Saturday, November 03, 2007

BPR ugut mahu dakwa Nik Aziz

Banyak perkara yang berada ditangan mereka yang masih belum selesai (dan ada yang pengap begitu sahaja) sehingga kini. Ada laporan yang telah dibuat bertahun-tahun lamanya namun tiada tindakan susulan. Ada dakwaan terhadap seorang Menteri Pusat yamg masih berkhidmat, namun tiada tindakan. Kini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof mendakwa bahawa BPR sengaja membocorkan beberapa maklumat rahsia untuk mengkambing hitamkan beliau. Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Datuk Shahrir Samad mendakwa yang BPR hanya mendakwa ikan-ikan bilis (yang jerung terlepas atau dilepaskan). Kes straight forward video VK Lingam pun tak mampu diambil tindakan (Datuk Seri Anwar pula mahu ditangkap dan didakwa).


Tiba-tiba Ketua Pengarah BPR, yang sepatutunya sibuk dengan isu-isu yang lebih besar ini dengan angkuh mahu bertindak terhadap MB Kelantan Tok Guru Nik Abd Aziz pula. Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini:

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit dinasihatkan supaya segera melaporkannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, jika Nik Aziz gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap beliau mengikut Seksyen 17, Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Di bawah seksyen itu, mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Beginikah seorang Ketua Pengarah berurusan dengan seorang yang bertaraf MB? Saya percaya jika Tok Guru adalah MB dari BN pasti Ketua Pengarah BPR itu tidak akan berani membuat sebarang kenyataan seumpama ini. Dan lebih penting lagi inikah sikap seorang Ketua Pengarah yang sepatutnya profesional dan tidak melenting dan mencuri publisiti murahan. Saya bukan bermaksud mahu mengajar Ahmad Said yang mungkin kini menyangka dirinya sudah begitu popular (tanpa mengambil kira dakwaan Datuk Ramli terhadap beliau) tetapi jika benar beliau prihatin terhadap kenyataan Nik Aziz, bukankah lebih berakhlak jika dihantar pegawainya bertemu dengan MB Kelantan itu di pejabat dan tidak membuat kenyataan dalam akhbar sebegini.

Dalam ramai-ramai MB dan KM di Malaysia saya yakin dan percaya Nik Aziz adalah orang yang terkahir mahu melanggar undang-undang dan peraturan negara. Jika saya prejudis, saya cabar, tanyalah sesiapa sahaja rakyat Malaysia di luar sana.

Jangan Ahmad Said mahu menjadi popular dengan bermain politik, untuk dipuji dan mendapat tempat dihati orang politik. Kalau betul Nik Aziz telah melakukan kesalahan, sila ambil tindakan tetapi jangan pula menyepi dan mendiamkan diri pada kesalahan-kesalahan yang lebih besar dan jelas yang dilakukan oleh orang-orang atasan yang lebih busuk dan bergelumang najis itu!
Seret dan dakwalah Nik Aziz di bawah Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah yang kononnya beliau telah langgar itu, dan mari kita semua lihat bagaimana diputuskan kes itu nanti di mahkamah.

No comments: