Diketika parti-parti politik sibuk dengan pelancaran
manifesto masing-masing, dan rakyat tidak sabar-sabar menghadapi Pilihanraya
Umum ke 13, dalam dunia demokrasi sebenarnya inilah masanya kumpulan pendesak
khasnya NGO membuat tuntutan melalui parti-parti politik siapakah yang sanggup
dan berani menjuarai isu dan perjuangan mereka.
Dalam PRU-PRU yang lalu yang sering terkehadapan dalam
desakan seumpama ini adalah MTUC dan beberapa NGO pengguna.
Mereka akan mengemukakan tuntutan yang diselitkan bersamanya
ikrar untuk menyokong mana-mana parti kiranya menerima dan mengangkat tuntutan
mereka itu. Ini sebahagian dari amalan demokrasi.
Lantas saya merasakan inilah juga masanya bagi badan-badan
NGO Islam, Jawatankuasa-jawatankuasa masjid dan surau-surau, PIBG
sekolah-sekolah khasnya sekolah agama dan pondok, bangkit mendengarkan suara
mereka. Yang akan bertanding PRU ke 13 nanti jika menang dan membentuk majoriti
akan menjadi kerajaan. Inilah masanya untuk mengikat mereka agar membawa agenda
dan perjuangan Islam setakat mana yang dalam kemampuan.
Saya tahu NGO Kristian khasnya begitu aktif menyokong dan
membantu calon-calon tertentu yang sudah pastinya mensyaratkan agar calon
berkenaan membantu mereka jika diberikan mandate oleh rakyat.
Ini suatu amalan yang dibenarkan, oleh itu mengapa kita
tidak mengambil kesempatan. Jangan sekadar berpeluk tubuh dan serah pada
takdir.
Sati isu masyarakat yang sering menghantui kita adalah isu
rumah urut selain perniagaan arak dan judi. Benar bukan itu sahaja yang
diperjuang Islam tetapi bagi saya inilah antara maksiat yang dapat dibendung
kerana kuasanya terletak pada PBT dan negeri. Dan siapalah lagi yang sepatutnya
peka dan kehadapan dalam isu seumpama ini jika tidak kita masyarakat Islam.
Sewajarnya inilah masanya kita mengemukakan tuntutan bahawa sokongan
akan diberikan kepada mana-mana parti atau calon yang sanggup memperjuangkan agenda
ini jika diberi mandat. Ini lebih-lebih lagi bagi kawasan-kawasan yang majoriti
pengundinya terdiri dari orang Islam.
Calon-calon parlimen atau DUN mesti berikrar jika menang akan
memastikan antara perkara pertama yang akan mereka lakukan adalah mengemukakan
tuntutan kepada PBT dalam kawasan mereka agar (contohnya):
1. mengharamkan rumah urut di kawasan majoriti Islam kecuali
yang berkaitan dengan kesihatan contohnya rawatan selepas bersalin dan
seumpamanya, selain itu dikawasan yang lain orang Islam diharamkan
mengunjunginya dan diharamkan rumah-rumah urut ini mengambil pekerja Islam
2. arak atau sebarang minuman beralkohol diharamkan dijual
dikedai-kedai, pasaraya, stesyen minyak, hotel di kawasan majoriti Islam. Jika
pusat hiburan di kawasan lain (bukan Islam) mahu menjualnya bagi orang Islam
diharamkan mengunjungi premis ini dan diharamkan mengambil pekerja Islam3. PBT hanya memberikan lesen premis judi di kawasan padat bukan Islam, tidak lagi dibenarkan dibuka dikawasan majoriti Islam
Mungkin ada tuntutan lain tetapi bagi saya masyarakat Islam
perlu bangkit membuat desakan secara demopkratik dalam hal ini. Jangan lagi
seperti yang lepas-lepas kita menyalahkan kerajaan ini dan kerajaan itu, parti
ini dan parti itu. Kita rakyat punya kuasa dan kita yang mewakili kelompok
dalam masyarakat punya hak bersuara dan membuat tuntutan.
Bangkitlah saudara-saudara Nazir-nazir masjid, setiausaha masjid
dan surau, Pengerusi PIBG, Yang Dipertua NGO Islam, ahli-ahli kariah, bangkit
dan kemukakan tuntutan ini pada calon-calon yang bakal bertanding nanti.
Sekurang-kurangnya kita telah bekerja, jangan nanti kita melopong lepas PRU
apabila isu-isu ini terus bermaharajalela.
No comments:
Post a Comment