Jangan anggap penyalahgunaan dadah sebagai penyakit
Setelah berpulu-puluh tahun berperang melawan penyalahgunaan dadah, kita kelihatan seolah kusut dan semakin keliru.
Semalam di Dewan Rakyat Timbalan Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang membuka tempat khusus untuk penagih menyuntik dadah atau “Shooting gallery” sebagaimana di London, Amsterdam, Vancouver dan Sydney. Sebelum ini kerajaan telah pun memperkenalkan program penukaran jarum yang mendaftarkan lebih 2,224 penagih disamping mengedarkan kondom percuma kepada mereka.
Saya tidak tahu dengan yang lain tetapi bagi saya sukar untuk menganggap penyalahgunaan dadah ini sebagai satu penyakit. Kalau kencing manis, barah atau darah tinggi, itu penyakit tetapi penyalahgunaan dadah, istilahnya sendiri menunjukkan yang ia sesuatu yang sengaja disalahguna, lalu sukar untuk saya menerima ia sebagai satu penyakit.
Bagi saya penyalahgunaan dadah ini sebagai satu masalah sosial yang perlu dibendung dan diatasi, dan tidak dilonggokkan sebagai satu penyakit, sebagaiamana di Barat, lalu diberi pula bantuan seolah berbentuk galakkan.
Memang mereka ini perlu dibantu tambahan sebahagian besar adalah dari kalangan anak-anak bangsa, tetapi bantuan mestilah ke arah membuang terus ketagihan mereka itu atau jika tidak berjaya diasingkan terus mereka dari masyarakat. Saya akui tugas untuk membuang ketagihan itu adalah sukar, sedangkan tabiat merokok pun sukar dibuang inikan pula ketagihan dadah. Tetapi kesukaran itulah yang perlu diusahakan kerana ianya jika terus kekal akan mencetuskan masalah sosial yang lebih kronik dan berbahaya.
Apabila mereka ini jatuh dalam kategori penagih, maka kebergantungan mereka kepada dadah itu menjadi satu tuntutan harian. Tanpa dadah mereka akan gelisah, dan mungkin juga menjadi ganas dan liar. Jika mereka ini mempunyai ibu-bapa dan keluarga, maka ibu-bapa dan keluargalah akan menjadi mangsa untuk membiayai ketagihan mereka itu. Jika mereka ini berumah tangga maka isteri dan keluargalah menjadi mangsa. Putus sahaja sumber untuk menampung keperluan ketagihan mereka maka mereka akan terdorong untuk mencari jalan pintas. Mencuri dan kadangkala bertindak ganas sehingga membunuh untuk mendapatkan wang.
Suasana ini mencetuskan keruntuhan keluarga, institusi keluarga tercemar dan tercalar, malah masyarakat luar terancam oleh ketagihan mereka. Selain itu kehadiran mereka di tempat-tempat awam, memungkinkan pula anak-anak muda untuk terpengaruh dan mengikuti amalan jijik mereka. Selain kita terancam dengan kehadiran mereka, anak-anak kita juga tidak bebas dari ancaman mereka.
Ini bukan penyakit tetapi ini masalah besar yang tidak sepatutnya diiktiraf sebagai penyakit.
Kalau ia mampu memecahbelahkan keluarga, mengancam keselamatan ibu-bapa dan isteri serta anak-anak, disamping mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, kerana kemungkinan mereka membunuh, mencuri dan seumpamanya itu tinggi, maka ia bukannya penyakit tetapi jatuh dalam kategori ancaman kepada masyarakat.
Usaha yang lebih serius perlu diambil untuk menangani masalah sosial ini yang ternyata kita semakin gagal dari tahun ke tahun. Kita bermula dulu dengan langkah-langkah drastik, mengenakan hukuman gantung kepada pengedar, memperluaskan pusat-pusat pemulihan dadah, tetapi ia sekadar nampak garang di awalnya, namun kini keberkesanannya boleh dipertikaikan. Sepatutnya kita terus garang tetapi kini kita ambil pendekatan berlembut pula. Berikan jarum, berikan kondom, kenapa kita tidak berikan sahaja dadah secara percuma, dengan itu tidaklah ibu-bapa, isteri serta masyarakat menjadi mangsa ketagihan mereka ini!
Bagi saya yang penting jangan longokkan penagihan dadah ini sebagai satu penyakit. Perkasakan AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan), perkenalkan pendekatan yang lebih drastik dan efektif. Kalau barat mahu memanja dan menimang para penagih mereka, itu masalah mereka, bagi kita biarlah ianya dihapuskan terus dari menular dalam masyarakat dan negara.
Sama-samalah kita fikirkan.
No comments:
Post a Comment