Hari ini Jumaat 16 Syakban 1433, dan kita menuju laju kea
rah Ramadhan yang dijangka menyapa kita dengan izin Allah dalam dua minggu
lagi. Kelebihan Ramadhan sebagaimana Hadis Rasulullah saw daripada Abu Hurairah
r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam
Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun
sebelum mereka."
1. Bau busuk mulut
orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut
akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah
s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya
hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan
datang kepadamu."
4. Dirantaikan
syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat
berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan
lain.
5. Mereka akan
diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.
Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda
menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya
apabila telah selesai kerjanya."
(Riwayat Imam Ahmad)
Dalam kesempatan ini fikiran saya terpaku kepada dua insan
yang telah dengan izin Allah membawa saya berpijak di bumi ini iaitu sudah
pasti kedua ayah dan ibu. Bayangkan bagaimana mereka membesarkan saya dahulu,
mengharungi Ramadhan dan terus menerus mendoakan saya berpanjangan sehinggalah
ke hari ini.
Semoga mereka berdua terus berada dalam lindungan Allah swt,
sihat dan sejahtera dan diberi kekuatan menempuh bulan yang mulia ini. Semoga
Allah jua menjauhkan saya dari tergelincir menjadi anak yang durhaka, menyakiti
hati dan perasaan mereka, melukai mereka.
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah
menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi
perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari
mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu
bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu
pula bila termasuk jenis mandub (sunat).
Mudah-mudahan saya tidak jemu-jemu berbakti buat mereka dan
tidak jemu-jemu mendoakan mereka sebagaimana firman Allah swt:
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana
belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka
telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al Isra 24)
Memang realitinya kadangkala sukar kita mahu membahagiakan mereka,
lantaran kehidupan kita sendiri. Kadangkala rasa kesempitan masa, wang dan
seumpamanya, sehingga kita mudah terlupa bahawa redho mereka itu p[enting buat
kehidupan kita.
Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari
Ibn Abbas r.a. berkata: "Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa
lalu pagi-pagi ia taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan
untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. redha padanya jika
salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya sehingga mendapat redha dari
keduanya. Ditanya: Meskipun orang tua itu zalim? Jawabnya: Meskipun zalim. Dan
didalam hadis marfu' ada tambahan: Dan tiada pagi-pagi ia durhaka (menyakiti
hati) orang tuanya melainkan Allah s.w.t. membukakan baginya dua pintu neraka
dan jika hanya satu maka satu."
Berusahalah agar kita menjadi anak yang senang dan sentiasa
mampu berbakti kepada mereka.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Ali
dari ayahnya dari neneknya berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Andaikan
ada khalimah yang lebih ringan dari kata UF (cih) untuk dijadikan dasar
serendah-rendahnya durhaka pada orang tua nescaya akan dilarang oleh Allah
s.w.t. untuk mengatakannya, kerana itu seorang yang durhaka pada orang tuanya
boleh berbuat apa yang diperbuat maka ia tidak akan masuk syurga, sebaliknya
seorang yang bakti pada orang tuanya boleh berbuat apa saja maka tidak akan
masuk neraka."
No comments:
Post a Comment