ingat Rais pernah menyatakan:

We want to bring arts to the people. I will be there at the planned Mak Yong show. I want to gauge the response from the people of Kelantan.


Gambar PERAKAN

Dan di dalam sebuah lagi laporan sebelum ini Rais mengaharapkan ratusan ribu rakyat Kelantan akan keluar menyatakan sokongan terhadap usaha kerjajaan beliau menghidupkan kembali tarian yang berasal dari kerajaan Siam lama itu. Yang hadir disamping Rais, Annuar Musa dan Ketua Umno Tumpat Nor Zahidi Omar, adalah beberapa kerat ahli-ahli Umno dan kanak-kanak sekolah.

Jelas jika majlis itu sebagai garispanduan ukuran buat Rais maka mesejnya rakyat Kelantan secara umummnya memang menolak persembahan tersebut. Suka saya mengulangi apa yang pernah saya petik sebelum ini di dalam BLOG ini:

Di dalam artikelnya Buddhism in Malaysia, Yeap Tor Hor dan Kerry Trembath menulis:The shadow play or wayang kulit and dance forms such as menora and MAKYONG are all testimonies that BUDDHISM was once a powerful religious and cultural influence in Malaysia.

Malah dalam website Akademi Seni Kebangsaan sendiri jelas membukitkan unsur-unsur mistik hadir dalam persembahan seni ini apabila menyebut:

The word MAKYONG is believed to be derived from mak hiang (spirit of the paddy) and the MAKYONG performance is said to be connected to rituals concerning the spirit of the paddy.

Apa pun Rais telah berjaya membuktikan yang kerajaan melalui kementerian beliau akan mempertahankan apa sahaja yang dikira penting dari sudut politiknya, walaupun ianya bertentangan dengan undang-undang mahupun bertentangan dengan syarak.

Kita ucapkan syabas kepada Rais melalui tindakan beliau itu dan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan serta konco-konco kanannya sekurang-kurangnya akan membuka mata rakyat Kelantan terhadap apa yang bakal terjadi pada nasib dan masadepan Islam di bumi Kelantan kiranya pemuka-pemuka seumpama ini terus diberikan peluang berkuasa.

ZAM jangan sekadar berani separuh jalan

Tawaran dibuat kononnya dengan rendah diri mengundang MB Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat untuk ke Angkasapuri bagi mengambil bahagian dalam siaran secara langsung Debat Perdana.



Menurut MINGGUAN MALAYSIA:

Jemputan itu dibuat berikutan kesediaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Annuar Musa untuk bersemuka dengan Nik Abdul Aziz dalam perdebatan terbuka di RTM

Dan tajuk yang Zam tetapkan adalah membincangkan Rancangan Malaysia Kesembilan dari perspektif Islam.

Sepatut-patutnya kalau jujur dan ikhlas berbincanglah dengan Tuan Guru dulu, kerana beliau MB. Annuar hanyalah seorang Ketua Pembangkang sebagaimana Lim Kit Siang di Parlimen dan Ustaz Azizan di Kedah.

Itu pun kalau betul Zam gentleman. Tetapi sejak bila pula Zam seorang gentleman, seorang yang jujur dan ikhlas? Lihatlah akhbar UTUSAN semasa dizaman beliau.

Hari ini UTUSAN highlightkan tajuk yang Tuan Guru ENGGAN berdebat. Sedangkan yang sebenarnya Tuan Guru menolak untuk berdebat dengan Annuar atas tajuk Rancangan Malaysia Ke Sembilan kerana beliau berpandangan ianya tidak membawa sebarang makna. Lagipun Annuar kalau nak sangat berdebat memang boleh berdebat pun dengan Tuan Guru di DUN Kelantan. Mengapa Zam tak siarkan secara langsung sahaja Sidang DUN Kelantan.

Tuan Guru tidak menolak Debat malah sebenarnya beliau bersedia berdebat ataupun berceramah bukan dengan Annuar tetapi dengan Dolah Badawi malah Zam sekalipun, dimana-mana sahaja dengan syarat disiarkan secara langsung. Kata beliau dari memilih tajuk RMK9 yang lebih merupakan Rancangan BN lebih baik berceramah atas tajuk asas iaitu:

Dasar dan Akidah Sesebuah Negara

Berbalik kepada tawaran Zam yang kononnya berani itu, mengapa tidak dipanjangkan sekali tawaran sedemikian rupa kepada Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Sdr Lim Kit Siang. Barulah betul PM Dollah Badawi ONE TO ONE dengan Kit Siang dan disaksikan secara langsung oleh rakyat jelata.

Dan jangan pula lupa siarakan sekali secara langsung Debat Idris Jusoh dengan Ketua Pembangkang Terengganu Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Dan juga antara MB Kedah Mahdzir Khlaid dan Ustaz Azizan, Ketua Pembangkang Kedah.

Dan saya cadangkan Zam sendiri bolehlah berdebat dengan Husam Musa atau Hassan Ali ataupun Mat Sabu.

Kalau begitu barulah RTM dan Menterinya betul-betul tampak berani dan terbuka. Ini buat tawaran sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja kemudian ditunjal-tunjal melalui trompet rasminya UTUSAN. Alang-alang mandi biar basah Datuk!

Thursday, April 06, 2006

Bila tersepit Khir salahkan PBT nya

Kisah ini bermula apabila para penduduk di Petaling Jaya menghadiri satu sessi taklimat berkenaan cadangan MPPJ untuk meminda sebahagian dari Deraf Pelan Struktur Tempatan MPPJ (RTPJ1) di Dewan Sivik Petalin Jaya baru-baru ini. Majlis taklimat ini diadakan bagi mematuhi Seksyen 12A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang mensyaratkan pihak PBT menadakan perundingan dengan penduduk tempatan sebelum melkasanakan sebarang perubahan ke atas Pelan Struktur di kawasan PBT.

Majlis taklimat itu diketuai Yang Dipertua MPPJ dan para pegawainya serta ADUN-ADUN BN bagi kawasan tersebut. Taklimat awal telah diberikan sendiri oleh Pengarah Perancangan Bandar MPPJ.

Salah satu cadangan yang dikemukakan oleh MPPJ adalah:

Bahawa Lot 11 di Seksyen 52, Mukim Bandar Petaling (yang terletak berhampiran padan letak kereta hentian Putera LRT Taman Jaya) diubah statusnya dari tempat letak kereta ke statyus komersial.

Cadangan ini telah mencetuskan keributan dikalangan para penduduk tempatan yang hadir oleh kerana terdapat sesuatu yang mencurigakan terhadap cadangan ini.

Menurut seorang penasihat undang-undang kepada Persatuan Penduduk yang hadir, MPPJ kononnya mahu berunding tetapi sebenarnya telah pun membuat keputusan.

Lalu didedahkan bahawa MB Selangor sendiri telah hadir merasmikan projek bangunan PJ Exchange ataupun PJX iaitu satu projek bangunan komersial yang akan dibina oleh SBC Corporation. Projek yang diresmikan itu duduk di Lot 11 berkenaan.

Bermakna MPPJ tidak menurut peraturan undang-undang yang ada, melancarkan projek sebelum pun perundingan diadakan dengan penduduk tempatan! Dan yang hadir merasmikan projek HARAM itu adalah Ketua Eksekutif Negeri Selangor sendiri iaitu Khir Toyo selaku MB!

Lalu tercetuslah ketegangan sehingga seorang penduduk bangun memekik:

YOU are really pulling a fraud on all of us
Anda semua cuba menipu kami yang hadir.

Bagaimana kejadian ini boleh berlaku?

PBT cuba menipu dan membohongi para penduduk tempatan, proses undang-undang kononnya mahu dituruti sedangkan sebenarnya projek telah pun berjalan dan dilancar pula oleh MB sendiri.

Menurut para penduduk bunting berkenaan pelancaran PJX itu telahpun dinaikkan dimerata Petaling Jaya siap dengan logo kerajaan negeri.

Lalu apa kata Khir di atas penipuan ini:

Saya tidak di maklumkan yang bangunan ini masih menunggu kelulusan. Saya sedih kerana hanya dimaklumkan statusnya hanya melalui pangilan telefon pada jam 6 petang.

Biasalah saya merasmikan projek-projek yang masih dalam peringkat cadangan, namun ini tidak bermakna ianya cap mohor bai mengelakkan sebaran peraturan yan telah ditetapkan.

Pelancaran ini sebenarnya GIMIK sahaja (menurut kamus GIMMICK bermaksud AKSI PUBLISITI)




Demikianlah keadaan PBT di Selangor serta gelagat dan perangai Menteri Besarnya. Ini Negeri Maju, negeri lain tak tahulah macam-mana.

Dalam hal ini imej Khir Toyo jelas telah tercalar dan sebagai ahli politik yang licik beliau menyedari keadaannya lalu terus melompat mencari mangsa untuk dipersalahkan. MB tak cuai dan tak silap, yang cuai dan silap MPPJ, tutup kes.

EXCO bankrap Khir kata OK

Dalam akhbar UTUSAN hari ini ketika mengulas isu notis bankrap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor yang juga ADUN Sementa, Rahman Palil, MB Selangor Khir Toyo berkata:

Saya tidak melihat apa-apa masalah dalam perkara ini. Ini baru notis, bukan perisytiharan bankrap atau sudah bankrap terus. Ia tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Exco dan saya hanya nasihatkan beliau agar terus bekerja.



Khir dikatakan telah menerima taklimat dari Rahman sebelum mesyuarat EXCO semalam. Apakah agaknya yang telah ditaklimatkan oleh Rahman kepada Khir itu? Adakah Khir dimaklumkan bahawa Rahman telah mengunakan kedudukkannya sebagai ADUN dan kedudukkan seorang pegawai kerajaan lain (yang memasukkan nama isterinya) bagi membuat permohonan tanah kerajaan yang bernilai RM9.1juta!

Adakah Khir dimaklumkan permohonan tanah itu yang dibuat Rahman melalui syarikat yang beliau ada kepentingan dibuat pada tahun 1994 dan lulus pada tahun 1995, iaitu dalam jangkawaktu yang begitu singkat bebranding rakyat kebanyakkan yang tiada kroni dan kenalan. Dan dahlah dapat mudah, ianya pula kemudiannya dijual kepada syarikat lain untuk memperolehi keuntungan sekelip mata, Khir tahu tak?

Kalau Khir tahu, sepatutnya Rahman ini disuruh berihat terlebih dahulu, jangan terus memegang jawatan awam. Khir selaku Ketua Eksekutif negeri perlu memanggil pihak BPR bagi menyiasat Rahman, barulah ada ketelusan.

Tapi bimbang barangkali Khir sendiri pun tidak tahu, ataupun tahu tetapi buat-buat tak tahu.

Kalau beginilah sikap kerajaan negeri Selangor yang kononnya berwawasan mahu melahirkan warga Selangor dari kalangan insan-insan Rabbani yang kelak akan membentuk masyarakat Madani, lupakanlah sahaja.

Wednesday, April 05, 2006

Notis bankrap EXCO Selangor menimbulkan pelbagai tandatanya

Akhbar UTUSAN hari ini mendedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor yang juga ADUN Sementa, Rahman Palil dikenakan notis bankrap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


Si Bankrap

Anggota EXCO itu dikenakan notis bankrap setelah didapati ingkar membayar RM311,295.35 yang dituntut oleh bekas pengarah syarikat Agmal Development Sdn. Bhd. (Agmal), Zarinah Abu Bakar.

Apa kaitan beliau dengan Zarinah?

Pada tahun 1994, Rahman telah menghantar dua wakilnya termasuk seorang pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling bagi berbincang menggunakan syarikat Zarinah dalam satu permohonan mendapatkan sebidang tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Hasil perbincangan, Zarinah mendakwa, beliau, Rahman dan dua wakilnya itu bersetuju dengan empat syarat antaranya ialah Zarinah akan memberikan 60 peratus saham syarikat itu kepada Rahman, 20 peratus kepada wakilnya dan 10 peratus kepada isteri pegawai jabatan tersebut.
Zarinah akan mendapat saham sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah yang diperoleh.
Zarinah mendakwa, pejabat tanah tersebut kemudian telah meluluskan permohonan itu dan mengurniakan sebidang tanah seluas 11.3 hektar di Sungai Buloh yang bernilai RM9,147,600 pada waktu itu.

Lalu apa yang terjadi?

Bila telah selesai kononnya bagi tujuan mengelakkan cukai Rahman membuat keputusan untuk menjual semua saham syarikat Agmal kepada syarikat Aras Bumi Sdn. Bhd. dengan harga RM2 juta pada Oktober 1995. Zarinah mendakwa beliau hanya menerima sebahagian sahaja dari bahagiannya dari perolehan jualan itu dan sehingga kini Rahman masih berhutang RM311,295.53 kepadanya.

Ada yang memusykilkan?

