Realiti hidup yang semakin menyeksa
Dua hari lepas semasa beratur untuk membayar petrol di sebuah stesyen minyak, saya terdengar pelanggan di hadapan saya merungut. Beliau membeli sebuku roti, rupanya harga roti telah naik pagi itu. Tadi saya singgah di sebuah kedai mamak di Subang Jaya, saya dapati roti canainya sudah semakin mengecil, tidak lagi dihidangkan dalam pinggan biasa, tetapi piring yang lebih kecil. Harga teh tariknya juga sudah meningkat.
Begitulah realiti kehidupan kita hari ini.
Kebetulan akhbar The Sunday Star semalam memberi liputan 4 muka (bermula dengan tajuk besar muka hadapan: On the rise) berkenaan harga barangan yang semakin mencacak naik dan kesannya ke atas kehidupan rakyat. Saya hairan, kenapa akhbar Melayu tidak berminat membuat laporan berkenaan keadaan yang menimpa rakyat ini, sebaliknya lebih padat dengan berita yang menjulang dan memuji pemimpin disamping gosip dan berita hiburan.
Menurut akhbar berkenaan Indek Harga Pengguna atau CPI dilaporkan cuma naik 2% dari Januari ke September tahun ini, iaitu satu kenaikkan yang kecil, tetapi hakikatnya harga barangan pengguna rata-rata naik melebihi 20% tahun ini. Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) indeks berkenaan hanya membuat bacaan purata tetapi hakikatnya harga barangan meningkat lebih dari 2%.
Malangnya kita tersepit dalam keadaan harga barangan yang melonjak naik sedangkan upah dan gaji beku dan tidak berganjak (kecuali bagi kakitangan awam yang baru sahaja menerima kenaikkan Julai lepas). Malah kenaikkan bagi kakitangan kerajaan seolah tidak bermakna apabila kenaikkan harga barangan kembali mengecilkan pertamabahan pendapatan mereka yang berkenaan.
Pengarah Urusan Mydin Mohammaed Holdings, Datuk Ameer Ali dipetik sebagai berkata bahwa gaji permulaannya 26 tahun lalu (kira-kira tahun 1981) adalah RM1,400 sebulan. Kini kata Ameer beliau menggajikan seorang lepasan ijazah tetap pada kadar yang sama. Kata beliau:
There is something wrong here. In every other developed country the minumum wage has increased by at least 100%.
Terdapat sesuatu yang silap disini. Di negara-negara maju lain, gaji minimanya telah meningkat sekurang-kurangnya 100%.
Memang there a lot of wrongs here!
Bayangkan tahun lepas kita membayar tol di LDP hanya RM1.00, kini naik ke RM1.60. Kini dengan RM13 hanya dapat membeli seekor ayam sedangkan sebelum ini boleh dua ekor. Susu tepung bayi dahulu sekitar RM16.50 setin kini RM17.90 (jenama sederhana). Gerai burger sebelum ini menjual burger pada harga RM2 satu kini naik ke RM2.30. Sesiapa yang biasa bayar kadar elektrik pada harga RM40 sebulan kini dengan penggunaan yang sama membayar RM70. Harga teh bunga kering sekarang adalah RM60 se kilo sedangkan sebelumnya RM30 sekg.
Seorang juruteknik, Azmi Hamid, yang ditemuramah oleh akhbar ini menyebut yang beliau membawa pulang pendapatan termasuk ot sebanyak RM1,500 sebulan. RM300 diguna untuk membayar sewa rumah (baki RM1,200), RM500 untuk bayar instalmen kereta (baki RM700), RM250 untuk belanja persekolahan tiga orang anaknya (baki RM450), RM90 untuk bil utiliti (baki RM360). Bermakna setelah tolak kos tetap bulanan, beliau cuma tinggal dengan RM360 ditangan, pakaian, minyak kereta, tol, makan-minum dan belanja pasar? Berapa pula yang boleh ditabungkan sebagai simpanan?
Mungkinkah Perhimpunan Umno mulai hari ini ada masa untuk membincangkan perkara ini? Atau ianya juga dikira sesuatu yang sensitif yang tidak boleh dibincang?
Kerana itulah bagi para pekerja disektor swasta gaji minima dan COLA yang dituntut oleh MTUC bagi pihak mereka itu sangat penting dan bermakna, begitu juga bonus atau honorarium yang dipinta CUEPACS. Keluhan dan rintihan rakyat ini adalah perkara benar, bukannya rekaan atau mengada-ngada. Harga minyak mentah dunia semakin melonjak, harga komoditi dunia juga demikian, akibatnya adalah kesan langsung terhadap harga barangan dan perkhidmatan tempatan berterusan dari masa kesemasa.
Tokoh-tokoh korporat, kontraktor-kontraktor besar, usahawan yang kononnya dilahirkan oleh Umno termasuklah wakil-wakil rakyat, Pak Menteri, MB dan EXCO serta ADUN atau Ketua-ketua Bahagian mungkin tidak sedikit pun terjejas dengan kos hidup yang tinggi ini. Lihat sahaja Ketua Umno bahagian yang juga seorang ADUN boleh bina rumah jutaan ringgit, apalah sangat harga tepung yang naik sekupang dua itu baginya (Atau Ketua Penerangan Umno yang pernah bayar jutaan ringgit untuk belanja mutaah menceraikan isteri keduanya) Lihat sahaja anak PM dan menantunya yang meluncur ke sana ke mari atas lebuhraya dengan kenderaan yang boleh membeli berunit-unit rumah pangsa kos murah di Lembah Kelang (itu baru keretanya). Apalah sangat harga ayam yang mahal bagi mereka ini.
Inilah nasib kita. Marilah kita renung dan fikirkan bersama secara masak, serius dan waras. Sampai bila kita akan terus membiarkan diri dan keluarga menderita sedangkan mereka yng dipuncak kuasa bergelumang dalam kemewahan, rasuah dan salah-guna kuasa. Jangan terus menyiksa diri, beranilah nanti insyallah menuntut perubahan apabila tiba masanya.
No comments:
Post a Comment