Nazri dan Khairy kecundang di al Jazeera
Al Jazeera diserang kerana kononnya memberikan laporan berat sebelah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar terhadap apa yang berlaku pada hari Sabtu lepas 10 November bersempena Perhimpunan Aman BERSIH di Kuala Lumpur. Al Jazeera yang ketika itu membuat laporan terus dari perkarangan Masjid Jamek dikatakan kononnya berhasrat memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan Malaysia.
Sebagai sebuah rangkaian berita berstatus antarabangsa yang bebas dan berwibawa (dan mempunyai pengkalan pula di KL), Al Jazeera cuba menangkis serangan kerjaan itu dengan mengadakan sebuah majlis forum bagi membincangkan secara terbuka perhimpunan tersebut dan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH. Dengan beraninya Al Jazeera telah mengundang Nazri Aziz, Menteri di JPM dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga menantu PM Dollah Badawi. Turut diundang adalah Malik Imtiaz, seorang peguam hak asasi tempatan. Pengacara tekenal, Teymnoor Nabil telah bertindak sebagai moderator.
(Menurut Jeff Ooi, Zaniuddin Maidin pada awalnya diundang, tapi menolak. Takut?)
Kepada mereka yang sempat menonton rancangan ini akan dapat memerhatikan betapa Nazri dan Khairy terutamanya cuba seolah mahu merampas forum tersebut untuk kepentingan mereka (mungkin mereka terlupa yang ini bukan rancangan RTM, dan moderatornya bukan Johan Jaafar), tetapi ternyata pengalaman Teymnoor berjaya menangani keghairahan dan ego kedua pemimpin Umno itu.
Banyak point yang menarik yang telah dibangkit dan dibahaskan. Saya kagum melihat betapa dengan penuh terkawal dan profesionalisma yang menyerlah, Malik Imtiaz berjaya memberikan input dan ulasan yang menarik selain mematahkan tohmahan, fitnah dan serangan kedua-dua Nazri dan Khairy itu.
Apabila Teymnoor menyatakan yang media arus perdana seakan cuba menggelap dan memutar-belitkan perhimpunan terbesar dan bersejarah rakyat Malaysia itu, Nazri melompat mempertahankan media arus perdana tempatan. Kata beliau mereka berhak melaporkan apa yang mahu dan sesungguhnya tidak ada masalah dengan kebebsan media di Malaysia. Malik menafikan kenyataan Menteri itu dengan menegaskan bahwa hakikatnya media tempatan di Malaysia dikongkong menurut kemahuan kerajaan yang memerintah.
Kedua-dua Nazri dan Khairy cuba menggambarkan yang perhimpunan BERSIH itu sia-sia dan tidak mencerminkan hasrat rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kata Nazri amalan biasa di Malaysia bagi menuntutu perubahan adalah melalui peti undi dan pilihan raya diadakan secara regular di Malaysia. Khairy pula mempertahankan bahawa SPR sendiri telah banyak memperkenalkan perubahan atas nama reformasi pilihan raya, himpunan BERSIH ini kata Khairy lagi adalah didalangi pihak pembangkang.
Manakala Malik pula menyatakan bahawa perhimpunan BERSIH yang besar itu sesungguhnya adalah manifestasi kuatnya tuntutan untuk reformasi pilihan raya itu sendiri yang datangnya dari masyarakat sivil (civil society). Malah tambah Malik jika pihak polis tidak mengadakan sekatan jalanraya di sekitar KL dan menganggu mereka yang mahu hadir, sudah pasti lebih ramai lagi akan hadir.
Apa yang menarik adalah pengakuan Nazri apabila dikuit oleh Teymnoor, yang bertanya:
Is there a need for electoral reform (in Malaysia)?
Apakah perlu reformasi terhadap (sistem) pilihanraya (di Malaysia)?
Dengan style biasanya yang bongkak dan sombong itu Nazri menjawab:
No!
Kemudian apabila terasa yang seolah dia terperangkap dengan jawapan yang separuh masak itu, Nazri terikut-ikut pula rentak Khairy yang mengatakan tidak perlu ELECTORAL REFORM tetapi apa yang mungkin perlu adalah A CHANGE IN ITS PROCESS (perubahan dalam prosesnya?) Tak tahulah apa beza antara keduanya?
Malik membuat kesimpulan bahawa:
The fact is there are serious flaws
Jelasnya terdapat banyak kelemahan besar
Kata Malik sebagai bukti, pilihlah mana-mana akhbar media perdana dan anda tidak akan dapat mendengar (membaca) langsung suara dari pihak pembangkang.
Begitulah realiti apa yang ada di Malaysia hari ini dan impak dari Perhimpunan Aman BERSIH tempoh hari. Kalau Nazri mencerminkan pandangan kerajaan dan Khairy pula membawa pandangan Umno, jelas kedua-duanya tertekan dan kelihatan sumbang dalam mahu menegakkan benang yang basah. Mereka lupa yang aksi, sikap dan jawapan mereka malam itu bukan hanya disaksikan oleh rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.
Bagi saya 101 East semalam telah berjaya menelanjangkan kelemahan sistem pilihanraya dan demokrasi di Malaysia dan yang membogelkannya untuk tontonan dunia bukan puluhan ribu mereka yang hadir dalam Perhimpunan Aman BERSIH itu Sabtu lalu, bukan Al Jazeera, bukan juga Teymnoor atau Malik Imtiaz, tetapi yang mengaibkan dan menconteng arang ke wajah kerajaan Malaysia pimpinan Dollah Badawi adalah Nazri dan Khairy, bayangkan kalau Zainuddin Maidin yang hadir.
Terima kasih Al Jazeera, syabas rakyat Malaysia, perjuangan kita baru bermula.
No comments:
Post a Comment