Thursday, April 20, 2006

Marina jangan kelirukan bangsa dan agama

Marina Mahathir adalah satu personaliti yang saya kagumi. Kagum bukan kerana kehebatannya tetapi kagum lebih kerana beliau merupakan seorang individu yang tidak pernah cuba mengawal emosi dan perasaannya. Apa sahaja yang melalui dan melintasi hati sanubarinya akan dimuntahkan dalam tulisannya tanpa memeprdulikan adat dan kepercayaan.

Bagi setengah orang Marina adalah penulis yang berani, yang terbuka dan liberal serta penuh dengan nafas yang provokatif dan mencabar.



Manakala ada juga melihat beliau sebagai penulis yang longgar ilmu dan pengetahuan Islamnya namun tidak jemu-jemu mahu juga memberikan penafsiran dan versi beliau sendiri terhadap Islam walaupun kadangkala tahu dan faham bahawa ianya tersasar dan bertentangan dengan hukum.

Yang penting beliau bersuara, yang penting Islam perlu dikeluarkan kononnya dari kepompongnya yang konservatif yang kolot dan dogmatik. Hanya dengan cara ini baru kita dikira maju dan terbuka.

Terbaru dalam runagan mingguannya di akhbar THE STAR beliau menulis di bawah tajuk:

Show of affection.
Menzahirkan kasih-sayang

Dari tajuknya kita dapat menduga bahawa kandungan tulisannya menjadi gelanggang untuk memukul dan membelasah keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan pihak berkuasa tempatan PBT untuk membuat undang-undang dan peraturan bagi mengawal aksi perlakuan sumbang dan lucah dikhalayak ramai.

Memang dugaan kita tepat sekali kerana Marina dengan sinis menulis:

Along comes a judge who declares that public displays of affection are unMalaysian. Really?

Lalu datanglah seorang hakim mengisytiharkan bahawa menzahirkan kasih-sayang dikhalayak ramai adalah tidak Malaysian. Benarkah begitu?

Saya tak berhasrat memetik lagi tulisan beliau seterusnya, anda semua yang mempunyai selera bolehlah membacanya. Apa yang saya mahu ketengahkan di sini adalah kekeliruan yang muncul hasil dari kerja tangan beliau itu.

Sebenarnya yang cuba dikawal oleh PBT itu (walaupun saya tak yakin ia mudah boleh berjaya) adalah perlakuan sumbang kumpulan dan pasangan di tempat-tempat awam yang di bawah kuasa mereka.

Umpamanya di taman-taman, pusat rekreasi dan seumpamanya.

Mengapa mahu dikawal perlakuan seumpama ini?

Kerana pertama perlakuan tersebut dilarang agama (bukan Islam sahaja, saya percaya demikian juga kepercayaan-kepercayaan yang lain), bertentangan dengan adat dan budaya Melayu dan Timur (termasuk India dan Cina).

Kedua ia akan menganggu ketenteraman orang-ramai, kaum keluarga yang bersantai dengan anak-isteri masin-masing sudah pasti tidak akan merasa selesa apabila ada pasangan atau kumpulan yang beraksi sedemikian secara terbuka di hadapan mereka.

Apakah aksi yan dimaksudkan dan kepada siapakah yang ditujukan?

Kawalan yang dimaksudkan mahu dikenakan terhadap pasangan yang berkelakuan tidak sopan.
Marina kalau anak Malaysia tulen akan tahu bahawa tidak ada pasangan sah (suami-isteri) di Malaysia yang normal (kecuali yang tidak normal yang kecil) yang mengamalkan perangai bercumbu-cumbu dan berpeluk-pelukkan dalam keadaan yang sumbang dan lucah dikhalayak ramai.

Memang adalah sesuatu yang normal bagi pasangan suami-isteri samada Islam ataupun tidak untuk berpegang-pegangan tangan di khalayak ramai dan bersalaman serta berkucup apabila berjumpa dan terpisah, itu normal dan perlakuan sedemikian bukanlah sasaran penguatkuasaan ini, jangan dikelirukan!

Yang mahu disasarkan adalah yang sumbang dan lucah bukannya yang menzahirkan kasih-sayang. Perbuatan berkucup dan bercium antara pasangan yang tiada ikatan bukanlah show of affection menurut kacamata kita. Apalagi bergomol dan raba-meraba, yang mungkin bagi standard Marina adalah sesuatu yang biasa dan boleh diterima.

Marina tak perlulah ambil contoh Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah dengan menulis:

In that case, my own parents, already in their 80s, will probably get arrested several times over.

untuk menguatkan hujahnya yang tak berasas pun.

Kalau kedua-dua Tun yang kita hormati itu sekadar berpegangan tangan atau berpelukan sekalipun ianya tidak termasuk di bawah perlakuan sumbang dan lucah yang kita maksudkan.

Takkanlah Marina yang bijaksana itu tak dapat membeza antara perlakuan sumbang dan lucah dengan pelukkan dan dakapan ayah-ibunya sendiri?

Soal bagaimana PBT mahu kuatkuasakan dan laksanakan undang-undang ditangan mereka itu, itu soal kedua. Isunya disini adalah usaha untuk mengawal sesuatu yang kita masyarakat Islam dan rakyat Malaysia kira sebagai sumbang dan lucah serta menganggu ketenteraman kita semua!

Sebagai seorang Islam Marina perlu tahu asas-asas hukum khasnya berhubung public display of affection. Perkara-perkara yang Islam larang termaktub di dalam al Quran dan as Sunnah yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai oleh orang yang beriman.

Sekiranya ada mana-nama golongan yang memiliki kepercayaan atau adat yang membenarkan perlakuan sumbang dan lucah seumpama ini, biarlah mereka keluar membuat tuntutan bagi mendapatkan pengecualian.

Tak perlulah mana-mana individu Muslim menuntut bagi pihak mereka, kerana bagi Islam samada kita bersetuju ataupun tidak, menzahirkan perbuatan sumbang dan lucah dikhalayak ramai, haram hukumnya.

(Marina berbangga kerana Mufti Bosnia Mustaffa Cedric kononnya mendakap beliau ketika diperkenalkan kepadanya. Saya tidak tahu apa maksud Mufti itu mendakap Marina yang bukan mahramnya, namun dalam hal ini perlakuan itu taklah sumbang dan lucah yang kita maksudkan, jadi tak perlulah Marina menjadikan insiden pelik itu sebagai hujah.)

No comments: