Friday, July 31, 2015

Jangan cetuskan huru-hara

Dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seorang lagi pemimpin kanan Umno, Shafiee Apdal dari jawatan Menteri baru-baru ini sedikit sebanyak telah menganggu kestabilan politik negara. Begitu juga dengan pemecatan Peguam Negara atas alasan kesihatan.

Bagi orang politik lazimnya apabila ada satu pihak apalagi yang memegang kuasa kelihatan goyang, maka disitulah mereka akan muncul mencuri kesempatan, menangguk di air keruh untuk melancarkan serangan dengan harapan yang goyang memegang kuasa tadi akan rebah, dan pihaknya jika berpeluang akan “merampas kuasa” dan mengaut laba.

Keghairahan nafsu politik seringkali menidakkan kepentingan umum. Apatah lagi jika menganut dan mengamalkan ajaran “matlamat menghalalkan cara”

Memang bagi mana-mana “haiwan politik” membaca bahawa Najib dan Muhyuddin, dua gergasi besar dalam parti memerintah sedang dalam krisis, Umno berpecah, skandal 1MDB tiada nampak penyelesaiannya, matawang negara jatuh, kos hidup rakyat melambung tinggi, inilah peluang dan ketika “melancarkan serangan”.

Sesungguhnya mengambil posisi menyerang dalam skop berpolitik yang sihat, tidaklah salah. Inilah masa untuk kita mendedahkan kelemahan dan kegagalan BN dan Umno. Tetapi ia tidak wajar dilanjutkan dengan menggegar kestabilan negara bagaikan melancar satu revolusi, negara kita negara demokratik dan rakyat diberi mandat hanya ketika tempuh pilihanraya sekurang-kurangnya 5 tahun sekali. Jangan anutan demokrasi kita rencatkan dengan amalan agitasi yang boleh memporak-perandakan negara dan tidak membawa keuntungan jangka panjang.

PAS telah melalui pengalaman pahit bilamana kerajaan menggunakan darurat sebagai penyelesaian kepada kemelut politik. Ia pernah berlaku sekali ekoran Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan sekali lagi yang khusus terkena atas PAS iaitu di Kelantan pada tahun  1977.

Kerana itu dalam meredah kemelut yang kita hadapi ini Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bijak apabila mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

“Apa yang paling penting adalah kepercayaan rakyat kepada kita (PAS) yang kita mahu supaya rakyat membuat satu perubahan politik yang sihat. Peringatan saya, saya tidak mahu negara ini huru-hara. Jangan korbankan rakyat walau apa pun yang berlaku. Ini pesanan saya.”

Dalam suasana yang kelam ini rakyat perlukan keyakinan dalam bentuk kenyataan seumpama ini.

Kita tidak redha dengan nestapa yang menimpa rakyat. Kita PAS mahukan perubahan dan jika perlu peralihan kuasa yang sihat agar rakyat dan negara dapat diselamatkan dari bencana yang sedang melanda.

Namun kita bukan Thailand, apa lagi negara lain sehingga berlanjutan huru-hara yang membangkitkan kemusanahan harta-benda dan nyawa, akibatnya yang rugi adalah rakyat.
PAS tidak mahu gerakan politik dan suara rakyat dipadamkan melalui tindakan tindak-balas agresif “singa” yang sedang cedera. Jika itu berlaku tiada lagi suara politik sebaliknya nasib rakyat dan negara ditentukan oleh golongan kecil tertentu seperti di Thailand hari ini.

Semoga rakyat Malaysia mengambil kira pesanan Tuan Guru itu.


Thursday, July 30, 2015

Profesionalkah golongan kecewa ini?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2067 Edisi Jumaat muka F4



Muktamar PAS telah hampir dua bulan berlalu. Dari sudut proses pemilihan pucuk pimpinan, tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan satu-satunya muktamar yang telah menyaksikan pertandingan paling sengit dalam sejarah PAS. Kesemua jawatan tertinggi parti kecuali dalam Dewan Ulamak telah dipertandingkan.

Dan  keputusan mukatamadnya telah pun diketahui umum. PAS hari ini bergerak dengan satu saf kepimpinan yang baru yang telah diberikan mandat oleh para perwakilan parti mewakli 1 juta keahlian PAS seluruh negara. Saf baru ini pula akan dipantau oleh ahli-ahli PAS dan mereka juga nanti akan melalui proses pemilihan baru, dimana rekod kepimpinan mereka akan dinilai dan dipilih berdasarkan prestasi masing-masing dalam memikul amanah yang diberikan.

Walaupun hari ini keputusan berkenaan serta impaknya ke atas PAS dan hubungan PAS dengan PKR dan DAP terus diperkatakan namun yang pentingnya proses demokratik di dalam PAS khasnya yang melibatkan pucuk pimpinannya tidak pernah dipertikaikan.

Tiada laporan atau protes dari para perwakilan dibuat berhubung proses pemilihan ini. Tiada juga yang ke Pendaftar Pertubuhan untuk membuat bantahan atau ke mahkamah bagi menuntut semakkan semula.

Rata-rata PAS yang berusia lebih 60 tahun ini telah berjaya membuktikan kepada semua bahawa ia berkeupayaan dan mampu melaksanakan proses pemilihan yang paling telus dan demokratik berbanding mana-mana parti politik kawan atau lawan yang lain. 

Semua calon-calon telah dibenarkan berkempen. Ada yang enggan berkempen dan ada yang akitf dan malah ada diantara mereka yang terang-terangan menggunakan majlis-majlis parti terutama majlis perasmian mesyuarat agung tahunan parti peringkat kawasan-kawasan untuk secara terbuka menyatakan sokongan dan penolakkan terhadap satu-satu calon.

Ada diantara mesyuarat agung tahunan kawasan-kawasan yang sengaja diprogramkan awal berbanding kawasan-kawasan lain dengan matlamat mahu mempengaruhi kawasan-kawasan yang belum bermesyuarat.

Media alternatif dan media sosial khasnya telah digunakan semaksima mungkin dalam tempoh berkempen ini.

Ringkasnya peluang seluas-luasnya telah diberikan kepada semua pihak untuk mempromosi diri dan calon masing-masing.

Masih jumud dan kebelakangkah PAS?

Dan malah yang paling ketara sekali adalah apabila parti-parti lain turut camputangan mempromosi calon-calon tertentu dan meminta tolak calon-callon tertentu, sesuatu yang tidak pernah berlaku tetapi dalam muktamar kali ini ia berlaku dan dapat dilihat semua. Kiranya kerja-kerja ini dilakukan oleh parti lawan, ia sesuatu yang normal kerana memang kerja mereka melaga-laga dan mengadu-domba sesama PAS demi kepentingan politik mereka, malangnya kali ini bukan parti lawan tetapi parti kawan yang turut mengambil kesempatan.

Saya mengemukakan perkara ini kerana hari ini kita lihat walaupun rumah telah siap berdiri megah dan gagah namun pahat masih lantang berbunyi. Sepatutnya sudah dua bulan muktamar berlalu, bagaikan badai berlalu, kiambang pasti bertaut kembali, malangnya tidak.

Di sinilah sikap tidak profesional terserlah dikalangan mereka yang sepatutnya profesional dan rasional. 

Demokrasi dalam erti kata, proses pemilihan yang paling telus dan terbuka telah masing-masing tuntut dari parti dan berdasarkan apa yang disebutkan di atas ternyata telah sama-sama perolehi. Padangnya sama luas dan sama rata, kebijaksanaan dan kepintaran seni berkempen masing-masing telah dipacu sekuat-kuatnya, tetapi apabila tewas, kelompok yang berkenaan telah bangkit membikin onar dan hari ni ghairah rakus mahu membina parti baru, membinasakan apa sahaja hubungan yang ada dengan PAS,

Dimanakah tercicirnya profesionalisma yang kita dewa-dewaka itu.

Calon dan pimpinan lain pun pernah tewas. Almarhum Prof Zulkifli Mohamad, pernah tewas menentang Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy bagi jawatan Yang Dipertua Agung PAS (kini Presiden) satu ketika dahulu. Tetapi mereka terbit sebagai kombinasi pimpinan PAS yang kental menjuarai perjuangan Islam dwaktu mereka.

Begitu juga Almarhum Ustaz Dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Hasan Shukri dan malahan Timbalan Presiden PAS hari in Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda dan Muslimat Pusat masing-masing pernah tewas dalam pertandingan parti dipelabagi peringkat. Tidak pula mereka membakar jambatan dan melompat membikin oraganisasi atau parti baru. 

Mereka terus cairkan diri dalam Jemaah dan berkhidmat dalam ruang dan kapasiti yang ada, dan terus menawarkan diri apabila diberi peluang, itulah sikap profesional yang sebenar.

Tetapi golongan yang mendakwa diri mereka profesional, baru pertama kali kecundang bertanding jawatan dalam satu jemaah sanggup dan tergamak mengoyak dan menyiat apa yang ada demi mengejar agenda peribadi masing-masing.

Saya yakin PAS tidak terkesan dengan sikap dan perangai mereka yang kecewa dan berfikiran singkat ini. Kalau ada pun orang PAS yang berang, ianya kerana golongan kecewa ini telah menyeret bersama mereka kerusi-kerusi DUN dan Parlimen yang mereka menangi atas tiket PAS.

Jika benar mereka punya akauntabiliti dan pertanggungjawaban punya nilai moral yang tinggi dan terpelihara, sebagaimana mereka pernah serang dan belasah Datuk Ibrahim Ali “juara lompat” politik Malaysia, mereka juga sepatutnya mengosongkan kerusi masing-masing. Biar lega dan nyenyak tidur orang PAS apabila mereka angkat kaki pergi.

PAS dan ahli-ahlinya yang istiqamah akan terus melayari bahtera perjuangan Islam ini kerana ianya lebih utama dan penting dari kepentingan peribadi mana-mana kelompok atau individu.

Tuesday, July 28, 2015

Najib pecat TPM tapi TPM baru awas

Mula-mula dulu Musa Hitam menjadi mangsa Dr Mahathir. Berjalan berganding tangan bersama. Kerajaan 2M. Tiba-tiba Musa dipecat dan tergolek begitu sahaja. Ini diikuti dengan Ghafar Baba, dilantik mengisi kekosongan Musa. Akhirnya Cikgu Ghafar keluar begitu sahaja setelah tersingkir. 

Timbalan PM seterusnya adalah Anwar Ibrahim. Turut menerima nasib yang sama seperti Musa dan Ghafar. Lebih parah lagi Anwar dijatuhkan melalui satu konspirasi yang sangat memualkan.

Ramai menyangkakan perangai pecat Timbalan ini cuma ada pada Mahathir. Beliau memang keras hati, dan tiada pemaaf khasnya apabila mejawat jawatan nombor satu Umno dahulu.
Tiba-tiba hari ini kita dengar PM Najib pula pecat Timbalannya. Muhyuddin menjadi TPM Umno keempat yang dipecat dari jawatan selepas Musa, Ghafar dan Anwar.

Dalam kekalutan Najib berlawan dengan Mahathir yang bertalu-talu menyerang kepimpinannya rupanya Najib turut mengamalkan apa yangMahathir pernah amalkan – pecat TPM.

Tapi rekodnya tetap dipegang Mahathir kerana beliau sempat pecat 3 TPM.

Kes pemecatan Muhyuddin ini pasti melakar dan memberi impak pada lanskap Malaysia seterusnya selepas ini. Isu kontroversi 1MDB tidak selesai disiasat yang kecundang gugur TPM.

Dalam hal ini ada sahabat yang beritahu sekurang-kurangnya Presiden PAS tidak mengambil pendekatan sedemikian terhadap Timbalannya. Umum tahu sebelum Muktamar ke 61 lalu Timbalan Presiden PAS ketika itu Muhammad Sabu memang dingin terhasdap Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Tuan Guru sedar perkara ini tetapi tetap meraikan Timbalannya.

Apa pun pendekatan yang diambil adalah untuk menyerah pada para perwakilan Muktamar PAS. Dan benar, akhirnya Muktamar yang menurunkan Muhammad, tidak melalui pemecatan.

Najib kelihatan gopoh dan gelabah dalam hal ini.

Di sinilah terserlah bijaknya dan matangnya bacaan politik Tuan Guru Presiden PAS. Biarkan Najib kekal sebagai PM, bukannya maksud mempertahankan Najib sebagaimana mainan mereka yang memang tidak senang dengan apa sahaja tindakan Tuan Guru. Maksudnya jika Najib kekal sehingga ke penghujung penggal dan memimpin BN dalam PRU seterusnya, ketika itu kebencian dan kemarahan rakyat sudah sampai ke tahap maksima.

Kalau PRU 1999 dahulu Kelantan dan Terengganu jatuh terlepas dari tangan Umno BN, kerana rakyat khasnya pengundi Melayu Islam terlalu benci pada Dr Mahathir, tidak mustahil jika Najib terus kekal PRU berikutnya nanti Kelantan, Terengganu dan yang lain-lain pasti goyang, tak termasuk “kuasa sakti” DAP yang memegang undi Cina satu Malaysia.

Tahniah Zahid, jaga-jaga jangan sejarah Dr Mahathir nanti tertimpa ke atas anda pula.