Sunday, March 03, 2013

Ya Allah selamatkanlah saudara kami di Sabah (3/3/13)


Berita buruk terus kita terima dari Sabah. Sedang insiden di Kg Tanduo, Lahad Datu belum reda kini kita dimaklumkan pula tentang ketegangan di Kg Simunul, Semporna kira-kira 150km dari Lahad Datu. Ketua Polis Negara mengesahkan seramai 5 anggota polis telah terkorban dalam kejadian tembak-menembak malam tadi.
Adalah difahamkam salah seorang anggota polis yang terbunuh dalam kejadian di Semporna itu merupakan seorang pegawai kanan polis.

Apa dah jadi? Ternyata insiden melibatkan puak Sulu ini semaikn merebak.
Sabah dari segi geografinya memiliki keluasan pantai yang luas. Bersempadan dengan Brunie, Filipina dan Kalimantan Indonesia Sabah memiliki keluasan sempadan laut seluas 454360km persegi. Satu angka yang sangat luas dan yang membimbangkan adalah ia terdedah dengan wilayah konflik di Selatan Filipina dengan pulau Filipina yang terdekat sekadar beberapa minit sahaja perjalanan melalui bot.

Kebanjiran masuk pelarian Filipina ke Sabah masuk berdekad-dekad lamanya sejak tercetus konflik antara Tentera Filipina dan pejuang Moro dari Mindanao. Dan kini kita terdedah pula dengan para pejuang Sulu yang mahu menuntut bumi Sabah sebagai wilayah mereka.Sesungguhnya tuntutan ini sudah lama tetapi insiden di Kg Tanduo Lahad Datu membukitkan puak Sulu sanggup menggunakan senjata membuat tuntutan, satu tindakan melampau yang tidak boleh diterima dan dilayan oleh Negara kita yang berdaulat.
Sudahlah kita menerima mereka atas dasar peri kemanusiaan apabila mereka diserang oleh Tentera Filipina satu ketika dahulu, kini mereka khasnya puak Suluk mengambil kesempatan menikam kita dari belakang.

Sudah tiba masanya keutamaan pertahanan dan keselamatan di bumi Sabah disemak semula. Kekuatan tentera dan polis khasnya diperairan Sabah perlu dipertingkatkan jika perlu lebih berganda-ganda dari yang sedia ada. Jangan ada satu inci bumi Sabah mudah dijijak begitu sahaja secara haram tanpa dikawal dan dikesan pihak berkuasa kita.
Kalau perlu kita alihkan kekuatan dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang tiada konflik, kita alihkan segera ke Sabah. Jika perlu kita wjudkan kekuatan baru, kita wujudkan demi kedaulatan bumi Malaysia kita dan keselamatan saudara kita penduduk di Sabah.

Kerahkanlah kekuatan tentera dan polis di Semenanjung dan Sarawak segera ke Sabah, kita tidak rela melihat nyawa rakyat kita terkorban. Dalam satu dua minggu ini sahaja sudah 7 anggota keselamatan rakyat Malaysia terkorban angkara ganas puak Suluk, jangan biarkan darah warga kita tertumpah lagi.
Insiden sudah ditahap serius, tangani segera, hilangkan kebimbangan rakyat, kembalikan keyakinan dan kemanan. Ya Allah selamatkan saudara-saudara kami di Sabah, selamatkan bumi Malaysia.

No comments: