Kalau Perhimpunan Agung Umno tidak membincangkan isu-isu panas (sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia hari ini) maka isu-isu apakah yang akan ia bincangkan? Sepatutnya perhimpunan agung tahunan seperti ini menjadi gelanggang bagi para perwakilan parti membincang dan membahaskan isu-isu panas yang menjadi rintihan dan keluhan rakyat. Tambahan pula Umno merupakan parti Melayu Islam yang terbesar dalam negara. Sudah pastilah kita mengharapkan yang mereka akan berhimpun dan membincangkan isu-isu Melayu dan Islam yang hangat dan menjadi perhatian umum.
Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Zambry Abd. Kadir dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata, sebaliknya perbahasan pada perhimpunan kali ini akan bertumpu kepada isu memperkemaskan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bukankah keluhan dan rintihan rakyat terutama masyarakat Melayu Islam lebih utama dan penting jika benar Umno parti yang memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara! Isu kemas jentera parti adalah isu yang boleh dibincang hari-hari dan ia tidak memerlukan perhimpunan tahunan seperti ini. Sepatutnya gelanggang yang ada digunakan untuk membongkar nasib bangsa dan masa depan agama. Dimana yang kurang, dimana yang lemah, bagaimana mahu memartabatkan kedua-dua bangsa dan agama. Bagaimana dengan Bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang menyekat kemajuan anak bangsa? Mengapa sudah 50 tahun Merdeka masih ada anak bangsa yang susah dan merempat? Mengapa jurang antara kaya dan miskin terlalu melebar? Mengapa kos hidup terlalu tinggi sehingga rakyat kebanyakkan (sudah pasti majoriti Melayu) rasa lemas dan tertekan? Mengapa masih ribuan anak Melayu rebah angkara dadah, merempit di tengah jalanraya? Mengapa akhlak dan moral anak-anak Melayu begitu rendah dan memalukan berbanding kaum lain?
Tiba-tiba yang mahu dibincangkan adalah persiapan Umno bagi menghadapi pilihan raya!
Kalau beginilah perjalanan Umno, jelas nasib dan masa depan agama dan bangsa sudah bukan lagi keutamaan mereka. Yang penting adalah untuk terus berkuasa, sedangkan apabila berkuasa matlamat perjuangan diabai dan dicicirkan. Sebelum ini Pengerusi Lembaga Disiplin Umno mengarahkan agar jangan ada mana-mana pihak yang mengunakan kesempatan perhimpunan ini untuk melobi calon untuk jawatan tertentu dalam pemilihan Umno tahun hadapan. Itulah Umno! Jangankan melobi untuk jawatan saya percaya masing-masing akan turut sibuk melobi agar ketua atau boss masing-masing akan berpeluang menjadi calon dalam pilihan raya umum nanti.
Nasib rakyat, masadepan rakyat bagaimana? Ahhh kan mereka boleh dibeli dan digula-gulakan, bukankah itu harga diri orang Melayu, benarkah begitu? Ijok, Batu Talam merupakan buktinya. Orang Melayu bagaikan ayam kampung diberi makan ia makan dan kalau perlu, kalau lapar, ia sahaja dikorbankan untuk mengenyangkan perut tuannya.
No comments:
Post a Comment