Wednesday, March 11, 2009

Jangan abaikan warga pesara

Pakej ransangan tambahan bernilai RM60 bilion telah pun dibentangkan di Dewan Rakyat semalam oleh Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri. Maka seperti biasa banyaklah yang menyokong selain yang memberi kritikkan dan pandangan alternatif terhadap pembentangan tersebut.

Suntikkan itu dianggap akan dapat memulih dan melindungi ekonomi Negara dari terus menjadi mangsa pada kemelesetan ekonomi yang sedang menyerang dunia.

Sudah pastilah jumlah yang diperuntukkan itu besar angkanya, malah ia merupakan sembilan peratus dari keluaran dalam Negara kasar (KDNK). Saya sempat berjumpa dengan seorang ahli parlimen PAS pagi tadi yang menyatakan kebimbangannya terhadap dari sumber manakah wang sebesar itu akan dikerok dan dicedok dari?

Apapun itulah usaha dan perancangan Menteri Kewangan kita dan kerajaan BN. Sejauh manakah ianya efektif dan mampu membantu Negara dari kesan kegawatan dunia itu, sama-samalah kita nantikan.

Dalam pada itu saya merasakan pakej ini telah seolah melupakan warga pesara dan mereka yang telah tidak lagi bekerja atas faktor usia. Warga pesara kerajaan dalam Negara sahaja mencecah angka 77 ke 78,000 orang, tidak termasuk mereka yang dari sektor swasta.

Apakah yang disediakan oleh kerajaan buat mereka dalam mengharungi gelora kegawatan ekonomi dunia ini? Payung dan perisai disediakan bagi para peniaga, mereka yang bekerja, mereka yang terlibat dalam pelbagai industri, warga asing dan lain-lain, tetapi bagaimana dengan warga yang saya maksudkan ini?

Perhatian serisu seharusnya turut diberikan terhadap mereka. Diharapkan ahli-ahli parlimen kita akan membangkitkan isu ini, semoga mereka yang telah bersara atau tiada lagi bekerja ini lantaran faktor usia akan turut terbela dan diberi perhatian.

1 comment:

Anonymous said...

KALAU X SILAP FUND NI AKAN DIAMBIL DARI TERBITAN BOND OLEH KERAJAAN..ADA TERBACA KERAJAAN TERBITKAN BOND UNTUK PESARA SAHAJA.