Wednesday, April 26, 2006

Berilah peluang kepada Tun Dr M

Rupanya surat terbuka yang panjang lebar berkenaan Isu Jambatan Bengkok yang saya terima baru-baru ini memang benar-benar ditulis oleh bekas PM Tun Dr Mahahtir.

Surat terbuka tersebut sepanjang enam mukasurat berserta lampiran sebanyak tigabelas mukasurat lagi.



Menurut akhbar THE STAR seorang pembantu Tun mengakui bahawa surat tersebut dikeluarkan oleh Tun sendiri dan dikirim kepada sebahagian besar ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat yang sudi mendengar keluhan hati beliau.

Menurut akhbar itu lagi surat terbuka tersebut dikirim sebelum Tun berangkat bercuti ke Eropah minggu lalu.

Saya telah membaca sepnuhnya surat Tun itu beserta lampirannya sekali.

Bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan demi menyelongkar yang hak, saya terpaksa meletakkan segala ketidakpuasan hati dan dendam kesumat lama terhadap Tun ketepi. Parut dan luka yang masih berdarah jangan kita ambil-kira dalam usaha kita mahu membongkar kebenaran, begitulah pandangan saya.

Bukankah Saidina Ali bin Abi Talib r.a yang sedang berpedang dengan seorang Yahudi akhirnya tidak jadi memenggal leher Yahudi itu apabila Yahudi itu semasa bergelut dengan beliau telah meludah ke arah mukanya.

Kata Saidina Ali pada asalnya beliau bergelut dan bersedia membunuh Yahudi itu atas nama Allah swt akan tetapi apabila mukanya diludah beliau tidak jadi membunuh si Yahudi itu kerana bimbang jika tindakan beliau itu bukan kerana tujuan asal tetapi kerana bertindak-balas terhadap ludahan itu.

Seharusnya dalam kes surat terbuka Tun ini berlapang dadalah kita semua demi menghambat kebenaran.

Di awal suratnya Tun menyebut:

Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.

Berkenaan pembinaan jambatan baru berkenaan Tun memetik surat dari Goh Chok Tong yang ketika itu PM Singapura yang dikirim kepada beliau:

Di antara sebuah jambatan baru bai menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.

Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007

Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta saya akan menyetujuinya walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.

Kata Tun:

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terban tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.

Dari sini kita dapat melihat betapa bertentangannya antara apa yang telah dicapai oleh Tun semasa beliau PM dengan alasan pembatalan projek jambatan ini oleh Dollah Badawi.

Tun terus membuka minda kita dengan mengatakan:

Mengapa kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.

Kata beliau lagi:

Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Disamping itu ia telah menyebabkan keruian berbillion ringgit wang rakyat jelata.

Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri.

Sesungguhnya pengakuan dan pendedahan berani Tun ini memberikan gambaran sebenar kepada rakyat jelata darihal apa yang telah berlaku dan dipersetujui sehingga terbinanya Komplek CIQ yang menelan belanja RM2 billion itu

Kini langkah seterusnya adalah pembinaan jambatan bengkok yang walaupun Dollah isytiharkan pembinaannya pada bulam Mac lalu namun dibatalkan dengan pelbagai alasan baru-baru ini.

Tun pernah menulis surat terbuka sebelum menjadi PM dizaman Almarhum YTM Tunku dahulu. Akibat dari surat tersebut beliau dipecat dari Umno namun bisanya surat itu telah berjaya menumbangkan Tunku dari takhta PM dan Presiden Umno.

Apakah bisa yang sama mampu berulang kembali kali ini?

No comments: