Friday, November 30, 2007

HINDRAF: Mengapa Pemuda Umno mahukan pendirian PAS?

Saya menontonnya di Buletin Utama TV3 semalam, dimana jelas Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien seakan mencabar, PAS supaya menyatakan pendirian mereka sama ada bersetuju ataupun tidak dengan kandungan memorandum HINDRAF (Hindu Rights Action Force) kepada PM Britain baru-baru ini.

Lima akhbar tempatan utama yang saya baca, NST, BH, Utusan, The Star dan The Sun menyebut berkenaan desakkan Hishamuddin itu tetapi tidak menyebut PAS kerana menganggap tekanan Hishamuddin itu menjurus kepada semua parti-parti pembangkang walaupun menyebut PAS secara spesifik. Cuma akhabr baru, Sinar Harian sahaja melaporkan dengan tajuk:

Tuduhan Hindraf: PAS perlu nyatakan pendirian

Saya sempat membaca surat yang dimaksudkan dan memang terdapat beberapa tuntuan dan kenyataan yang agak radikal dan mungkin juga mengeruhkan hubungan antara kaum. Tetapi soalnya mengapa tiba-tiba Hishamuddin mahu PAS menyatakan pendirian dalam hal ini?
Adakah jika PAS senada dengan Umno maka ia nanti boleh dijadikan alasan dan modal bahawa orang-orang Melayu dan masyarakat Islam menolak tuntutan Hindraf? Ataupun Pemuda Umno bermaksud mahu membakar semangat Pemuda PAS agar bersama mereka bertindak balas terhadap Hindraf?

Setahu saya kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS setakat ini adalah dari Timbalan Presiden dan Setiausaha Agungnya, iaitu mempertahankan hak Hindraf berhimpun baru-baru ini dan turut mengakui bahawa antara PAS dan Hindraf terdapat banyak perbezaan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Jadi mengapa Umno mahukan sangat pendirian PAS?

Bagi saya yang layak menjawab cabaran atau celoteh Hishamuddin ini adalah Dewan Pemuda PAS, kerana sama-sama tahap Pemuda . Dan sebaik mungkin kalau mahu membuat pendirian Umno sepatutnya ajak Pemuda PAS berbincang dan mengkaji tuntutan Hindraf itu secara terperinci, rasional dan tidak perlu nak cabar-cabar. Sebagai warganegara Malaysia hak bersuara semua rakyat dijamin oleh Perlembagaan Negara. Bukankah lebih matang dan rasional kalau benar Pemuda Umno prihatin, ajak Pemuda PAS berbincang, teliti satu persatu tuntutan itu dan lebih masuk akal lagi jika diundang pula wakil Hindraf untuk berhujah.

Macam tu barulah tahap berfikir kelas pertama, bukannya menghasut dan membakar puak lain untuk turut sama menari mengikut rentak dangdut mereka.

Saya melihat PAS bukannya tidak mahu menyatakan pendirian tetapi PAS lebih mementingkan perpaduan kaum dan keadilan masyarakat dalam menangani isu ini. Ternyata PAS lebih matang dan bijak berpolitik, tidak emosional dan melulu sebagaimana Umno. Kalau benar Umno jujur, sepatutnya nyatakan terlebih dahulu pendirian Umno tentang kandungan memorandum BERSIH yang diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong baru-baru ini. Itu baru betul-betul tuntutan rakyat jelata, adakah Umno menolak kesemuanya?

Matanglah sedikit berpolitik wahai Hisham, bukankah negara mahu melahrikan rakyat mida kelas pertama!

Jangan anggap penyalahgunaan dadah sebagai penyakit

Setelah berpulu-puluh tahun berperang melawan penyalahgunaan dadah, kita kelihatan seolah kusut dan semakin keliru.

Semalam di Dewan Rakyat Timbalan Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang membuka tempat khusus untuk penagih menyuntik dadah atau “Shooting gallery” sebagaimana di London, Amsterdam, Vancouver dan Sydney. Sebelum ini kerajaan telah pun memperkenalkan program penukaran jarum yang mendaftarkan lebih 2,224 penagih disamping mengedarkan kondom percuma kepada mereka.

Saya tidak tahu dengan yang lain tetapi bagi saya sukar untuk menganggap penyalahgunaan dadah ini sebagai satu penyakit. Kalau kencing manis, barah atau darah tinggi, itu penyakit tetapi penyalahgunaan dadah, istilahnya sendiri menunjukkan yang ia sesuatu yang sengaja disalahguna, lalu sukar untuk saya menerima ia sebagai satu penyakit.

Bagi saya penyalahgunaan dadah ini sebagai satu masalah sosial yang perlu dibendung dan diatasi, dan tidak dilonggokkan sebagai satu penyakit, sebagaiamana di Barat, lalu diberi pula bantuan seolah berbentuk galakkan.

Memang mereka ini perlu dibantu tambahan sebahagian besar adalah dari kalangan anak-anak bangsa, tetapi bantuan mestilah ke arah membuang terus ketagihan mereka itu atau jika tidak berjaya diasingkan terus mereka dari masyarakat. Saya akui tugas untuk membuang ketagihan itu adalah sukar, sedangkan tabiat merokok pun sukar dibuang inikan pula ketagihan dadah. Tetapi kesukaran itulah yang perlu diusahakan kerana ianya jika terus kekal akan mencetuskan masalah sosial yang lebih kronik dan berbahaya.

Apabila mereka ini jatuh dalam kategori penagih, maka kebergantungan mereka kepada dadah itu menjadi satu tuntutan harian. Tanpa dadah mereka akan gelisah, dan mungkin juga menjadi ganas dan liar. Jika mereka ini mempunyai ibu-bapa dan keluarga, maka ibu-bapa dan keluargalah akan menjadi mangsa untuk membiayai ketagihan mereka itu. Jika mereka ini berumah tangga maka isteri dan keluargalah menjadi mangsa. Putus sahaja sumber untuk menampung keperluan ketagihan mereka maka mereka akan terdorong untuk mencari jalan pintas. Mencuri dan kadangkala bertindak ganas sehingga membunuh untuk mendapatkan wang.

Suasana ini mencetuskan keruntuhan keluarga, institusi keluarga tercemar dan tercalar, malah masyarakat luar terancam oleh ketagihan mereka. Selain itu kehadiran mereka di tempat-tempat awam, memungkinkan pula anak-anak muda untuk terpengaruh dan mengikuti amalan jijik mereka. Selain kita terancam dengan kehadiran mereka, anak-anak kita juga tidak bebas dari ancaman mereka.

Ini bukan penyakit tetapi ini masalah besar yang tidak sepatutnya diiktiraf sebagai penyakit.
Kalau ia mampu memecahbelahkan keluarga, mengancam keselamatan ibu-bapa dan isteri serta anak-anak, disamping mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, kerana kemungkinan mereka membunuh, mencuri dan seumpamanya itu tinggi, maka ia bukannya penyakit tetapi jatuh dalam kategori ancaman kepada masyarakat.

Usaha yang lebih serius perlu diambil untuk menangani masalah sosial ini yang ternyata kita semakin gagal dari tahun ke tahun. Kita bermula dulu dengan langkah-langkah drastik, mengenakan hukuman gantung kepada pengedar, memperluaskan pusat-pusat pemulihan dadah, tetapi ia sekadar nampak garang di awalnya, namun kini keberkesanannya boleh dipertikaikan. Sepatutnya kita terus garang tetapi kini kita ambil pendekatan berlembut pula. Berikan jarum, berikan kondom, kenapa kita tidak berikan sahaja dadah secara percuma, dengan itu tidaklah ibu-bapa, isteri serta masyarakat menjadi mangsa ketagihan mereka ini!

Bagi saya yang penting jangan longokkan penagihan dadah ini sebagai satu penyakit. Perkasakan AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan), perkenalkan pendekatan yang lebih drastik dan efektif. Kalau barat mahu memanja dan menimang para penagih mereka, itu masalah mereka, bagi kita biarlah ianya dihapuskan terus dari menular dalam masyarakat dan negara.

Sama-samalah kita fikirkan.

Thursday, November 29, 2007

Tol ada naik ada tidak
Ada yang penting ada tidak buat BN

Sebelum ini semasa berbual dengan kawan-kawan saya pernah membayangkan yang sekiranya kerajaan BN berhasrat memanggil pilihan raya awal, suku pertama 2008, tidak mustahil ia akan menagguhkan sahaja kenaikkan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya utama negara yang dijangka akan naik bermula 2008 ini.

Semalam Menteri Kerjaraya Samy Vellu mengumumkan, bukannya penangguhan tetapi kenaikkan cuma untuk 6 lebuh raya sahaja manakala 4 yang utama tidak naik (sekurang-kurangnya untuk 2008). Kerana hanya 7 yang naik dan 4 tidak naik maka kerajaan terpkasa membayar pampasan RM242 juta kepada 4 pemegang konsesi yang tidak naik itu.
Apabila ditanya Samy adakah ini taktik BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12, Samy menafikan dan berseloruh berkata, jika mahu menang pilihan raya kita beri semua FREE sahaja!
Terbukti memang ini adalah pengumuman pilihan raya. Empat yang tidak naik itu iaitu Prolintas (Ampang-Hulu Klang), PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan), SPRINT (Kerinci – Damansara) dan Jambatan Pulau Pinang, dikatakan mempunyai jumlah trafik yang besar. Jumlah trafik yang besar bersamaan dengan jumlah pengundi besar.
Prolintas contohnya berada dalam lingkungan kawasan Parlimen Umno belaka iaitu Parlimen Gombak, Ampang, Titiwangsa dan Setiawangsa. Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Umno di kawasan itu akan ditimpa malapetaka kiranya tol di Prolintas dinaikkan.
Apa pun terima kasihlah kepada Samy kerana begitu bertimbang rasa, kita harapkan nanti harga runcit minyak petrol juga begitu serta harga barangan dan perkhidmatan yang lain, semuanya digantung sahaja, kerana beban yang sedia ada sudah terlalu berat, jika ditambah lagi BN akan terima padahnya.
Bolehkah begitu?
Bagi 7 yang naik, ianya isyarat bahawa BN tidak perlukan undi tuan-tuan.
Di Johor umpamanya, kedua-dua jambatan menghubungi negeri tersebut dengan Singapura akan mengalami kenaikkan, iaitu Lebuhraya Laluan Kedua (23.1 sehinggga 33.333%) dan di Tambak Johor (10%). Maka kepada semua rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura, dimana sahaja anda mengundi, tolaklah BN kerana undi anda tidak penting. Begitu juga dengan para peniaga dan pedagang yang berurusan dengan Singapura dan menggunakan kedua-dua jambatan berkenaan.
Begitu juga pengundi di Utara khususnya di sekita Kulim dan Seberang Perai ( naik 23.1%) serta di Bukit Kayu Hitam (naik 10%). Ternyata BN begitu berhati-hati dengan undi masyarakat Cina kerana itu Jambatan Pulau Pinang, yang menghubungkan tanah besar semananjung dengan negeri pulau itu (yang majoriti pengundi Cina) tidak diganggu. Bukankah pengundi Melayu ini taat dan setia pada BN, naik tol pun tetap undi dan sayangkan BN, bukankah begitu?
Begitulah juga tidak berharga undi kawan-kawan yang tinggal di sekita Kapar, Kuala Selangor dan sebahagian Shah Alam dan Kelang yang menggunakan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (naik 26 ke 50%). Berterima kasih sahajalah kepada BN kerana membantu hidup anda dengan menaikkan kadar tol hanya di kawasan anda sedangkan kawasan lain dikecualikan!
Kepada yang mahu berterima kasih kepada BN maka berterima kasihlah. Manakala kepada yang terjejas dan tidak dikecualikan, anda sebagaimana kata Samy Vellu terhadap Lebuhraya Seremban-Port Dickson (naik 7.69 ke 14.29%), turun 10sen pun tak apa naik RM10 pun tak apa, sebab tidak penting.

Syabas BN, terbukti tradisi membela rakyat (mana yang penting)!



Apa jadi dengan Suruhanjaya Diraja?

Khamis 15 November lepas, akhbar tempatan menyiarakan kenyataan Nazri Aziz, Menteri di JPM bahawa:

We will be able to give u a decision next week

Bermakna pembentukkan Suruhanjaya Diraja yang akan bertugas menyiasat kandungan video kontroversi peguam VK Lingam, akan diumumkan minggu hadapan. Hari ini 29 November, telah lebih dua minggu berlalu dan semalam kabinet mengadakan mesyuarat mingguannya. Lalu apa jadi dengan Suruhanjaya ini?

Kata Nazri:

Ini kali pertama PM mempengerusikan mesyuarat kabinet sejak kita buat keputusan membentuk Suruhanjaya Diraja. Jadi kita sekali lagi berbincang secara umum dan PM mengambil semua pandangan dan pembentukannya (Suruhanjaya Diraja) akan diumum PM selepas ini

Selepas ini?

Saya tidak pasti, tetapi kelihatan seolah ada usaha untuk melengah-lengahkan pembentukkan suruhanjaya ini yang kini ditunggu-tunggu oleh rakyat. Ianya kritikal kerana sistem kehakiman kita tercabar dengan kandungan video itu yang memaparkan seolah ada manipulasi dalam perlantikkan hakim-hakim kanan dalam negara, serta elemen rasuah dan salah guna kuasa peringkat tertinggi.

Kini pendedahan dan pengakuan dari adik VK Lingam lebih menghangatkan isu ini. Mengapa kabinet masih terkial-kila jika keputusan telah dibuat untuk membentuk suruhanjaya ini?
Bekas PM Britain, Gladstone pernah menyebut bahawa:

Justice delayed is justice denied
Keadilan yang dilengah-lengahkan (seakan) menafikan keadilan itu

Mungkinkah kini Dollah tiba-tiba tersedar akan implikasi terhadap kerajaan beliau sekiranya suruhanjaya ini dibentuk, lalu terpaksa melengah-lengahkan pembentukannya? Ini bukan kali pertama sebuah suruhanjaya seperti ini dibentuk. Terakhir tidak silap saya dalam kes “mata lebam” Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan sebelumnya banyak lagi suruhanjaya yang lain. Sudah pastilah memutuskan bidang kuasanya tidaklah seberat mana memandangkan ianya bukan pembetnukkan kali pertama.

Adakah Dollah menghadapi masalah melantik Pengerusi dan ahli-ahli suruhanjaya itu? Di luar sana banyak nama yang boleh dipertimbangkan, kalau terlebih berani lantik sahaja Tun Saleh Abbas, atau Datuk Shaikh Daud atau Datuk Syed Ahmad Idid. Jika tidak dan mahu selamat maka pilih sahaja dikalangan pensyarah atau pengamal undang-undang seperti Dr Abd Aziz Bari, Prof Shad Faruqi, Param Cumaraswamy, Raja Aziz Addruce, Sulaiman Abdullah. Atau bimbang sangat dengan aktivisma nama-nama itu maka pilihlah yang lebih selamat dikalangan yang pro kerajaan seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Zaid Ibrahim atau Shahril Samad.

Atau kesudahnnya jika Dollah mahu keputusan suruhanjaya itu nanti berpihak sahaja kepadanya maka lantiklah sahaja Eusoffe Chin, Sheikh Ahmad Fairuz, Rahim Nor dan Rashid SPR, selesai kerja!

Wednesday, November 28, 2007

Dollah bergembira dengan PANGKAT C

Sekembalinya dari luar negara semalam, PM Dollah Badawi ditanya oleh pemberita tentang reaksi beliau terhadap kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre, sebuah pusat penyelidikan tempatan yang telah mendapati bahawa Dollah menerima sokongan positif dari rakyat selaku PM. Dollah ternyata gembira (saya tidak pasti adakah beliau sendiri telah melihat hasil kajian itu yang sebahagiannya disiarkan oleh New Sunday Times Ahad lepas) dan berkata:

Alhamdulillah jika itulah yang ditunjukkan kajian berkenaan (sah beliau sendiri belum melihatnya) saya gembira.

Memang benar dari purata 1,024 rakyat Malaysia (dari Semenanjung sahaja) yang dikaji oleh pusat berkenaan, Dollah menerima sokongan positif dan stabil.

Tetapi untuk berlaku adil kita perlu melihat angka-angkanya dan tidak mengambil secara pukul rata. Salah satu penemuan kajian berkenaan menunjukkan yang 58% berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Dollah. 38% tidak berpuas hati manakala 10% tidak tahu atau enggan memberikan respon.
Bagi saya 58% itu kalau disamakan dengan keputusan peperiksaan di sekolah, Dollah cuma memperolehi gred “C”, bukannya baik atau cemerlang. 10% yang tidak tahu atau enggan memberikan respon ternyata boleh dilonggokkan dalam kategori tidak berpuas hati kerana jika mereka berpuas hati pasti itulah responnya, tetapi tidak, mereka memilih untuk menyatakan sebaliknya. Bermakna 42% tidak termasuk dalam kategori berpuas hati dengan pimpinan Dollah, ia mungkin minoriti, tetapi ternyata ia minoriti yang besar.

Kajian itu turut mengukur isu-isu terpenting dalam pilihan raya mengikut kaum. Salah satu isu adalah masalah ekonomi. Dalam hal ini masyarakat India meletakkan 45%, Cina 32% dan Melayu 28%. Mengikut susunan peratusan bermakna, ketiga-tiga kaum meletakkan isu ini sebagai yang terpenting, iaitu jumlahnya 31%. Apabila menyebut masalah ekonomi sudah pastilah ianya memberikan konotasi yang negatif, sesuatu yang tidak baik. Jika isu ini diletakkan sebagai yang terpenting dan paling utama, bermakna kerajaan ini bersarang dengan masalah ekonomi dan ianya dirasai sangat oleh rakyat.

Satu lagi ukuran yang menarik adalah kedudukan kewangan isi rumah atau keluarga masing-masing. Rata-rata ketiga-tiga kaum menyatakan mereka dapat menampung keluarga masing-masing. Tetapi peratusan yang menyatakan bahawa kedudukan kewangan mereka lebih dari apa yang diperlukan (more than you need to make ends meet) adalah seperti berikut mengikut susunan kaum: India 16%, Melayu 14% dan Cina 12% ataupun keseluruhannnya 13%.

Manakala yang menghadapi kesukaran ataupun kadangkala dalam kesukaran bagi menampung keluarga adalah seperti berikut: Cina 36%, India 35% dan Melayu 12% ataupun keseluruhannya 23%. Ini bermakna kedudukan kewangan rakyat Malaysia masih belum teguh, besar kemungkinan kerana faktor kos hidup yang semakin tinggi.

Oleh itu kita syorkan sebelum Dollah bergembira atas kajian ini, baca dan kajilah terlebih dahulu hasilnya secara terperinci. Mungkin Khairy boleh membantu bapa mertuanya dalam memahami hasil kajian pusat tersebut. Lainlah kalau keputusannya lebih 2/3 atau 75% yang menyokong. Tetapi kalau yang menyokong sekadar “C” sahaja, dengan kenaikkan kos hidup yang berterusan, institusi kehakiman yang diragui kewibawaannya, rasuah dan jenayah yang semakin berleluasa dan menjadi-jadi, jangan terperanjat dalam beberapa minggu sahaja “C' tadi boleh bertukar menjadi “D” atau “E”.

Tak tahulah siapa pula yang bergembira nanti!



BPR jangan amalkan SELECTIVE PROSECUTION

Muka depan akhbar BERITA HARIAN hari ini membawa tajuk:

BPR serbu 10 syarikat balak Kelantan

BPR dilaporkan menyerbu sekurang-kurangnya 10 syarikat dan pejabat kerajaan negeri Kelantan termasuk Jabatan Perhutanan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes pembalakan haram di Hulu Kelantan terutama yang melibatkan kawasan tanah tinggi di Lojing.
Saya mengucapkan syabas kepada BPR kerana bertindak menyiasat dakwaan, yang saya percaya dibuat melalui laporan pihak ketiga. Siasatlah berdasarkan fakta dan undang-undang, jika benar terdapat kesalahan rasuah disitu maka seretlah mereka yang berkenaan ke mahkamah untuk didakwa.

Cuma kita harapkan BPR sebagai sebuah badan bebas janganlah mengamalkan SELECTIVE PROSECUTION atau pendakwaan berpilih. Hanya kerana ditakan oleh setengah-setengah pihak yang berkepentingan maka siasatan segera dibuat, sedangkan banyak lagi laporan yang dibuat terhadap mereka yang ada kepentingan, dibiarkan begitu sahaja. Saya menyatakan demikian kerana pada tiga perenggan terakhir laporan dalam akhbar berkenaan disebut:

Minggu lalu Pergerakan Pemuda Umno mendesak BPR mengambil tindakan segera terhadap hasil siasatan yang dijalankan berkaitan pelbagai dakwaan rasuah membabitkan beberapa agensi di negeri itu.

Naib Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata tindakan itu perlu kerana selama ini orang ramai tertanya-tanya perkembangan serta kesudahan siasatan dijalankan badan itu.

Adakah BPR bertindak kerana ada bukti kukuh atau kerana Khairy?

Kalau demikian kita juga mahu bertanya apakah kesudahannya beberapa laporan yang dibuat termasuklah oleh GERAK ynag diketuai Sdr Ezam M Nor terhadap beberapa tokoh dalam kerajaan termasuk seorang Menteri yang sudah berbulan-bulan lamanya! Bagaimana dengan siasatan terhadap seorang EXCO kerajaan negeri Terengganu, yang adiknya dikatakan bakal menjadi MB Terengganu itu? Adakah kerana dia rapat dengan Patrick Badawi, suku-sakat Khairy maka dia kebal dari dakwaan?!

Bagaimana dengan kelemahan dan penyelewengan yang dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 baru-baru ini? Bagaimana kes PPRT yang melibatkan Ketua Perhubungan umno Kelantan?

Jika benar BPR bertindak atas tekanan politik, maka kita akan lihat seluruh pimpinan PAS Kelantan nanti disiasat atas bermacam-macam tuduhan, maklumlah pilihan raya semakin dekat, bagi menggambarkan inilah kerajaan yang kotor dan rasuah, sedangkan yang benar-benar kotor, menjijikkan dan busuk, berjalan bebas.

Silakan siasat mereka jika benar ada asas dan bukti kukuh, tetapi jangan sekali-kali mengamalkan SELECTIVE PROSECUTION.

Jika ini adalah taktik terbaru Umno dan BN, rakyat saya yakin tidak dapat menerimanya dan akhirnya padah akan bergoleh ke riba Umno dan BN sendiri!

Tuesday, November 27, 2007

Hakim-hakim yang berani semakin ke hadapan

Sejurus Hakim Mahkamah Sesyen Klang Zuniadah Mohd Idris, melepaskan tanpa bebas (discharge not amounting to acquital) tiga tertuduh yang kononnya dituduh mengeluarkan ucapan hasutan di Batang Berjuntai, Kuala Selangor baru-baru ini, Menteri di JPM Nazri Aziz mendakwa bahawa keputusan ini membuktikan yang badan kehakiman di Malaysia benar-benar bebas.

Ketiga-tiga mereka adalah para pemimpin HINDRAF iaitu P. Uthayakumar, P. Warthamoorty dan V. Ganapathi Rao.

Hakim Zunaidah melepaskan ketiga-tiga tertuduh apabila beliau dapati yang mahkamah tidak jelas dan yakin dengan pertuduhan yang cuba dibawa oleh pihak pendakwa raya. Sebelum ini Jumaat lepas, apabila ketiga-tiga mereka di bawah ke mahkamah, atas permintaan peguam bela tertuduh, Zunaidah telah mengarahkan pihak pendakwa agar mengepilkan sekali transkrip ucapan mereka dalam bahasa Tamil, yang dikatakan mengandungi unsur-unsur hasutan itu, untuk dikemukakan ke mahkamah untuk dikaji. Malangnya semalam pihak pendakwa gagal memenuhi arahan itu dan hanya sekadar mengemukakan terjemahannya dan cuba pula meminda pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka.

Kita akui bahawa keputusan Zunaidah ini adalah suatu keputusan yang berani, malah Jumaat lepas lagi beliau telah mempamirkan keberaniaannya dengan mengurangkan ikat jamin dari RM10,000 yang disyorkan oleh pendakwa ke hanya R800 apabila pijhak peguambela merayu.
Dan memang ini adalah bukti kebebasan kehakiman yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Sesungguhnya mahkamah sepatutnya menjadi pelindung rakyat dari dituduh dan diancam dengan pertuduhan yang tidak berasaskan undang-undang.

Cuma Nazri janganlah terlalu ghairah. Keputusan Zunaidah tidak bermakna jika mereka yang terlibat dalam kes video VK Lingam tidak dibawa kepengadilan. Sesungguhnya setelah pendedahan video VK Lingam ini, setelah Majlis Peguam berarak di Putrajaya dan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa baru-baru ini, setelah parti-parti pembangkang dan NGO mengemukakan bantahan, barulah kerajaan mahu menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Itupun belum tentu lagi kerana PM belum pun mengumumkan secara rasmi bentuk dan bidang tugasnya.

Ingat, hanya setelah kes Lingam ini terdedah, dan minat rakyat tertumpu ke arah itu, barulah satu demi satu kita lihat hakim-hakim kita mula mengemukakan keputusan yang berani dan mempertahankan kepentingan rakyat berdasarkan undang-undang yang ada. Contohnya kita melihat Hakim Datuk Tee Ah Seng, memerintahkan agar Utusan Malaysia membayar RM200,000 kepada pemimpin NGO Irene Fernandez kerana memfitnah beliau, Hakim Mohd Hishamuddin Yunus memerintah kerajaan membayar pampasan RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA Malek Hussin dan kini Zunaidah.

Saya yakin keberanian rakyat mendedahklan kepincangan hakim-hakim kanan yang rasuah sebagaimana dalam kes video VK Lingam itu telah mendorong Hakim-hakim kita untuk lebih berani dan menonjol.

Syabas kepada Tee, Hishamuddin dan Zunaidah, dan kita percaya ramai lagi akan bertindak sebagaimana mereka. Bagi Nazri, pergilah beri tumpuan kepada Suruhanjaya Diraja yang sepatutnya dibentuk itu. Janganlah berkokok tak tentu arah dalam hal yang sebenarnya menjerat diri kamu sendiri.

Kebebasan kehakiman hanya dapat dikembalikan sekiranya kepincangan yang didedah oleh video VK Lingam itu dapat disiasat dan diambil tindakan termasuklah sehingga ke kes Tun Salleh Abas dulu.

ADUN Umno berhujah guna kaki bukan otak

Sebelum ini di Selangor ADUN Umno Zakaria Md Deros pernah bertindak menampar ADUN DAP Teng Chang Khim, tetapi insiden itu berlaku di luar dewan. Pertikaman lidah dan saling berbalas maki hamun, juga biasa berlaku samada di Parlimen atau Dewan-dewan Undangan Negeri di Malaysia. Tetapi tindakan fizikal seperti menyepak atau menendang seorang wakil yang lain tidak pernah berlaku sejak negara ini Merdeka 50 tahun.

Rekod ini akhirnya dipecahkan oleh ADUN Umno dari Paloh, Nozula Mat Diah. Semalam semasa sesi soal jawab, ketika anggota EXCO Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat sedang menjawab soalan yang diajukan kepadanya, berlaku pertengkaran antara Nozula dan ADUN Kelaboran Zaki Ibrahim yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Zaki kononnya telah melontarkan gelaran “Jakun” kepada Nozula. Lontaran itu rupanya membangkitkan kemarahan ADUN Umno itu yang sebelumnya telah digantung selama sehari oleh Dewan kerana ingkar peraturan Speaker. Lalu atas kemarahan itu Nozula meluru ke arah Zaki. Dalam hal ini dua akhbar yang saya baca iaitu THE STAR dan Utusan Malaysia menyebut bahawa hampir berlaku pergelutan.

Kata THE STAR:

The sixth day of the state assembly sitting here almost ended in a brawl when Nozula challanged Zaki to a fistfight

Hari keenam sidang dewan di sini hampir berakhir dengan pergaduhan apabila Nozula mencabar Zaki bertumbuk

Manakala UTUSAN melaporkan:

Nozula bingkas menerpa ke arah Mohd Zaki yang hanya selang beberapa kerusi darinya tetapi dihalang dan ditenangkan kedua-duanya oleh anggota dewan yang lain.

Bermakna Nozula sekadar meluru ke arah Zaki tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku kerana mereka berjaya dihalang oleh ahli-ahli yang lain. Semasa kejadian itu berlaku saya menerima SMS dari rakan saya blogger Kickdefella yang berada dalam DUN membuat liputan. Aksi tersebut disiar secara langsung dan kini boleh diperolehi melalui youtube, yang jelasnya Nozula telah melepaskan beberapa sepakkan ke arah Zaki. Satu tindakan yang sangat kebinatangan dan tidak mencerminkan seorang ahli dewan yang sepatutnya berakhlak tinggi dan sopan.

Adakah ini budaya kita?

Nozula telah diambil tindakan digantung keahliannya dari dewan selama enam bulan. Kerajaan PAS perlu bertindak menyibarkan aksi biadap dan kurang ajar ADUN Umno itu, kalau beginilah jenis pemimpin mereka, bayangkan apa yang akan berlaku jika rakyat Kelantan cuba-cuba untuk memberikan mereka kuasa memimpin kerajaan negeri. Aksi Nozula ini seharusnya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records, sebagai wakil rakyat yang pertama berhujah menggunakan kaki dan tidak mulut dan kewarasan akal. Mungkin ini adalah petanda awal hilangnya penghormatan rakyat Kelantan terhadap Umno di negeri itu dan ianya nanti pasti memudahkan tindakan untuk menguburkan sahaka Umno di negeri Serambi Mekah itu.

Monday, November 26, 2007

Benarkah rakyat sudah bosan dengan kerajaan PAS?

Youth bored with PAS government ataupun golongan belia bosan dengan kerajaan PAS, demikian menurut Senator Alex Wong, ahli Dewan Negara dari MCA yang baru. Alsannya golongan belia terpaksa mencari kerja di luar Kelantan kerana kurangnya peluang di negeri itu.
Saya boleh faham mengapa Wong berkata demikian, kerana beliau adalah pemimpin MCA Kelantan, mustahil beliau mahu memuji kerajaan PAS. Soalnya benar atau tidak dakwaan beliau itu? Memang anak-anak Kelantan banyak mencari pekerjaaan dan berniaga di luar Kelantan. Di Lembah Kelang sahaja kita boleh melihat mereka dalam jumlah yang begitu besar, terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan dan pekerjaan. Malah sampai ke Singapura, anak-anak Kelantan bekerja sampai ke sana.

Adakah ini bermakna negeri itu senditri tidak baik?

Bagi saya keluar berniaga atau bekerja sedemkian bukan kerana hambatan tiada pekerjaan di negeri sendiri, tetapi kerana tawaran, peluang atau upah di luar lebih lumayan. Di JB sahaja kalau kita berada di Tambak Johor di awal pagi kita akan dapat melihat ribuan rakyat khasnya anak-anak Johor menyeberang tambak untuk ke Singapura bekerja, adakah ini kerana Johor sudah tidak menarik lagi? Malah anak-anak Sabah dan Sarawak hari ini banyak membanjiri Lembah Kelang termasuk di Singapura, adakah alasan yang sama digunakan oleh Wong boleh digunakan terhadap Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri ini pula masing-masing mempunyai industri petroleum yang lumayan.

Kata Ng lagi MCA dalam langkahnya bersiap-sedia bagi menghadapi pilihan raya telah memohon RM10 juta (tak pula disebut dari mana puncanya) untuk membantu memajukan sosio-ekonomi masyarakat bukan Islam di negeri itu. Menurut beliau PAS tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat bukan Islam di Kelantan.

Dan sekali lagi saya boleh faham dakwaan Ng itu kerana beliau dari BN yang merupakan pembangkang di Kelantan sudah pastilah beliau tidak akan memuji atau mengiktiraf kerja kerajaan negeri di bawah PAS. Kelantan kini mempunyai seorang anggota EXCO dan ADUN dari keuturunan Cina iaitu Dato Anuar Tan. Masyarakat Cina dilantik menjadi ahli PBT dan ada juga dilantik sebagai Penghulu Tanpa Mukim.

MCA mungkin terpinggir di Kelantan kerana mereka pembangkang, tetapi masyarakat Cina dan bukan Melayu tidak pernah diabaikan, malahan duduk dalam kerajaan negeri untuk membantu membangunkan Kelantan. Saya yakin anak-anak tempatan samada Melayu atau bukan Melayu lebih arif akan negeri mereka. Seorang Timbalan Menteri dari wanita MCA sendiri (yang merupakan anak Kelantan) rupa-rupanya pernah menerima biasiswa dari kerajaan PAS semasa pemerintahan Datuk Asri dahulu.

Kekal ataupun tidak kerajaan PAS di Kelantan terletak atas tangan anak-anak Kelantan, Melayu dan bukan Melayu.

Berkuburlah Nalla dengan MUIP

Disaat sebahagian masyarakat India dari HINDRAF dihujani semburan air kimia dan ledakkan demi ledakkan gas pemedih mata, pada hari yang sama bekas pemimin PKR Nalla Karuppan melancarkan secara rasmi parti baru beliau yang didaftarkan pada September lepas iaitu Malaysian Indian United Party (MUIP). Sebelum itu Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah telah mengemukakan yang beberapa pimpinan India dari PKR yang keluar parti itu untuk menyokong Nalla telah kembali kepangkuan PKR.







Kata Nalla partinya disokong oleh lebih 25,000 ahli seluruh negara, satu angka yang luar biasa bagi seorang pemimpin yang ketokohannya tidak setaraf dan setanding langsung tokoh-tokoh India lain seperti Pandithan, Subramaniam, Uthayakumar atau mungkin juga Sivarasa sendiri.
Nalla mengumumkan keluar PKR sejurus selepasa pilihan raya kecil Ijok. Menurut sumber beliau kecewa kerana tidak diletakkan sebagai calon dan terus memutuskan hubungannya dengan Dato Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini semasa berkempen di Ijok beliau pernah mendakwa: I will die for Anwar Ibrahim!

Kemarahan Nalla itu telah mendorong beliau untuk mendaftar parti baru, yang hairannya dapat segera diluluskan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan sedangkan beberapa permohonan parti baru yang lain masih lagi tertangguh sehingga kini.

Mampukah MUIP bersaing untuk undi masyarakat India yang kecil sedangkan masyarakat itu kini telah mempunyai beberapa parti antaranya MIC, IPF dan PPP (yang walaupun bukan parti India tetapi pemimpin dan kebanyakkan ahlinya dari keturunan India). Masyarakat India juga ramai menyokong Gerakan, DAP dan PKR.

Rupa-rupanya malam tadi tersingkaplah rahsia Nalla. Kata beliau partinya menyokong manifesto dan polisi BN dan sedia bekerjasama dengan parti itu. Kalau begitulah halnya lebih baik Nalla kembali ke MIC atau menyertai PPP atau Gerakan atau juga IPF. Kenapa mahu buang masa dan harapan ahli-ahli yang kononnya seramai 25,000 orang itu.

Bagi saya jika beginilah MUIP, maka parti itu dan Nalla sendiri akan berkubur tidak berapa lama lagi.

Sunday, November 25, 2007

Idea bernas dari Shahrir

Saya bersetuju 100% dengan saranan ahli parlimen Johor Bharu yang juga Pengerusi JK Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Shahrir Abd Samad. Dalam kesempitan hidup berenang di dalam arus kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak putus-putus, lalu bila terbit idea dan saranan yang bernas kita perlu segera menyahut dan menyokongnya.

Dari JB Shahrir mencadangkan agar kerajaan membeli sahaja keseluruhan pegangan saham Plus Expressway Berhad atau PLUS sebagai langkah mengelakkan kadar kenaikkan tol lebuh raya. PLUS kini merupakan satu-satunya pemegang konsesi lebuh raya yang terbesar menguasai lebuhraya Utara- Selatan dan sebahagain besar yang menuju ke Bandaraya KL.
Kata beliau pembelian itu nanti akan menjadikan aset PLUS sebagai aset awam, lalu isu kenaikkan harga tol dan pampasan yang perlu dibayar kerajaan dapat dikaji dan disemak semula sekaligus melepaskan rakyat dari bebanan kenaikkan kadar tol yang berpanjangan.

Banyak perkara boleh dirundingkan semual oleh PLUS termasuklah tempoh pinjamannya dengan bank apabila PLUS dikuasai kerajaan.

Idea Shahrir ini perlu dikaji dan diambil kira. Yang ada dihadapan kita adalah ancaman dari Menteri Kerjaraya, Samy Vellu, bahawa jika kadar tol tidak dinaikkan bermula Januari 2008 nanti kerajaan terpaksa membayar pampasan RM380 juta kepada pemegang konsesi. Mengapa kita tidak fikirkan jalan penyelesaian? Mengapa kita tidak pertahankan nasib dan kebajikan rakyat?

Idea Shahrir ini bagi saya satu punca penyelesaian dan jika ia tidak dipandang serius, maka rakyatlah nanti akan menjadi mangsa memikul beban-beban yang baru sedangkan beban yang ada sudah melemahkan lutut masing-masing. Mungkin sudah sampai masanya kabinet Malaysia diisi orang seperti Shahrir dan bukannya yang ketandusan idea seperti yang ada hari ini.

Perkembangan di Jalan Ampang


Banyak angka yang sampai ke saya berkenaan jumlah mereka yang hadir dalam perhimpunan anjuran HINDRAF yang dileraikan oleh pihak polis dengan kekesaran awal tengahari tadi. Menurut agensi berita antarabangsa AFP sekitar 8,000 telah hadir.

Menurut laporan AFP:

Witnesses said police beat up some protestors with batons. Organisers said at least 400 people were arrested and 19 injured. Police, however, said more than 100 people had been detained.

Saksi (ditempat kejadian) melihat polis memukul mereka yang berhimpun dengan belantan. Pihak penganjur menagnggarkan sekitar 400 orang telah ditangkap dan 19 cedera. Polis bagaimanapun mengesahkan sekitar 100 ditahan.
Kehadiran begitu ramai rakyat Malaysia dari keturunan India, walaupun dinasihatkan tidak hadir termasuklah oleh Samy Vellu dan MIC membuktikan yang populariti parti India tertua itu semakin merosot. Saya difahamkan masyarakat India kini menganggap pemimpin HINDRAF termasuklah P. Uthayakumar kini sebagai wira masyarakat India, sanggup ditangkap dan diseret ke mahkamah demi mempertahankan nasib masyarakat minoriti itu.

Kalau kita perhatikan gambar-gambar AFP kelihatan ,mereka yang berhimpun membawa gambar mendiang Mahatma Gandhi, pejuang kemerdekaan, passive resistance dan hak asasi India yang terbilang. Kalau beginilah tren masyarakat India di Malaysia, saya kira mereka semakin bosan dan muak dengan BN termasuklah MIC dan Umno. Masadepan begitu kelam buat MIC.





Saya sempat menonton video al Jazeera sebentar tadi dan seorang yang hadir apabila ditanya berkenaan suasana demokrasi di Malaysia berkata:
What bloody democracy are they talking about!

Rakyat diperlakukan bagai binatang

Saya pada hari ini dijadualkan bercakap dalam sebuah majlis anjuran Anwar Ibrahim Club dengan kerjasama Yayasan Freiderich Naumann di Hotel Corus, Jalan Ampang KL jam 2 petang. Setelah bersiap-siap untuk bertolak dari rumah tiba-tiba saya menerima panggilan dari pihak penganjur bahawa majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Sebabnya, mereka yang berhimpun untuk majlis penyerahan memo ke Suruhanjaya Tinggi UK di Jalan Ampang, anjuran HINDRAF sedang kini berhimpun di hadapan hotel berkenaan. Suasana kelam-kabut dan gas pemedih mata dan semburan air kimia sedang dilepaskan oleh pihak FRU.


Saya memahami masalah pihak penganjur itu dan bersimpati dengan mereka.

Yang saya tidak faham mengapa pihak kerajaan dan polis begitu panik dan kalut dengan tuntutan pihak HINDRAF ini. Walaupun saya secara peribadi banyak tidak bersetuju dengan HINDRAF terutama dalam isu yang membabitkan kes murtad, tetapi dalam hal ini mereka sekadar menuntut hak mereka dari kerajaan Inggeris, sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan apa lagi mengancam keselamatan negara.

HINDRAF telah mengemukakan saman berjumlah USD14 trilion terhadap bekas penjajah Inggeris kerana memaksa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi tenaga mereka selama lebih 150 tahun. Jumlah tersebut bersamaan USD 1 juta untuk setiap warga Malaysia berketurunan India. Tuntutan mereka agar Baginda Queen melantik seorang Queens Counsel untuk membantu mereka dalam kes tuntutan tersebut.

Saya difahamkan lebih 10,000 telah berhimpun sejak awal pagi tadi, dan mereka dihalang oleh pihak polis dari mengahmpiri jalan menuju Suruhanjaya Tinggi UK di Jalan Ampang. Setakat jam 1.00 tadi ramai yang masih berhimpun sekitar KL, selain dihujani air kimia dan gas pemedih mata ada juga yang dipukul dan dibelasah oleh pihak polis.

Beginikah cara kita mengawal perhimpunan yang aman? Saya sungguh sedih mengikuti perkembangan yang sedang berlaku. Yang jelasnya apa yang berlaku di KL disaat ini pasti merobek apa sahaja hormat rakyat dan dunia luar terhadap kerajaan pimpinan Dollah Badawi.

Saturday, November 24, 2007

Khairy Jamaluddin: sindrom politik mentahan

Dalam akhbar hari ini kita dapat membaca apa lagi yang menantu Dollah berkata di Kota Bharu semalam.

Saya tertarik apabila beliau turut menyentuh berkenaan Perhimpunan Aman Rakyat anjuran BERSIH tempoh hari. Menurut The Star, Khairy mendakwa yang PAS lah yang telah menyediakan kemudahan untuk perhimpunan berkenaan malah katanya 80% dari mereka yang keluar adalah penyokong PAS belaka, tapi kata beliau lagi yang untung adalah Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.





He claimed that 80% of the demonstrators were from PAS but those who benefited most were Parti Keadilan Nasional de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim and DAP advisor Lim Kit Siang

Akhbar tersebut walaubagaimanapun tidak pula menerangkan mengapa Khairy mendakwa yang untung hanya Anwar dan Kit Siang, adakah ini bermakna yang dalam perhimpunan tersebut PAS telah rugi?

Di sana sahaja kita dapat melihat betapa tidak masak dan matangnya Khairy ini dalam membaca perkembangan politik. Beliau mungkin boleh berbangga yang beliau menantu PM dan Presiden Umno, tetapi hakikatnya beliau mentah dan kosong dalam bacaan politik. Inilah akibatnya apabila ghairah melonjakkan diri terlalu cepat dalam gelanggang, nampak sahaja gagah dan megah rupanya kosong dan haprak.

Memang PAS telah turut bertungkus-lumus untuk menjayakan perhimpunan tersebut kerana PAS menganggotai BERSIH. Begitu juga semua rakan BERSIH yang lain termasuklah PKR, DAP dan NGO-NGO lain. Komitmen diberikan oleh PAS kerana PAS begitu yakin dengan matlamat dan tuntutan BERSIH. Kenapa Khairy risau bila 80% yang keluar orang PAS? Dalam pakatan BERSIH itu hakikatnya PAS lah yang memiliki keahlian teramai, Khairy mungkin lupa selepas Umno, PAS lah parti politik terbesar dalam negara!

Yang untung pada hari tersebut bukannya Anwar, Kit Siang atau TG Hj Hadi. Yang untung adalah rakyat yang memperjuangkan tuntutan BERSIH itu. Terbukti rakyat Malaysia sanggup menghadapi risiko untuk hadir berhimpun dengan angka yang begitu luar biasa ramainya, walaupun menerima pelbagai gangguan dan ugutan termasuklah dari bapa mertua Khairy dan Khairy sendiri namun rakyat keluar juga kerana sesungguhnya sistem pilihanraya kita benar-benar kotor dan tempang. Perhimpunan tersebut sebenarnya membuktikan yang walaupun bapa mertua Khairy mengugut agar beliau jangan dicabar, namun kekuasaan rakyat mencabarnya juga, sekaligus membongkar keburukkan sistem pilihanraya di Malaysia bukan sekadar untuk diketahui rakyat tempatan tetapi turut disedari masyarakat antarabangsa.

Kini rakyat Malaysia sedar akan apa yang diperjuangkan BERSIH. Terima kasihlah kepada semua yang membantu mempromosikannya termasuklah Khairy sendiri.

Janganlah Khairy mahu menangguk di air keruh dengan cuba melaga-lagakan antara pimpinan pembangkang. Itu politik hutan-rimba yang sudah tidak dibeli lagi oleh rakyat. Rakyat telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri, dan kini mereka menunggu untuk bersuara. Panggillah pilihanraya umum, kelak kita lihat siapa yang untung siapa yang rugi.

Friday, November 23, 2007

Khairy jembalang besar buat Dollah


Perbalahan politik antara Umno dan PAS adalah perkara biasa di negara kita. Kedua-duanya parti yang mewakili umat Melayu/Islam dan kedua-duanya bertarung untuk mendapatkan sokongan dari power base mereka iaitu orang-orang Melayu.

Hentaman dan bidasan Umno terhadap PAS dan PAS terhadap Umno walaupun bertaraf musuh politik namun kaya dengan seni dan adab, tersekel, tertunjal perkara biasa tetapi adatnya tidak pernah berlebih-lebih. Ini kerana persaudaraan Melayu/Islam itu walaupun kadangkala terasa tipis dan nipis namun ikatannya suka tidak suka masih bertaut. Abangnya Ketua Umno bahagian, adiknya EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, abangnya ahli Parlimen Umno, adiknya Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, abangnya ADUN Umno adiknya bekas Ketua Pemuda PAS Negeri, begitulah adanya antara kedua-dua musuh politik ini.

Sikap berpada-pada dalam berpolitik khususnya dalam mengharungi politik Melayu/Islam ini penting kalau kita masing-masing berfikiran panjang. Lihatlah aksi dan gelagat Dollah dan Nik Aziz di Kota Bharu, baru-baru ini. Tidakkah itu bukti betapa matangnya orang-orang Melayu dalam berpolitik.


Tetapi hari ini rupanya masih ada juga jaguh yang cuba melangkaui batas berpada-pada itu. Kalau ya pun kita menantu Perdana Menteri, kalau ya pun kita bercita-cita untuk melonjak naik dalam politik, janganlah sampai menghancur dan memusnah adab dan batas yang kita hormati. Bagi saya, secara peribadi, Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno ini sesungguhnya adalah liabiliti besar dalam karier politik bapa mertuanya.
Beliau terlalu kukuh kedudukannya dalam Umno sehinggakan tidak lagi ada yang berani mengeluarkan nasihat dan teguran jujur, lantaran takutkkan kedudukannya, maka jadilah Khairy bagai jembalang yang tiada siapa berani halang atau sekat. Dalam keadaan demikian, apabila yang yang bertaut disekeliling janggutnya sekadar pengampu dan pembodek maka yang hitam dikatakan putih yang cacat dikatakan sempurna, pasti nanti mudharatnya akan dirasai oleh beliau dan bapa mertuanya.

Hari ini di Tanah Merah, Kelantan, Khairy yang masuk ke kandang orang itu dengan ghairah menyondol apa sahaja batas dan adab yang dipakai dalam politik Melayu selama ini khususnya berkaitan hubungan PAS dan Umno. Beliau mendesak BPR agar segera terbit dengan hasil siasatan berkenaan kononnya kegiatan penerokaan haram di Lojing dan dakwaan penyelewengan dalam syarikat Air Kelantan. (Beliau lupa yang BPR perlu meneliti bukti dan laporan dan jika kuat, kukuh dan berasas baru kertas siasatannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, jika tidak maka tidaklah).

Apakah beliau seolah memaksa BPR dengan kedudukannya sebagai menantu PM untuk memaksa diambil tindakan terhadap Kelantan walaupun BPR tiada bukti kukuh? Tidakkah itu salah-guna keduduakan dan kuasa, juga satu kesalahan bahawa Akta Rasuah?

Khairy di atas pentas yang sama turut memperlekeh Koridor Depu yang diperkenalkan oleh

Perbadanan MB Kelantan sebagai projek menghina rakyat Kelantan kononnya. Beliau membanding-bandingkannya dengan ECER yang dilancarkan bapa mertuanya baru-baru ini yang katanya lebih bermakna dan berkesan membantu membangunkan negeri dan rakyat Kelantan. Beliau lupa ketika bapa mertuanya datang melancarkan ECER di Kota Bharu, bapa mertuanya itu begitu hormat dan memandang tinggi kerjasama kerajaan negeri Kelantan. Bapa mertuanya berkata di KB bahawa mulai saat itu beliau mahu pandang ke hadapan dan tidak memikirkan perbalahan yang lepas-lepas.

Tetapi bila Khairy turun ke KB habis dibakarnya apa yang ada, bila sudah hangus, apakah keuntungan yang tinggal pada Umno? Khairyu mahu ingat bahawa beliau itu naik atas kekecewaan dan kemarahan ramai yang lain yang lebih layak. Sesungguhnya tiada istimewa apa pun yang ada pada beliau selain menjadi menantu PM. Jika beliau dan Dollah tidak berhati-hati padahnya nanti menimpa atas batang tubuh Dollah sendir. Ingat jika Dollah tiada, Khairy pun pasti menjadi sekadar bahan sejarah kerana ketika itu ramai yang telah beliau langkau satu ketika dahulu akan melangkah kembali kepalanya kerana ketika keris tiada lagi ditangan, jembelang sehodoh mana pun tidak akan ditakuti lagi.

Rakyat jimat cermat ADUN biarkan boros

Sedang kita merungut dan merintih darihal kenaikkan kos hidup ini, dan dihantui pula dengan prospek kenaikkan yang bakal runtuh lagi di atas kepala kita masing-masing saya kagum membaca tajuk berita dalam NST hari ini:

Pahang Sultan gets CCC1 plate for RM76,600
Sultan Pahang dapat plet CCC1 dengan harga RM76,600

Menurut laporan akhbar tersebut semua sekali Tuanku berbelanja RM113,000 untuk plet CCC1 dan CCC2. Saya tidaklah mahu kisah sangat akan besarnya perbelanjaan Tuanku itu terhadap plet nombor kenderaan itu, pastinya Tuanku mampu (yang Tuanku tidak berkenan adalah demonstrasi jalanan). Tetapi yang lebih hebatnya adalah apabila laporan yang sama menyebut dua orang EXCO Pahang dari Umno, Dr Ahmad Shukri dan Shahiruddin Meon, masing-masing membayar RM62,400 untuk plet CCC3 dan CCC4. Manakala ADUN Teruntum dari MCA membayar RM32,000 untuk CCC5.

Kalau Sultan Pahang mahu bermegah dengan nombor plet satu angka, memang padanlah kerana Tuanku adalah Sultan di Pahang, tetapi apabila orang politik boleh berbelanja wang sejumlah itu untuk memiliki nombor plet satu angka, tidakkah itu pembaziran sedangkan wang RM62,400 bagi rakyat miskin boleh membeli 2.5 unit rumah kos rendah yang boleh menapung lebih dari 10 orang penghuni!

