MAHU CAPAI PENDIDIKAN TARAF DUNIA
TAPI SEKOLAH TIADA LETRIK DAN AIR
Saya pasti kebanyakan rakyat Malaysia seperti juga saya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa hampir 2,300 buah sekolah kebangsaan di seluruh Negara masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Bayangkan bagaimana anak-anak disekolah-sekolah ini menghadapi pelajaran masing-masing dalam keadaan panas dan tidak selesa. Demikian juga guru-guru yang bertanggungjawab mendidik mereka.
Tanpa bekalan air pastinya kesihatan anak-anak dan guru-guru yang terbabit turut terancam.
Sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini:
Daripada 2,300 buah sekolah itu, 800 sekolah langsung tidak mendapat bekalan elektrik dan 1,500 belum mendapat bekalan air awam.
Berita malang ini menjadi lebih sensasi lagi apabila ianya sebenarnya dibocorkan oleh Menteri Pelajaran sendiri, Hishamuddin Tun Hussien.
Saya tidak tahu apa maksud politik disebalik pendedahan Hisham itu tapi bagi saya pendedahan ini oleh menterinya sendiri sebenarnya lebih merupakan tindakan meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Seumpama seorang petani yang tidak mengunakan baja untuk tanamannya tiba-tiba mengadu mengapa hasilnya tidak baik berbanding dengan orang lain yang menggunakan baja. Ataupun seorang pengawal keselamatan yang sering tidur dalam menjalankan tugas tiba-tiba mengadu bagaimana barang-barang di bawah jagaannya boleh dicuri orang.
Demikianlah bagi saya gelagat Hisham ini. Keluhan dan rungutan tidak boleh datang dari seorang menteri yang sebenarnya dipertanggungjawabkan untuk menyelia hal ini. Siapakah yang perlu memikul tanggungjawab ini kalau tidak menteri berkenaan sendiri.
Kita sering menyaksikan di kaca TV bagaimana anak-anak di Negara dunia ketiga khususnya di Afrika dan Asia yang hidup melarat, tidak memiliki persekolahan yang sempurna. Rupa-rupanya di tanahair kita sendiri masih ada anak-anak yang seumpama itu juga!
Apa gunanya kita megah dengan bangunan pencakar langit, yang mewah dan mahal-mahl sedangkan perkara pokok seumpama memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak bangsa sendiri terabai sama-sekali.
Menteri Pelajaran perlu segera menangani isu ini. Tiada faedahnya beliau mendedahkan angak-angka tanpa melakukan tindakan segera dan mengatasinya.
Dalam laman web kementerian digembar-gemburkan kononnya misi kementerian adalah untuk:
Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.
Taraf dunia apa benda jika bekalan letrik dan air pun tiada! Kalau beginilah keadaanya lebih baik misi di atas dikuburkan sahaja, kerana hakikatnya ia sekadar bahan solek untuk mencantikkan laman web semata-mata!
No comments:
Post a Comment