BERSIH pada asalnya telah mengunjungi Ketua Polis Wilayah untuk memaklumkan darihal majlis Perhimpunan Aman yang dijadual diadakan pada hari Sabtu 10 November ini jam 3.00 petang di Dataran Merdeka. Pihak polis telah menasihatkan BERSIH agar memohon permit bagi tujuan itu. Dan setelah berbincang pihak BERSIH bersetuju dan permohonan untuk permit telah dibuat secara rasmi.
Hari ini menerusi sepucuk surat pihak polis memaklumkan yang permohonan BERSIH tidak dapat diluluskan. Sementara itu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan antara sebab penolakkan tersebut adalah kerana BERSIH bukannya sebuah pertubuhan berdaftar.
Hairan pada satu ketika pihak polis mengiktiraf dan meraikan kehadiran wakil-wakil BERSIH, tetapi bila menolak, BERSIH dikatakan haram pula. Dan yang anehnya Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pula bersedia menerima memorandum BERSIH!
Apa pun saya difahamkan pihak BERSIH akan membuat rayuan, dan diharapkan pihak polis akan menimbangkannya, kenakanlah apa syarat sekalipun tetapi majlis Perhimpunan Aman ini sepatutnya dibiarkan. Jika tidak, dan diancam pula dengan penangkapan dan tindakan ke atas mereka yang kononnya tidak mematuhi arahan polis, maka apa bezanya kita dengan Junta Tentera Myanmar! Satu dunia sedang memerhatikan kita. Jangan letak Malaysia seteraf dengan regim Musharaf di Pakistan atau Junta Tentera Myanmar. Malaysia kan dah 50 tahun Merdeka, Perdana Menterinya hebat dan terkenal di seluruh dunia, hatta angkasa pun Malaysia dah tawan.
Jangan cemar hakikat itu dengan melarang apa lagi bertindak pula ke atas Perhimpunan Aman rakyat.
Masa untuk berfikir masih ada. Diharapkan pihak polis dapat kembali rasional dan membuktikan yang mereka benar-benar bebas dan berwibawa tidak terikat dengan arahan mana-mana parti politik. Rakyat cuma mahu berhimpun dan kemudiannya menyerahkan memorandum kepada Raja mereka, takkanlah itu pun kita nak sekat dan halang.
Pertimbangkanlah demi maruah dan nama baik agama, bangsa dan negara. Malaysiaku Gemilang!
Sementara itu anggota BERSIH difahamkan akan terus berhimpun sebagaimana yang ditetapkan. Tidak ada sebarang arahan dari mana-mana anggota BERSIH agar membatalkan perhimpunan aman ini. Kita jumpa di sana nanti.
No comments:
Post a Comment