Saya pada hari ini dijadualkan bercakap dalam sebuah majlis anjuran Anwar Ibrahim Club dengan kerjasama Yayasan Freiderich Naumann di Hotel Corus, Jalan Ampang KL jam 2 petang. Setelah bersiap-siap untuk bertolak dari rumah tiba-tiba saya menerima panggilan dari pihak penganjur bahawa majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Sebabnya, mereka yang berhimpun untuk majlis penyerahan memo ke Suruhanjaya Tinggi UK di Jalan Ampang, anjuran HINDRAF sedang kini berhimpun di hadapan hotel berkenaan. Suasana kelam-kabut dan gas pemedih mata dan semburan air kimia sedang dilepaskan oleh pihak FRU.
Saya memahami masalah pihak penganjur itu dan bersimpati dengan mereka.
Yang saya tidak faham mengapa pihak kerajaan dan polis begitu panik dan kalut dengan tuntutan pihak HINDRAF ini. Walaupun saya secara peribadi banyak tidak bersetuju dengan HINDRAF terutama dalam isu yang membabitkan kes murtad, tetapi dalam hal ini mereka sekadar menuntut hak mereka dari kerajaan Inggeris, sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan apa lagi mengancam keselamatan negara.
HINDRAF telah mengemukakan saman berjumlah USD14 trilion terhadap bekas penjajah Inggeris kerana memaksa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi tenaga mereka selama lebih 150 tahun. Jumlah tersebut bersamaan USD 1 juta untuk setiap warga Malaysia berketurunan India. Tuntutan mereka agar Baginda Queen melantik seorang Queens Counsel untuk membantu mereka dalam kes tuntutan tersebut.
Saya difahamkan lebih 10,000 telah berhimpun sejak awal pagi tadi, dan mereka dihalang oleh pihak polis dari mengahmpiri jalan menuju Suruhanjaya Tinggi UK di Jalan Ampang. Setakat jam 1.00 tadi ramai yang masih berhimpun sekitar KL, selain dihujani air kimia dan gas pemedih mata ada juga yang dipukul dan dibelasah oleh pihak polis.
Beginikah cara kita mengawal perhimpunan yang aman? Saya sungguh sedih mengikuti perkembangan yang sedang berlaku. Yang jelasnya apa yang berlaku di KL disaat ini pasti merobek apa sahaja hormat rakyat dan dunia luar terhadap kerajaan pimpinan Dollah Badawi.
No comments:
Post a Comment