Friday, April 21, 2006

Sudahlah YB Po Kuan

Sebagai seorang ahli Parlimen wanita yang memiliki latarbelakang undang-undang dari UIA, YB Fong Po Kuan, wakil rakyat dari Batu Gajah, yang masih muda dan bujang itu sering mendapat perhatian orang-ramai.



Rupa pun ada, lincah pun boleh tahan, Po Kuan adalah ayam tambatan DAP yang sangat berharga.

Akan tetapi sejak akhir-akhir ini beliau kelihatan ditonjol untuk mencabar sesuatu yang pasti mengundang musibah dan malapetaka terhadap karier politk beliau samada beliau sedari ataupun tidak.

Dalam isu kontroversial penakrifan perlakuan sumbang dan lucah dikhalayak ramai, Po Kuan memilih ataupun barangkali dipilih untuk menjadi juara mengemukakan versi liberal dan kononnya terbuka dan seiiring dengan perkembangan semasa.

Po Kuan dalam BLOG nya menulis:

Kissing and hugging per se should not be made an offence. Do not push the young people to go underground.

Malah beliau secara terbuka mencabar peraturan DBKL apabila membenarkan dirinya dikucup dikhalayak ramai ketika mengadakan demo di hadapan Bangunan DBKL baru-baru ini.

Po Kuan khayal membawa tuntutan ini tanpa sedikit pun memikirkan sensitiviti masyarakat Melayu Islam malah saya yakin masyarakat lain yang lebih selesa dengan peradaban dan budaya timur yang penuh sopan dan santun itu.

Dan semalam di Parlimen Po Kuan terus mencetuskan lagi kontroversi apabila menuntut penjelasan dari Menteri Perumahan Ong Ka Ting dengan soalan:

Jakim dan Mufti Perak kata pasangan Islam dan bukan Islam tidak boleh bercium di khalayak awam dan di taman, jadi apa pandangan Menteri berhubung perkara ini.

Penjelasan tersebut dilihat sesuatu yang sungguh sensitif kerana melibatkan JAKIM dan Mufti, iaitu urusan orang Islam, dibangkitkan oleh ahli bukan Islam dan dipohon penjelasan dari Menteri yang bukan Islam.

Lalu tercetuslah kekalutan dan hiruk-pikuk di dewan. Po Kuan terus menunjukkan belangnya dengan berkata:

Negara ini ada pelbagai kaum dan agama, negara ini bukan Islam.

Kalau kita katakan kenyataan Po Kuan itu membuktikan DAP itu parti anti Islam, maka ramai khasnya dari DAP yang akan membantah. Namun hakikatnya begitulah dari penglihatan kita.

Po Kuan berhak mengatakan apa sahaja yang terlintas di benak kepalanya. Walaubagaimanapun sebagai seorang ahli Parlimen Malaysia beliau seharusnya sensitif dan berhati-hati dalam menyusun kata, jangan sampai nampak membenci mana-mana pihak.

Saya bimbang kalau beliau terus membenarkan dirinya lantang demikian rupa, akhirnya yang akan buruk dan tercalar adalah partinya juga yang sentiasa diragui oleh orang Melayu sejak dahul lagi.

No comments: