Hentaman dan bidasan Umno terhadap PAS dan PAS terhadap Umno walaupun bertaraf musuh politik namun kaya dengan seni dan adab, tersekel, tertunjal perkara biasa tetapi adatnya tidak pernah berlebih-lebih. Ini kerana persaudaraan Melayu/Islam itu walaupun kadangkala terasa tipis dan nipis namun ikatannya suka tidak suka masih bertaut. Abangnya Ketua Umno bahagian, adiknya EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, abangnya ahli Parlimen Umno, adiknya Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, abangnya ADUN Umno adiknya bekas Ketua Pemuda PAS Negeri, begitulah adanya antara kedua-dua musuh politik ini.
Sikap berpada-pada dalam berpolitik khususnya dalam mengharungi politik Melayu/Islam ini penting kalau kita masing-masing berfikiran panjang. Lihatlah aksi dan gelagat Dollah dan Nik Aziz di Kota Bharu, baru-baru ini. Tidakkah itu bukti betapa matangnya orang-orang Melayu dalam berpolitik.
Tetapi hari ini rupanya masih ada juga jaguh yang cuba melangkaui batas berpada-pada itu. Kalau ya pun kita menantu Perdana Menteri, kalau ya pun kita bercita-cita untuk melonjak naik dalam politik, janganlah sampai menghancur dan memusnah adab dan batas yang kita hormati. Bagi saya, secara peribadi, Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno ini sesungguhnya adalah liabiliti besar dalam karier politik bapa mertuanya.
Beliau terlalu kukuh kedudukannya dalam Umno sehinggakan tidak lagi ada yang berani mengeluarkan nasihat dan teguran jujur, lantaran takutkkan kedudukannya, maka jadilah Khairy bagai jembalang yang tiada siapa berani halang atau sekat. Dalam keadaan demikian, apabila yang yang bertaut disekeliling janggutnya sekadar pengampu dan pembodek maka yang hitam dikatakan putih yang cacat dikatakan sempurna, pasti nanti mudharatnya akan dirasai oleh beliau dan bapa mertuanya.
Hari ini di Tanah Merah, Kelantan, Khairy yang masuk ke kandang orang itu dengan ghairah menyondol apa sahaja batas dan adab yang dipakai dalam politik Melayu selama ini khususnya berkaitan hubungan PAS dan Umno. Beliau mendesak BPR agar segera terbit dengan hasil siasatan berkenaan kononnya kegiatan penerokaan haram di Lojing dan dakwaan penyelewengan dalam syarikat Air Kelantan. (Beliau lupa yang BPR perlu meneliti bukti dan laporan dan jika kuat, kukuh dan berasas baru kertas siasatannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, jika tidak maka tidaklah).
Apakah beliau seolah memaksa BPR dengan kedudukannya sebagai menantu PM untuk memaksa diambil tindakan terhadap Kelantan walaupun BPR tiada bukti kukuh? Tidakkah itu salah-guna keduduakan dan kuasa, juga satu kesalahan bahawa Akta Rasuah?
Khairy di atas pentas yang sama turut memperlekeh Koridor Depu yang diperkenalkan oleh
Perbadanan MB Kelantan sebagai projek menghina rakyat Kelantan kononnya. Beliau membanding-bandingkannya dengan ECER yang dilancarkan bapa mertuanya baru-baru ini yang katanya lebih bermakna dan berkesan membantu membangunkan negeri dan rakyat Kelantan. Beliau lupa ketika bapa mertuanya datang melancarkan ECER di Kota Bharu, bapa mertuanya itu begitu hormat dan memandang tinggi kerjasama kerajaan negeri Kelantan. Bapa mertuanya berkata di KB bahawa mulai saat itu beliau mahu pandang ke hadapan dan tidak memikirkan perbalahan yang lepas-lepas.
Tetapi bila Khairy turun ke KB habis dibakarnya apa yang ada, bila sudah hangus, apakah keuntungan yang tinggal pada Umno? Khairyu mahu ingat bahawa beliau itu naik atas kekecewaan dan kemarahan ramai yang lain yang lebih layak. Sesungguhnya tiada istimewa apa pun yang ada pada beliau selain menjadi menantu PM. Jika beliau dan Dollah tidak berhati-hati padahnya nanti menimpa atas batang tubuh Dollah sendir. Ingat jika Dollah tiada, Khairy pun pasti menjadi sekadar bahan sejarah kerana ketika itu ramai yang telah beliau langkau satu ketika dahulu akan melangkah kembali kepalanya kerana ketika keris tiada lagi ditangan, jembelang sehodoh mana pun tidak akan ditakuti lagi.
No comments:
Post a Comment