Sunday, November 11, 2007

Himpunan Aman rakyat yang berjaya

Pagi tadi sebelum saya membeli akhbar-akhbar tempatan, rutin biasa dipagi Ahad, saya membelek-belek beberapa akhbar berbahasa Cina yang sarat dengan gambar-gambar Perhimpunan Aman Rakyat BERSIH semalam. Sebelum itu di rumah sejak semalam saya sempat menonton laporan berita peristiwa yang sama melalui BBC dan al Jazeera. Kalau tak silap berita BERNAMA juga ada menyelitkan sedikit laporan video peristiwa bersejarah itu.
Akhbar tempatan yang lain?
Seperti dijangkakan akhbar-akhbar lain seolah menggelapkan persitiwa bersejarah itu. Kalau pun ada laporan sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja. Ternyata apa yang cuba digambarkan adalah kononnya kegagalan perhimpunan tersebut. Ada yang memetik kenyataan polis kononnya hanya 4,000 yang hadir.

Itu tidak menghairankan kerana kalau ada yang berkesempatan mengikuti laporan al Jazeera (sila lihat di laman umno-reform http://www.umno-reform.com/ ) terdapat temuramah diantara Menteri Penerangan Zainuddin Maidin dengan korseponden al Jazeera ketika saluran berita antarabangsa itu menayangkan gambar video kejadian pihak FRU menyuraikan mereka yang berhimpun di Masjid Jamek dengan menggunakan water canon yang memancutkan air bersalut kimia.

Di sana anda dapat mendengar betapa Menteri Penerangan Malaysia sendiri kering-kering berbohong di hadapan orang yang menonton siaran tersebut. Sambil cuba mempertahankan tindakan pihak polis Zainuddin melepaskan geram dan marahnya ke al Jazeera, suatu sikap yang sungguh biadap dan memalukan oleh seorang yang bertaraf menteri. Inikah jenis menteri yang dilahirkan oleh kerajaan cemerlang, gemilang dan terbilang Malaysia?

Antara lain apabila disoal Zainuddin berkata:

Your journalist is trying to project and exaggerate more than what actullay happened

Wartawan anda cuba membesar-besarkan apa yang sebenarnya berlaku

You have been trying to do this everywhere but in Malaysia people laugh at you, you know. Police dont fire at anybody. You are trying to project what is in your mind. You think that we are Pakistan, we are Myanmar, that is your thinking.

Anda telah cuba dimana-mana, tetapi di Malaysia orang akan mentertawakan anda. Polis tidak melepaskan tembakan (pancutan) kepada sesiapa. Anda cuba memaksa pandangan anda. anda ingat kami ini Pakistan, atau Myanmar, itu anggapan anda.

Apalah nak dihairankan dengan media arus perdana yang memutarbelit dan menggelapkan berita kalau menteri sendiri terang-terangan menipu!

Al Jazeera umpamanya telah menghantar wakilnya Hanish Mcdonald ke perkarangan Masjid Jamek dan ternyata beliau sendiri terkena semburan air asid dari salah sebuak trak FRU yang membawa water canon. Zainuddin bila ditanta berkata:

I congratulate your journalist for being a good actor

Saya ucap tahniah kepada wartawan anda kerana pandai berlakon.

Yang berlakon (bersandiwara), menipu dan memutarbelitkan berita biasanya adalah RTM dan Kementerian Penerangan di bawah Zainuddin. Kerana itu Zainuddin berasa kecil dan terhina apabila melihat agensi berita yang berani, benar dan berkualiti seperti al Jazerera dan lain-lain.
Apa pun bagi kita media perdana tempatan di bawah kerajaan BN memang berat sebelah dan tidak memberi ruang kepada pembangkang. Itulah hakikat hidup kita di Malaysia yang dah 50 tahun Merdeka ini. Oleh itu menjadi tugas kepada kita, warganegara Malaysia yang prihatin untuk menyibarkan maklumat dan berita khasnya melalui laman-laman web dan blog agar sampai keperhatian dan pengetahuan rakyat.

Biar mereka tahu membeda dan menilai antara kaca dan permata. Kalau Zainuddin kata perhimpunan ini gagal, cuma sekitar 4,000 sahaja yang hadir ternyata menteri ini tidak pandai menghitung atau kerana dah memang dah sebati dengan peipuan sehingga yang banyak pun dilihat kecil, itu masalah dia. Orang seperti dialah yang mahu kita lenyapkan dari memegang jawatan penting dalam negara.

Ayuh kita jalankan tugas kita masing-masing. Sesungguhnya Perhimpunan Aman BERSIH ini akan menjadi pemagkin kepada mencetuskan lebih banyak lagi kesedaran dan perubahan serta membuka mata hati rakyat untuk bersama membawa kebaikkan dan reformasi kepada negara kita yang tercinta ini.

Syabas kepada semua yang terlibat, yang mengambil bahagian dan yang ditangkap.


No comments: