Thursday, April 27, 2006

Makmurnya judi di Malaysia

Semalam di Dewan Rakyat dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada pertanyaan ahli dari Tanjong, dewan dimaklumkan bahawa bagi tahun 2005 kerajaan Malaysia telah berjaya memungut sebanyak RM924juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri judi yang di HALAL kan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut Kementerian itu lagi jumlah wang kemenangan yang telah dibayar oleh firma-firma judi ini kepada mereka yang telah bertaruh dan berjaya adalah seperti berikut:

2004: RM4.7 billion
2005: RM4.8 billion

Bermakna hasil judi memberikan sumbangan besar kepada pendapatan negara iaitu dengan hasil yang hampir mencecah RM1 billion setahun.



Dan judi juga memberikan pulangan yang besar kepada rakyat Malaysia iaitu bagi tahun 2005 sahaja rakyat Malaysia (termasuk Indon, Bangla dan lain-lain) telah membawa pulangan hasil kemenangan judi bernilai RM4.8 billion, lebih besar dari penjimatan subsidi minyak yang kononnya diperolehi oleh kerajaan sebanyak RM4.4 billion!

Mengambil kira hal yang sebegini berserta sikap kerajaan yang toleran malah melesenkan pula industri yang dinamik ini, saya kira wajar sangatlah kerajaan melipatgandakan lagi lesen-lesen judi dengan mungkin memberi lesen pula kepada syarikat-syarikat asing untuk turut melabur di sini.



Mungkin dengan cara ini kerajaan boleh mengutip lebih lagi hasil dan rakyat Malaysia (termasuk Indon dan Bangla) juga boleh terus menikmati pulangan besar.

Sudah pastilah hasil judi yang besar itu juga dapat membantu membangunkan negara sehingga makmur dan sejahtera kita semua.

Bukankah antara prinsip Islam Hadhari itu menjanjikan:

Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif

Kehidupan berkualiti

Dan semasa Musabaqah Tilawatul Quran yang kerajaan Malaysia setiap tahun anjurkan dengan penuh bangga, kadangkala Qori atau Qoriah kita ada juga membaca ayat dari surah al Maidah (ayat 9) yang berbunyi:

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Tak tahulah dalam keadaan judi yang memakmurkan negara ini relevan atau tidak ayat ini? Kerana nampaknya hasil mencecah RM1 billion itu walaupun keji dan kotor kata Allah namun pulangannya besar pada anggapan kerajaan yang ada.

Kita juga tahu yang Rasulullah saw ada bersabda:

Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa ( haram seperti judi dan sebagainya ), lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah, atau berderma pada jalan Allah, maka dikumpulkan semua dan dicampakkan bersamanya ( orang tersebut ) ke dalam neraka Jahannam. (Abu Daud)

Tak tahulah mana yang lebih utama Rasulullah ataupun wang berbillion?

Mudah-mudahan Allah swt mengampunkan dosa kita semua.

No comments: