Tuesday, August 09, 2005

Judi di Malaysia: Masih subur walau diperangi lebih 40 tahun

Kami tidak setuju menggunakan wang Loteri Kebajikan Masyarakat untuk membaiki atau membangun masjid, tapi wang tersebutlah yang banyak dicurahkan kepada pembangunan masjid. Kami tidak mahu menggunakan wang ini kerana puncanya tidak bersih. Wang ini dikutip daripada perjudian, satu perbuatan haram dan bertentangan dengan Islam, tapi kerajaan tak peduli semua itu. Wang daripada Lembaga Loteri itu dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Kerajaan dan dinamakan peruntukkan pembagunan luar bandar. Dengan wang inilah dibina masjid.

Demikianlah sebahagian daripada tulisan Allahyarham Khatijah Sidek, bekas Ketua Kaum Ibu Umno, bekas AJK PAS Pusat, bekas ahli Parlimen PAS kawasan Dungun (1959). Ianya ditulis pada pertengahan tahun 1963 dan terbit dalam sebuah majalah di Hong Kong dalam bahasa Inggeris sekitar pertengahan tahun 1960an. Pihak UKM telah berjaya mmenterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan semula di bawah judul Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa (2004).



Kini telah lebih 40 tahun petikan di atas ditulis. Loteri Kebajikan Masyarakat sudah tidak ada lagi. Namun kerajaan telah meluluskan pula lesen-lesen perjudian baru yang telah menerbitkan berbagai produk judi yang kini lebih puluhan yang terdapat di pasaran. Loteri kebajikan telah menjadi bahan sejarah tetapi kegiatannya kini diganti dengan Toto, ENE, Sweepstake, kasino Genting dan banyak lagi.

Khatijah menulis lebih 40 tahun lalu bahawa perjudian itu satu perbuatan haram dan bertentangan dengan Islam. Ianya tetap haram hari ini dan akan terus haram sampai kiamat. Anehnya semakin maju negara semakin lanjut usia kemerdekaannya semakin galak pula perbuatan yang haram dan bertentangan dengan Islam ini!

Adakah perolehan dari wang judi masih digunakan untuk membina masjid, sekolah dan institusi agama hari ini? Yang pasti industri judi pada hari ini rata-rata merupakan badan-badan korporat antara yang terbesar dalam negara. Hasil samada dalam bentuk cukai langsung ataupun tidak langsung akan masuk ke dalam kantung kerajaan bercampur dengan hasil-hasil lain. Adakah masjid dan institusi Islam dibina dan dibantu dari wang ini, mengapa tidak?

Lebih 40 tahun lalu tokoh-tokoh negara yang prihatin dan sedar telah pun membangkitkan isu yang melibatkan kegiatan haram dan terkutuk ini termasuklah ke Parlimen. Tidak lama lagi negara akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 48, Malaysia kini didakwa sebagai sebuah negara Islam contoh, menganuti fahaman Islam Hadhari, walaubagaimanapun kegiatan judi yang haram terus maju dan tidak kelihatan akan dikawal apalagi diharamkan.

Tergamak sungguh kita berterus-terusan mengundang murka Allah sedangkan kuasa dan kemerdekaan telah dianugerahkan oleh Nya kepada kita. Renungkanlah menjelang 31 Ogos ini!

No comments: