Thursday, December 28, 2006

Lets make 2007 special

Demikianlah ucapan TPM Dato Seri Najib Tun Razak semasa meraikan sambutan Rumah Terbuka Krismas Malaysia 2006 di PWTC semalam.

Kata beliau lagi:

Mari jadikan tahun depan sebagai tahun istimewa bagi Malaysia. Istimewa bukan hanya perayaan tetapi dari segi peranan dan sumbangan serta apa saja yang kita lakukan sebagai warga negara Malaysia, kita lakukan sesuatu yang lebih daripada biasa.



Saya tidak tahu apakah yang tertampak di kepala para pembaca sekalian apabila membaca kenyataan beliau ini, tetapi bagi saya memang setuju sangat bahawa rakyat perlu lakukan sesuatu yang extraordinary atau yang luar biasa.

Kalau selama ini rakyat akur dan telan apa sahaja yang dijolok ke dalam kerongkongnya, terima apa sahaja yang dihumbankan ke atas kepalanya, maka tibalah masa sempena ulangtahun kemerdekaan negara ke 50 ini kita berazam untuk berubah dan tinggalkan segala ketaksuban ketaatan ala Hang Tuah itu.

Saya kira bersesuaian dengan seruan Najib ini maka sampailah masanya untuk kita merdekakan semula minda, sikap dan jiwa kita buat kali kedua.

Hapuskanlah kepercayaan tahyul bahawa hanya BN dan Umno sahaja yang mampu memimpin rakyat dan mengepalai negara. Jika mendera rakyat dengan bebanan kos hidup sebagaimana yang ada pada hari ini, serta menonjolkan barisan pimpinan yang buruk akhlaknya, rasuah dan tipis kesedarannya, maka kena sangatlah sempena tahun 2007 ini kita jadikannya tahun benar-benar istimewa bagi Malaysia.

Istimewa kerana kita akhirnya berani berubah, istimewa kerana kita berani mengatakan tidak pada kebatilan, istimewa kerana kita berani menyuarakan yang hak.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mencuba sesuatu yang baru. Kerajaan alternatif telah berupaya membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negara-negara maju yang lain tanpa menganggu-guggat kestabilan mereka. Republikan bertukar kepada Demokrat dan bertukar balik ke Republikan di AS dan dari Buruh ke Konservatif dan kembali ke Buruh di UK. Malah demikian juga di India dan Indonesia juga sudah merasainya!

50 tahun merdeka sesungguhnya telah memupuk kematangan kita semua, bukan hanya rakyat malah termasuklah parti-parti alternatif di negara kita.

Kita mahukan ketelusan dari pihak kerajaan, kita mahu nyahkan rasuah, kita mahukan kebajikan dan nasib rakyat termasuklah anak cucu kita terbela, kita mahukan kekayaan dan ekonomi negara dinikmati oleh semua. 50 tahun, kita perlu jujur dengan menyatakan bahawa BN dan Umno ternyata telah gagal (malah bukan kita sahaja yang akan berkata demikian, begitulah juga dengan bekas pemimpin mereka terutama Tun Dr M, dan Tengku Razaleigh) dan kita tidak harus terus membiarkan hidup kita bergenang selamanya dalam kegagalan.

Mudah-mudahan 2007 membakar semangat kita untuk berubah, semoga ianya menjadi epitome ke arah lahirnya sebuah kerajaan baru dan juga pembangkang yang baru (biar BN dan Umno duduk dan berperanan di kerusi pembangkang pula).

Saya sudah bersedia untuk menjadikan 2007 SPECIAL, anda?

No comments: