Jangan goyah jangan goncang
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri apabila mengulas Perhimpunan Aman BERSIH Sabtu lepas menyebut, jangan bermain dengan api perkauman. Saya tidak pasti siapakah yang bermain dengan api perkauman Sabtu lepas. Yang saya tahu perhimpunan tersebut disertai oleh parti-parti politik dan lebih 60 NGO dari pelbagai lapisan kaum dan agama. Tidak ada sesiapa pun yang membawa mesej perkauman selain menuntut pilihnaraya yang bersih dan adil.
Hari ini dalam akhbar tempatan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin menyebut jangan terpengaruh dengan ekstrimis agama pula. Kononnya kata anak Maidin ini terdapat kumpulan ektrimis agama yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenagi sokongan rakyat termasuklah dengan mencabar kerajaan dan menganjurkan perhimpunan haram.
Mula-mula ektrimis perkauman dan kini ekstrimis agama pula.
Bagi saya Perhimpunan Aman BERSIH hari Sabtu lepas yang menurut angka kerajaan dihadiri sekitar 4,000 ke 10,000 orang itu telah berjaya menggegar kedudukan Umno dan BN. Pihak kerajaan menjangkakan yang perhimpunan itu akan dapat digagalkan bermula dengan keenganan pihak polis mengeluarkan permit, diikuti dengan pelbagai ancaman dan terakhir amaran dari Presiden Umno dan PM sendiri bahawa jangan mencabar beliau.
Rupa-rupanya rakyat terus juga berhimpun atas keyakinan bahawa selaku warganegara Malaysia mereka berhak untuk berhimpun dan apa lagi untuk menyerahkan suara mereka kepada Raja mereka yang dikasihi.
Perhimpunan Aman BERSIH itu berjaya membuka mata rakyat dan dunia bahawa Malaysia walaupun sebuah negara demokrasi dan mengadakan pilihan raya setiap 5 tahun sekali, namun sistemnya pincang dan tempang. Sepatutnya jika Umno dan BN tidak mahu terperangkap dengan gelombang rakyat ini, akui sahaja keperluan untuk reformasi sistem pilihanraya ini. Yang perlu dirobah dan diperbaiki adalah sistem pilihnaraya. Memorandum bantahan itu bukannya membantah Umno dan BN tetapi SPR dan sistem pilihanraya.
Jadi tak perlulah goyah dan goncang. PAS, PKR dan DAP mahu menang pilihanraya. Bukannya merampas kuasa dengan kekerasan atau apa sahaja cara yang tidak demokratik. Yang penting sekarang adalah memastikan demokrasi itu benar-benar wujud dan beroperasi. Jika Umno dan Bn tidak senang malah berasa cemas dan terancam dengan Perhimpunan Aman BERSIH ini bermakna mereka sengaja tidak mahu kepada pilihanraya yang bersih dan adil.
No comments:
Post a Comment