Besarnya jiwa mereka yang bersabar
Pada usia 40an tahun ini sudah pastilah banyak pengalaman yang diharung sepanjang bertatih dan berjalan, jatuh bangun dalam hamparan dunia yang serba mencabar dan berliku-liku ini. Pengalaman pahit, pengalaman manis, pengalaman yang berguna, pengalaman yang menyayat hati, semuanya ditempuh, kadangkala suka ataupun tidak kerana dunia ini bukan kita yang bikin tetapi dicipta, diatur dan ditentukan oleh Allah swt jua.
Pepatah Melayu yang popular bagi mereka yang bersedia terjun ke kancah perjuangan adalah “Kalau takut dilambung jangan berumah di tepi pantai”, memang sejak mengambil keputusan masuk ke medan ini lebih dua dekad lalu saya sentiasa menyediakan diri untuk menanggung risiko dan kesusahan kerana yakin dan percaya pada prinsip dan dasar pejuangan yang saya galas. Namun oleh kerana kita ini bukan malaikat tetapi manusia yang serba lemah dan kurang, maka kadangkala walaupun kita cuba bergarang mengagahkan diri ada juga ketika kita jatuh terperosok, sejuk ketakutan, gusar, kecewa dan berhiba keseorangan.
Tambah apabila yang kita rancang tidak menjadi, apabila yang kita harap menghampakan, apabila yang kita percaya mengecewakan, apabila yang kita sayang tergamak meninggalkan kita.
Ketika suasana demikian kita merasakan seolah kita keseorangan. Kita mungkin boleh marah, tenggelam dalam kedukacitaan yang sangat-sangat. Kalau hilang punca maka berakhirlah perjuangan ini. Tiada lagi sandaran pada kebenaran yang merupakan titik tolak perjuangan ini.
Kerana itu walaupun sukar dan susah dalam suasana sedemikian kita diajar BERSABAR. Saya teringat semasa di kampus dahulu seorang “senior” saya pernah menasihatkan saya di waktu minggu orientasi: “Kalau anda tidak suka melihat apa yang dilakukan orang terhadap anda hari ini nanti apabila tiba giliran anda jangan ulangi perkara yang sama”. SABAR memang suatu perkataan yang besar, ia adalah senjata dan ubat yang dicipta Allah untuk merawat mereka yang duka dan hiba, menempuh cabaran dan kesusahan dalam perjuangan.
Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah : 153:
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
Walaupun sukar kita perlu sentiasa berlapang dada, berjiwa besar, kalau berhadapan dengan suasana sukar angkara bikinan lawan lebih-lebih lagi kawan, kita disyorkan berkebajikan dengan memaafkan, walaupun mungkin yang mencederakan kita tidak sedar yang tindakan mereka itu tidak berasas dan tidak bersandarkan fakta. Bayangkan ganjaran syurga menunggu kita, subbhanallah.
Allah swt berfiman dalam surah Ali Imran ayat 133-134
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Maaf, saya sengaja melontarkan cetusan hati dalam posting kali ini sebab bagi saya ia suatu terapi, luahan seperti ini membuka sedikit keringanan dan terubatlah jua hati yang duka namun insyallah tidak akan mati melainkan dipanggil Allah swt. Mudah-mudahan ia juga terapi bagi mereka yang dalam situasi yang sama.
Apa lagi yang kita tuntut dalam perjuangan ini selain redha Allah swt. Mudah-mudahan kita semua beroleh kurniaan Nya, dipermudahkan hidup kita dan sejahtera kita apabila berjumpa dengan Nya kelak di dunia yang kekal abadi. Berkejar-kejarlah kita untuk mendapatkan tawaran Nya iaitu sebaik-baik pembalasan yang tidak mampu dikecapi dan dicapai di atas dunia yang sementara ini.
Benarlah firman Allah swt:
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (Iaitu) mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.
(Al ankaabut: 58-59)
Terus berjuang atas landasan yang benar ini, insyallah.
No comments:
Post a Comment