TABIK HORMAT PADA OSMAN "KERING"
Banyak ulasan telah diberikan berkenaan Debat Perdana di RTM1 malam tadi. THE STAR melaporkan debat yang sepatutnya berkisar pada topik perpaduan telah bertukar menjadi debat politik antara Mahfuz dan Annuar Musa. Bagi saya ianya terjadi demikian oleh kerana gelagat moderatornya Johan Jaaffar yang sememang dari mula-mula siri ini diperkenalkan sehinggalah hari ini masih lagi meneruskan sikap berat sebelahnya dalam menjalankan tugas.
Beliaulah yang telah provoke Mahfuz dan Annuar malah Siva dan Dr Wee dari MCA juga diperalatkan oleh beliau untuk memuntahkan hujah-hujah politik bagi menyerang khususnya Mahfuz dan PAS pada malam itu.
Namun saya tidak berhasrat memanjangkan polemik itu, bagi saya yang lebih menarik pada malam itu adalah soalan dari floor. Pelakon dan pelawak terkenal Osman Kering telah mengemukakan suatu soalan ataupun pandangan yang sangat menarik, malah yang mengkagumkan kerana ianya datang dari seorang artis.
Soalan itu saya kira sungguh penting dan barangkali terbit dari keikhlasan dan keprihatinan beliau, kerana tidak ada sindir-menyindir ataupun singgung-menyinggung dalam nada dan isi soalannya.
Beliau bertanya lebih kurang mengapa dalam semangat Eidil Fitri ini PAS dan Umno tidak boleh bersatu demi perpaduan agama, bangsa dan negara.
Bagi saya kalaulah boleh soalan Osman ini diandaikan mewakili masyarakat Malaysia yang tidak komited dengan mana-mana pihak bermakna soalan ini mencerminkan betapa masyarakat Melayu mengiktiraf bahawa kuasa politik Melayu dalam negara cuma disandang oleh PAS dan Umno.
Seterusnya ia juga mencerminkan betapa umat Melayu setelah hampir setengah abad merdeka benar-benar mahu agar sengketa politik kedua-dua pihak yang bersaudara ini dapat dikendurkan dan kemudiannya bergandingan melayari teraju kepimpinan bersama demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
Ianya satu lontaran yang bernas, berani dan saya kira kena pada masanya.
Walaubagaimanapun kita akui ia sukar untuk dicanai menjadi suatu realiti oleh kerana perbezaan yang besar antara kedua-dua pihak samada dari segi pendekatan politik maupun dari segi prinsip perjuangan. Namun ianya perlu diusahakan kerana ianya saya percaya sudah merupakan satu tuntutan tersirat yang bersarang dalam hati sanubari ramai umat Melayu pada hari ini.
Memang kalau dilihat pada aksi Annuar Musa dan Mahfuz malam tadi sukar untuk merealisasikan pandangan Osman ini, namun ianya tidak mustahil.
Letakkan agama, bangsa dan negara sebagai agenda terbesar dan terutama. Kita bongkar rahsia kitab suci sebagaimana baris dalam sajak terkenal Pak Lah, tapi bongkarlah dengan penuh keihklasan dan kejujuran.
Satu ketika dahulu majlis perpaduan seumpama ini pernah diusahakan di zaman Mahathir dimana kedua-dua setiausaha agung parti dan wakil masing-masing duduk untuk beberapa siri perundingan namun ianya terbengkalai di tengah jalan, gersang sehinggalah Osman Kering membangkitkan kembali isu ini!
Kalau benarlah sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya yang berbangsa Melayu memiliki keinginan yang sama sebagaimana Osman, saya kira perhatian serius terhadap perkara ini perlu diberikan. Sementara itu tahniah Osman Kering andalah yang paling berjaya dalam majlis debat itu!
No comments:
Post a Comment