Wednesday, April 05, 2006

Notis bankrap EXCO Selangor menimbulkan pelbagai tandatanya

Akhbar UTUSAN hari ini mendedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor yang juga ADUN Sementa, Rahman Palil dikenakan notis bankrap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


Si Bankrap

Anggota EXCO itu dikenakan notis bankrap setelah didapati ingkar membayar RM311,295.35 yang dituntut oleh bekas pengarah syarikat Agmal Development Sdn. Bhd. (Agmal), Zarinah Abu Bakar.

Apa kaitan beliau dengan Zarinah?

Pada tahun 1994, Rahman telah menghantar dua wakilnya termasuk seorang pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling bagi berbincang menggunakan syarikat Zarinah dalam satu permohonan mendapatkan sebidang tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Hasil perbincangan, Zarinah mendakwa, beliau, Rahman dan dua wakilnya itu bersetuju dengan empat syarat antaranya ialah Zarinah akan memberikan 60 peratus saham syarikat itu kepada Rahman, 20 peratus kepada wakilnya dan 10 peratus kepada isteri pegawai jabatan tersebut.
Zarinah akan mendapat saham sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah yang diperoleh.
Zarinah mendakwa, pejabat tanah tersebut kemudian telah meluluskan permohonan itu dan mengurniakan sebidang tanah seluas 11.3 hektar di Sungai Buloh yang bernilai RM9,147,600 pada waktu itu.

Lalu apa yang terjadi?

Bila telah selesai kononnya bagi tujuan mengelakkan cukai Rahman membuat keputusan untuk menjual semua saham syarikat Agmal kepada syarikat Aras Bumi Sdn. Bhd. dengan harga RM2 juta pada Oktober 1995. Zarinah mendakwa beliau hanya menerima sebahagian sahaja dari bahagiannya dari perolehan jualan itu dan sehingga kini Rahman masih berhutang RM311,295.53 kepadanya.

Ada yang memusykilkan?

Pertama permohonan Agmal mendapatkan tanah dari kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah Daerah Petaling dikatakan dibuat pada tahun 1994. Rahman ketika itu dikatakan memiliki 60 peratus kepentingan dalam Agmal.

Harus diingat Rahman pada tahun 1994 sudah pun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Kawasan Sementa, bermakna walaupun memohon melalui nama Agmal namun Rahman selaku ADUN adalah pihak berkedudukan.

Kedua mengapa perlu guna Agmal? Mengapa Rahman tidak menggunakan syarikatnya sendiri?

Pasti ada sesuatu yang mahu disembunyikan. Mungkinkah ada usaha untuk menyembunyikan kehadiran Rahman lalu satu decoy terpaksa digunakan?

Ketiga disebutkan 10 peratus dari saham baru Agmal dipegang oleh ISTERI PEGAWAI JABATAN TERSEBUT iaitu isteri kepada pegawai dari Pejabat Tanah Daerah Petaling, siapakah pegawai itu? Tidakkah ini menunjukkan kepada satu konspirasi jahat, ADUN dan Pegawai dari Pejabat Tanah bersekongkol untuk membaham tanah kerajaan!

Apa pun saya kira tolak ketepi isu bankrap ini (yang saya pasti Wak Rahman boleh selesaikan dalam sekelip mata), pihak Badan Pencegah Rasuah BPR perlu bergerak dan menyiasat hal ini. Kalau perlukan laporan maka penduduk di Kapar perlu segera membuat laporan.

MB Selangor, Khir Toyo berdegar-degar bersyarah berkenaan ketelusan dan good governance, kali ini anak buahnya sendiri, EXCO Agama pula tu, yang salah guna kuasa dan kedudukan untuk songlap tanah. Ini merupakan satu perbuatan yang amat mengaib dan memalukan negeri ini. Maka MB perlu bertindak segera, jangan sekadar petah berkata-kata sahaja, rakyat jelata nak mohon tanah sekangkang kera pun berpuluh tahun belum tentu permohonan diluluskan, tiba-tiba ADUN Umno, tanpa banyak kira-bicara dengan senang dapat memperolehi tanah bernilai jutaan ringgit.

Apa dah jadi ni Khir? Apa jadi Insan Rabbani yang mahu dilahirkan Negeri Selangor Maju 2005 pimpinan anda?

No comments: