Hakim-hakim yang berani semakin ke hadapan
Sejurus Hakim Mahkamah Sesyen Klang Zuniadah Mohd Idris, melepaskan tanpa bebas (discharge not amounting to acquital) tiga tertuduh yang kononnya dituduh mengeluarkan ucapan hasutan di Batang Berjuntai, Kuala Selangor baru-baru ini, Menteri di JPM Nazri Aziz mendakwa bahawa keputusan ini membuktikan yang badan kehakiman di Malaysia benar-benar bebas.
Ketiga-tiga mereka adalah para pemimpin HINDRAF iaitu P. Uthayakumar, P. Warthamoorty dan V. Ganapathi Rao.
Hakim Zunaidah melepaskan ketiga-tiga tertuduh apabila beliau dapati yang mahkamah tidak jelas dan yakin dengan pertuduhan yang cuba dibawa oleh pihak pendakwa raya. Sebelum ini Jumaat lepas, apabila ketiga-tiga mereka di bawah ke mahkamah, atas permintaan peguam bela tertuduh, Zunaidah telah mengarahkan pihak pendakwa agar mengepilkan sekali transkrip ucapan mereka dalam bahasa Tamil, yang dikatakan mengandungi unsur-unsur hasutan itu, untuk dikemukakan ke mahkamah untuk dikaji. Malangnya semalam pihak pendakwa gagal memenuhi arahan itu dan hanya sekadar mengemukakan terjemahannya dan cuba pula meminda pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka.
Kita akui bahawa keputusan Zunaidah ini adalah suatu keputusan yang berani, malah Jumaat lepas lagi beliau telah mempamirkan keberaniaannya dengan mengurangkan ikat jamin dari RM10,000 yang disyorkan oleh pendakwa ke hanya R800 apabila pijhak peguambela merayu.
Dan memang ini adalah bukti kebebasan kehakiman yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Sesungguhnya mahkamah sepatutnya menjadi pelindung rakyat dari dituduh dan diancam dengan pertuduhan yang tidak berasaskan undang-undang.
Cuma Nazri janganlah terlalu ghairah. Keputusan Zunaidah tidak bermakna jika mereka yang terlibat dalam kes video VK Lingam tidak dibawa kepengadilan. Sesungguhnya setelah pendedahan video VK Lingam ini, setelah Majlis Peguam berarak di Putrajaya dan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa baru-baru ini, setelah parti-parti pembangkang dan NGO mengemukakan bantahan, barulah kerajaan mahu menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Itupun belum tentu lagi kerana PM belum pun mengumumkan secara rasmi bentuk dan bidang tugasnya.
Ingat, hanya setelah kes Lingam ini terdedah, dan minat rakyat tertumpu ke arah itu, barulah satu demi satu kita lihat hakim-hakim kita mula mengemukakan keputusan yang berani dan mempertahankan kepentingan rakyat berdasarkan undang-undang yang ada. Contohnya kita melihat Hakim Datuk Tee Ah Seng, memerintahkan agar Utusan Malaysia membayar RM200,000 kepada pemimpin NGO Irene Fernandez kerana memfitnah beliau, Hakim Mohd Hishamuddin Yunus memerintah kerajaan membayar pampasan RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA Malek Hussin dan kini Zunaidah.
Saya yakin keberanian rakyat mendedahklan kepincangan hakim-hakim kanan yang rasuah sebagaimana dalam kes video VK Lingam itu telah mendorong Hakim-hakim kita untuk lebih berani dan menonjol.
Syabas kepada Tee, Hishamuddin dan Zunaidah, dan kita percaya ramai lagi akan bertindak sebagaimana mereka. Bagi Nazri, pergilah beri tumpuan kepada Suruhanjaya Diraja yang sepatutnya dibentuk itu. Janganlah berkokok tak tentu arah dalam hal yang sebenarnya menjerat diri kamu sendiri.
Kebebasan kehakiman hanya dapat dikembalikan sekiranya kepincangan yang didedah oleh video VK Lingam itu dapat disiasat dan diambil tindakan termasuklah sehingga ke kes Tun Salleh Abas dulu.
No comments:
Post a Comment