Pertama permohonan Agmal mendapatkan tanah dari kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah Daerah Petaling dikatakan dibuat pada tahun 1994. Rahman ketika itu dikatakan memiliki 60 peratus kepentingan dalam Agmal.

Harus diingat Rahman pada tahun 1994 sudah pun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kawasan Sementa, bermakna walaupun memohon melalui nama Agmal namun Rahman selaku ADUN adalah pihak berkedudukan.

Kedua mengapa perlu guna Agmal? Mengapa Rahman tidak menggunakan syarikatnya sendiri?

Pasti ada sesuatu yang mahu disembunyikan. Mungkinkah ada usaha untuk menyembunyikan kehadiran Rahman lalu satu decoy terpaksa digunakan?

Ketiga disebutkan 10 peratus dari saham baru Agmal dipegang oleh ISTERI PEGAWAI JABATAN TERSEBUT iaitu isteri kepada pegawai dari Pejabat Tanah Daerah Petaling, siapakah pegawai itu? Tidakkah ini menunjukkan kepada satu konspirasi jahat, ADUN dan Pegawai dari Pejabat Tanah bersekongkol untuk membaham tanah kerajaan!

Apa pun saya kira tolak ketepi isu bankrap ini (yang saya pasti Wak Rahman boleh selesaikan dalam sekelip mata), pihak Badan Pencegah Rasuah BPR perlu bergerak dan menyiasat hal ini. Kalau perlukan laporan maka penduduk di Kapar perlu segera membuat laporan.

MB Selangor, Khir Toyo berdegar-degar bersyarah berkenaan ketelusan dan good governance, kali ini anak buahnya sendiri, EXCO Agama pula tu, yang salah guna kuasa dan kedudukan untuk songlap tanah. Ini merupakan satu perbuatan yang amat mengaib dan memalukan negeri ini. Maka MB perlu bertindak segera, jangan sekadar petah berkata-kata sahaja, rakyat jelata nak mohon tanah sekangkang kera pun berpuluh tahun belum tentu permohonan diluluskan, tiba-tiba ADUN Umno, tanpa banyak kira-bicara dengan senang dapat memperolehi tanah bernilai jutaan ringgit.

Apa dah jadi ni Khir? Apa jadi Insan Rabbani yang mahu dilahirkan Negeri Selangor Maju 2005 pimpinan anda?

Tuesday, April 04, 2006

Ijazah palsu: Bertindak segera tanpa pilih bulu

Semalam di Dewan Rakyat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Adham Baba menjelaskan bahawa Kementerian tersebut sedang mengambil langkah untuk menghapuskan sama-sekali semua jenis ijazah palsu yang terdapat di pasaran di Malaysia.

Menurut beliau sebuah laporan bertajuk Observation on Borderless Higher Education yang dikeluarkan oleh Persatuan Universiti-universiti Komanwel Ogos lepas mendapati ijazah-ijazah palsu terbitan Amerika Syarikat terdapat dengan meluasnya di Malaysia.

Siapakah penyangak yang tergamak memalsukan ijazah sedemikian rupa?


SPM,MBA ????????

Tindakan penipuan itu jelas tidak bermaruah dan telah memburukkkan nama baik Negara.

Siapakah agaknya antara golongan yang cenderung kepada kerja-kerja khianat ini?

Sekitar tahun lepas beberapa penulis BLOG termasuklah BLOG ini telah mendedahkan tentang penglibatan seorang tokoh politik muda yang dikatakan terbabit dalam kerja bodoh ini. Sehingga ke hari ini tokoh yang terlibat tidak memberikan sebarang komen, namun terus terpacul dan muncul di majlis-majlis umum.

Tokoh tersebut yang mengakui hanya memiliki SPM (walaupun ada pihak mengatakan SPM pun beliau gagal) telah kononnya mendaftar dengan Universiti Preston di Amerika Syarikat dan kemudiannya memperolehi Masters in Businees Management and Administration ataupun Sarjana Pengurusan Perniagaan dan Pentadbiran.

Kepada sesiapa yang ingin mengambil tahu bolehlah mengunjungi laman web universiti tersebut di http://preston.edu/. Untuk makluman universiti yang terletak di Cheyenne, Wyoming, Amerika Syarikat itu hanya menawarkan dua jenis program MBA iaitu melalui kajian jarak jauh dan MBA Eksekutif. Kedua-dua program tersebut memerlukan minima Ijazah Sarjana Muda dan bukannya SPM?!

Demikinlah angkara penipu dan pembohong besar.

Oleh itu jika benar Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat mengambil tindakan terhadap ijazah palsu seumpama ini, saya syorkan elok sangatlah ia tinjau mereka yang berada di dalam selimutnya sendiri!

Jambatan Bengkok:
Singapura tolak rancangan Malaysia

Tun Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa keikhlasan Malaysia berbaik-baik dengan Singapura selama ini tidak pernah membuahkan sesuatu yang bermakna ataupun positif.

Kata beliau semasa menjadi PM pada tahun 1981 beliau berusaha mengunjungi Lee Kuan Yew(PM Singapura ketika itu) untuk mengeratkan lagi hubungan kedua-dua buah negara tetapi ternyata Singapura tidak pernah ikhlas mahu menjalin hubungan baik.

Hari ini Malaysia tersepit dalam isu pembinaan JAMBATAN BENGKOK, sebuah jambatan merintangi Selat Johor yang bakal menggantikan laluan Tambak Johor yang telah usang itu. Malaysia sedang rancak membinanya dengan harapan Singapura juga akan bekerjasama menyempurnakan bahagiannya.


Bangunan Parlimen Singapura

Namun sejak rundingan ini dimulakan Singapura sejak awal-awal lagi telah enggan bekerjasama malah mengemukakan pelbagai tuntutan yang melampau termasuklah hak menerobos ruang angkasa Malaysia dan hak bekalan pasir dari Malaysia.

Sebagai warga Malaysia kita sudah pasti berasa marah dan keciwa dengan sikap degil dan keras kepala Singapura itu. Soal samada kita bersetuju ataupun tidak dengan keputusan kerajaan Malaysia yang tergesa-gesa membina JAMBATAN BENGKOK itu tanpa melalui proses perundingan terlebih dahulu, soal kedua. Memang banyak yang perlu dijawab oleh kerajaan dalam hal ini.

Namun yang pentingnya sekarang adalah kemelut diplomatik yang tercetus angkara projek yang tergesa-gesa ini.

Baru-baru ini di Parlimen Singapura, Menteri Hal Ehwal Luar Keduanya, Raymond Lim menyatakan sikap kerajaan beliau dalam isu ini. Beliau berkata:

Singapore DOES NOT ACCEPT that Malaysia has the right to demolish its side of the Causeway unilaterally and replace it with a half bridge. This position has repeatedly been conveyed in the form of diplomatic channels on numerous occasions. Weve taken this position not lightly but after seeking expert legal advice, any major work related to the Causeway on which also are sited the pipelines supplying water to Singapore, will affect both Singapore and Malaysia in a variety of areas of vital importance to both countries.

Bermakna jelas yang Singapura menolak mentah-mentah projek ini dan dengan keengganan Singapura itu bermakna JAMBATAN BENGKOK itu tidak dapat beroperasi walaupun jika nanti telah disiapkan di bahagian Malaysia!

Dan tidak cukup dengan itu Singapura pula cuba menggula-gulakan Malaysia yang kononnya atas semangat kejiranan ia mungkin boleh sanggup bersetuju dengan keputusan Malaysia itu tertakluk kepada beberapa syarat.

Kata Raymond:

However, in the spirit of good neighbourliness, Singapore is prepared to consider Malaysias proposal to replace the causeway with a full straight bridge if there is a balance of benefits for both sides.

Kita percaya balance of benefit yang Raymond maksudkan itu mungkinlah termasuk hak mengunakan pasir Malaysia untuk kerja-kerja penambakan di negara Pulau itu, hak tentera udaranya menggunakan ruang udara Malaysia. Malah ada seorang rakan dalam Umno mengkhabarkan kononnya Singapura turut menuntut hak ke atas sebuah pulau kecil di perairan Malaysia!

Dalam hal ini kerajaan Malaysia perlu menyemak kembali pendirian dan sikapnya. Jangan sampai nanti jadi Pak Kadok kita semua. Jambatan siap tak boleh diguna, dan kita menjadi bahan gelak ketawa seluruh dunia.

Kerajaan perlu mengambil sikap tegas berikutan kenyataan Raymond ini yang merupakan kenyataan rasmi Singapura yang paling jelas menolak projek JAMBATAN BENGKOK ini. Diharapkan PM Dollah Badawi jangan mengambil masa yang terlalu lama membuat keputusan kerana ini melibatkan nama baik dan maruah negara.

Hairan juga apa halnya tergesa-gesa sangat nak bina JAMBATAN BENGKOK ini sehinggakan tidak mengambil kira pandangan pihak lain. Agaknya ada sesuatu yang berbau hapak dan hancing yang hanya boleh dihidu pihak-pihak tertentu sahaja, entahlah?

Kita tunggu reaksi Tun Dr Mahathir.

Monday, April 03, 2006

Caj kereta Singapura tanpa lengah

Buat masa ini kereta pendafataran asing yang dibawa pandu masuk ke Malaysia samada melalui sempadan Thai ataupun Singapura tidak dikenakan sebarang caj masuk kecuali tol. Bagi kenderaan yang masuk dari Singapura mereka membayar RM2.60.



Bermakna mereka bebas membawa masuk kenderaan mereka, menikmati barangan dan makanan murah di Malaysia, membayar kos petrol yang murah, menginap di hotel-hotel mewah yang murah, menikmati lebuhraya kita (ada juga menikmati pelacur-pelacur dan GRO Malaysia yang juga lebih murah dari di negara mereka), berjudi di Genting Highlands dan kemudian kembali ke Singapura dengan hati senang dan perut kenyang.

Sedangkan kenderaan Malaysia yang dipandu masuk ke Singapura pada hari-hari bekerja dikenakan bayaran Dolar Singapura 20.00 bagi kereta dan Dolar Singapura 4.00 bagi motosikal sehari dari jam 2.00 pagi ke 5.00 petang.

Dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini disiarkan berita yang kabinet sedang berura-ura untuk mengenakan caj RM20.00 ke atas kereta-kereta yang masuk dari Negara Thai dan Singapura. Ini kononnya bagi mengimbangi subsidi petrol yang hilang apabila kereta-kereta ini mengisi minyak untuk kenderaan mereka di Malaysia.

Dan berita ini sudah pun menerima reaksi khasnya dari warga Singapura. Channel News Asia yang berpusat di Singapura, didalam laman webnya menyiarkan reaksi rakyat Singapura terhadap ura-ura ini. Ada yang mengatakan:

If theyre doing big business, I think 20 ringgit is nothing. But if just a small business, or maybe just go for tour, I think they will think about it.

Seorang lagi pemilik kenderaan mengatakan:

Im sure nobody will want to go there. 20 ringgit is a lot. Right now, were already paying 2.60 ringgit. I think 20 ringgit is a lot.

Dengan kemelut JAMBATAN BENGKOK yang belum selesai, yang telah pun menerima reaksi negatif dari kerajaan dan rakyat Singapura, memang dijangkakan ura-ura caj masuk ini pun sudah pasti akan dipandang dingin oleh mereka.

Bagi saya tidak ada sebab mengapa rakyat Singapura khasnya tidak patut dikenakan caj kemasukkan itu memandangkan mereka datang ke sini untuk menikmati serba-serbi yang mewah dan menyeronokkan sedangkan rakyat Malaysia hidup terbeban dengan kenaikkan besar harga minyak.

Jangankan RM20.00 saya kira caj yang lebih besar patut dikenakan ke atas mereka itu.Saya kira dalam hal ini kerajaan perlu bertegas. Kenakan RM50.00 hatta RM100.00 sekalipun saya percaya mereka akan mampu bayar. Kemudian bagi kenderaan mereka yang ke luar, pastikan perlu melalui skan dari online Polis Trafik bagi memastikan mereka bayar terus sebarang saman yang dikenakan terhadap mereka sepanjang berada di Malaysia

Bagaimana kalau mereka tidak mahu masuk nanti?

Saya kira apa pun jadi warga Singapura itu akan tetap berkunjung ke Malaysia.Mereka tiada pilihan kecuali kereta mereka boleh terbang terus ke Thailand atau Indonesia!

Kepentingan mereka di Malaysia sebenarnya terlalu besar untuk mereka memboikot kita. Wang Singapura telah mencurah-curah masuk menguasai syarikat dan haratanah di Malaysia.

Cuma kita sahaja yang kadang-kadang kelihatan tertunduk-tunduk merendah diri, bersedia dengan mudah menggadai dan menjual maruah kerana kononnya nak menjaga hati negara pulau itu. Kalau ke atas rakyat sendiri kita sanggup mengenakan kenaikkan harga minyak yang besar, apa istimewanya warga Singapura itu?