Tafsiran perlakuan sumbang dan lucah menurut Ka Ting
Dalam tulisan terakhir saya di BLOG ini saya menyuarakan kebimbangan apabila Kabinet mengeluarkan arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengeluarkan garispanduan berhubung definisi kelakuan sumbang dan lucah di tempat-tempat awam
Benarlah Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT terletak di bawah bidangkuasa kementerian berkenaan, namun isu yang dimaksudkan adalah isu moral dan akhlak, oleh itu tidakkah Jabatan Perdana Menteri merupakan kementerian yang lebih sesuai dalam hal ini?
Dan terbukti dalam akhbar hari ini, Menteri berkenaan yang juga Presdien MCA dengan senang hati telah memberikan gambaran darihal definisi perlakuan sumbang dan lucah menurut selera dan pemahaman beliau.
Kata Ka Ting sebagaimana dilaporkan oleh UTUSAN:
Tindakan menghantar penguatkuasa untuk mengambil tindakan (hanya) setelah aduan diterima mengenai pasangan yang melakukan aksi melampau seperti berbogel atau melakukan aktiviti seks.
Saya menegaskan, tindakan tidak boleh diambil terhadap pasangan yang hanya berpegangan tangan
Dalam hal yang sama THE STAR memetik beliau sebagai berkata bahawa perlakuan sumbang dan lucah itu bermaksud:
Excessive indecent acts such as stripping.
Perlakuan keterlaluan umpamanya berbogel.
Demikianlah kurang-lebih apa yang bakal kita harapkan dari garispanduan perlakuan sumbang dan lucah dari hasil tangan Presiden MCA itu.
Kalau kita baca dari tafsiran Ka Ting itu maka bercium OK, bercumbu OK, berpeluk-pelukkan OK hatta bergomol atas bangku, bawah bangku, atas padan, celah batu semuanya OK asal jangan berbogel atau melakukan aktiviti seks, itu sahaja.
Maaf tetapi saya rasa itulah juga agaknya tafsiran Islam Hadhari sebab Perdana Menteri Islam Hadhari jugalah yang telah mewakilkan kuasa membuat tafsiran ini kepada Ka Ting tempoh hari. Bukan al Ghazali bukan juga as Syafiee tetapi rupa-rupanya Ka Ting yang dicari-cari.
Oleh itu bersedialah kita untuk menyaksikan keruntuhan moral anak-anak muda kita pada tahap yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Ya Allah Selamatkanlah Malaysia!
No comments:
Post a Comment