ANAK DI RUMAH MATI KELAPARAN
NST hari ini melaporkan betapa kehadiran Najib Tun Razak TPM ke Mindanao baru-baru ini telah mempertingkatkan lagi moral Pasukan Pemerhati Antarabangsa yang diketuai oleh Malaysia di sana. Tajuk laporan yang diberikan berbunyi:
Mindanao Muslims look forward to Malysia's support
Lawatan Najib itu juga dilaporkan memberikan impak yang besar terhadap nasib masyarakat Islam di Mindanao. Sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia kita turut berbangga apabila menyaksikan negara dapat memberikan sumbangan besar terhadap keamanan dunia khususnya dikalangan masyarakat Islam di luar negara.
Mudah-mudahan nasib masyarakat Islam di Mindanao akan terus mendapat perhatian dunia dan semoga mereka beransur-ansur diberikan hak dan autonomi dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Dalam pada kita berbangga dengan peranan kerajaan Malaysia, kita juga berhak mempersoalkan mengapa kerajaan bersungguh membela nasib masyarakat di luar negara sedangkan rakyat sendiri berterus-terusan dianak-tirikan dan dianggap bagai warga kelas kedua. Di Mindanao kita berlagak bagai juara berjuang bagi mengembalikan hak penduduk Islam di sana tapi di Kelantan umpamanya, kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat melalui proses pilihanraya terbuka kita nafikan haknya dan kita tidak pernah memberikan pengiktirafan sewajarnya.
Sejak 1990 lagi kerajaan Umno diperingkat Pusat secara terang-terangan bermusuhan dengan kerajaan negeri pimpinan PAS. Kerajaan negeri di sana tidak diberikan hak sama taraf seumpama kerajaan-kerajaan negeri lain seolah-olah Kelantan bukan sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jabatan Persekutuan di Kelantan bagaikan merestui satu negeri dua nakhoda. Kelantan bagaikan negeri "pariah" sedangkan rakyat jelatanya turut menyumbang kearah pembangunan negara sebagai "tax paying citizen".
Diskriminasi dan double standard ini berterusan dan makin menjadi-jadi sejak pilihanraya 2004 baru-baru ini apabila Umno berjaya melipat gandakan jumlah kerusinya di negeri tersebut. Di luar negara kita bersungguh mahu jadi pendamai, pengerak keamanan, pelopor keadilan namun dalam negara rakyat sendiri kita tekan dan tindas.
Kita berjuang melalui OIC dan NAM kononnya mahu berikan autonomi kepada penduduk Islam Mindanao tetapi di Kelantan negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia apabila sahaja rakyatnya mengundi parti yang tidak sehaluan dengan kita, kita pun bertindak lebih kurang penjajah, lebih kurang kerajaan Manila. Jadi apa bezanya kita dengan mereka?
Maaf, saya berbangga dengan perkembangan di Mindanao, namun saya sekali-kali tidak dapat merestui sikap biadap dan dan tidak gentleman kerajaan Pusat bawah pimpinan Umno terhadap kerajaan dan rakyat di Kelantan sejak 14 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment