BERJAYA SPORTS TOTO CATAT KEUNTUNGAN BESAR
DALAM NEGARA ISLAM HADHARI
Kerajaan Malaysia sejak dari Merdeka sehingga kehari ini memberikan keizinan berlesen kepada syarikat-syarikat judi untuk menjalankan kegiatannya dalam negara walaupun majoriti rakyat negara ini menganut agama Islam dan Islam merupakan agama resmi Persekutuan menurut perlembagaan Persekutuan.
Kini hampir kesemua syarikat yang terlibat dalam industri ini adalah terdiri dari syarikat-syarikat gergasi belaka yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Dalam akhbar hari ini salah sebuah syarikat tersebut iaitu Berjaya Sports Toto Berhad telah mengumumkan keuntungan lebih 143 peratus berbanding tahun lalu bagi tempuh kewangan berakhir April 2005. Dengan mengendalikan aktiviti perjudian syarikat ini telah mengaut hasil sebanyak RM2.67 billion bagi tempoh kewangan yang dimaksudkan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM488.39 juta!
Dan syarikat ini menjangka prestasinya untuk tahun 2005-2006 ini akan bertambah baik memandangkan jangkaan kenaikan jumlah perbelanjaan para pengguna dalam negara keseluruhannya.
Allah swt mengharamkan judi dan aktiviti perjudian. Di dalam Al Quran surah al Maidah ayat 90:
Hai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib itu adalah kotor dari amalan syaitan.
Dan dalam surah Al Baqarah ayat 219
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya (arak dan judi ) ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya
Bagi Kerajaan Malaysia, orang Islam tidak dibenarkan membeli atau menikam nombor di premis-premis perjudian yang dimaksudkan. Memang kalau kita mengunjungi premis-premis ini ada notis larangan, walaubagaimanapun sejauh mana ianya dikuatkasakan wallahualam kerana rata-rata penganut Islam samada warganegara Malaysia, pekerja asing yang beragama Islam, boleh dilihat berkeliaran di premis-premis judi ini apabila ada hari cabutan. Barangkali kalau mereka tak berani beli, mereka mengupah pula orang lain untuk beli, kan mudah begitu.
Orang Islam dilarang membeli, namun orang Islam tidak pernah dilarang samada membeli saham, menjadi ahli lembaga pengarah ataupun bekerja sebagai kakitangan syarikat-syarikat ini. Comtohnya kalau kita mengunjungi laman web Berjaya Sports Toto dari barisan ahli lembaga pengarahnya terdapat dua nama Melayu Islam iaitu Tan Sri Dato Jaffar Bin Abdul (bekas Timbalan Ketua Polis Negara) dan Mohamed Saleh Bin Gomu (bekas pegawai kanan PDRM).
Suka tak suka inilah realiti dalam negara kita pada hari ini. Kita ghairah mahu negara lain mengambil kita sebagai negara Islam contoh, tetapi amalan yang dilarang dan dilaknat oleh Allah swt kita izinkan dalam negara kita sendiri tanpa sedikit pun rasa bersalah. Sampai bila kita mahu berterusan sebegini?
No comments:
Post a Comment