Tuesday, August 30, 2005

Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan
(Bahagian II)



Parti politik pertama yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua menurut John Funston di dalam bukunya Malay Politics in Malaysia – A Study of Umno and PAS adalah Partai Kebangsaan Melayu Sa Malaya (PKMM) atau Malay Nationalist Party (MNP) iaitu pada bulan Oktober 1945.

Ianya ditubuhkan setelah satu majlis perundingan diadakan di pejabat Suara Rakyat akhbar Melayu yang ditubuhkan di Ipoh pada bulan Ogos 1945 selepas perang.

Menurut Ahmad Boestamam dalam bukunya Merintis Jalan Ke Puncak (1972) antara pandangan yang diberikan oleh seorang peserta majlis perundingan tersebut adalah:

Untuk menangkap ikan, misalnya kita harus mempunyai kail atau jala atau alat-alat lain untuk menangkap ikan. Demikianlah pula untuk mendapatkan kemerdekaan. Dan alat untuk memperjuangkan kemerdekaan ini ialah parti politik.

Bermakna gerakan politik untuk memerdekakan negera telah bersemarak sejak sebelum penubuhan Umno lagi dan dalam kes ini tanpa bantuan ataupun sokongan mana-mana kuasa asing.

PKMM telah ditubuhkan dengan Mokhtaruddin Lasso sebagai Yang Di Pertua Agung, Dr Burhanuddin sebagai Naib Yang Di Pertua, Dahari Ali sebagai Setiausaha Agung dan Boestamam sebagai salah seorang AJK nya. Malangnya dalam memperingati 48 tahun kemerdekaan pada hari ini, nama-nama mereka ini terpadam langsung dari sejarah versi kerajaan pada hari ini, seolah-olah jasa-jasa mereka tiada nilai dalam lipatan sejarah tanah air.

Sedangkan ketika itu nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain tidak terlintas langsung dibenak fikiran rakyat. Namun pada hari ini tanyalah mana-mana anak muda, siapakah antara pejuang kemerdekaan negara yang mereka kenali, pasti yang akan terpancar dari mulut mereka adalah Dato Onn dan Tunku sahaja.

No comments: