Saturday, May 10, 2008

Selamat Hari Ibu "Mak" ku tersayang
Siapakah insan yang paling besar dalam hidup anda?

Kita tidak perlu toleh kemana-mana atau membuat apa-apa lagi perhitungan dan andaian untuk mengagak atau mencongak jawapan yang tepat untuk persoalan ini. Tiada lain manusia yang telah berkorban, menggadai nyawa, masa, dan kudrat untuk kita bolos ke dunia ini bernyawa, merangkak dan kemudiannya bertapak selain seorang insan bergelar "ibu".


Esok adalah Hari Ibu.

Setiap kali menatap wajahnya yang keramat itu, hati ini sebak mengenangkan betapa besarnya sumbangan insan ini kepada diri kecil yang kerdil ini. Inilah orangnya yang telah sanggup memikul kesakitan untuk menjadikan anaknya seorang yang bergelar manusia. Tidak ia tahu atau menerima firasat akan bagaimana jadinya anak dalam kandungannya itu nanti, namun ia tetap rela, bahagia, gembira mengandungkannya, menggadai nyawa melahirkannya, menyuntik cinta dan kasih sayang yang tidak putus-puts ketika membesarkannya.

Seorang ibu akan bertarung hidup untuk memastikan anaknya selamat, seorang ibu akan melakukan apa sahaja bagi memastikan perut anaknya tidak kosong, seorang ibu rela susah dan sakit bagi memastikan anaknya gembira.

Hati ini semakin sebak, meratap dan menangis memikirkan apakah padan dan setimpal balasan anak pada insan besar bergelar "ibu" ini. Kalau pun ada wang berjuta, harta menggunung, istana mahligai, padankah ia dengan sumbangan seorang ibu terhadap anaknya?

Si ibu dikurnia Allah karamah, dapat membaca sakit-pening anaknya, dapat mengesan lapar dahaga anaknya, dapat menjangka hiba riang anaknya. Tetapi anak sebesar mana pun ia, sebijak dan semewah mana pun, belum tentu dapat membaca walau sedikti apa yang terbuku dihati ibunya.

Ampunlah daku ibu kiranya ada perlakuan dan laku ku yang melukai hati mu, sebak hibamu padaku adalah dosa yang akan ku tanggung apabila berhadapan dengan Nya nanti. Ya Allah Kau kurniakanlah manusia keramat ini dengan rahmat dan ihsan Mu, Kau sediakanlah bagi Nya tapak dalam taman-taman syurga Mu yang luas itu, Kau permudahkanlah hidupnya, Kau ampunkanlah dosa Nya.

Selamat Hari Ibu "Mak" ku tersayang, ampunilah dosa anakmu yang sudah pasti tidak mampu membalas jasamu yang besar itu.
Selamat Hari Ibu juga kepada semua pengunjung blog ini yang bertaraf "ibu".

1 comment:

Anonymous said...

Rasanya tak terlambat nak ucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada semua ibu-ibu di Malaysia ni. Saya sendiripun seorang ibu tapi tak merasa seronok sambut 'Hari Ibu' pada hari Ahad yg lalu. Tak siapa pun yg mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' pada saya pun kecuali anak sulung saya. Suami saya sendiri pun tak reti nak hargai saya. Bukan saya mintak hadiah atau candlelit dinner kat mana-mana, cukuplah sekadar ucapan 'Selamat Hari Ibu'. Tapi pada pagi Ahad yang lalu, dia boleh cakap, "Hari ni kita akan gotong-royong cuci rumah!" Bukan dia tak tahu hari tu hari apa. Apa salahnya dia benarkan saya rehat hari tu, bukannya saya tak pernah buat, tapi itula kerja saya bila di rumah.
Dalam masa yang sama, saya buat satu kad (handmade) utk ibu saya dan saya dah serahkan padanya semalam. Reaksi ibu saya agak baik dari suami saya sendiri. Memang kami tak berapa rapat tapi sejak berkahwin dan ada anak, saya faham kenapa kadangkala ibu saya bersikap negatif. Apapun hati saya terubat jua bila suami saya buatkan satu makanan istimewa untuk saya hari ni. Dia kata sempena 'Hari Ibu'. Walaupun dia cuma buat burger utk saya, sekurang-kurangnya saya tahu dia menghargai saya. Susah juga kalau ada suami yang tak reti nak hargai isteri walaupun bertahun kahwin.