Wednesday, March 27, 2013

Tetap kagum dengan mereka seumpama Kit Siang (27/3/13)


Selepas membuat posting “Kagum dengan Kit Siang” yang mana saya mengulas keberanian Kit Siang bertanding di Gelang Patah dalam PRU ke 13 ini satu kawasan baru yang majoriti pengundi Cina nya di bawah 55%, saya tertarik satu artikel dalam Utusan Malaysia online yang mengulas isu yang lebih kurang sama.
Penulis Hassan Mohd Nor menulis: “Kit Siang kerana namanya, jawatan atau roket….” http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130325/re_03/Kit-Siangkerana-namanya-jawatan-atau-roket Menghuraikan panjang lebar perjalanan politik Kit Siang dari 1969, tidak pula mengkritiknya, saya rasa lebih kurang saya juga tampak macam kagum pada pencapaian Kit Siang.

Yang menariknya beliau menulis:
Situasi dalam pakatan pembangkang ini seolah-olah menunjukkan siapa juga calon di pihak sebelah sana sama ada DAP, Pas atau PKR, peluang mereka untuk menang ada walaupun berasal dari negeri lain.

Memang tepat, malah sebelum Kit Siang menyertai DAP dan bertanding dalam PRU 1969 lagi pimpinan PAS dan malah bekas Presiden Umno, Dato Onn Jaafar pun pernah begitu.
Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi (anak Perak), Presiden PAS ketika itu bertanding dan menang di parlimen Besut, Terengganu pada PRU pertama 1959, begitu juga Khatijah Sidek (dari Johor) parlimen Dungun, Prof Zulkifli Mohammad (Perak) menang di parlimen Bachok, Kelantan, Tuan Hj Ahmad Abdullah Perai (Pulau Pinang) di parlimen Kota Bharu Hilir (Kelantan). Dao Onn sendiri menang di parlimen Kuala Terengganu.

Realitinya bagi calon-calon bukan BN seakan tidak ada masalah bagi rakyat menerima mereka walaupun bertanding di negeri bukan kelahiran mereka.
Malangnya bagi BN khasnya Umno, perkara seumpama ini sering mencetuskan masalah. Penulis berkenaan sendiri akui:

Keadaan seperti ini jarang berlaku dalam parti komponen BN. Kenapa jika di pihak BN, apabila orang luar atau calon payung terjun diturunkan, macam-macam reaksi diberi, lebih-lebih lagi mereka yang ada di dalam parti. Begitu cepat, mereka terasa dipinggirkan apabila pucuk pimpinan tidak menamakan pemimpin utama dalam bahagian. Apabila mereka sendiri menolak calon yang dinamakan pemimpin, maka apa lagi pengundi-pengundi yang berada di atas pagar dan penyokong-penyokong tegar.
Kerana itulah hujah saya bahawa hanya pemimpin yang seumpama Kit Siang, mampu membuktikan yang mereka adalah pemimpin nasional. Tidak berselindung di sebalik kekuatan parti semata-mata, tetapi pada kewibawaan dan ketokohan peribadi yang secara langsung meneguhkan kedudukan parti di satu-satu tempat.

 

 

No comments: