Monday, June 27, 2005

KALAU DALAM UMNO PUN RASUAH
KETIKA PILIHANRAYA UMUM BAGAIMANA?

Jelas dari perkembangan di dalam Umno sejak akhir-akhir ini, wabak politik wang telah berjaya menular menjadi darah daging dalam parti Melayu tersebut. Wang digunakan untuk membeli sokongan, bagi memastikan satu-satu pemimpin itu naik. Ianya berlaku dari peringkat akar umbi dari serendah-rendah cawangan hinggalah ke pemilihan bahagian sehinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi sebagaimana yang kita lihat perkembangannya pada hari ini.

Apabila wang menjadi asas sokongan, maka kelayakan ataupun kemampuan seseorang itu akan ditolak tepi. Seorang pemimpin yang jujur, berani dan berwibawa akan dilangkaui kiranya seorang pemimpin yang walaupun bongkak, sombong, pembohong dan longgar moralnya tetapi memiliki wang dan kekayaan terpa ke hadapan untuk menawarkan diri menjadi pemimpin.

Lantaran berdarah dagingnya politik wang ini, maka akan bertapak dan bermaharajalelah jugalah lain-lain amalan mungkar umpama kronisma, nepotisma dan cantas-mencantas politik.

Demikianlah halnya di dalam Umno. Saya pasti ramai dikalangan kita samada yang dalam Umno maupun yang diluar memiliki pengalaman masing-masing. Saya sendiri pernah melihat seorang tokoh korporat yang banyak berjasa menaikkan martabat bangsa khususnya dalam bidang ekonomi ditewaskan dalam percubaan pertama beliau sebagai ketua cawangan dalam bahagian Kuala Selangor satu ketika dahulu semata-mata kerana ketua bahagian ketika itu (yang kini telah pun disingkir dari bahagian) berasa terancam.

Di bahagian Kelana Jaya kenalan saya seorang perwakilan mendakwa terdapat jual-beli sokongan ketika pemilihan pucuk pimpinan Pemuda bahagian, sehingga wang bertukar tangan dalam tandas hotel semasa mesyuarat berjalan demi membelo sokongan.

Bapa saudara saya seorang aktivis Umno Wilayah Persekutuan tewas dalam percubaannya untuk jawatan Naib Ketua bahagian walaupun telah banyak menabur jasa. Bila ditanya macam-mana boleh tewas, kata beliau pihak lawannya yang muda dan tidak pernah sebelum ini bergiat dalam bahagian telah menggunakan wang!

Jadi amalan mungkar ini sesungguhnya bukan lagi satu rahsia, tetapi adalah bualan umum.

Jika sesama Umno pun amalan rasuah membeli kuasa dan kedudukan ini berlaku secara terang-terangan dan terbuka bayangkanlah apabila Umno berhadapan dengan rakyat semasa pilihanraya umum! Acapkali parti-parti pembangkang mendakwa Umno dan BN menggunakan wang, bantuan dan berbagai hadiah dan janji untuk membeli undi rakyat, namun ianya tidak dihiraukan oleh pihak berkenaan. Malah dalam pilihnaraya umum lalu tindakan seorang wakil kepada calon Umno untuk membeli calon PAS di Johor telah berjaya dirakam dan ditangkap RED HANDED namun tiada tindakan diambil dan calon Umno yang menang terus menjadi wakil rakyat sehingga hari ini.

Sah Umno pengamal budaya rasuah dan pelopor politik wang ini, maka seharusnya mereka disenarai hitamkan dan sentiasa diawasi oleh BPR.

Pihak berkuasa perlu faham kiranya amalan mungkar ini dibiarkan berlarutan yang akan menjadi mangsa adalah negara dan anak bangsa kita sendiri. Kerana berjaya disogok dengan wang, kemewahan dan wanitalah empayar dan kuasa besar Melayu kecundang di zaman awal dahulu. Apabila agama tidak lagi menjadi panduan, wang dan kedudukan menjadi matlamat, maka amanah akan disalah guna dan negara dan bangsa akan ranap.

Rakyat perlu melihat perkembangan semasa ini dengan penuh serius dan bijak bertindak bagi memastikan ianya segera ditangani demi masadepan kita semua.

No comments: