Wednesday, June 15, 2005

KELANTAN AKAN MENGIZINKAN KARAOKE DAN SNUKER
: BUKTI KETERBUKAAN ISLAM

PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990, dan sejak itu sebarang aktiviti berbentuk maksiat yang berada dalam bidangkuasa kerajaan negeri telah dibendung selaras dengan slogannya Membangun Bersama Islam. Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan telah diperkenalkan yang sekaligus mengharamkan semua aktiviti snuker, billiard dan karaoke.

Premis-premis perjudian yang dilesenkan oleh kerajaan pusat telah tidak diperbaharukan lesen premisnya yang telah mengakibatkan industri judi yang dibenarkan oleh kerajaan Umno/BN lalu di tutup sama-sekali.

Aktiviti snuker, billiard dan karaoke yang sebenarnya harus dari segi hukum itu terpaksa diharamkan oleh kerana selama di bawah pemerintahan kerajaan BN ianya telah bertukar wajah dari aktiviti yang bersih dan sihat kepada yang mencurigakan, penuh dengan unsur maksiat, judi dan lain-lain yang tidak sihat belaka.

Contohnya boleh dilihat di Kuala Lumpur pada hari ini, dimana pusat-pusat ini bercermin gelap, berlampu malap. Pergaulan bebas perkara yang lumrah, malah ada pusat-pusat karaoke yang turut menyediakan gadis-gadis GRO yang boleh menemani para pengunjung sehingga memungkinkan aktiviti maksiatyang lebih dahsyat. Arak adalah minuman ruji dalam pusat-pusat karaoke.

Kini kerajaan PAS Kelantan berhasrat menyemak semula keputusan ini, dan berkemungkinan setelah mendapat kelulusan EXCO aktiviti snuker, billiard dan karaoke akan dibenarkan kembali namun dengan diberikan suntikan Islam agar ianya tidak bertentangan lagi dengan syarak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Takiyuddin Hassan aktiviti snuker dan billiard tidak lagi akan diistilahkan sebagai aktiviti hiburan, sebaliknya sebagai aktiviti sukan dan oleh itu terkeluar dari larangan enakmen berkenaan. Syarat yang akan dikenakan adalah bahawa permohonan lesennya hanya boleh dipohon oleh persatuan snuker dan billiard yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan. Cuma ahli-ahli persatuan sahaja yang dibenarkan mengunjungi pusat-pusat ini. Bermakna pusat snuker dan billiard di Kelantan kelak akan berwajah baru dan tidak lagi menjadi tempat-tempat lepak dan bepelisiran sebagaimana di negeri-negeri lain.

Demikian juga halnya dengan pusat-pusat karaoke. Menurut Takiyuddin berkemungkinan lesen karaoke yang baru akan hanya diluluskan dengan syarat pengunjungnya terdiri dari kalangan anggota keluarga dan tidak lagi pasang-pasangan yang bukan mahram. (Perkara seumpama ini kini dilakukan di Republik Islam Iran dan berjaya dilaksanakan) Juga tidak akan ada bilik-bilik khas manakala lagu-lagu yang dibenarkan berkemungkinan lagu-lagu berentak nasyid sahaja.

Bermakna juga jika berjaya Kelantan akan menjadi negara pertama yang merobah struktur dan konsep pusat-pusat karaoke dari pusat-pusat maksiat yang menghidangkan arak dengan gadis-gadis GRO yang boleh dijamah dan diambil kesempatan bertukar menjadi pusat memupuk keteguhan dan keharmonian keluarga, pusat hiburan secara Islam contoh!

Kita berdoa semoga ianya berjaya dan insyallah kemudian akan menjadi tuntutan rakyat untuk dilaksanakan pula di tempat-tempat lain.

No comments: