Friday, November 26, 2004

BISTARI PEMUDA UMNO TERENGGANU

Satu laporan dalam akhbar THE STAR hari ini bertajuk:

LET KARAOKE CLUBS OPERATE

Menurut laporannya Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Mohd Sabri Alwi menyarankan agar kerajaan negeri Terengganu menarik balik larangan ke atas pusat-pusat karaoke dan snooker di seluruh negeri tersebut. Alasan Sabri kononnya dengan membuka pusat-pusat ini maka para pemuda di negeri Darul Iman tersebut dapatlah menghabiskan masa mereka di sana daripada tertumpu kepada aktiviti lumba haram yang menular di negeri itu.

Demikianlah bijaksananya formula penyelesaian pemimpin muda dalam Umno Terengganu. Masalah gejala sosial seperti lumba haram ini kononnya dapat diselesaikan dengan membuka pusat karaoke dan snooker. Pakar-pakar motivasi remaja, badan-badan belia dan kebajikan termasuklah JAKIM dan jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu patut berbangga dan mencontohi saranan pintar Sabri ini!

Ditempat-tempat lain di luar Terengganu ramai yang mengaitkan masalah gejala sosial dikalangan remaja berpunca dari membiaknya pusat-pusat snooker dan karaoke ini, tetapi di Terengganu yang slogannya kini ISLAM HADHARI TERENGGANU BISTARI pemimpin pemudanya tiba-tiba dapat ilham bahawa pusat-pusat inilah kelak yang akan menyelamatkan anak-anak muda di Terengganu dari kancah kebinasaan!

Kerajaan PAS Terengganu dahulu mengharamkan pusat-pusat ini atas alasan pusat-pusat ini merupakan sarang maksiat dan pelacuran, kini kerajaan negeri baru disarankan bertindak sebaliknya pula.

Apa ISLAM HADHARI sudah ketandusan idea penyelesaiankah? Ingatkan ISLAM HADHARI akan memberikan peruntukkan untuk mempertingkatkan program-program kesedaran dikalangan remaja agar menjadi insan yang bertaqwa dan berguna kepada masyarakat. Mendidik anak-anak muda agar terdedah dengan fahaman Islam yang sebenar. Rupa-rupanya kalau beginilah fahaman pimpinan muda dalam Umno yang bakal mengambil-alih teraju kepimpinan Umno negeri maka eloklah ditukar slogan atau cogankata kerajaan negeri dari yang ada itu kepada UMNO HADHARI TERENGGANU BISTARI barulah sesuai.

ALLAH SELAMATKANLAH TERENGGANU!


1 comment:

Anonymous said...

tuan, apa islam hadhari itu lebih baik dari islam yang diamalkan selama ini?