RAYUAN DARI KAMUNTING
BILAKAH LAGI KEZALIMAN MAHU DISINGKAP
Akhbar THE STAR hari ini melaporkan darihal kunjungan anggota Kaukus Parlimen berkenaan Hak Asasi Manusia ke Kem Tahanan Kamunting yang menahan mereka yang dituduh tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA.
Menurut laporan terdapat seramai 115 tahanan yang merengkuk di Kem Kamunting tanpa diberikan peluang membela diri di mahkamah terbuka. Dari kumpulan besar ini seramai 68 terdiri dari mereka yang kononnya terlibat dengan JI, 9 kononnya terlibat dalam KMM, 22 atas kesalahan kononnya terlibat dalam pengeluaran wang palsu, 13 dokumen palsu dan seorang pakar dalam pengeluaran komponan nuklear.
Menahan mereka ini dalam tempoh yang tidak diputuskan, tanpa memberi ruang dan peluang membela diri, adalah satu kezaliman yang sudah pasti mencemarkan rekod hak asasi manusia negara ini. Bayangkan trauma yang dihadapi oleh anak-isteri para tahanan. Menanti-nanti kepulangan bapa dan suami masing-masing sehingga entah berapa lama. Siapakah yang memperdulikan penghidupan mereka di luar, belanja hidup, persekolahan, rumah, kasih sayang!
Menurut NST jurucakap para tahanan mendakwa bahawa waktu lawatan kaum keluarga turut disekat oleh pihak penguasa kem sekaligus menambahkan lagi penderitaan yang telah sedia mereka pikul.
Kerajaan Malaysia perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab, samada mendakwa mereka ini di mahkamah terbuka, ataupun jika tiada kes segera membebaskan mereka agar dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Malah menurut Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, salah seorang anggota kaukus ini, para tahanan merungut mengapa 2 orang anggota kanan Jemaah Islam JI iaitu Mohd Iqbal (warga Indonesia) dan Wan Min Wan Mat yang kedua-duanya merupakan pakar membuat bom dibebaskan oleh kerajaan pada tahun lepas sedangkan mereka yang lain yang tidakpun merupakan ancaman kepada negara terus ditahan.
Perkara ini perlu diberi perhatian agar negara tidak terus dipandang serong oleh dunia luar. Baru-baru ini bekas PM Mahathir Mohamad bersungguh mendesak junta tentera Myanmar agar segera membebaskan Suu Kyi, tahanan politik di Myanmar. Jangan kita dilihat laksana ketam, berdegar-degar menyuruh anak berjalan lurus, sedangkan kita sendiri merangkak herot tak sedar diri!
No comments:
Post a Comment