Kalau untuk plet kereta ADUN Umno dan MCA boleh berbelanja puluhan ribu ringgit, bayangkan yang lain-lain. Bayangkan berapakah mereka berbelanja untuk anak-isteri masing-masing, rumah, kereta, percutian? Tepat sangatlah dengan slogan BN semasa pilihanraya iaitu Tradisi Membela Rakyat!

Istana Negara dari RM400juta ke RM650juta

Mungkinkah cecah RM1 billion???


Semalam di Parlimen Ketua Pemuda PAS yang juga ahli parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub membangkitkan darihal kos pembinaan sebenar Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Adakah ianya mencecah RM1 billion?

Menteri Kerjaraya Samy Vellu, mengakui bahawa kos pembinaannya telah meningkat tetapi menafikan yang jumlah tersebut mencecah RM1 billion, sebaliknya mengatakan bahawa kosnya kini adalah sekitar RM650 juta. Komplek istana baru itu dibina atas sekeping tanah seluas 98 hektar dan akan menempatkan istana serta kuaters kakitangan berserta ciri-ciri keselamatan dan tempat letak kereta bawah tanah.


Seblum ini pada bulan November tahun lalu, ketika majlis pecah tanah pembinaan istana ini oleh Yang Dipertuan Agong yang lalu Samy mengatakan yang kosnya sekitar RM400 juta.
Bermakna dalam tempoh 12 bulan kos tadi kini melambung RM250 juta menjadi RM650 juta!
Dengan kenaikkan kos barangan dan perkhidmatan yang sedang kita rasai sekarang dan bakal bergolek datang lagi berikutan kenaikkan harga minyak mentah dunia dan kenaikkan kadar tol di lebuh-lebuhraya mulai 2008 nanti, saya menjangkakan tidak mustahil kosnya boleh naik RM350 juta lagi bagi menggenapkan RM1 billion sebagaimana yang didakwa Ketua Pemuda PAS itu.

Pembinaan istana baru mungkin sesuatu yang munasabah dan perlu, tetapi menterinya perlulah berhemah berbelanja dan tidak memberikan alasan kenaikkan harga barangan semata-mata untuk membenarkan kenaikkan kos pembinannya. Jika ini dijadikan alasan, nescaya koyak dan rabiklah khazanah negara dikerjakan oleh kenaikkan luar jangka seumpama ini, kerana menterinya tidak cekap dan berhemah.

Mungkin pada Samy ini wang negara dan bukan wang beliau maka naiklah ratusan juta sekalipun, itu bukan masalah beliau. Sedangkan kita rakyat jelatalah menanggung beban yang semakin berat dan menyesakkan nafas itu. Mungkin inikah yang dikatakan: Istana Air Mata Rakyat?

Thursday, November 22, 2007

Kereta Dollah pancit di Singapura

Saya tidak pasti adakah berita ini penting atau tidak. Tetapi bagi saya ia lucu.




Menurut laporan dari Singapura kenderaan rasmi BMW 7 series milik kerajaan Singapura yang membawa PM Dollah Badawi dan isterinya Jeanne Danker pancit tayarnya dalam perjalanan ke Lapanganterbang Changi. Abdullah dan isteri dalam perjalanan ke lapanganterbang tersebut setelah selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di negara pulau tersebut.

Menurut laporan kenderaan tersebut terpaksa berhenti di tepi lebuhraya dan Abdullah dan Jeanne terpaksa menaiki kereta yang digunakan oleh pengiring keselamatan kerana tidak ada kereta rasmi yang lain.

Mujurlah tidak ada apa-apa berlaku ke atas PM dan isterinya. Agaknya setelah pengambil-alihan Proton oleh VW tidak menjadi, mungkin PM kita tidak layak menaiki kereta continental. Memandangkan Proton kini telah pulih, lain kali naik sahaja Proton yang dibawa dari JB.

Harap-harap Jeanne tidaklah banyak shopping di Singapura, kerana jika ada, takut terlupa bawa barangan shoppingnya kerana tertinggal dalam kereta BMW itu.

Sah Najib tidak boleh dijadikan hero

Sebagaimana yang dijangkakan, tidak ada pengumuman berkenaan Suruhanaja Diraja untuk menyiasat pendedahan dalam video kontroversial peguam VK Lingam dibuat oleh kabinet semalam.

Sebelum ini ramai pemerhati menyangkakan yang kabinet akan mengumumkan penubuhan suruhanjaya tersebut dan mungkin juga mengumumkan anggotanya serta bidangkuasa suruhanjaya tersebut, tetapi hampa.

Mengapa?

Cuba lihat apa kata PM Dollah Badawi sebagaimana dilaporkan NST:

They have discussed the issue and they decided that this matter should be deliberated again next week when I come home

Mereka telah membincangkan isu ini dan memutuskan yang ianya akan dibincangkan lagi minggu hadapan apabila saya pulang (untuk mempengerusikan mesyauarat kabinet itu)

Maknanya benarlah telahan bahawa Dollah tidak mahu membenarkan Najib menjadi hero. Apa salah ianya diisytiharkan sahaja oleh Najib yang mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam? Bukankah isu ini melibatkan kepentingan negara dan kewibawaan badan kehakiman, ia perlu disegerakan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat. Tetapi tidak, kerana apa? Kerana Najib tidak boleh dilihat hero dalam hal ini.

Kabinet dilaporkan akan menunggu sehingga Dollah yang mempengerusikan mesyuarat sebelum membuat sebarang pengisytiharan.

Sah ada sesuatu yang tidak kena. Sah memang kekerushan dan saling curiga-mencurigai telah hadir dalam hubungan PM dan TPM. Dan begitu juga saya difahamkan antara kelompok PM dan TPM dalam kabinet dan dalam Umno.

Mungkinkah apa yang berlaku ke atas Tunku akan berlaku ke atas Dollah, atau apa yang berlaku ke atas Anwar akan berlaku ke atas Najib? Sama-samalah kita tunggu nanti.

Wednesday, November 21, 2007

Tolak pindaan Perkara 114

Semalam Menteri di JPM Nazri Aziz membentangkan rang undang-undang bagi meminda Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan umur persaraan wajib anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 tahun sekarang ke 66, termasuklah Pengerusinya.
Pengerusi dan anggota SPR menurut Perkara 114 (1) dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Dan menurut Perkara 114 (3) mereka berkhidmat sehingga umur 65 atau ditamatkan perkhidmatannya atas apa-apa sebab sebagaimana terkandung dalam peruntukkan tersebut.

Pengerusi SPR kini, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dijangka tamat tempoh perkhidmatannya hujung tahun 2007 ini apabila mencapai umur 65. Dengan pindaan ini bermakna Rashid akan terus berkhidmat sehingga Disember 2008.

Bagi saya ahli-ahli Parlimen khasnya dari pembangkang perlu mengundi untuk menolak pindaan ini. Penolakkannya bukan kerana jawatan ahli SPR itu tetapi penolakkan tadi wajar dilakukan kerana jika ia dibenar maka Rashid yang tercemar relkodnya itu akan terus kekal di SPR dan mungkin akan mengendalikan Pilihan Raya Umum ke 12 nanti.

Memang pindaan Perlembagaan ini walaupun memerlukan 2/3 majoriti tetapi dijangka akan dilulus oleh kerana BN mempunyai majoriti lebih dari 2/3. Namun ahli-ahli Parlimen yang mengakui pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil lagi bersih (termasuk dari BN jika ada), perlu bertindak mendaftarkan protes mereka dengan menolak pindaan ini. Saya berharap kesemua ahli Dewan Rakyat DAP, PAS dan Keadilan (serta yang dari BN, jika ada) akan mengundi menolak pindaan ini, jika tidak, lupakan sahaja Protes melalui BERSIH kerana Pengerusi yang KOTOR dan tidak BERSIH itu kita terus kekalkan menerajui SPR.

Hubungan Dollah dan Najib mula renggang

Teka-teki mengapa PM Dollah Badawi mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes video kontroversi peguam VK Lingam terjawab pagi ini. Sebelumnya pada hari Rabu minggu lalu selepas mesyuarat kabinet, kita dimaklumkan yang kabinet telah pun menerima laporan dari Panel Penyiasat yang diketuai bekas Hakim Tan Sri Haidar Mohd Nor yang ditugaskan menyiasat kesahihan video tersebut.


Kabinet walaubagaimanpun mengumumkan yang tiga orang menteri yang mempunyai lata-belakang undang-undang iaitu Nazri Aziz, Rais Yatim dan Radzi Sheikh Ahmad ditugaskan untuk mengkaji laporan panel berkenaan dari perspektif undang-undang. Tidak ada keputusan dibuat, dan kabinet turut memaklumkan bahawa ketiga-tiga menteri berkenaan akan melaporkan dalam mesyuarat kabinet minggu berikutnya sebelum apa-apa keputusan diambil.
Tiba-tiba hari Jumaat minggu yang sama PM Dollah Badawi mengumumkan yang satu Surhanjaya Diraja akan dibentuk untuk menyiasat kandungan video berkenaan. Pengumuman Dollah ini dibuat sebelum pun ketiga-tiga menteri yang dimaksudkan memberikan laporan kepada kabinet sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat kabinet. Pengumuman itu jelas mendahului kabinet, bermakna keputusan Dollah sendiri. Mengapa Dollah berbuat demikian?
Ada yang menyangkakan mungkin Abdullah tersilap (sesuatu yang lumrah pada PM ini). Mungkin yang beliau maksudkan keputusan akan dibuat dalam mesyuarat kabinet berikutnya (iaitu hari ini). Mungkin juga Dollah tidak faham apa yang dimaksudkan pemberita lalu memberi laporan yang tidak tepat (juga sesuatu yang lumrah pada PM ini).

Rupa-rupanya terdapat agenda disebalik pengumuman Dollah pada hari Jumaat itu!
Memang kabinet sepatutnya menunggu laporan dari ketiga-tiga menteri tersebut sebagaimana yang ia putuskan. Dan sepatutnya hari inilah baru kabinet membuat keputusan akan penubuhan suruhanjaya itu, iaitu setelah meneliti semua aspek. Walaubagaimanapun Dollah rupanya tidak dapat hadir dan mempengerusikan mesyuarat kabinet hari ini (sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Sun pagi ini) kerana beliau berada di Singapura menghadiri Sidang kemuncak ASEAN ke 13. Bermakna kabinet akan dipengerusikan TPM dan Najiblah nanti yang akan membuat pegumuman penting itu.
Rupanya api dalam sekam yang telah lama membara itu kini rupanya membara panas. Tidak kelihatan dari luar tetapi hangatnya meluap-luap di dalam. Dollah tidak boleh membiarkan Najib yang membuat pengumuman itu, kelak rakyat akan berkata, Najiblah yang berani, Najiblah yang sanggup mempertahankan kewibawaan badan kehakiman. Segala kredit itu sepatutnya milik Dollah, beliaulah Mr Clean, beliaulah Mr Anti Rasuah dan beliaulah sepatutnya menjulang juara dalam memulihkan sistem kehakiman yang telah teruk ternoda itu.
Dollah tidak boleh membiarkan Najib jadi hero, nanti Najib yang ke hadapan sedangkan beliau PM (memang selama ini pun Njib yang ke hadapan dari semua segi).
Adakah ini bermakna ada clash antara Dollah dan Najib?
Dulu siapa kata ada clash antara Almarhum Tunku dan Allahyarham Tun Abd Razak, tetapi akhirnya Tunku tepaksa turun dari takhta PM! Dulu siapa kata ada clash antara Mahathir dan Musa, akhirnya terpelanting jauh Musa, begitu juga dengan Anwar.
Dollah dan Najib? Entahlah? Yang kita dapat lihat pokok memang sedang bergoncang.

Tuesday, November 20, 2007

Kabinet celaru di bawah Pak Lah

Menurut akhbar NST Menteri di JPM Nazri Tan Sri Aziz memaklumkan bahawa nama calon-calon untuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video kontroversi peguam VK Lingam akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet esok. Kabinet juga dijangka akan membincangkan skop dan bidangkuasa suruhanjaya berkenaan.

Ramai yang gembira dengan keputusan penubuhan Suruhanjaya Diraja ini walaupun pendedahannya telah dibuat lebih dua bulan dahulu.

Saya sengaja membawa isu ini untuk mengimbau kembali apa sebenarnya keputusan kabinet minggu lepas, sebab sebagaimana ditegaskan oleh Nazri, esok kabinet akan bincangkan calon-calon untuk suruhanjaya berkenaan serta bidangkuasanya. Kalau kita menyorot kembali minggu lepas kita dimaklumkan yang kabinet telah diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkenaan laporan Panel Penyiasat yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Malaya Tan Sri Haidar Mohd Nor.

Kalau kita masih ingat kabinet tidak membuat apa-apa keputusan sebaliknya menyerahkan laporan tersebut kepada semua anggotanya untuk memberikan input dalam mesyuarat minggu berikutnya. Dan tiga orang anggota kabinet yang memiliki latarbelakang undang-undang diarahkan mengkaji dan memberikan pandangan dari perspektif undang-undang.
Bermakna minggu lepas kabinet tidak memutuskan penubuhan sebuah surhanjaya lagi, buktinya kenyataan Nazri dalam NST Khamis itu:

We will be able to give you a decision next week.

Kita akan membuat keputusan minggu hadapan.

Dalam The Star hari Jumaat Nazri menyebut:

We will be presenting our opinions and recommendations to the Cabinet at its next meeting.

Kita akan mengemukakan pandagan dan syor kita kepada Kabinet dalam mesyuaratnya yang akan datang.

Berita tentang penubuhan suruhanjaya ini hanya terbit pada hari Jumaat apabila PM tiba-tiba mengisytiharkannya. Bermakna adakah PM telah melangkau kabinet? Atau PM tersilap, yang beliau maksudkan minggu depan tetapi tersalah sebut lalu dijadikan bahan dan kini semua pihak termasuk kabinet dan beliau terperangkap.

Tak mengapalah, yang penting Suruhanjaya Diraja akan diumumkan esok dalam mesyuarat kabinet. Diharapkan anggotanya terdiri dari mereka yang bersih dan berwibawa dan bidangtugasnya luas dan tidak terbatas. Soal kecelaruan di atas, anggaplah ia sebagai adalah bukti bagaimana badan eksekutif tertinggi negara diurus di bawah Dollah Badawi sebagai pengurusnya.

Monday, November 19, 2007

Jangan guna penyapu, penyapu!

Kali ini kalau Khir Toyo tak dengar juga, pasti gelap masa depan beliau. Kali ini yang menegur bukannya rakyat, bukan juga kakitangan kerajaan, bukan Tukiman Nail, tetapi yang menegur adalah boss beliau sendiri. Kalau rakyat atau kakitangan awam macam-macam dalih Khir.

Berikan saya satu ayat atau hadis yang mengatakan penyapu itu sial, kata beliau sebelum ini.
Semalam di Kuala Terengganu PM Dollah Badawi berkata Selangor perlu fikirkan kaedah lain bagi menilai prestasi PBT iaitu dengan tidak menghina mana-mana pihak.

Ternyata menghadiahkan penyapu sebagaimana yang dilakukan oleh MB Selangor itu tidak disenangi oleh termasuklah PM. Saya percaya, memandangkan periuk nasi dan kedudukannya lebih penting mengatasi yang lain-lain, tidak mustahil Khir akan menarik balik anugerah ini dan digantikan dengan sesuatu yang lebih masuk akal.

Bukan kerana input dari rakyat bukan kerana reaksi CUEPACS tetapi kerana PM dan Presiden Umno yang bersuara, maka walaupun cerdik mungkin keputusannya, ia pasti ditarik balik, kerana menolak saranan Dollah bermakna menggali kubur sendiri.

Rasuah, rasuah, rasuah!

Petikkan laporan polis oleh Thirunama Karasu a/l Kandar Velupillai mengenai Dato V. Kanalingam yang dibuat di balai polis Brickfields pada 19 Mac 2007:

I WAS USED BY MY BROTHER V. KANAGALINGAM TO CORRUPT THE FORMER CHIEF JUDGE TUN EUSOFF CHIN, THE FORMER ATTORNEY GENERAL TAN SRI MOHTAR ABDULLAH, THE FORMER IGP TAN SRI RAHIM NOOR, THE PRESENT COURT OF APPEAL JUDGES DATUK MOHTAR SIDIN, THE PRESENT COURT OF APPEAL JUDGE DATO LOW HOP BING AND A FORMER JUDGE DATO K.L REKRAJ
Saya diperalatkan oleh abang saya V. Kanagalingam untuk merasuah bekas Ketua Hakim Tun Eusoff Chin, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor, Hakim Mahkamah Rayuan kini Dato Low Hop Bing dan bekas Hakim Dato K.L Rekraj

IN 1995 I WITNESS A DINNER HOSTED BY MY BROTHER DATO V. KANAGALINGAM AT HIS HOUSE NO 1 JALAN SS 7/24 KELANA JAYA 47301 PJ FOR THE FORMER CHIEF JUDGE TUN EUSOFF CHIN'S WIFE AND CHILDREN WERE PRESENT. ALSO PRESENT IN THIS DINNER WERE THE FORMER COURT OF APPEAL PRESIDENT TAN SRI LAMIN YUNUS AND HIS WIFE

Pada tahun 1995 saya menjadi saksi kepada majlis makan malam yang dianjurkan oleh abang saya Dato V. Kanagalingam di rumahnya di No. 1 Jalan SS 7/24 Kelana Jaya 47301 PJ untuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin. Isteri dan anak-anaknya juga hadir. Turut hadir dalam majlis makan malam itu adalah bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Yunus dan isteri.

Apakah nasib negara kita di bawah kaki-kaki rasuah ini dan mereka yang mengambil alih dari penjenayah-penjenayah ini?

Rashid Pengerusi SPR pembohong

Muka depan akhbar Utusan Malaysia Jumaat 16 November lalau membawa tajuk:

Saya tahu tarikhnya. Namun tidak dapat nyatakan bila pilihan raya akan diadakan – Ab. Rashid

Menurut laporannya Rashid mendakwa bahawa beliau tidak boleh berbohong dengan berkata yang beliau tidak tahu bila tarikh pilihan raya umum akan datang. Cuma beliau tidak dapat memberitahu bila masanya buat ketika ini.

Laporan ini memberi makna bahawa Perdana Menteri Dollah Badawi, telah berbisik atau memaklumkan Rashid, Pengerusi SPR, darihal bila hasrtanya untuk membubarkan parlimen dan memanggil pilihan raya. Laporan ini juga menunjukkan betapa intim dan hebatnya hubungan Rashid dengan Dollah sehinggakan perkara serahsia dan sepenting itu dapat dimaklumkan kepada beliau oleh PM sendiri.

Walaubagaimanapun rupa-rupanya terbukti memang Rashid seorang penipu dan pembohong!
Dalam akhbar tempatan hari ini PM Dollah Badawi memberikan respon terhadap soalan wartawan berhubung isu ini, kata beliau:

Apa yang disibukkan (pilihan raya). Kita tidak bubar Parlimen, macam mana dia (Abdul Rashid) tahu (tarikhnya). Bubar Parlimen saya yang tentukan apa yang disibukkan.

Bermakna kenyataan Rashid yang terbit dalam akhbar tempatan Jumaat lepas adalah satu pembohongan. Beliau mendakwa kononnya tahu bila tarikh pilihan raya, tetapi Dollah menafikan dan malah mempertikaikandari mana Rashid tahu sedangkan beliau sendiri belum berbuat apa-apa.

Kalau Rashid seorang yang bermaruah beliau samada perlu meminta maaf secara terbuka atau meletakkan jawatan kerana reaksi PM di Kuala Terengganu ini sekaligus mengecap Rashid sebagai seorang Tan Sri yang pembohong! Atau mungkinkah Rashid memang seorang yang sedemikian, entahlah?

Mana Polis mana BPR?

Saya sungguh terperanjat apabila mendapat tahu darihal sidang akhbar yang dipanggil oleh seorang peguam dan bekas ahli Parlimen Bukit Bintang, Sdr Wee Chee Keong semalam. Laporannya boleh didapat dalam akhbar-akhbar tempatan kecuali Utusan Malaysia.
Dalam sidang akhbar tersebut Wee telah mendedahkan laporan polis yang dibuat oleh adik peguam kontroversial VK Lingam iaitu V.Thirunama Karasa, 49 tahun, di Balai Polis Brickfield pada 19 Mac lalu (sebelum itu satu lagi laporan telahpun dibuat pada 16 Mac di balai yang sama).

Antara kandungannya:

Beliau menyaksikan Lingam menyerahkan sekeping cek bernilai RM50,000 kepada seorang hakim Mahkamah Perusahaan.

Beliau membantu dalam menjayakan sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Lingam untuk seorang bekas Ketua Hakim Malaya dan keluarganya. Turut hadir seorang bekas Ketua Mahkamah Rayuan dan isterinya.

Beliau diarahkan menyerahkan sebuah beg kulit baru yang di dalamnya mengandungi beberapa dokumen, dompet dan beg tangan kulit untuk wanita ke rumah seorang hakim kanan

Beliau telah beberapa kali menghantar Lingam ke rumah seorang bekas Ketua Hakim Malaya sekita jam 11.30 malam dan setiap kali Lingam akan keluar dari rumah tersebut sekitar jam 12.30 malam atau 1 pagi

Beliau pernah diarahkan menghantar sebuah beg yang berat kepada seorang hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau dan seorang rakan pernah menghantar dua buah telefon bimbit baru ek seorang Hakim Mahkamah Rayuan

Beliau pernah diberi wang tunai untuk mebayar bil telefon bimbit seorang bekas Ketua Polis Negara

Dalam heboh Perdana Menteri mengumumkan yang sebuah Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan untuk menyiasat video VK Lingam yang didedahkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua bulan lepas, kini terbit pula perkembangan terbaru ini.Yang anehnya adik Lingam itu mendakwa yang beliau telah membuat tiga laporan berasingan kepada BPR berhubung pembabitan abangnya dengan rasuah.

Mengapa pihak polis seolah mendiamkan diri dan menutup laporan polis yang dibuat oleh adik Lingam ini iaitu kira-kira 8 bulan lau?! Mengapa pihak BPR menyepi diri kepada laporan-laporan yang dibuat oleh adik peguam ini? Apabila muncul kes video VK Lingam kedua-dua pihak polis dan BPR seakan konon-kononnya terperanjat. Ketua Pengarah BPR pula berlakon seolah perkara ini perkara baru dan mengancam mahu menangkap Anwar pula, sedangkan rupa-rupanya telah pun ada laporan polis dan BPR dibuat terlebih dahulu.

Saya kira dengan perkembangan ini kes rasuah dan salah-guna kausa membabitkan badan kehakiman sudah menjadi semakin serius dan parah. Pihak polis dan BPR pula bagaikan membisu dan seakan bersubahat dalam hal ini.

Oleh itu dengan perkembangan terbaru ini Suruhanjaya Diraja yang bakal dibentuk itu perlu juga menyiasat mengapa pihak polis dan BPR tidak mengambil tindakan terhadap laporan-laporan mengenai VK Lingam yang dibuat oleh adiknya. Jika ada usaha untuk menutup atau menyembunyikan kes ini maka tangkap dan dakwa mereka yang terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Syabas Thirunama yang menyebut bahawa beliau sanggup mendedahkan kes ini walaupun melibatkan abang kandungnya sendiri kerana beliau berasa bersalah. Kembalikan kebebsan kehakiman, seret dan dakwa hakim-hakim, polis dan pegawai kerajaan yang bersubahat meruntuhkan institusi ini.

Sunday, November 18, 2007

Rashid SPR bagaikan kera sumbang

Apabila Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa beliau kononnya telah tahu bila tarikh pilihanraya umum ke 12 akan diadakan, saya tergelak seorang diri. Inilah karekter dan gelagat Rashid yang ramai telah masak melihatnya. Ada kawan-kawan yang minta reaksi saya, saya katakan malas nak mengulas kerana Rashidnya memang pelik dan kadangkala buruk perangainya.

Sebenarnya hanya PM sahaja yang tahu bila beliau mahu membubarkan parlimen dan memanggil pilihanraya. Kalau pun telah ada tarikhnya, logikkah dengan Rashid orang yang sepatutnya beliau berkongsi maklumat itu? Siapakah Rashid jika tidak sekadar pihak yang diberikan tanggungjawab menegandalikan pilihanraya. Rashid bukan TPM atau Timbalan Presiden Umno untuk diberikan keutamaan bagi dikongsikan tarikh pilihanraya walaupun bidangtugas beliau berkaitan pilihanraya.

Terbukti sehari kemudian TPM dan Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan hairan bagaimana Rashid boleh tahu akan tarikh tersebut. Malah Naib Presiden MCA, Chua Soi Lek juga mengeluarkan kenyataan menyebut:

Itu bukan tanggungjawab dia. Tanggungjawab dia adalah untuk memastikan jentera pilihan raya dan pentadbiran yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya itu berjalan lancar dan tidak dipertikai oleh sesiapa. Hanya Perdana Menteri mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengumumkan tarikh pilihan raya.

Tidakkah reaksi ini memberikan aib kepada beliau dan SPR. Tetapi adakah Rashid jenis orang yang mudah merasa dirinya aib dan diaibkan?

Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Disaat rakyat jelata mempertikaikan ketelusan dan kemampuan SPR mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil, tiba-tiba Rashid sibuk mahu jadi PM dengan mempolitikkan tarikh pilihanraya. Akhirnya hari ini beliau menjadi bahan gelak ketawa, dan pasti terjejas dan tercemar maruahnya. Saya dapat tahu tempoh ataupun penggal perkhidmatan Rashid dijangka tamat hujung tahun ini, kalau begitu cepat-cepatlah menyediakan diri untuk melalui zaman persaraan, tak perlulah nak meraih publisit murah dengan nak menjual tarikh pilihanraya pula. Selamat jalan Rashid, anda akan dikenang sebagai Pengerusi SPR yang paling buruk rekod perkhidmatannya.

Saturday, November 17, 2007

Memorandum telah pun diserahkan kepada Agong, apa lagi?

Salah seorang sahabat kita menurunkan komen tersebut dalam ruangan komen di BLOG ini:

Bro Roslan,

KEcoh di TV3 dan Utusan, Sultan Mizan tidak memperkenan perhimpunan BERSIH.Apa dah jadi Bro Roslan? Saya bermatian-matian berdebat dengan rakan2 saya bahawa Sultan Mizan berkenan membuka pintu istana untuk wakil bersih ... sekarang saya dah malu sendiri ... apa yg saya nak jawab kepada kawan2 saya tuh?

rizal 11.17.07 - 11:59 am

Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan Sdr Rizal dan saya percaya ramai lagi yang seperti saudara.

BERSIH tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa SPB YDP Agong merestui PERHIMPUNAN AMAN RAKYAT pada 10 November lalu. Ianya perhimpunan rakyat, suatu perhimpunan masyarakat sivil yang bersepakat mahu menyerahkan memorandum tuntutan berkenaan kepincangan sistem pilihanraya.

Soalnya kepada siapa mahu mereka menyerahkan memorandum itu, kepada SPR? Atau kepada PM? Sesungguhnya banyak usaha telah dibuat oleh BERSIH dan pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawahnya untuk mengenengahkan perkara serius ini, namun tidak ada pihak yang mahu melayan dan sebaliknya tuntutan itu ditolak mentah-mentah.

SPB YDP Agong adalah payung rakyat. Institusi SPB YDP membentuk sebahagian dari Parlimen selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dan lebih penting lagi Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dilantik atas perkenanan Baginda.

Lalu rakyat terdesak dan tiada pilihan selain menyerahkan memorandum bantahan tersbut kepada Raja mereka iaitu SPB YDP Agong.

Soal Tuanku merestui atau memperkenankan perhimpunan tersebut tidak berbangkit kerana ia tidak perlu membabitkan Baginda, ianya himpunan rakyat bagi menunjukkan betapa bersungguhnya dan komitednya rakyat dalam perjuangan ini.

Lalu mengapa himpunan tersebut berarak menuju ke Istana Negara?

Istana Negara menjadi tumpuan kerana Tuanku telah memberikan perkenan untuk menerima sembah memo tersebut dari BERSIH. Jika tiada perkenan Tuanku masakan memo tersebut dapat diserahkan, dan masakan pihak polis akan mengizinkan rakyat jelata menghampiri Istana. Isu samada Tuanku bersetuju atau tidak dengan kandungannya adalah perkara kedua, yang penting Tuanku berkenan menerimanya.

BERSIH tidak perlu berlagak jantan melayangkan perkenan Tuanku itu untuk tontonan ramai. Cuma perkembangan ini jelas membuktikan yang pihak-pihak tertentu mula merasa cemas, dan kini berusaha melaga-lagakan Baginda, Raja-raja Melayu dengan rakyat jelata.

Bagi mereka yang maklum akan isu ini dan hadir di perkarangan Istana pada petang hari Sabtu yang bersejarah itu, akan tahu bahawa SPB YDP telah pun memperkenankan penyerahan memo itu kepada wakil Baginda dan memo itu telahpun diserah dan diterima. Yang lainnya biarlah wakil, ejen dan juak-juak mereka yang tidak berpuas hati, putarkan mengikut nafsu dan kemahuan serakah mereka.

Begitulah sepatutnya respon kita, Sdr Rizal dan sahabat-sahabat lain, berani kerana benar, insyallah.

Friday, November 16, 2007

Nazri dan Khairy kecundang di al Jazeera

Al Jazeera diserang kerana kononnya memberikan laporan berat sebelah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar terhadap apa yang berlaku pada hari Sabtu lepas 10 November bersempena Perhimpunan Aman BERSIH di Kuala Lumpur. Al Jazeera yang ketika itu membuat laporan terus dari perkarangan Masjid Jamek dikatakan kononnya berhasrat memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan Malaysia.




Sebagai sebuah rangkaian berita berstatus antarabangsa yang bebas dan berwibawa (dan mempunyai pengkalan pula di KL), Al Jazeera cuba menangkis serangan kerjaan itu dengan mengadakan sebuah majlis forum bagi membincangkan secara terbuka perhimpunan tersebut dan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH. Dengan beraninya Al Jazeera telah mengundang Nazri Aziz, Menteri di JPM dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga menantu PM Dollah Badawi. Turut diundang adalah Malik Imtiaz, seorang peguam hak asasi tempatan. Pengacara tekenal, Teymnoor Nabil telah bertindak sebagai moderator.

(Menurut Jeff Ooi, Zaniuddin Maidin pada awalnya diundang, tapi menolak. Takut?)

Kepada mereka yang sempat menonton rancangan ini akan dapat memerhatikan betapa Nazri dan Khairy terutamanya cuba seolah mahu merampas forum tersebut untuk kepentingan mereka (mungkin mereka terlupa yang ini bukan rancangan RTM, dan moderatornya bukan Johan Jaafar), tetapi ternyata pengalaman Teymnoor berjaya menangani keghairahan dan ego kedua pemimpin Umno itu.

Banyak point yang menarik yang telah dibangkit dan dibahaskan. Saya kagum melihat betapa dengan penuh terkawal dan profesionalisma yang menyerlah, Malik Imtiaz berjaya memberikan input dan ulasan yang menarik selain mematahkan tohmahan, fitnah dan serangan kedua-dua Nazri dan Khairy itu.

Apabila Teymnoor menyatakan yang media arus perdana seakan cuba menggelap dan memutar-belitkan perhimpunan terbesar dan bersejarah rakyat Malaysia itu, Nazri melompat mempertahankan media arus perdana tempatan. Kata beliau mereka berhak melaporkan apa yang mahu dan sesungguhnya tidak ada masalah dengan kebebsan media di Malaysia. Malik menafikan kenyataan Menteri itu dengan menegaskan bahwa hakikatnya media tempatan di Malaysia dikongkong menurut kemahuan kerajaan yang memerintah.

Kedua-dua Nazri dan Khairy cuba menggambarkan yang perhimpunan BERSIH itu sia-sia dan tidak mencerminkan hasrat rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kata Nazri amalan biasa di Malaysia bagi menuntutu perubahan adalah melalui peti undi dan pilihan raya diadakan secara regular di Malaysia. Khairy pula mempertahankan bahawa SPR sendiri telah banyak memperkenalkan perubahan atas nama reformasi pilihan raya, himpunan BERSIH ini kata Khairy lagi adalah didalangi pihak pembangkang.

Manakala Malik pula menyatakan bahawa perhimpunan BERSIH yang besar itu sesungguhnya adalah manifestasi kuatnya tuntutan untuk reformasi pilihan raya itu sendiri yang datangnya dari masyarakat sivil (civil society). Malah tambah Malik jika pihak polis tidak mengadakan sekatan jalanraya di sekitar KL dan menganggu mereka yang mahu hadir, sudah pasti lebih ramai lagi akan hadir.

Apa yang menarik adalah pengakuan Nazri apabila dikuit oleh Teymnoor, yang bertanya:

Is there a need for electoral reform (in Malaysia)?
Apakah perlu reformasi terhadap (sistem) pilihanraya (di Malaysia)?


Dengan style biasanya yang bongkak dan sombong itu Nazri menjawab:

No!

Kemudian apabila terasa yang seolah dia terperangkap dengan jawapan yang separuh masak itu, Nazri terikut-ikut pula rentak Khairy yang mengatakan tidak perlu ELECTORAL REFORM tetapi apa yang mungkin perlu adalah A CHANGE IN ITS PROCESS (perubahan dalam prosesnya?) Tak tahulah apa beza antara keduanya?

Malik membuat kesimpulan bahawa:

The fact is there are serious flaws
Jelasnya terdapat banyak kelemahan besar

Kata Malik sebagai bukti, pilihlah mana-mana akhbar media perdana dan anda tidak akan dapat mendengar (membaca) langsung suara dari pihak pembangkang.

Begitulah realiti apa yang ada di Malaysia hari ini dan impak dari Perhimpunan Aman BERSIH tempoh hari. Kalau Nazri mencerminkan pandangan kerajaan dan Khairy pula membawa pandangan Umno, jelas kedua-duanya tertekan dan kelihatan sumbang dalam mahu menegakkan benang yang basah. Mereka lupa yang aksi, sikap dan jawapan mereka malam itu bukan hanya disaksikan oleh rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.

Bagi saya 101 East semalam telah berjaya menelanjangkan kelemahan sistem pilihanraya dan demokrasi di Malaysia dan yang membogelkannya untuk tontonan dunia bukan puluhan ribu mereka yang hadir dalam Perhimpunan Aman BERSIH itu Sabtu lalu, bukan Al Jazeera, bukan juga Teymnoor atau Malik Imtiaz, tetapi yang mengaibkan dan menconteng arang ke wajah kerajaan Malaysia pimpinan Dollah Badawi adalah Nazri dan Khairy, bayangkan kalau Zainuddin Maidin yang hadir.

Terima kasih Al Jazeera, syabas rakyat Malaysia, perjuangan kita baru bermula.

Thursday, November 15, 2007

Mungkin kabinet juga perlu dihadiahkan penyapu

Abdullah Badawi mengecewakan demikian pandangan Ahmad Mustapha Hassan bekas Setiausaha Akhbar kepada Tun Razak dan Tun Dr Mahathir. Dollah memulakan langkahnya dengan pelbagai slogan tetapi semuanya gagal, menurut Mustapha. Mustapha memberikan pandangan demikian dalam temuramah eksklusif beliau bersama Malaysiakini.

Hari ini kalau kita baca akhbar-akhbar tempatan, kita mungkin bersetuju dengan pandangan Mustapha itu. Kabinet telah membuat keputusan bahawa kes video kontroversi peguam VK Lingam, kini diserahkan pula kepada 3 orang Menteri untuk mengkaji laporan panel penyiasat diketuai bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar. Menurut laporan TV3 semalam, kabinet tidak dapat membuat keputusan kerana kertas laporan Panel Penyiasat itu baru sahaja diterima oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Mengapakah kerja yang berulang-ulang dilakukan? Apakah kabinet tidak berpuas hati dengan pandangan Panel Penyiasat atau syor panel itu tidak menepati selera PM dan kabinet? 3 orang menteri yang dilantik kabinet semalam adalah Nazri Aziz, Radzi Sheikh Ahmad dan Rais Yatim. Saya tidak pasti dengan yang lain, tetapi Nazri adalah antara yang telah pernah membuat ulasan dan komen terhadap isu ini, tidakkah mungkin berlaku BIAS atau berat sebelah apabila seseorang yang telah pun menunjukkan sikapnya disuruh pula membuat kajian?

Menurut laporan akhabr Cina, Sin Chiew, ketiga-tiga anggota Panel Penyiasat sebulat suara mengesyorkan agar sebuah Suruhanjaya Penyiasat Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat secara rasmi kes video VK Lingam ini. Mengapakah kabinet enggan memberi laluan? Mungkinkah ada bangkai yang mahu ditutup dan dikatup disini?

Kalau Dollah duduk sebagai YDP di Hulu Selangor, pasti beliau dan anggota kabinetnya akan dihadiahkan dengan penyapu oleh Khir Toyo!

Pemimpin tekukur, beruk dan beruang

Yang paling menarik perhatian saya dalam akhbar tempatan hari ini adalah berita mengenai pelancaran buku THE UNMAKING OF MALAYSIA karangan Ahmad Mustapha Hassan bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas PM Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir. Buku tersebut telah dilancarkan oleh bekas TPM Tun Musa Hitam semalam.

Menurut THE STAR, Tun Musa berkata, syarat-syarat yang digunakan untuk memilih pemimpin hari ini berbeza dengan zaman dahulu. Dulu kata Musa, seseorang itu diuji samada ia layak atau tidak berkhidmat untuk rakyat. Tetapi hari ini syaratnya adalah, adakah sesorang itu boleh dipercayai ataupun tidak.

Semasa Allahyarham Tun Razak dulu kata Musa, bakal-bakal pemimpin dipilih berdasarkan kemampuan mereka bekerja keras dan sejauh manakah mereka mampu berkhidmat kepada rakyat. Soalan yang sering ditanya dahulu adalah adakah seseorang itu boleh bekerja, boleh berkhidmat dan boleh melaksanakan tugasnya?

Malangnya hari ini tambah Musa syarat-syarat itu telah lupus begitu sahaja. Hari ini yang ditanya adakah kita boleh percaya si anu dan dan si anu itu. Dan dari situlah menurut Musa, masalahnya bermula.Kejujuran dan integriti buaknnya aset tetapi menjadi penghalang kejayaan seseorang hari ini!

Musa Hitam seperti biasa adalah seorang pemimpin yang tajam tetapi sukar dibaca.
Bagi saya Musa memilih majlis pelancaran buku ini untuk melontarkan kritikkannya kerana kebetulan buku Ahmad Mustapha itu juga kritis dan tajam sehingga mendakwa bahawa dua orang tokoh korporat besar hari ini iaitu Ananda Krishnan dan Vincent Tan, kedua-duanya telah memungkiri janji, tidak mengenang jasa dan khidmat yang telah beliau taburkan kepada mereka sehingga mereka mampu berjaya.

Balik kepada kata-kata Musa di atas, bermakna pemimpin sekarang perlu menjadi YES MAN, mengamalkan budaya burung tekukur yang dibela, menyanyi dan mengangguk menurut perintah dan kemahuan tuannya. Lebih kasar lagi umpama beruk dan beruang sarkas. Jangan sekali-kali mengangkat suara atau berani menegur bimbang nanti tidak lagi dipercayai dan dicap durhaka. Tidak hairanlah pada hari ini yang ada di hadapan kita adalah tekukur, beruk dan beruang belaka.

Saya teringat semasa Marina Yusof (bekas ahli MT Umno) berada bersama barisan pembangkang satu ketika dahulu, beliau pernah berkata bahwa antara yang vokal dalam MT Umno semasa Tun Dr Mahathir menjadi Presiden adalah beliau, Tun Musa, Tengku Razaleigh dan Shahril Samad. Lalu mereka semua disenari hitamkan. Pernah kata Marina beliau menegur Tun M, lalu Tun M melenting dan berkata:

Marina why cant you be like the three monkeys

(Theree monkeys yang dimaksudkan: See no evil, hear no evil, speak no evil – membuta, memekak dan membisukan diri)

Zaman Dollah Badawi sekarang bagaimana? Kerana yang Musa Hitam maksudkan sebagai syarat-syarat baru itu adalah pemimpin hari ini! Soiapakah pemimpin hari ini jika tidak yang berkuasa dan memerintah hari ini. Dollah akan terima dan bela cuma yang boleh beliau percaya sahaja, yang tidak, pasti akan dicantas dan digugur lebih-lebih lagi dah dekat musim pilihan raya ini.

Pasti yang cemas dan menggigit jari hari ini termasuklah Tengku Razaleigh, Zaid Ibrahim, Aziz Samsuddin dan panjang lagi senarainya............

Wednesday, November 14, 2007

Jangan goyah jangan goncang

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri apabila mengulas Perhimpunan Aman BERSIH Sabtu lepas menyebut, jangan bermain dengan api perkauman. Saya tidak pasti siapakah yang bermain dengan api perkauman Sabtu lepas. Yang saya tahu perhimpunan tersebut disertai oleh parti-parti politik dan lebih 60 NGO dari pelbagai lapisan kaum dan agama. Tidak ada sesiapa pun yang membawa mesej perkauman selain menuntut pilihnaraya yang bersih dan adil.

Hari ini dalam akhbar tempatan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin menyebut jangan terpengaruh dengan ekstrimis agama pula. Kononnya kata anak Maidin ini terdapat kumpulan ektrimis agama yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenagi sokongan rakyat termasuklah dengan mencabar kerajaan dan menganjurkan perhimpunan haram.
Mula-mula ektrimis perkauman dan kini ekstrimis agama pula.

Bagi saya Perhimpunan Aman BERSIH hari Sabtu lepas yang menurut angka kerajaan dihadiri sekitar 4,000 ke 10,000 orang itu telah berjaya menggegar kedudukan Umno dan BN. Pihak kerajaan menjangkakan yang perhimpunan itu akan dapat digagalkan bermula dengan keenganan pihak polis mengeluarkan permit, diikuti dengan pelbagai ancaman dan terakhir amaran dari Presiden Umno dan PM sendiri bahawa jangan mencabar beliau.

Rupa-rupanya rakyat terus juga berhimpun atas keyakinan bahawa selaku warganegara Malaysia mereka berhak untuk berhimpun dan apa lagi untuk menyerahkan suara mereka kepada Raja mereka yang dikasihi.

Perhimpunan Aman BERSIH itu berjaya membuka mata rakyat dan dunia bahawa Malaysia walaupun sebuah negara demokrasi dan mengadakan pilihan raya setiap 5 tahun sekali, namun sistemnya pincang dan tempang. Sepatutnya jika Umno dan BN tidak mahu terperangkap dengan gelombang rakyat ini, akui sahaja keperluan untuk reformasi sistem pilihanraya ini. Yang perlu dirobah dan diperbaiki adalah sistem pilihnaraya. Memorandum bantahan itu bukannya membantah Umno dan BN tetapi SPR dan sistem pilihanraya.

Jadi tak perlulah goyah dan goncang. PAS, PKR dan DAP mahu menang pilihanraya. Bukannya merampas kuasa dengan kekerasan atau apa sahaja cara yang tidak demokratik. Yang penting sekarang adalah memastikan demokrasi itu benar-benar wujud dan beroperasi. Jika Umno dan Bn tidak senang malah berasa cemas dan terancam dengan Perhimpunan Aman BERSIH ini bermakna mereka sengaja tidak mahu kepada pilihanraya yang bersih dan adil.

Aksi Khir Toyo dipenyapukan

Poll di Buletin Utama TV3 semalam mengukur sejauh manakah reaksi orang-ramai terhadap hadiah PENYAPU yang diberikan oleh MB Selangor Khir Toyo kepada dua agensi kerajaan di Selangor kerana lemah dalam kutipan hasil dan tunggakan. Keputusan akhirnya 65% responden tidak setuju.

Rata-rata orang-ramai merasakan tindakan Khir itu sangat melampau dan malah menghina mereka yang berkenaan.

Di Parlimen semalam, isu penyapu ini turut dibangkitkan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azizah Mohd Dun sendiri menyebut bahawa beliau secara peribadi tidaks etuju dengan tindakan Khir itu. Ketua BBC BN Raja Ahmad Zainuddin menegaskan bahawa penyapu itu sesuatu yang dianggap sial dalam budaya Melayu dan menjadikan ianya hadiah tidak langsung mencerminkan budaya sebuah negara maju.

Dalam akhbar The Star, Presiden CUEPACS Omar Osman kesal dengan tindakan Khir itu dan merasakan terdapat banyak lagi cara dan kaedah untuk memeberi nasihat dan amaran kepada agensi yang tidak menepati sasaran, bukannya dengan tindakan penghinaan seumapam ini dikhalayak ramai.

Seorang pembaca akhbar The Star, Kay Arr (Petaling Jaya) dalam ruangan pandangan para pembaca menulis, bahawa tindakan Khir itu sangat memeranjatkan dan sungguh menghina. Memberi amaran secara umum sudah boleh dianggap memalukan tetapi menghadiahkan pula PENYAPU secara terbuka dihadapan khalayak ramai dengan dihadiri para wartawan adalah suatu penghinaan.

Jelas Khir kali ini terperangkap dengan keghairahannya mahu menonjolkan diri, rupa-rupanya aksi bodohnya terkena ke atas batang hidungnya sendiri (yang dulu kemek tetapi kini sudah di repair cantik). Beginikah cara seorang MB sebuah negeri yang kononnya maju? Kaedah pengurusan dengan cara memalu dan mengaibkan kakitangan secara terbuka seumpama ini tidak pernah dilakukan dimana-mana negeri maju pun.

Cuba kita lihat apa kata YDP Majlis Daerah Hulu Selangor yang menerima salah sebatang penyapu hadiah dari Khir itu:

Sesiapa pun memang sukar hendak menerima penyapu sebagai hadiah tetapi saya bersifat budiman, naik juga (ke pentas) dengan perasaan macam-macam.

Jangan kita mudah menghina dan menjatuhkan maruah orang dihadapan khalayak ramai,satu hari nanti ditakdirkan Tuhan, kita pula menerima padahnya. Inagt, MB Selangor, 3 orang bermula dari Harun Idris, Mat Taib dan kemudian Abu Hassan semuanya jatuh dalam keadaan yang sungguh mengaibkan. Mungkinkah selepas ini giliran Khir?

Tuesday, November 13, 2007

Nazri Aziz malapetaka besar Parlimen Malaysia

Kabinet Malaysia adalah menteri-menteri yang dilantik oleh Perdana Menteri untuk memainkan peranan eksekutif dalam mentadbir negara. Bukan senang untuk duduk menganggotai kabinet, sudah pastilah mereka yang ebrjaya ke sana adalah terdiri dari warga Malaysia yang berkhlak mulia dan berpekerti baik. Kalau seseorang yang berakhlak buruk, mengamalkan budaya samseng dan kurang ajar, sudah pastilah orang seperti ini tidak layak dan tidak cocok untuk menganggotainya.


Menteri-menteri kabinet disamping menganggotai kabinet yang dipengerusikan Perdan Menteri serta menjalankan tugas mereka mengikut portfolio masing-masing sebagaimana ditetapkan PM, juga diminta bertanggungjawab kepada Parlimen berhubung portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada mereka itu.

Hari ini akhbar-akhbar tempatan merakamkan amuk seorang menteri di Parlimen apbila dibangkitkan isu Perhimpunan Aman BERSIH Sabtu lepas di Parlimen. Menteri itu turut melenting dan bertikam lidah dengan Ketua Pembangkang Sdr Lim Kit Siang yang turut menyertai perhimpunan itu.
Ahli parlimen Kuala Nerus dari Umno memohon penjelasan dari Menteri di JPM Nazri Aziz berhubung perhimpunan itu lalu inilah jawapannya, seorang menteri kabinet dalam kerajaan Dollah Badawi:

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat tak payah fahamlah, memang kepala tak betul di sana Itu [Dewan riuh]. Dalam istilah orang muda sekarang ini wayar putus, kepala wayar putus.

Macam mana nak kata tak adil, saya boleh kata kalau Anwar Ibrahim dia kalah bertanding pilihan raya, dia nak bangkit nak katakan tak adil. Ini menang pun tak adil, dia lupa. Sebab itu saya kata kepala tak betul, tak payah dok faham dia. Namun Yang Berhormat, sebenarnya dia dah tahu dalam pilihan raya akan datang dia akan kalah, kalah teruk saya nak bagi tahu.
Sebab itu sekarang smoke screen, dia cuba nak wujudkan satu suasana dia ambil tindakan menunjukkan bahawa iaitu SPR tidak adil. Bila dia kalah nanti dia kata itulah tak adil. Jadi perkara ini orang-orang ‘pondan’ macam pembangkang tak payah layan pandangan mereka ini. Kita percaya SPR adalah adil.

Tanyalah mana rakyat Malaysia sekalipun adakah layak jawapan seumpama ini diberikan dalam Dewan Rakyat, sebuah badan legislatif tertinggi dalam negara? Sudah pasti semua yang waras akan bersetuju bahwa menteri berkenaan keterlaluan, emosional dan tidak rasional dalam menjalankan tugasnya. Kerana itu Ketua Pembangkang (Lim Kit Siang - Ipoh Timur) bangun dan berkata:

Inilah jawapan yang sangat tidak bertanggungjawab,kita serius bukan main-main politik.Soalan di sini ialah mengenai daftar pemilih atau electoral rules banyak kecacatan sama ada bukan sahaja ada pengundi hantu dan yang beraksasa tetapi ada post ballot yang dijalankan tanpa keadilan.Dua hari lalu adalah satu perhimpunan raksasa yang aman, berpuluh-puluh ribu orang yang keluar yang menunjukkan komitmen mereka kepada demokrasi, cinta demokrasi, cinta keadilan dan menyampaikan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya ada perubahan elektro.

Adakah kerajaan rela untuk ada satu positive response bukan buat respons tidak bertanggungjawab dan membuat tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan yang liar semacam mahu mengheret institusi raja dan Yang di-Pertuan Agong kepada kancah politik, itu tidak benar. Oleh kerana institusi raja dan Yang di-Pertuan Agong ialah fountain of justice dan fountain of keadilan. Bukankah kerajaan ada tanggungjawab supaya menjaga maruah institusi raja sebagai fountain of justice supaya melayani tuntutan-tuntutan adakah electoral reform dan bukan menjatuhkan status institusi raja dalam perkara ini.

Bagi saya Nazri Aziz ini bukan hanya tidak layak duduk di parlimen malah kehadirannya di sana lebih mengaibkan kerajaan PM Dollah Badawi. Dan ini bukan kali pertama beliau melenting bagaikan orang separuh tiang, telah acapkali beliau berperangai demikian. Inilah contoh modal insan yang dilahirkan Dollah, bengis, biadap dan kurang ajar.

Ketika bertelagah dengan Kit Siang semalam beliau turut dilaporkan oleh hansard sebagai berkata:

Bodoh, buta, pekak. Tuan Yang di-Pertua,saya nak beritahu di sini ini...
Orang macam Nazri ini setanding akhlaknya dengan Mat-mat Rempit yang mengganas di jalan-jalanraya kita. Syabas Nazri kerana menzahirkan akhlak dan keperibadian sebenar anda. Syabas Pak Lah!