Wednesday, November 03, 2004

PILIHANRAYA PRESIDEN AS: MEDIA PERLU BELAJAR DARI CNN

Bukan hanya warga Amerika Syarikat malah seluruh masyarakat dunia sedang mengikuti perkembangan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang keputusannya dijangkakan lewat hari ini. Siapakah bakal menerajui negara kuasa besar dunia itu untuk tempoh 5 tahun berikutnya, Bush atau Kerry?



Pagi tadi saya berkesempatan mengikuti siaran secara langsung CNN yang membuat liputan darihal pilihanraya tersebut. Rata-rata stesen berita TV tersebut mengakui tidak mahu mengulangi kesilapan mereka pada pilihanraya Presiden yang lalu. Ketika itu Al Gore, calon Demokrat yang memperolehi undi majoriti terbanyak telah diwar-warkan oleh media AS sebagai Presiden baru sedangkan kemudiannya apabila undi dari Electoral college dikira Bush yang menang. Oleh itu kali ini mereka lebih berhati-hati tidak mendahului keputusan resmi.

Kata Judy Waldrow salah seorang koresponden CNN:

We want to be reporting the right results and not simply being the first one reporting

Justeru mengingatkan saya apa yang berlaku pada malam keputusan Pilihanraya Umum ke 11 yang lalu di sini. Pada jam 8.30 malam skrin di TV3 mendakwa bahawa BN telah memenangi 26 kerusi di DUN Kelantan. Bermakna kerajaan PAS Kelantan telah tumbang dan calon Umno akan menjadi MB Kelantan yang baru. Malah berita internet Malaysiakini turut melaporkan yang Tuan Guru Nik Abd Aziz telah tewas di DUN Cempaka.

Demikianlah gelagat pembawa berita di Malaysia yang tidak bertanggungjawab, sedangkan akhirnya berita resmi menunjukkan PAS terus memerintah Kelantan dan Tok Guru kekal sebagai MB.

Mereka juga barangkali perlu belajar dari CNN bahawa melaporkan maklumat yang benar dan betul lebih utama dan beretika dari berebut siapa yang mampu melaporkan terlebih dahulu walaupun berita tersebut belum tentu kebenarannya.

No comments: