Saturday, June 25, 2005

RASUAH POLITIK BUKAN BARAH TAPI AIDS BAGI UMNO

Satu Negara sedang hangat memperkatakannya. Naib Presiden Umno, Menteri cabinet dan bekas MB Negeri Sembilan, Isa Samad didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dalam politik wang semasa pemilihan Umno September tahun lepas. Akibat bersalah Isa dihukum gantung keahliannya dari parti selama 6 tahun. Bermakna jika gagal rayuannya Isa tidak lagi Naib Presiden Umno, tidak lagi ketua bahagian Umnomalah ahli Umno pun tidak lagi. Gugurlah juga kerusi menterinya.

Ada orang melihat usaha Umno ini sebagai komitmen bersungguh parti tersebut dalam membenteras rasuah politik. Kini Umno tidak mengira bulu, hatta Naib Presiden pun kalau perlu akan diambil tindakan. Terbukti dengan tersungkurnya Isa ini Umno kelihatan begitu komited.

Wartawan Utusan Mohd Nor Ab. Samad dalam ruangan Pada Hemat Saya menulis:

Wang yang dulu diumpamakan sebagai darah menghidupkan Umno kini menjadi barah yang boleh mematikan Umno. Atas sebab itu pemimpin Umno berhempas-pulas mencari jalan untuk menangani penyakit parti.

Kalau istilah barah digunakan untuk gejala politik wang dalam Umno, bermakna amalan jijik ini suatu penyakit serius. Barah biasanya apabila dibuang tidak semstinya berjaya menyelamatakan seseorang. Terpulanglah pada kadar cepat atau lambatnya barah tadi dikesan dan tahap rebakannya. Jika barah tadi telah meresap melalui saluran darah ke bahagian lain dalam tubuh, buanglah apa bahagian sekalipun, maut tidak dapat dielakkan.

Kalau Isa akhirnya gagal di dalam proses rayuan dan terus digantung bermakna satu barah telah dibuang. Tetapi jangan lupa bagaimana dengan 1,507 orang perwakilan yang mengundi Isa ketika pemilihan tersebut. Mungkin tidak semua mereka memangkah kerana disogok, soalnya berapa peratuskah yang memangkah tanpa disogok? Dua pertiga? Separuh? Suku?

Kalau Isa dan Setiausaha Politiknya dihukum, bagaimana dengan wakil-wakilnya yang lain yang bertindak sebagai agen, agen peringkat negeri-negeri, agen peringkat bahagian-bahagian, peringkat Pemuda dan Wanita? Siapa berani memperakui bahawa mereka yang telah sedap merasa gula-gula Isa ini tidak akan tergiur pula untuk merasa gula-gula entah siapa lagi dimasa depan?

Sebagaimana kata Adnan Yakub MB Pahang dalam perhimpunan tersebut, kiranya ada mana-mana pihak yang sanggup berbelanja USD2 billion maka pihak tadi pasti berjaya membeli semua pemimpin Umno dari Cawangan hinggalah ke Majlis Tertinggi!

Bagi saya rasuah ataupun politik wang dalam Umno ini sudah sampai ketahap setanding dengan AIDS ataupun Sindrom Kurang Daya Ketahanan. Seumpama AIDS amalan kotor menyogok untuk menjadi pemimpin ini tiada ubatnya lagi kecuali menunggu balasan ajal yang berlari-lari kea rah mangsanya.
Kalau menjadi pemimpin pun boleh dibeli dengan rasuah bayangkan apabila pemimpin-pemimpin jenis ini duduk di kerusi kerajaan. Entah berapa banyak lagi amalan rasuah yang telah dan sedang diamalkan sebagaiman Mohd Nor menulis:

Yang memberi dan yang menerima jangan dilupakan, yang meminta – semua sama jika ingin berjaya dalam perjuangan yang belum selesai.

Kesimpulannya budaya kronik ini telah menular dan menjadi amalan biasa dalam Umno lantaran kedurjanaan pemimpin-pemimpin mereka sejak dari zaman Dr Mahathir lagi atau barangkali lebih awal. Apabila wang menjadi penyelesaian kepada segala-galanya maka runtuhlah peradaban dan harga diri mana-mana pihak sekalipun. Tiada pilihan nampaknya kecuali sahabat-sahabat dalam Umno bertukar selera dan timbang-timbanglah alternatif lain.

No comments: