Saturday, April 30, 2005

SAYANGILAH KELANTAN: TERUSLAH MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Sempena Konvensyen Kemajuan Kelantan 2005 di Kota Bharu anjuran Umno Kelantan sebagaimana biasa bagi Umno Kelantan maka dilontar dan diperkenalkanlah pelbagai slogan baru. Antaranya ERA PAK LAH KELANTAN BERUBAH. Dan SAYANGILAH KELANTAN KITA.

Annuar Musa selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri telah menghuraikan secara panjang lebar maksud slogan ini dalam sisipan khas Utusan Malaysia sempena konvensyen ini (bukti betapa mewah dan kayanya Umno Kelantan).

Kata Annuar:

Apabila kita bercakap soal politik pembangunan kita harus merombak pemikiran rakyat Kelantan supaya mereka mempunyai sifat ASSOBIYAH positif kerana Ibnu Khaldun berkata pra syarat untuk maju sesuatu masyarakat itu perlu sikap sedemikian.

Sebab itu saya anjurkan slogan SAYANGILAH KELANTAN KITA ramai orang tahu Kelantan tetapi mereka tidak kenal Kelantan, untuk kenal kita harus mempunyai perasaan sayang seperti mana juga kalau kita hendak sayang kepada Allah kita harus tahu sifat Nya begitu juga terhadap ibu bapa kita.

Kalau kita kaji tanggungjawab kita sebagai rakyat dan apabila kita sudah sayang kita tidak akan merosak atau mengabaikan negeri kita hatta ketika mengundi sekalipun.

Sebab itulah saya kata dalam bahasa kiasan kalau sayangkan Kelantan tidak payah undi Umno atau PAS tetapi undi atas factor Kelantan maknanya memberi undi kepada kepada pihak yang kita yakin boleh memberikan kebaikan kepada Kelantan.

Saya rasa dalam hal ini rakyat Kelantan bersetuju dengan Annuar, ini terbukti kerana sejak tahun 1990 mereka telah memberikan undi kepada kerajaan yang memberikan kebaikan kepada mereka iaitu kerajaan PAS pimpinan Tok Guru.

Konvensyen Umno ini menjanjikan Kelantan akan menjadi negeri maju pada tahun 2015. Dan cadangan-cadangan konvensyen tersebut penuh dengan lagu-lagu dan janji pembangunan yang saya percaya rakyat Kelantan telah muak mendengarnya. Tiada yang baru dan tiada yang luar biasa.

Kesimpulannya eloklah kita meneliti apa yang pernah diucapkan oleh Tok Guru MB Kelantan pada tahun 1995 dahulu:

Kita lawan Umno bukan bertujuan hendak berlumba pembangunan, tetapi hendak berlumba ikhlas dengan Allah taala, berlumba melaksanakan Islam. Itu perkara pokok. Benda ini tidak boleh dilaksana tidak boleh dibuat dengan baik kalau tidak melalui ilmu Islam …

Annuar perlu sedar diperingkat ini bahawa rakyat Kelantan menerima PAS kerana Umno gagal mengemukakan barisan kepimpinan yang ihlas dan bertaqwa sebagaimana yang mereka kehendaki. Isu pembangunan memang dimahukan oleh rakyat dimana sekalipun namun yang lebih penting adalah pemimpin yang jujur, ikhlas dan bersih. Rakyat Kelantan mahu bangun di akhirat kelak bersma pemimpin jenis ini.

Renunglah apa yang pernah diucapkan oleh Tok Guru MB Kelantan ketika Kempen Penghayatan Ramadhan pada 25 Syakban 1415 dulu:

Bila hati saya seorang (sebagai MB) rosak secara otomatik orang lain turut rosak sama. Inilah yang saya jaga iaitu hati ini supaya tidak rosak. (Kerana jika rosak) itulah yang saya sungguh-sungguh takut, kalau rosak hati ku seorang Ya Allah, jahanamlah Kelantan.

Betapa begitu prihatin, cermat dan teliti sekali seorang MB PAS yang saya rasa tidak berapa diberi perhatian sangat oleh MB Umno. Kerana itulah bila rakyat Kelantan enggan menaikkan MB Umno, bukan kerana mereka tidak sayangkan Kelantan, sesungguhnya mereka berbuat demikian kerana mereka sebenarnya sayangkan Kelantan. Inilah yang Annuar dan rakan-rakannya perlu fahami dan sedari

Friday, April 29, 2005

PERANG RASUAH:
JANGAN SEKADAR MANIS DI BIBIR SAHAJA

Antara agenda kunjungan bekas PM Singapura, Lee Kuan Yew ke Malaysia adalah untuk menghadiri dan menyampaikan ucaputama dalam Forum Integriti dan Etika Dunia 2005 di sini. Satu perbezaan antara Kuan Yew dan pemimpin di Malaysia adalah bahawa di zamannya dan juga barangkali kini, Singapura telah berjaya membendung dan membenteras rasuah di kalangan kakitangan awamnya.

Walaupun dari segi kekangan terhadap hak asasi rakyatnya standard Singapura tidak jauh berbeza dari Malaysia namun dari segi peperangan terhadap rasuah, Singapura jauh kehadapan.

Dalam ucaputamanya sebagaimana dilaporkan oleh THE SUN salah satu kaedah yang digunakan oleh Kuan Yew yang berjaya sehingga kini adalah meletakkan tahap gaji kakitangan awamnnya setanding dengan mereka yang berada di sektor swasta. THE SUN melaporkan:

Singapore's Minister Mentor Lee Kuan Yew says it is dangerous to have enforcement officers and those in charge of dispensing licences to be grossly underpaid.

The salary of ministers and government officials is an important factor because they have enormous powers to grant or deny permits that can make or break businesses, he said. When they are paid salaries that are derisory compared with those of their counterparts in the private sector, officials and ministers will be tempted to take gifts. This has enabled ministers and officials to live according to their station in society without extra sources of illicit income

Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew berkata adalah merbahaya apabila mereka yang bertugas dibidang penguatkuasaan dan pelulusan lessen dibayar gaji yang rendah.

Gaji pegawai kerajaan dan para menteri adalah faktor penting kerana mereka memiliki kuasa yang luas dalam melulus dan menafikan permit yang boleh menjaya atau menggagalkan sesuatu perniagaan. Apabila mereka ini dibayar gaji yang tidak setimpal dengan yang berada disektor swasta, maka para pegawai dan menteri tadi akan terangsang untuk menerima hadiah (dari orang berkenaan).
Hasil dari tindakan ini para menteri dan para pegawai dapat hidup setaraf dengan jawatan mereka dalam masyarakat tanpa perlu terjerumus mencari pendapatan haram.

Memang langkah ini mungkin dipandang remeh dan tidak sesuai namun yang pentingnya Singapura kini merupakan kerajaan yang paling telus di Asia menurut badan pemantau TRANSPARENCY INTERNATIONAL yang berpusat di Berlin, Jerman. Bagi Malaysia sepatutnya jika tidak menaikkan gaji sekalipun penerapan nilai-nilai Islam sudah septutnya berdiri kukuh laksana perisai bagi menghalang kakitangan awam dari terdedah kepada rasuah. Ini menunjukkan apa saja program Islam yang cuba diterap atau dilaksana termasuklah Islam Hadhari itu tidak lebih dari menanam tebu di bibir mulut, sandiwara semata-mata.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam turut mengambil bahagian dalam forum ini. Beliau menegaskan bahawa POLITIK WANG tidak boleh dibiarkan diadili oleh parti-parti politik berkenaan semata-mata. Ianya perlu dihadapkan ke mahkamah dan diambil tindakan sekeras-kerasnya, lagi besar jawatan lagi keras hukumannya.

Dan yang paling menarik sebagaimana dilaporkan oleh NST Musa berkata bahawa mereka yang mahu melibatkan diri dalam politik seharusnya tidak pula terlibat dalam perniagaan (THOSE KEEN IN POLITICS STAY IN POLITICS, THOSE WHO WANT TO ENTER BUSINESS, STAY IN BUSINESS). Bermakna biarkan ahli politik menjalankan tugas mereka, tanpa perlu dipengaruhi atau mempengaruhi sesuatu isu lantaran dwi kedudukannya. Dan yang pastinya apa yang Musa maksudkan adalah dikalangan ahli politik Umno dan BN.

Kesimpulannya Perang Rasuah di Malaysia, tidak nampak arah tujunya. Sekejap timbul sekejap tenggelam, Pak Lah berkata negara berada dalam situasi perang akan tetapi realitinya tak terdengar pun sebutir peluru yang meletup. Rasuah terus berleluasa, dalam kes diesel, dalam politik dan dalam serba serbi kehidupan. Dan Pak Lah kononnya terus maju ke hadapan dengan panji-panji peperangan, malangnya di belakang tenteranya berteraburan jauh meninggalkan beliau.




KEGAGALAN PAS ANTARA FAKTOR SPR DAN PR

BADMAS

Sering diperkatakan kegagalan PAS mempertahankan atau menambah kerusi sama ada di Parlimen dan DUN dalam pilihan raya yang lepas adalah disebabkan permainan kotor dan muslihat SPR. Memang kenyataan ini tidak dapat dinafikan apatah lagi perancangan jahat ini mula dihidu dengan usaha SPR melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.



Banyak peraturan-peraturan baru yang sengaja dibuat untuk membantut dan menyukarkan gerakerja dan kelicinan jentera pilihan raya parti pembangkang. Tidak payah ianya diperincikan di sini cukup sekadar kita mengatakan BN seharusnya merasa malu dengan sikap tidak gentlemen mereka apabila berhadapan dengan pembangkang ketika musim pilihan raya.

Apalah erti kemenangan sekiranya seorang peninju bertumbuk dengan lawannya yang diikat tangan dan kakinya yang menyebabkan pergerakan lawan terbatas.

Dalam masa yang sama, satu lagi faktor yang kurang diberi perhatian dan keutamaan oleh PAS perlu diwujudkan hubungan PR yang baik dengan semua lapisan masyarakat. Amat malang sekali sebagai sebuah gerakan Islam, PAS tidak menekankan aspek ini secara serius, walhal Islam menyarankan umatnya bukan sahaja merealisasikan hubungan dengan Allah s.w.t. tetapi juga hubungan sesama manusia.

Perlu diingat kita berhadapan dengan pelbagai golongan manusia. Jangan kita merasa selesa duduk dalam kepompong sendiri dan tidak mahu memahami apakah kehendak dan tuntutan semasa. Selagi kita tidak dapat membaca situasi sekeliling kita, selagi itulah perjuangan PAS tidak akan diterima oleh masyarakat.

Mursyidul Am telah melakukan kejutan kepada ahli PAS apabila beliau bersetuju Badan Perhubungan PAS Kelantan mencalonkan Dr Siti Mariah sebagai Naib Presiden PAS. Bukan sahaja berita ini mengejutkan ahli PAS tetapi juga ahli UMNO dan NGO-NGO wanita yang lain. Ini merupakan satu contoh PR exercise yang amat baik. Tindakan ini bukanlah satu gimik politik dan kita percaya Muslimat tidak pernah melobi atau berkempen untuk mendapatkan jawatan setinggi itu ataupun jawatan-jawatan lain sebagai ganti atau balasan di atas sumbangan besar mereka sebagai ahli parti yang terpaksa mengorbankan masa bersama anak, suami serta keluarga.

Tetapi Tok Guru Nik Aziz bijak membaca situasi kerana masyarakat kita mempunyai tanggapan bahawa sekiranya muslimat tidak diberi jawatan yang tinggi atau tidak diberi peluang sebagai calon dalam pilihan raya, maka mereka melihat muslimat tidak diiktiraf oleh PAS walhal kita yakin muslimat PAS tanpa diberi sebarang jawatan sekali pun akan tetap menyumbangkan masa dan tenaga demi perjuangan Islam.

Contoh lain PR exercise yang bijak ialah apabila Dr Siti Mariah menerima jemputan sebagai ahli panel Forum “Enforcing Public Morality” anjuran FNF di Hotel Le Meridian baru-baru ini. Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju beliau menghadiri forum tersebut kerana beranggapan penganjur mempunyai agenda tersembunyi, namun natijah daripada keterbukaan serta pendekatan mesra beliau, sedikit sebanyak meleraikan beberapa persoalan dan keresahan para peserta khususnya non-Muslim yang sering mendapat gambaran salah mengenai Islam dan PAS khususnya.

Usaha-usaha sebeginilah yang perlu kita tingkatkan. Kebijaksanaan Tok Guru menggilap PR/imej PAS sama ada yang berkaitan dengan isu wanita atau isu lain perlu dicontohi oleh ahli PAS di semua peringkat. Tahniah juga kepada Muslimat yang kini sudah berani berdepan dengan realiti masyarakat pluralistik. Sudah tiba masanya kita mengorak langkah memastikan PAS menjadi sebuah parti dan gerakan Islam yang mudah didekati dan dipercayai oleh masyarakat.

Hentikan label-melabel dan jangan ada lagi prasangka. Walaupun kita akan terus berhadapan dengan pelbagai tipu-helah SPR, namun siapa tahu dengan izinNya satu hari nanti faktor PR ini pula yang akan memenangkan PAS?

Thursday, April 28, 2005

ANWAR DAN GOLONGAN ISLAMIS AKAN GAGAL
: DR MAHATHIR


Setelah lama tidak bersua maka semalam dipertemukan dua bekas pemimpin otokrat Asia Tenggara iaitu Dr Mahathir dan Harry Lee Kuan Yew. Kuan Yew yang dalam kunjungan rasmi ke Malaysia sempat berjumpa dan beramah-mesra dengan bekas rakan sejawaatnnya itu di Putrajaya.


SAHABAT KARIB HARRY LEE DAN CHE DET

Sepanjang menjadi PM di Singapura dari tahun 1959 hingga 1990 Kuan Yew dikenali sebagai pemimpin yang telah membawa kemajuan yang pesat di Negara pulau tersebut. Tetapi Kuan Yew juga hebat dalam aspek yang lain. Di bawah beliau Singapura tidak mengenali apa itu hak asasi kecuali apa yang diizinkan Kuan Yew. Demi mengejar kemajuan beliau telah menginjak-injak dan menyepak-terajang sebarang suara yang menentang kehendak beliau. Akibatnya suara pembangkang luluh dan pupus. Penentang dipenjarakan tanpa bicara (Said Zahari bekas wartawan Utusan merengkok selama 17 tahun ditahan tanpa bicara oleh Kuan Yew) ataupun dibangkrapkan melalui pelbagai bentuk saman malu dan sebagainya. Badan kehakiman, polis dan lain-lain berada di bawah telunjuk beliau. Demikianlah hebatnya Kuan Yew.

Tak kuranglah juga dengan Mahathir. Pembangunan fizikal hebat ketika beliau PM. Turut hebat juga adalah tindakannya terhadap para penentangnya. ISA digunakan terhadap sesiapa sahaja yang beliau pandang bermasalah. Bukan sekadar penentang politik, Ketua Hakim dan Hakim-hakim kanan habis dipecat dan dibicarakan dizaman Mahathir. Mahathir akan dikenali sebagai PM yang mempunyai 4 TPM, bertukar ganti bukan kerana meninggal dunia, tetapi samada meletak jawatan (protes) ataupun dipecat sendiri oleh beliau. Islam dipacu mengikut pemahaman beliau. Bermakna berbanding dengan Kuan Yew beliau juga tidak kurang hebatnya dalam hal-hal tertentu jauh mengatasi Kuan Yew.

Lalu beramah-mesralah kedua pemimpin dihujung senja ini, bergembira, bergelak ketawa bertukar-tukar pengalaman terhadap apa yang telah bersama mereka lalui.

Kata Mahathir, Kuan Yew bertanya tentang Anwar Ibrahim, adakah mempunyai harapan kembali ke arus perdana politik tanahair. Jawab Mahathir:

I think he still has the capacity to cause trouble if he comes back but I doubt whether he can make any headway.

Saya rasa beliau mampu mencetuskan masalah bila kembali nanti tetapi saya tidak yakin beliau akan berjaya.




Kuan Yew juga bertanya adakah Malaysia akan diperintah oleh golongan ISLAMIS, jawab beliau:

My view is that I don’t think so. The Malay Muslims are very rational people. There are some who are not that knowledgeable about Islam and who can be misled, but the majority know what Islam is all about and they cannot be easily misled by people who pretend to be Islamists.

Pada pandangan saya tidak. Masyarakat Melayu Islam adalah golongan yang rasional. Mungkin ada kalangan mereka yang tidak mengerti darihal Islam yang mungkin terpedaya, namun majoriti mereka tahu apa itu Islam dan tidak akan mudah disesatkan oleh mereka yang berpura-pura berjuang Islam.

Tak tahulah samada Kuan Yew dapat menerima komen dan pandangan Mahathir itu atau sekadar mentertawakannya dalam hati. Yang pasti Mahathir masih menaruh dendam terhadap Anwar dan golongan Islam yang mahu kembali kepada kebenaran. Bermakna walaupun sudah tiada bertaring lagi Mahathir dan Kuan Yew masih tetap dengan pendirian dan pandangan mereka semasa muda dulu.

Kesimpulannya samada Anwar akan berjaya ataupun tidak maka terpulanglah kepada rakyat, dalam hal ini Mahathir sudah TIDAK RELEVAN lagi (meminjam istilah popular Augustine Paul). Manakala dalam soal masa depan Islam, Allah telah menjanjikan kemenangan bagi mereka yang bertaqwa dan istiqomah samada Mahahtir akan hidup menyaksikannya ataupun tidak wallahualam.

Wednesday, April 27, 2005

KEMELUT DIESEL SELESAI SATU DUA HARI LAGI:
SHAFIE APDAL

Berita TV3 jam 830 malam tadi memaparkan betapa seriusnya masalah kekurangan bekalan minyak diesel dalam negara. Akhbar THE STAR hari ini meletakkan pada muka depannya tajuk:

RUNNING ON EMPTY: Diesel shortage threatens to cripple transport industry.

Sekiranya masalah serius ini berlarutan kemungkinan industri pengangkutan negara akan teruk terjejas. Ini termasuklah kenderaan pengangkutan, lori, bas, treler, teksi dan lain-lain. Disamping industri pertanian, perkilangan dan yang seumpamanya.

Ini suatu tragedi yang besar, yang menjejaskan ekonomi negara, harian mengapa Menteri berkenaan seorang sahaja yang dikambing hitamkan untuk memikul beban ini. Mengapa PM dan TPM tidak membuat kenyataan malah mengambil-alih isu ini memandangkan seriusnya impaknya terhadap negara?

Dalam dewan rakyat siang tadi, Shafie Apdal selaku menteri yang bertanggungjawab teruk dihujani dengan berbagai serangan disamping cadangan dan teguran oleh ahli-ahli dewan. Jelas kelihatan menteri berkenaan terlalu emosional sehingga menghentak-hentak meja beberapa kali, membuktikan kusut dan kalutnya beliau dalam berdepan dengan kemelut ini.

Shafie lebih menyalahkan penyeledup dan pengusaha pam minyak yang bersekongkol sebagai penyangak yang harus dopersalahkan. Tetapi formula penyelesaian tidak diketengahkan untuk meyakinkan rakyat. Beliau sekadar mendabik dada mengatakan isu ini akan selesai dalam masa satu ke dua hari.

Kalau benar boleh selesai Alhamdulillah, adakah dalam masa satu ke dua hari itu juga segala penyangak juga akan ditangkap dan dibawa ketengah atau macam mana? Kasihan memikirkan nasib para pemandu lori, teksi, bas termasuklah kelendan dan konduktor kiranya kenderaan ini semua kelak tidak dapat bergerak keranan ketiadaan diesel!

Hairan kita hasilkan minyak, kita keputusan minyak ....
MENYELUSURI GERAK POLITIK TOK GURU

Tidak dapat dinafikan bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah merupakan seorang tokoh politik yang sentiasa diberi perhatian. Samada mereka yang gemar maupun bagi mereka yang memusuhinya, peribadi Tok Guru ini sering dikagumi dan disegani kawan dan lawan.

Sejak akhir-akhir ini beliau semakin kedepan dan memberikan lebih banyak impak terhadap lanskap politik tanahair. Dalam jangka waktu yang singkat sesingkat beberapa minggu kebelakangan sahaja Tok Guru telah mencetuskan pelbagai suasana yang kadangkala sukar diduga dan dibaca. Penuh kontroversi, penuh kejutan namun terus dikagumi dan dihormati.

Dalama suasana PAS akan berdepan dengan Muktamar Tahunannya pada awal Jun kelak, yang akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti, Tok Guru contohnya tidak mahu ketinggalan dalam mencorakkan momentum. Ketika ramai yang menanti-nanti pencalonan dari kawasan-kawasan, Tok Guru tiba-tiba mencetuskan suatu kejutan. Calonkan Dr Siti Mariah sebagai Naib Presiden PAS, biar kita mendahului Umno dalam hal mengenengahkan kepimpinan wanita, demikianlah lebih kurang kenyataannya.

Terperanjat dan terkedu kawan dan lawan. Saranan Tok Guru benar-benar berani dan terkehadapan.

Bukankah PAS selama ini dikatakan mengekang dan mengongkong golongan wanita. PAS dituduh memberikan second class treatment terhadap golongan hawa. Dan apa lagi yang tidak diperkatakan terhadap PAS dalam isu wanita, tiba-tiba kenyataan Tok Guru ini bagaikan memaku dan mematikan tohmahan dan fitnah ini.

Muslimat dalam PAS sesunggunya bukan sekadar dihormati dan diberi peranan hatta nak menjadi Naib Presiden jawatan ketiga tertinggi dalam parti, pun boleh. Ini tidak pernah berlaku dalam Umno yang kononnya memartabatkan wanita.

Dalam pada itu kerajaan negeri Kelantan pimpinan Tok Guru turut mengumumkan akan melantik penghulu dikalangan wanita peringkat parlimen setelah hampir dua tahun mewujudkan penghulu wanita diperingkat DUN. Satu langkah yang tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan Umno Kelantan dahulu mahupun oleh kerajaan-kerajaan negeri Umno yang lain!

Tidakkah perkembangan ini sesuautu yang baik dan positif bagi golongan wanita, yang terbit dan dicetuskan oleh Mursyidul Am PAS sendiri! Pasti persepsi masyarakat terhadap Tok Guru dan institusi ulamak yang selama ini dimomokkan oleh Umno akan beransur berubah melalui cetusan-cetusan sensasi ini.

Tidak cukup dengan isu wanita, malah beberapa minggu lalu Tok Guru turut mencetuskan satu lagi kontroversi apabila turut hadir bersama-sama Ku Li, Annuar Musa, Mohammad Yaakub (bekas MB Umno Kelantan) dan lain-lain dalam satu majlis anjuran Ibrahim Ali di Kota Bharu. Tok Guru hadir dan mendengar kertas yang dibentangkan oleh Ku Li berkenaan perpaduan rakyat dan kedaulatan Raja.

Ramai yang menyangka MB Kelantan itu tidak akan hadir malah mungkin mewakilkan Timbalannya atau mana- mana EXCO kanan, rupa-rupanya dengan gagah Tok Guru hadir dan duduk di pentas utama bagi membuktikan keterbukaan dan kesediannya untuk melibatkan diri dalam isu perpaduan dan kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersedia.

Saya yakin segala-gala ini dilakukan oleh Tok Guru demi mentarbiyah secara amali anak-anak didiknya di dalam PAS khususnya agar mereka turut mengamalkan satu sikap keterbukaan dan berpandangan jauh demi meletakkan Islam dalam arus perdana dan terus disegani, dihormati dan akhirnya diterima dengan senang hati oleh semua pihak insyallah.

Bertuahlah mereka yang dapat membaca, meneliti dan menerima didikan amali beliau ini. Kepimpinan Ulamak akan dipandang tinggi dan dimartabatkan apabila pemimpinnya berani dan terbuka seperti Tok Guru. Mudah-mudahan berjayalah Islam di bawah terajunya.

Tuesday, April 26, 2005

PENCALONAN DR SITI MARIAH:
ADAKAH TOK GURU TURUT BERKEMPEN
?

Berita pencalonan Dr. Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS oleh Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan masih hangat diperkatakan. Terbaru PAS Kawasan Tebrau merupakan kawasan PAS yang pertama yang menyahut seruan Tok Guru itu dan mencalonkan Dr Siti Mariah sebagai salah seorang calon Naib Presiden.



Perkembangan terbaru dalam PAS ini sungguh menarik tambahan ianya dipelopori oleh Tok Guru sendiri yang pada pandangan ramai kumpulan liberal sebagai seorang yang ultra konservatif dan meminjam kata-kata Azalina Othman, Nik Aziz ini jenis orang yang tidak membaca.

Dalam hal wanita Nik Aziz sering dicap sebagai sexist dan kolot, dengan perkembangan terbaru ini apa pula agaknya jolokan yang nak diberikan terhadap beliau?

Walaubagaimanapun bagi PAS sendiri, perkembangan terbaru ini sungguh tidak diduga oleh banyak pihak namun rasanya akan dapat diterima dengan baik, kerana bukankah PAS menerima konsep kepimpinan ulamak.

Bagi pihak yang sangat sensitif terhadap isu berkempen dalam pemilihan parti, apakah tindakan Tok Guru ini boleh disamakan dengan berkempen?

Bagi saya Tok Guru sekadar mengamalkan haknya di dalam parti yang turut dimilki oleh mana-mana ahli PAS yang lain iaitu untuk mencalon dan mencadangkan mana-mana pemimpin yang difikirkan layak. Dalam hal ini Tok Guru merasakan Dr. Siti Mariah layak untuk dipertimbangkan, lalu dicadangkan untuk turut dicalonkan. Adakah itu berkempen?

Kalau ada pihak yang mengitilahkannya sebagai kempen sekalipun, saya rasa ianya masih dalam batas-batas Islam dan tidak sebagaimana kempen yang diamalkan oleh gerakan ataupun kumpulan sekular.

Dalam hal ini saya kagum dengan pandangan jauh Tok Guru ke arah memartabatkan PAS dan saya turut setuju dengan justfikasi politiknya. Saya yakin ahli-ahli PAS lain turut begitu.

Monday, April 25, 2005

TOK GURU CALONKAN DR SITI MARIAH
BANYAK PIHAK GUSAR

Akhbar tempatan hari ini memuatkan berita PAS Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat mencadangkan agar salah satu daripada tiga pencalonan Naib Presiden diberikan kepada Dr. Siti Mariah Mahmood sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan pengorbanan muslimat PAS.

Menurut laporaan Tok Guru mahu PAS mendahului Umno dalam memberikan muslimat tempat dinombor tertiga yang tertinggi dalam parti. Menurut sejarah tidak pernah seorang pun calon wanita menyandang jawatan Naib Presiden Umno.

Dengan langkah ini bermakna tidak benarlah suara-suara yang sering mengatakan bahawa wanita dalam PAS sentiasa didiskriminasi dari segi kedudukan dan taraf.

PAS merasakan perlu angin perubahan besar berlaku dalam parti disemua peringkat setelah mengalami kekalahan dalam pilihanraya umum lalu, dan tindakan Kelantan ini dikira sebagai salah satu tenaga ke arah perubahan itu.

Proses pemilhan parti menjelang muktamar parti pada bulan Jun nanti juga sedang menyaksikan banyak perubahan-perubahan baru. Antaranya bagi jawatan Timbalan Presiden, kawasan-kawasan memberikan pencalonan kepada lebih dari seorang calon secara terbuka. Dan sementara itu proses pemilihan diperingkat mesyuarat agung kawasan juga menyaksikan ada kawasan-kawasan yang mengambil sikap lebih terbuka dan telus. Contohnya ada kawasan yang tidak lagi menyerahkan pencalonan bagi jawatan tertinggi parti kepada AJK kawasan, sebaliknya membuka peluang kepada para perwakilan membuat pencalonan dalam mesyuarat terbuka seperti di Kelana Jaya dan Shah Alam.

Trend dan perkembangan positif ini membuktikan kedewasaan dan kematangan PAS dan ahli-ahlinya. Sekiranya ia dilakukan secara jujur dan ikhlas demi memartabatkan parti dan perjuangan bagi mencapai cita-cita besarnya, insyallah ianya menunjukkan suatu perkembangan yang baik dan perlu dizaman yang serba mencabar ini.

Cuma Wanita dan Puteri Umno sahaja yang nampak tidak senang apabila dimaklumkan darihal perkembangan ini. Melalui Buletin Utama TV3 semalam Ketua Puteri Noraini Ahmad mempersoalkan mengapa baru kini PAS sibuk-sibuk mahu memberi tempat pada muslimatnya. Bagi beliau PAS sudah tidak relevan, cuma Umno sahaja yang relevan dan sesuai.

Tan Sri Aishah Ghani, veteran wanita Umno pula berkata, PAS sudah tidak ada modal, dia dah ditolak oleh rakyat dan kini sudah kehabisan modal dan isu.

Walaupun berbeza pendirian politik tetapi atas isu wanita, kalau PAS mahu menaikkan martabat muslimatnya sepatutnya Puteri dan Wanita Umno berikan galakkan dan sokongan. Jangan pandang negatif atas semua perkara yang berkait dengan PAS, tunujkkanlah kematangan sikit. Tambah-tambah kalau dah veteran macam Aishah Ghani tu.

Aishah Ghani jangan lupa sejarah (kalaupun Ketua Puteri nampak macam tak tahu sejarah politik tanahair). PAS pernah memberikan tempat kepada bekas Ketua Kaum Ibu Umno (kini Ketua Pergerakan Wanita Umno) yang dipecat oleh Umno diambang kemerdekaaan tahun 1957 lalu. Beliau adalah kawan baik Aishah sendiri iaitu Allahyarham Khatijah Sidek. Umno tendang keluar Khatijah setelah beliau menaburkan jasa dan khidmat kepada parti. Akhirnya PAS menerima beliau dan beliau bertanding dan menang dalam pilihanraya umum pertama di parlimen Dungun.

Bermakna langkah PAS kini sebenarnya bukanlah baru, Cuma diperbaharui kembali. Syabas Mursydiul Am PAS yang membuktikan ulamak tidak pernah meminggirkan muslimat malah menghargai dan menghormati kedudukan mereka. Samada Dr Mariah akan berjaya atau tidak pada muktamar kelak terpulanglah kepada para perwakilan, sekurang-kurangnya perubahan kearah kebaikan sebenarnya sedang berlaku dalam parti, itulah yang paling penting.

Mudah-mudahan berjaya insyallah.

Sunday, April 24, 2005

JANGAN BANGKITKAN PERKARA BODOH
SIAPAKAH SEBENARNYA YANG BODOH ITU?

Isu ini tercetus apabila Ketua Pembangkang Lim Kit Siang membangkitkan dalam Dewan Rakyat pada 20 April lalu darihal sebuah artikel dalam NST tulisan Zainul Ariffin bertajuk:

Our MPs are not ready for prime-time TV


Kit Siang menganggap tulisan Zainul sebagai satu penghinaan kepada ahli-ahli Parlimen, malah kata beliau artikel ini sebenarnya lebih tepat merujuk kepada ahli-ahli parlimen BN yang menguasai 92 peratus dari keanggotaan Dewan Rakyat dan bukannya wakil pembangkang.

Kata Kit Siang jika penulis artikel ini dirasakan telah menghina ahli-ahli parlimen melalui artikel beliau itu maka sewajarnya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen untuk disiasat adakah beliau telah menghina Parlimen ataupun tidak.

Tiba-tiba dalam akhbar hari ini apabila Menteri di JPM Nazri Aziz yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen diminta komen, beliau dengan selamba berkata:

Anggota-anggota Parlimen hanya mengundang kritikan apabila membangkitkan perkara-perkara BODOH dan tidak relevan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Mereka mesti membuat persediaan sebelum berucap dan berbahas janganlah cakap sesuatu yang tidak relevan kerana kalau kena kritik itu adalah permintaan mereka sendiri.

Bermakna dengan sendirinya Menteri tersebut memperakui bahawa memang ada ahli-ahli parlimen BN ini BODOH. Kerana dalam laporan yang sama beliau turut berkata:

Kalau tiada isu jangan hentam sahaja. Lebih baik diam dan biar orang kata bodoh daripada kita bercakap dan orang sahkan kita bodoh.

Hairan kenapa ada para pengundi yang memberi laluan mudah kepada mereka yang BODOH menjadi wakil mereka?

Sementara itu sekadar untuk makluman berikut diberikan sedutan ucapan Kit Siang itu:

Tuan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur): Kalau Yang Berhormat rasa ini menghinakan parlimen, kit perlu bertindak. Tak boleh diam-diam menerima kelakuan ini di mana kita dihina dan dia sendiri pun ada tulis, qualified,


Maybe. But the proverbial no-smoke-no-fire rule still governs the media. It will not report what it does not see or hear. And there are plenty of things to see and hear in Parliament. Sometimes they can be downright funny, too.


Kalau kita rasa ini menghinakan - apabila saya baca saya rasa penghinaan - tetapi saya rasa inilah 92 peratus Barisan Nasional yang disebut, bukan ahli parlimen DAP atau pembangkang. Ditujukan kepada Barisan Nasional MPs. Tetapi saya boleh share perasaan, ini menghinakan ahli-ahli parlimen. Kalau kita rasa ini menghinakan ahli parlimen, kita rujuk kepada Committee of Privileges. Rela? Then masukkan usul, kita di DAP sokong, rujuk article ini, New Straits Times, Zainul Arifin, kepada Committee of Privileges, supaya kita siasat, benar tak benar. Beri dia satu chance. Bukan dia guilty, tetapi perkara ini perlulah disemak, perlu dikaji dengan sedalam-dalamnya kalau parlimen martabat, parlimen akan dihormati.


Datuk Lim Si Cheng (Timbalan Yang diPertua): Yang Berhormat, balik kepada kepala butiran.


Tuan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur): Ya, saya sudah, tetapi ada ahli parlimen yang mahu meminta penjelasan. Saya beri penjelasan kalau ada! Adakah? Saya rela! Adakah?
POLITIKKAN DEMAM KEPIALU:
MENGAMBIL KESEMPATAN ATAS NESTAPA RAKYAT

Demam kepialu dikesan di Kelantan sejak awal bulan ini. Ianya dikatakan berpunca dari jualan makanan di gerai ekspo yang terletak berhampiran Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu. Setakat ini sebanyak dua kematian dilaporkan akibat dari penyakit tersebut. Dan menurut BERNAMA setakat jam 4 petang hari Sabtu sebanyak 310 kes dilaporkan dengan 88 sah mengidapnya manakala 213 lagi disyaki mengidapnya.

Demikianlah kedudukannya di Kelantan.Menurut ruangan Analisis Massa di dalam MINGGUAN MALAYSIA hari ini di bawah tajuk TEGURAN NIK AZIZ BENAR:

Mungkin ada diantara kita akan melihat kenyataan itu dari segi politik dan kembali menuding jari bahawa apa yang berlaku disebabkan kegagalan kepimpinan kerajaan negeri.

Tetapi jika hujah itu diketengahkan ia bukan sahaja tidak benar malah tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku sekarang.

Wabak penyakit yang menyerang Kelantan bukan kerana kesilapan kerajaan negeri tetapi kerana sikap sebahagian rakyat Kelantan yang tidak menitik beratkan soal kebersihan.

Kebetulan ketika melancarkan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam pada bulan Febuari lalu Tok Guru MB Kelantan pernah menyifatkan rakyat Kelantan sebagai megamalkan budaya pengotor . Menurut beliau sebagaimana di laporkan UTUSAN ketika itu:

Generasi pengotor di negeri ini masih lagi ada dan saya berharap ia akan pupus. Kita sedang berusaha untuk memenuhi ciri-ciri Bandaraya Islam kerana bukannya mudah untuk mengubah fikiran rakyat khasnya terhadap kebersihan.


GAMBAR PERAKAN

Oleh yang demikian kerajaan negeri khususnya melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih proaktif dalam menangani isu ini. Saya yakin kerajaan negeri tidak ada masalah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri walaupun jabatan tersebut terletak di bawah bidangkuasa kerajaan pusat. Kiranya masalah kesihatan seperti ini tidak dilihat dari sudut politik tetapi dari perspektif sosial dan kehidupan masyarakat pasti tidak akan terbit kata-kata yang tidak akan memanfaatkan mana-mana pihak.

Contohnya dalam MINGGUAN MALAYSIA juga hari ini dilaporkan:

Kementerian Kesihatan hari ini membidas kerajaan Kelantan kerana bersikap lepas tangan dalam usaha memerangi penyakit demam kepailu yang melanda negeri itu sehingga mengorbankan dua nyawa manakala beratus-ratus lagi terpaksa dirawat dihospital.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Abdul Latiff Ahmad berkata sejak penyakit itu dikesan di negeri ini tidak ada seorang pun wakil kerajaan negeri termasuk para EXCO nya memanggil pegawai-pegawai kementerian bagi mencari jalan mengatasi masalah tersebut.

Benarkah kenyataan Timbalan Menteri ini atau beliau senagaja mengambil kesempatan melalui stesen radio Manis FM (dimana kenyataan di atas dibuat) untuk berbohong dan menabur fitnah bagi menalakan tuduhan bahawa penyakit ini berpunca semata-mata dari kelemahan kerajaan PAS Kelantan! Takkanlah MB dan EXCO nya berlepas tangan atas isu ini. Janganlah ghairah berbohong semata-mata kerana diberi peluang bercakap melalui radio.

Ini isu melibatkan kesihatan masyarakat yang sepatutnya ditangani secara bersepadu bersama oleh semua pihak. Jangan berpolitik atas kematian dan kesusahan rakyat, murah sungguh maruah dan harga diri Timbalan Menteri Umno ini.

Dalam hal ini ketepikanlah sentimen politik, bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Bersama kita bekerja untuk manfaat agama dan bangsa, bukan duduk bersuka ria sambil menangguk di air keruh.

Saturday, April 23, 2005

MASA DEPAN POLITIK ANWAR SIFAR
KHAIRY SILAP KATA KADIR JASIN

Khairy Jamaluddin naik ke takuk nombor dua kepimpinan pemuda Umno dalam suasana yang penuh kontroversi. Para pimpinan pemuda Umno pusat yang pada awalnya telah menyatakan pendirian untuk bertanding jawatan nombor dua itu akhirnya berundur malu apabila Khairy mengumumkan kesediaannya untuk bertanding. Mereka malu dan segan-silu bukan kerana Khairy hebat mana, tetapi kerana hakikat bahawa Khairy bukanlah calang-calang pemimpin muda yang berhingus, hingus-hingus beliau, beliau adalah menantu Presiden parti dan PM! Siapa berani cabar menantu PM kecuali menempah maut politik percuma!

Dari permulaan yang kontroversi, Khairy terus mencetuskan pelbagai kontroversi lain yang kadangkala meletakkan Umno dalam situasi yang terperangkap dan merbahaya. Antara yang menonjol adalah cabaran beliau terhadap Tok Guru MB Kelantan yang berkahir dengan Pemuda sendiri mengasingkan diri dari beliau, ini diikuti dengan kenyataan bahawa kerajaan tidak berhasrat mengungkit kes-kes rasuah sebelum Pak Lah jadi PM dan ini dinafikan di dalam parlimen oleh pihak kerajaan seniri.

Terbaru adalah berkenaan bekas TPM Dato Seri Anwar Ibrahim. Di dalam kenyataannya kepada edisi tempatan akhbar International Herald Tribune terbitan AS bertarikh 29 Mac Khairy berkata:

Anwars future in politics is nil. He is a political irrelevance for as long as he stays out of Umno. And the door is shut forever. I am sure of it.

Masadepan politik Anwar adalah sifar. Dia tidak lagi relevant selagi dia berada di luar Umno. Dan pintu (Umno) sudah tertutup buat selamanya (untuk Anwar). Itu saya yakin.



Demikianlah bacaan mentah oleh seorang tokoh politik pemuda Umno yang memang mentah. Sekiranya ada pihak yang mengatakan bahawa masadepan Khairy kelam dalam ketiadaan Pak Lah kelak itu mungkin boleh diterima, tetapi komen beliau terhadap Anwar ini dikira tersasar jauh dan jelas beliau lebih emosi dan tidak mebuat bacaan rapi darihal Anwar.

Pandangan ini dikongsi oleh Abdul Kadir Jasin dalam majalah Malaysian Business keluaran April15-31. Kata Kadir:

So, it is premature for anybody, including die-hard Umno members and supporters, to declare Datuk Seri Anwar Ibrahim politically dead, unless of course, they are so gifted that they can read the future.

Adalah terlalu awal bagi mana-mana pihak termasuklah penyokong dan ahli taksub Umno untuk menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mati dari segi politik, melainkan mereka terlalu hebat sehingga boleh membaca masa depn.

Knowing Anwar (personally from the day he was introduced by Tun Dr Mahathir Mohamad to the press on March 29, 1982 as Umnos newest member), I am sure he loves being damned by the likes of Khairy. He is an expert in turning adversity into opportunity.

Anwar yang saya kenal saya pasti akan gembira apabila dikutuk demikian rupa oleh Khairy. Beliau adalah pakar dalam mengubah tentangan terhadap beliau untuk akhirnya menjadi peluang.

Memang dalam politik ini tidak ada sesuatu apa pun yang tetap, segala-galanya telah dirancang oleh Allah swt. Siapa sangka Anwar dari TPM kini boleh sekadar menjadi penasihat sebuah parti pembangkang. Esok?

Siapa sangka Tengku Razaleigh Hamzah bekas Naib Presiden Umno, bekas Menteri Kewangan, mencabar Presiden Umno dan kalah tipis, kemudian membentuk parti pembangkang luar Umno, menentang Umno dalam dua pilihanraya dengan bantuan PAS dan Dap, kemudian menyertai Umno kembali, kini sekadar ahli parlimen Gua Musang. Esok?

Demikianlah berbagai kemungkinan dan kenyataan yang berlaku dalam politik yang memang sukar dibaca oleh sesiapa pun. Musuh hari ini boleh esok menjadi kawan sebagaiamana yang diakui oleh Anwar semasa berucap di Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu bahawa siapa sangka bila beliau bermasalah dalam Umno, kawan-kawan semua lari, tetapi musuh yakni PAS boleh datang memberi simpati.

Kesimpulannya jangan kita mendahalui teka-teki politik yang sentiasa berubah-ubah. Jangan sombong dan bongkak dalam membuat bacaan sehingga merendah dan menghina pihak lain. Khairy perlu berhati-hati musuh politik beliau bukan hanya berada di luar Umno malah dalam Umno itu sendiri sebenarnya sedang menunggu peluang untuk menjatuhkan beliau. Perhatikanlah...

Friday, April 22, 2005

IMPLIKASI KASINO DI SINGAPURA TERHADAP MALAYSIA

Walaupun berbagai pihak menyatakan pendirian menentang cadangan membuka kasino di Singapura namun kerajaan pimpinan Lee Hsien Loong itu akhirnya meluluskan juga lesennya atas dasar kepentingan ekonomi republik tersebut.

PM SINGAPURA

Dengan kelulusan tersebut bermakna Singapura akan membina dan membuka dua buah pusat peranginan bersepadu lengkap dengan kasino yang berteknologi tinggi. Menurut penganalisa perbelanjaan untuk melengkapkan sebuah kasino berteknologi tinggi setaraf dengan yang berada di Las Vegas sekurung-kurangnya akan menelan belanja USD5 ke 15juta ataupun RM19 ke 57 juta. Itu teknologinya sahaja tidak termasuk pembinaan dan pasarana!

Dengan kelulusan ini banyak kini tertanya-tanya. Apakah impak kasino ini kelak kepada Malaysia? Kononnya jumlah pelancong akan berkurangan kerana lari dari CASINO DE GENTING ke CASINO DE TEMASIK. Ada pula pihak menafikan, kasino di Singapura kononnya tak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia.

Apa pun, yang pastinya dunia kini sedang memperkata dan membanding-bandingkan antara kasino di Singapura itu kelak dengan LAS VEGAS ASIA iaitu kasino di Macau, bukannya dengan Malaysia. Menurut SINGAPORE NEWS NET:

Singapore and Macau target two different groups of gamblers, said Tang, a Hong Kong-based analyst at Deutsche Securities Asia Ltd. Singapore will draw the Indonesian Chinese, the Thais and the Malaysians; Macau will get the mainlanders.

Singapura dan Macau akan mensasarkan dua kumpulan kaki judi berbeza menurut Tang, seorang penganalisa dari Deutsche Securities Asia Ltd. Singapura akan menarik mereka yang dari rakyat Indonesia berbangsa Cina, Thai dan Malaysia manakala Macau tertumpu kepada mereka yang dari tanah besar.

Bermakna kasino di Singapura kelak akan menarik keluar kaki judi dari Malaysia serta juga menarik mereka yang dari Indonesia dan Thailand disamping rakyatnya sendiri. Kalau demikian baguslah untuk Malaysia! Kuranglah kaki judi yang akan panjat ke puncak Genting saban hari 24 jam samada dari Negara-negara jiran maupun dari Malaysia sendiri. Mudah-mudahan mereka akan terus berkurangan dan kasino di Genting akhirnya akan lingkup dan tutup kedai!

Sementara itu kerajaan Singapura difahamkan akan mengenakan berbagai peraturan terhadap rakyatnya sendiri yang akan berkunjung ke kasino republik tersebut. Antaranya ia akan hanya melayan mereka yang berpendapatan tinggi, dan deposit besar akan dikenakan sebelum seseorang rakyat Singapura dibenarkan menjejakkan kaki masuk ke dalam lobok judi itu.

Tak mengapalah Singapura pun tidak pernah mengisytiharkan negaranya sebagai sebuah Negara Islam sebagaimana Malaysia. Negara Islam Malaysia bagaimana, sudah pasti selepas ini demi kerana mahu terus hidup bernyawa kasino Genting akan memperkenalkan berbagai promosi, potong harga dan macam-macam lagi lalu apa pula sikap kerajaan. Yang pasti Shafie dan Al Ghazali yang Pak Lah cari-cari itu kedua-duanya menentang apa bentuk judi sekalipun, boleh ikut ka?

Wednesday, April 20, 2005

MENGAPA KEDIAMAN RASMI PM DI PUTRAJAYA MASIH KOSONG?

Pagi tadi saya terbaca ulasan Blog Jeff Ooi yang memetik akhbar INTERNATIONAL HERALD TRIBUNE bertarikh 18 April berkenaan kisah kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya. Menurut akhbar tersebut sehingga kini setelah hampir 18 bulan kediaman rasmi itu dikosongkan oleh Dr Mahathir PM baru Pak Lah masih belum berpindah ke sana.

Ada khabar angin yang mengatakan kononnya rumah itu berhantu lalu PM baru dan keluarga tidak jadi berpindah.

Tetapi yang menariknya apabila akhbar itu menyebut:

Khairy Jamaluddin, a member of the ruling party and the prime ministers son-in-law, says the house displeased the prime ministers wife, Endon Mahmood. We convinced her to move in, but it still needs renovation, he said.

Khairy Jamaluddin seorang ahli parti pemerintah dan menantu PM mengatakan bahawa kediaman rasmi itu sebenarnya tidak digemari oleh isteri PM Endon Mahmood. Kami telah meyakinkan beliau agar berpindah, namun ia perlukan pengubahsuaian.

Kenapa Endon tak gemari kediaman rasmi yang menelan belanja berjuta RM itu?

Apa pentingnya rumah itu digemari atau tidak oleh Endon, kerana ianya kediaman rasmi PM bukannya kediaman rasmi Endon, menantu atau anak-anaknya?

Dan yang paling penting atas asas apakah rumah tersebut perlu diubahsuai lagi yang sudah pasti belanjanya kelak dipikulkan ke atas bahu rakyat Malaysia! Saya kira jika kerja-kerja pengubahsuaian telah pun bermula bermakna ia pasti menelan belanja yang banyak oleh kerana 18 bulan telah berlalu dan Pak Lah masih belum pindah-pindah lagi?

Rakyat Malaysia perlu tahu akan perkembangan ini, ahli-ahli Parlimen perlu bangkitkannya dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi memperolehi penjelasan dari pihak kerajaan. Jangan telus di bibir sahaja.

Tuesday, April 19, 2005

TENGKU RAZALEIGH MENUNTUT KEADILAN UNTUK KELANTAN

Sejak kerajaan negeri Kelantan bertukar-ganti dari Umno ke PAS pada tahun 1990 isu pembangunan sering menjadi isu utama yang dicanangkan disemua peringkat. Umno mendakwa kerajaan PAS tidak mampu membawa pembangunan ke negeri Kelantan walaupun telah berkuasa masuk penggal yang ke 4.

Kerajaan PAS negeri Kelantan pula mendakwa bantutnya pembangunan ke Kelantan ekoran sabotaj ekonomi dan politik kerajaan Pusat yang diterajui oleh Umno. Geran per kapita umpamanya yang wajib dibayar kepada kerajaan negeri menurut jumlah penduduk negeri sebagaimana diperuntukkan oleh PerlembagaanPersekutuan sengaja dilewat dan dilengah-lengahkan pembayarannya. Demikian juga dengan peruntukkan pembangunan lain yang melibatkan infrastruktur dan kerjaraya.


KU LI DAN TOK GURU MESRA SEBELUM BERUCAP (Gambar perakan.net)

Sekiranya terbukti sabotaj ekonomi dan politik ini bermakna, Umno bukan sekadar menganak-tirikan sebuah kerajaan negeri yang dipimpin parti pembangkang malah turut menyiksa dan menzalimi anak bangsanya sendiri lantaran di Kelantan majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Benarkah perkara ini berlaku?

Jika tidak masakan bekas Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang juga ahli Parlimen Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah menyentuh isu ini secara tidak langsung dalam ucapannya baru-baru ini. Ucapan sungguh simbolik dan bermakna ini disampaikan oleh beliau ketika merasmikan Konvensyen Perpaduan Rakyat Kedualatan Raja sempena Hari keputeraan KDYMM Al Sultan Kelantan pada 16 April lalu.

Antara ucapan beliau:

Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam maka sepatutnya kita mempunyai model pembangunan yang cukup adil dan menyeluruh, pembagunan yang dapat mengimbangi kemajuan fizikal di peringkat NEGARA dengan kemajuan kemanusiaan, budaya dan moral diperingkat bangsa kita. Kita sepatutnya mempunyai sikap yang terbuka bahawa demi Islam, demi bangsa, bukan demi parti atau kepentingan puak, penduduk bangsa Melayu di kawasan yang masih belum maju itu perlu dibantu untuk maju bersama-sama kaum-kaum lain di kawasan pantai barat, tidak kira apakah orientasi politik mereka.

Bermakna kalau benar mahu Malaysia yang maju maka majukanlah juga Kelantan walaupun diterajui PAS, apa salahnya rakyat Kelantan, yang rakyatnya sebangsa dan seagama, jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

Ku Li adalah orang lama dalam arena politik. Pernah bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PAS di bawah Dato Asri dahalu dan bertanggungjawab menaikkan kerajaan PAS di bawah Tok Guru Nik Abdul Aziz yang ada pada hari ini. Mudah-mudahan beliau akan bersama-sama berperanan menegakkan yang hak dan memerangi yang batil, sama-samalah kita berdoa insyallah.

Monday, April 18, 2005

KEDEWASAAN USIA MENUNTUT KETELUSAN

Pemilihan pimpinan berlaku dalam mana-mana parti politik di tanahair. Samada parti pemerintah maupun pembangkang kesemuanya mengamalkan sistem demokrasi dalam proses pemilihan ini. Dimana pencalonan biasanya dibuat oleh ahli-ahli parti diperingkat cawangan ataupun bahagian.

Parti yang sering mendapat perhatian apabila berlaku pemilihan pimpinan adalah Umno. Oleh kerana Umno memegang teraju negara maka pastilah pemilihan pimpinannya turut mendapat perhatian rakyat dalam negara dan diperingkat antarabangsa.

Namun sejak kebelakangan ini semacam ada satu trend dalam Umno yang cuba mengelakkan pertandingan diperingkat jawatan tertinggi partinya khususnya bagi jawatan Presiden dan Timbalan. Selepas pengalaman pahit cabaran besar-besaran terhadap kepimpinan Umno dalam pemilihan tahun 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh hampir-hampir mengalahkan Dr Mahathir, Umno semakin takut menghadapi pemilihan.

Kerana itulah dicipta desakan supaya tiada pertandingan diperingkat dua jawatan tertinggi dalam Umno dan nampak-nampaknya semakin tua usia Umno semakin akan berlarutan trend ini. Hari ini jawatan Presiden dan Timbalan esok entah-entah sampai keperingkat Naib-naib dan akhirnya jawatan MT pun tak payah ditandingi lagi!

Yang tidak disedari semakin tua usia Umno semakin terhakis keteguhan demokrasi di dalamnya, apabila pemilihan pucuk pimpinan tiada lagi diserahkan kepada golongan ramai tetapi terhad dikalangan kehendak dan kemahuan golongan kecil.

Hari ini dalam PAS yang juga semakin tua usianya kita lihat perkembangan sebaliknya pula yang berlaku. Dalam akhbar tempatan hari ini dilaporkan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang berkata PAS bersedia menerima Naib Presiden dikalangan wanita sekiranya itu kemahuan para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS awal Jun nanti.

Malah sebelum ini Tuan Guru pernah menyatakan beliau bersedia memberi laluan kiranya ada calon Presiden selain beliau yang menerima lebih pencalonan. Dan hari ini AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli dalam Harakahdaily menyebut jangan ada ahli (PAS) yang berasa bersalah atau malu untuk menggantikan pimpinan di mana-mana peringkat yang didapati tidak menunjukkan prestasi baik.

Parti yang matang dengan usia sepatutnya semakin telus dalam pemilihannya agar tidak timbul keraguan dikalangan ahli maupun rakyat. Barulah menjunjung demokrasi namanya!

Friday, April 15, 2005

SYABAS: MUFTI-MUFTI PERTAHAN MORAL POLICING

Kalau hari Ahad lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dr Ismail Ibrahim menulis di dalam ruangan beliau di MINGGUAN MALAYSIA artikel bertajuk KEHIDUPAN MALAM KL DAN UK yang meluahkan perasaan beliau darihal keadaan moraliti di Malaysia, semalam beliau bergerak setapak lagi.

Dr. Ismail telah membangkitkan isu ini di dalam muzakarah mufti-mufti seluruh negara dan majlis muzakarah tersebut telah mengeluarkan kenyataan:

Penguatkuasaan berteraskan amar makruf dan nahi mungkar perlu diteruskan kerana ia dituntut bagi mempertahankan kewibawaan rakyat dan imej Negara. Apabila kita pilih kerajaan, kita beri kuasa kepadanya untuk mempertahankan nilai moral rakyat kerana kerosakan moral membawa bencana kepada Negara. (BERITA HARIAN)

Kerajaan perlu bertegas dalam soal membenteras kemungkaran dan tidak menjadikan KESALAHAN TEKNIK dalam satu dua insiden pihak berkuasa agama sebagai asas menolak undang-undang bagi menjaga moral rakyat. Mufti-mufti berharap kerajaan akan mempertahankan konsep membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran seiring dengan usaha membanteras rasuah, peyelwengan kuasa, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. (UTUSAN MALAYSIA)

Ini bermakna kerajaan berkewajiban menolak sama-sekali memorandum yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang menuntut agar MORAL POLICING ini dibatalkan atas asas menganggu dan mengekang kebebasan individu. Pengerusi Majlis Fatwa dan Mufti-mufti merupakan AUTHORITY dalam hal-hal agama, lantas tidak ada alasan lagi bagi kerajaan untuk tidak akur pada keputusan ini.

Jangan dibenarkan mana-mana pihak pun mengeksploitasi isu hak asasi untuk mengikis kewibawaan dan kesucian Islam walaupun jurucakapnya anak Perdana Menteri sekalipun!

Saya mengucapkan syabas kepada Dr Ismail dan para mufti, kini giliran umat Islam pula untuk memastikan pihak kerajaan menerima teguran ini tanpa berdolak-dalik. Kalau desakan kumpulan NGO yang berkenaan keterlaluan dan mengakibatkan mereka perlu di kaunseling seperti Al Arqam dahulu maka seretlah mereka ini untuk dimurnikan kembali akidahnya termasuklah Nori Abdullah sekali.

Sekurang-kurangnya teguran muzakarah ini dapat membuka mata ramai khususnya pihak kerajaan bahawa isu keruntuhan moral dari prespektif agama itu sesungguhnya bukan sekadar melibatkan kes khalwat, bercumbu-cumbuan dan minum arak semata-mata tetapi turut melibatkan isu rasuah dan penyelewengan kuasa!

Alhamdulillah para penasihat yang diberi tugas untuk menasihat telah pun menjalankan tugas mereka. Soal samada nasihat mereka itu didengar ataupun tidak dipedulikan maka itu tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab memberikan mandat kepada kerajaan yang kita gemari.

Saya mencadangkan agar pihak NGO Islam, parti Islam, kerajaan negeri Islam dan lain-lain kumpulan dan individu yang prihatin agar memberikan sokongan kepada kenyataan para mufti ini sekurang-kurangnya mereka dimaklumkan bahawa mereka tidak keseorangan dalam isu ini. Hidup Islam!

Thursday, April 14, 2005

KES KEPUTUSAN LEMBAGA DISIPLIN UMNO:
ZAID DAN PAK LAH BERTELAGAH


Perkembangan terbaru kes POLITIK WANG Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Zaid Ibrahim, semakin rancak. Zaid yang pada asalnya keciwa dan mahu melepaskan jawatan beliau ekoran keputusan Lembaga Disiplin itu kini telah mengubah pula pendiriannya.

Beliau bukan sekadar mahu terus kekal dan aktif malah berjanji akan berjuang menuntut perubahan khususnya terhadap cara dan kaedah lembaga disiplin beroperasi yang menurutnya sudah tidak mampu bekerja secara efektif lagi. Zaid mendakwa lembaga disiplin tidak lagi menjajikan keadilan malah pelbagai peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan seolah-olah:

were SUFFOCATING freedom and democracy within the party. (petikan laporan NST)

mengekang kebebasan dan demokrasi dalam parti.



JIHAD ZAID UNTUK BERSIHKAN UMNO
Atas dasar mahu menuntut perubahan ini Zaid bersedia menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan sokongan ahli-ahli Umno lain. Apabila ditanya pemberita UTUSAN mengapa beliau lantang mempertikaikan keputusan lembaga disiplin parti sedangkan beliau hanya diberi amaran, Zaid berkata:

Saya lebih bimbang mengenai tuduhan palsu yang dilakukan ke atas saya dan diterima oleh parti itu yang lebih saya bimbangkan

Dan beliau menambah:

Jangan anggap itu satu amaran yang saya boleh terima itu bukan soalnya, saya tidak takut kalau dia hendak gantung saya gantunglah.Tetapi saya hendak prinsipnya kalau gantung sebab apa? Kita perlu ada sikap konsisten, itu keadilan, keadilan mempunyai ciri yang sama, ia tidak boleh mengandungi orang ini tidak apa orang ini tidak boleh itu bukan keadilan.

Tiba-tiba dari perkembangan ini kita melihat orang-orang Umno mendedahkan bahawa keadilan sudah tidak lagi wujud dalam Umno. Dan kita kini diberi pula syarahan tentang apakah maksud keadilan sebenarnya, terhibur juga kadangkala membaca dan melihat perkembangan ini.

Sementara itu JIHAD yang cuba dibangkitkan oleh Zaid ini tidak disenangi oleh Pak Lah selaku Presiden parti. Pak Lah menyatakan:

Tidak wajar bagi ahli Umno yang dikenakan tindakan berhubung POLITIK WANG mempertikaikan secara terbuka keputusan lembaga disiplin parti. Kalau kita nak jadi pemimpin kita kena belajar disiplin parti.

Jelas dari kenyataan Pak Lah ini usaha Zaid tidak akan memperolehi restunya bermakna Zaid terpaksa belayar menongkah arus. Orang yang biasanya menongkah arus dalam Umno tidak akan kekal lama, atau akan beransur-ansur disisihkan. Antara yang pernah merasai padahnya adalah Harun Idris, Tengku Razaleigh, Ibrahim Ali dan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanakah kesudahan Zaid kelak? Kalau kita lihat nada kenyataan Zaid memang tak akan panjanglah riwayat politiknya, tak perlu beliau nak undur diri dengan sendirinya kelak beliau mungkin boleh dinyahkan. Zaid berkata dalam UTUSAN:

Biarlah orang berkempen secara sihat, kalau pilihanraya kita boleh berkempen apa bezanya dalam pemilihan parti kalau berkempen dianggap sesuatu yang tidak bermoral, haramkan kempen dalam pilihanraya. SAYA CABAR!



Wednesday, April 13, 2005

MAKLUMAN : RUANGAN HIWAR DIGANTUNG SEMENTARA

Assalamualaikum.

Kepada para pengunjung Blog ini yang budiman. Mohon maaf kerana ruangan Hiwar dalam Blog ini terpaksa digantung sementara oleh kerana sering disalah-gunakan oleh segologan kecil yang tidak bertanggungjawab. Saya terus mengalu-alukan pandangan, kritikan dan teguran yang membina yang boleh sahaja anda sekalian salurkan melalui ruangan komen di kaki setiap artikel yang terbit.

Terima kasih atas sokongan anda semua.

Wallahualam.

ZAID BIMBANG UMNO TIDAK LAGI MEMATUHI
PROSES UNDANG-UNDANG

Hukuman telah pun dijatuhkan. Zaid Ibrahim, Ketua Umno bahagian Kota Bharu yang juga ahli parlimen kawasan berkenaan telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti September lalu dan dikenakan amaran.

Zaid tidak dipecat, tidak juga digantung keahliannya sebagaimana beberapa ahli lain, namun beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau bersalah sebagaimana yang dituduh berdasarkan proses undang-undang dalam Umno.

Zaid menyatakan ketidakpuasan hatinya secara terbuka apabila keputusan tersebut diumumkan melalui saluran media perdana. Beliau merasakan imejnya telah tercemar, sebagai seorang pemimpin, ahli parlimen serta barangkali sebagai seorang pengamal undag-undang. Malah beliau telah menyatakan sikap ingin bersara terus dari politik lantaran fitnah yang dikatakannya terlalu berleluasa dalam Umno.

Tidak cukup dengan luahan hati itu, akhbar tempatan (kecuali UTUSAN yang barangkali tidak menganggap isu ini sebagai berita atau mungkin seriau nak melaporkan) hari ini melaporkan Zaid telah membawa luka hatinya ke dalam Dewan Rakyat. Semasa Nazri Aziz sedang menggulung perbahasannya di parlimen, Zaid telah memohon penjelasan dengan bertanya:

Adakah kerajaan akan membenarkan parti-parti politik seperti Umno bertindak tanpa mematuhi proses undang-undang? Sekiranya ini berlarutan tidakkah nanti menjejaskan parti dan kerajaan? (Terjemahan dari laporan THE STAR)

Berdasarkan pertanyaan ini bermakna Zaid mendedahkan terdapat satu trend yang merbahaya wujud di dalam Umno yang kelak bakal menular dan menjejaskan kestabilan negara! Umno sudah tidak beroperasi mengikut amalan undang-undang biasa, THE BEST EVIDENCE RULE ataupun peraturan bukti yang terbaik sudah tidak dituruti dan dipatuhi lagi. Bermakna berlaku penyelewengan dan pilih kasih, SELECTIVE PROSECUTION ataupun pendakwaan yang berpilih-pilih yang sudah tentu menjurus kepada amalan kronisma dan nepotisma …….. satu istilah yang macam biasa kita dengar sahaja!

Trend ini akan atau mungkin telah menular ke dalam kerajaan kerana bukankah Umno tulang belakang kerajaan dan menjadi teraju negara dan memimpin 10 daripada negeri-negeri di Malaysia!

Tetapi jawab Nazri melanggar kod etika parti tidaklah bermakna seseorang itu mengamalkan rasuah. Saya tidak pasti apa maksud Nazri, yang saya pasti apa yang Zaid maksudkan itu adalah kod etika parti berkaitan amalan politik wang. (Bukankah Zaid dituduh kerana kononnya membenarkan ejennya mengunakan wang untuk meraih sokongan, agaknya sedekah bukan rasuah ……. )

Kalau politik wang itu bukan amalan rasuah, apalah heboh-heboh sangat nak dibicarakan oleh Lembaga Disiplin, terima sahaja dan jangan diisitilahkan sebagai politik wang berilah istilah lain supaya yang mendakwa dan didakwa tidak terpedaya seperti hari ini.

Kalau tak silap Profesor Di Raja Ungku Aziz pernah menyamakan politik wang ini dengan rasuah, saling tak tumpah, pelandok dua serupa.

Berbalik kepada apa yang dibangkitkan oleh Zaid ini bermakna Umno hari ini sedang dilanda penyakit yang kronik. Bagimana kita mahu memerangi rasuah sekiranya badan kita sendiri tiada daya ketahanan melawan serangan pemyakitnya, lebih kurang macam terkena AIDS. Tak panjanglah agaknya nyawa Umno jika demikian. Patutlah Zaid nak bersara .........

Tuesday, April 12, 2005

PELURU PERANG RASUAH TIDAK LUT

Minggu lalu saya dan rakan-rakan berkesempatan menyaksikan dengan mata kepala sendiri aksi sogokan di bawah terik mentari Kuala Lumpur. Berlaku secara terang-terangan dalam waktu kerajaan melancarkan perang rasuah di bawah kepimpinan Pak Lah.

Pengalaman pertama berlaku ketika menunggu seorang rakan berhampiran stesyen LRT di Masjid Jamek. Di situ kami menyaksikan beberapa penjaja sedang menjaja barangan makanan mereka termasuklah sebuah van yang sarat dengan minuman dan buah-buahan. Tiba-tiba lalu 3 orang pegawai penguatkuasa DBKL lengkap dan segak beruniform. Umur mereka kami kira masih muda sekitar awal 20an. 2 pegawai berada tidak jauh dari van berkenaan manakala seorang lagi telah menghampiri van tersebut dan pemiliknya bergegas ke pintu hadapan vannya.

Mungkin pegawai tadi tidak perasan yang aksinya sedang diperhatikan, secara selamba beliau menerima wang kertas dari peniaga tadi dan terus bersama rakan-rakannya meninggalkan tempat berkenaan.

Kejadian kedua berlaku pada hari yang sama ketika kami berada di Tol Sg. Besi. Pihak JPJ sedang membuat sekatan lalulintas terhadap kenderaan perdagangan. Seorang pegawai sedang duduk di hadapan sebuah meja sementara manakala kakitangan lain sedang sibuk mengawal lalulintas dan mengisyaratkan mana-mana kenderaan yang didapat bersalah agar berhenti.

Semasa menjelaskan bayaran tol dengan jelas dan nyata kami nampak seorang pemandu lori menghampiri pegawai yang di meja tadi. Macam dah dirancang beliau melontarkan sesuatu ke bawah meja pegawai tadi yang kami yakini wang kertas yang telah dilipat kemas, terus sahaja pegawai tadi bagaikan seorang yang terlatih memijak wang yang dilontar dengan kasut kulitnya.

Bermakna dalam jarak masa tidak sampai 3 jam seseorang yang observant akan dapat menyaksikan kerja-kerja rasuah berlaku di depan mata tanpa mana-mana pihak pun merasa segana ataupun silu apa lagi gentar dan takut pada Allah swt!

VICTOR MALLET

Saya mengukirkan pengalaman ini kerana mahu mendedahkan satu artikel yang terbit dalam akhbar FINANCIAL TIMES dari London bertarikh 11 April 2005. Artikel bertajuk MISSION IMPOSSIBLE IN MALAYSIA ini ditulis oleh wartawannya VICTOR MALLET. Ia mengisahkan darihal pengalaman perang rasuah di Malaysia. Mallet mengisahkan pengalamannya mewawancara Pak Lah pada tahun lalu berkenaan isu ini.

Namun yang menariknya adalah pengalaman Mallet sendiri darihal amalan rasuah di Malaysia, dimana beliau menulis:

We should have guessed when we drove to our interview with the amiable Abdullah Badawi last year that he was going to have a tough job as prime minister of Malaysia.

This was not because of anything he said. On the contrary, he sensibly vowed to cut the budget deficit and tackle corruption. The clues to Mr Abdullah's present difficulties were lounging on the roadside between the airport and his home. A gang of policemen, in broad daylight, was extorting sums of 20 ringgit - about $5 - from passing taxi drivers, including ours, on pain of prosecution for trumped-up traffic offences.

Kami sudah menjangkakan yang apabila sahaja dipandu ke tempat wawancara kami bersama Abdullah Badawi bahawa beliau pasti akan menghadapi tugas yang berat sebagai PM Malaysia.

Ini bukan kerana apa-apa yang telah beliau nyatakan. Sesungguhnya beliau telah berjanji untuk mengawal perbelanjaan dan menangani rasuah. Bukti beratnya masalah Abdullah dapat disaksikan dijalanraya menuju ke kediaman beliau dari lapangan terbang. Sekumpulan anggota polis pada siang hari secara terang-terangan sedang menuntut RM20 dari setiap pemandu teksi di situ, termasuklah teksi kami, jika tidak mereka akan didakwa kerana melakukan apa sahaja kesalahan trafik.

Adakah kita mahu memarahi pemberita asing ini kerana mendedahkan aib kita? Atau kita merasakan yang pemberita ini sengaja mahu membesar-besarkan isu kecil yang jarang-jarang berlaku?

Berdasarkan pengalaman saya di atas dalam keadaan kita sekarang ini, saya merasakan amalan rasuah sudah membarah dalam masyarakat dan diperingkat yang sukar dirawat. Perang rasuah tidak mengerunkan langsung sasarannya malah amalan terkutuk ini terus dilakukan tanpa ambil peduli mana-mana pihak pun.

Ini yang nampak di mata kita, bagaimana pula yang dilakukan di dalam bilik-bilik berhawa dingin yang tertutup? Sambil kita terus merenung memikirkan masalah berat ini ada sebuah parti besar telah dan sedang mengambil tindakan terhadap pemimpinnya yang dikatakan mengamalkan POLITIK WANG semasa proses pemilihan parti mereka tahun lalu! Semakin rancak berperang semakin rancak juga gerombolan yang terkutuk ini. Seolah-olah peluru-peluru yang dilancarkan Pak Lah dalam perang rasuanya gagal membunuh sasaran malah semakin kukuh dan teguh pula nampaknya mereka ini.

Lalu dimanakah silap kita sebenarnya?

Monday, April 11, 2005

RM8 JUTA KOS MASJID HADHARI
BISTARIKAH RAKYAT TERENGGANU?

Beberapa minggu lalu semasa mengunjungi Kuala Terengganu Perdana Menteri telah mengumumkan pembinaan TAMAN TEMA ISLAM HADHARI ataupun ISLAMIC CIVILISATION THEME PARK yang dijangka siap dalam tempuh 3 tahun. Antara keistimewaan taman ini kelak adalah pembinaan 21 replika bangunan dan monumen bersejarah Islam termasuklah pembinaan sebuah MASJID KACA KRISTAL TERAPUNG di atas Sungai Terengganu. Harganya RM200 juta!


PAK LAH TERPAKU MELIHAT KEHEBATAN TERENGGANU

Belum selesai rakyat Terengganu memikirkan manfaat bangunan dan monumen berkenaan untuk mereka tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu lagi pengumuman sensasi.

Kali ini giliran MB Idris Jusoh pula. Kata beliau sebuah masjid baru akan dibina di Jertih yang akan diberi nama MASJID ISLAM HADHARI. Masjid yang akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan canggih termasuklah pusat sumber, pusat teknologi maklumat dan komunikasi itu (dan warung teh tarik) dijangka bernilai RM8 juta!

Bermakna dalam tempuh tidak sampai 30 hari telah diumumkan oleh kerajaan Islam Hadhari Terengganu Bistari perbelanjaan sekitar RM208 juta untuk pembinaan replika bangunan, monumen, masjid kristal dan masjid baru di Jertih. Dalam sekelip mata RM208 juta dijangka dibelanjakan, cekap sungguh kerajaan baru ini.

Solanya terbelakah nasib dan hidup rakyat kebanyakan yang masih susah dan hidup serba kekurangan itu? Terubatkah kesusahan mereka dengan bersolat di Masjid Kaca Kristal ataupun Masjid Islam Hadhari apabila siap dibina kelak? Selain berjuta yang dirancang dibelanjakan untuk pembinaan bangunan-bangunan mewah ini, berapa banyak pula yang dibelanjakan untuk manfaat rakyat secara langsung?

Masih ramai lagi rakyat Terengganu yang hidup susah. Semasa kerajaan PAS (yang memerintah sekitar 4 tahun) dahulu pernah dikesan para pekerja ladang milik kerajaan negeri di Kemaman yang hidup dalam keadaan serba dhaif sejak lebih 20 tahun. Tiada bekalan air ke kuaters ladang mereka kecuali sebatang sungai keruh yang dijadikan sumber kegunaan harian, samada meminum, masak ataupun mandi.

Pernah dimaklumkan yang jika para pekerja dan keluarga mereka ini mahu mandi-manda, maka terpaksa dilakukan ketika hari telah gelap kerana sekurang-kurangnya mereka tidak akan perasan pada keruhnya warna air yang digunakan.

Sudahkah bekalan air bersih tiba ke kuarters mereka? Ini belum lagi kita membicarakan darihal keadaan kuarters mereka dan lain-lain kemudahan hidup. Ini baru satu ladang, bagaimana dengan rakyat biasa lain yang hidup di pendalaman?

RM208 juta ini saya yakin lebih bermakna buat mereka dari Masjid Kaca Kristal dan Masjid Hadhari, wallahualam.

Sunday, April 10, 2005

KEMELUT NAHI MUNGKAR
DISEBALIK KELUHAN ISMAIL IBRAHIM

Saya terpaksa akui bahawa apabila sahaja berkesempatan membaca MINGGUAN MALAYSIA biasanya saya tidak berapa ambil pusing pada ruangan CETUSAN PEMIKIRAN tulisan Dr Ismail Ibrahim. Kerana ia bagi saya biasanya stereotype boleh didengar dan dibaca dimana-mana sahaja, rentaknya sama saling tak tumpah dengan rentak arus perdana.



Namun pada hari ini saya tertarik dan langsung terpaku membaca berulang-kali ruangan beliau itu yang bertajuk KEHIDUPAN MALAM KL DAN UK. Artikel kali ini bukan tulisan biasa ia bagi saya lebih merupakan cetusan perasaan, luahan hati seorang yang memegang jawatan PENGERUSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN (Ismail juga bekas Tokoh Maal Hijrah dan bekas Ketua Pengarah IKIM).

Ia berkisar sekitar pengalaman beliau berjumpa dengan seorang pelajar yang sedang menyiapkan Phd nya di Manchester. Pelajar tadi seorang ibu dan tinggal bersama anak remajanya. Dari situlah artikel Ismail berkitar sehinggalah membicara dan membandingkan antara NIGHTLIFE dan kehidupan remaja di UK dan di KL. Setelah berada di UK ibu tadi melahirkan kebimbangannya untuk pulang ke KL kerana suasana KL yang dilihat lebih mengancam dan terbuka kepada bahaya jika dibandingkan dengan UK.

Ismail menulis:

Di London tidak ada gerai untuk kita melepak, tetapi di Bangsar atau Sro Hartamas, terlalu banyak gerai yang menari kehadiran generasi tua dan muda untuk berjaga malam. Di London bar atau pubnya kebanyakannya hanya dibuka sehingga pukul 11 malam …..

Ismail mengakui kebimbangan ibu tadi dan melihat memang suasana di KL pada hari ini sungguh membimbangkan, beliau menulis:

Inilah suasana dan persekitaran yang merungsingkan kebanyakan ibu-bapa yang mempunyai anak remaja sekarang ini di negara kita, seperti yang diceritakan oleh ibu di atas khususnya di Bandar-bandar yang telah dicorakkan sebegitu rupa, supaya kelihatan seperti Bandar koboi, atau yang bersuasana kota UNCLE TOM.

Jelaslah tulisan beliau kali ini membayangkan seorang yang FRUSTRATED ataupun kecewa dengan suasana. Kecewa barangkali kerana walaupun memiliki jawatan namun tidak berdaya melakukan apa-apa. Jika seorang yang bertaraf PENGERUSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN pun bersikap sedemikian dalam negara Islam Malaysia hari ini, bayangkan bagaimana perasaan ibu-bapa prihatin yang memiliki ataupun bakal memiliki anak-anak remaja.

FRUSTRATION Ismail benar-benar dapat dirasakan apabila dipenghujung artikel beliau, beliau melontarkan pelbagai pertanyaan iaitu:

Saya berfikir sekiranya pun hendak diadakan perubahan yang radikal, maka siapakah pula yang akan mengadakan perubahan ini? Jabatan agama? Kerjanya sebagai POLIS MORAL tidak diperlukan lagi oleh banyak kalangan. Akta moral? Akta itu telah didesak supaya dimasuhkan. Ibu bapa? Ibu bapa pun ada yang suka kehidupan dan gaya hidup anak mudanya seperti itu. Jadi siapa? Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui, wallahualam bissawab.

Di sinilah umat Islam semuanya tercabar dan dicabar. Ini realiti yang melanda kita, satu suasana sebenar yang bukan direka-reka oleh PAS ataupun NGO Islam tetapi turut diakui oleh Dr Ismail Ibrahim sendiri. Kita perlu mengunakan apa sahaja ruang yang ada dan yang diizinkan untuk membawa perubahan. Maaf tetapi ISLAM HADHARI terbukti gagal malah bukan membantu menyelesai tetapi mengundang lebih banyak lagi masalah sejak akhir-akhir ini.

Oleh itu demi menyelamatkan maruah dan masa depan ummah insaflah dan ayuh berani bangun membawa perubahan.

Saturday, April 09, 2005

KEADILAN DALAM UMNO DIPERTIKAIKAN AHLINYA SENDIRI

Apabila Sultan Mahmud menjatuhkan hukum agar Hang Tuah dibunuh kerana durhaka, ramai yang terperanjat. Namun kerana berpegang kepada adat maka orang Melayu ketika itu sekadar tunduk walaupun hati berat menerima. Bendahara Tun Perak juga gundah dengan hukuman ke bawah duli itu, tetapi beliau tidak tunduk buta. Beliau taat kepada Tuanku tapi berpura-pura seolah-olah hukuman telah dijatuhkan.

Tetapi Hang Jebat memilih pendekatan berbeza. Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah, demikianlah pendirian beliau. Kerana tidak dapat menerima keadilan Tuanku yang Jebat anggap zalim itu, Jebat telah bangun menderhaka. Kesudahnnya adalah bahan lagenda dan sejarah.

Dalam UTUSAN MALAYSIA hari ini Zaid Ibrahim Ketua Umno Bahagian Kota Bharu dan ahli parlimen kawasan yang sama turut mempertikaikan hukuman ke atas beliau yang didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang. Kata beliau:

Saya hairan, bagaimana saya yang menang tanpa bertanding boleh dituduh beri duit, apa bukti yang Lembaga Disiplin ada melainkan hanya tuduhan melalui surat sumpah yang boleh dibuat dengan bayaran RM5 sahaja.

Sepatutnya, Lembaga Disiplin siasat betul-betul, ikut prosedur kerana ini melibatkan maruah. Saya kasihan kepada UMNO.

Jelas Zaid tidak dapat menerima keputusan Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan kebetulan oleh bekas ahli parlimen Kota Bharu yang juga pernah mengamalkan undang-undang seperti beliau. Beliau dikatakan tidak akan merayu terhadap keputusan Lembaga Disiplin itu.

Lalu dikategori manakah jatuhnya Zaid kalau nak dipadankan dengan kisah Hang Tuah tadi?

Taraf rakyat Melaka yang terperanjat tapi tunduk, atau taraf Bendahara yang taat tetapi ingkar dalam senyap atau taraf Hang Jebat yang bangun memberontak atas nama membela keadilan?

Memang keadilan dalam Umno telah lama dipertikaikan. Semasa pemilihan September dahulu apabila Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh demikianlah juga halnya. Banyak pihak telah mengunakan kedudukan dan media untuk menyerang Ku Li. Khabarnya di Kelantan sahaja ada perwakilan bahagian lain yang mahu mencalonkan nama Ku Li tetapi dikenakan dikenakan pelbagai tindakan. Malah Ketua Wanita Gua Musang sendiri dihasut agar menentang Ku Li. Akhirnya tidak ada satu pun bahagian lain yang berani mencalonkan Ku Li walaupun menurut peramal politik sepatutnya ada beberapa bahagian pada aslalnya telah memberikan kesediaan.

Demikian juga kes Ibrahim Ali di Pasir Mas yang asalnya Ketua Bahagian tetapi selepas persempadanan semula bahagian pilihanraya digugurkan dari jawatan. Tidak ada pihak yang berani membela walaupun sebahagian besar ahli Umno Pasir Mas taat pada Ibrahim. Dan banyaklah lagi kisah kontroversi dan sensasi apabila membicarakan lupus dan pupusnya keadilan dalam Umno ini.

Hari ini giliran Zaid pula untuk menerima padah apa yang dikatakan keadilan Umno.

Walaubagaimanapun Zaid bukan macam rakyat Melaka, bukan juga bagai Bendahara ataupun Hang Jebat. Zaid sekadar mencetuskan ketidakpuasan hatinya melalui media. Beliau menyatakan hasrta untuk berundur dari politik kerana fitnah dalam UMNO yang kini dikatakan semakin berleluasa. Kata beliau:

Saya fikir mahu pertimbangkan kedudukan dalam politik, mungkin akan berundur dan tumpukan perhatian kepada bisnes saya.

Eloklah begitu, kalau tak jadi Jebat sekalipun sekurang-kurangya keluarlah dari kumpulan yang bathil itu. Cuma secara sinis ada orang mengatakan demikianlah biasanya kesudahan mereka yang mencabar kuasa Allah, menerima padah atas dunia lagi, wallahualam.

Thursday, April 07, 2005

ZAID IBRAHIM PEGUAM DAN PENGAMAL POLITIK WANG

Buletin Utama TV3 serta BERNAMA hari ini melaporkan yang Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Zaid Ibrahim telah didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang ketika sessi pemilihan Umno pada September tahun lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Tatatertib Umno Tengku Ahmad Rithaudeen, Zaid yang juga ahli parlimen Kota Bharu didapati bersalah kerana melanggar Tata Etika 2.2 iaitu mengizinkan agennya untuk menggunakan wang bagi memperolehi undi.



Zaid memiliki firma guaman yang terbesar dalam negara dan terkenal kerana pernah mengemukakan saman mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 kerana didakwa bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan.

Walaupun lembaga disiplin Umno sekadar memberi amaran kepada Zaid namun yang jelasnya beliau telah didapati bersalah dan oleh itu akan memikul rekod sebagai pengamal politik wang.
Demi memperolehi kedudukan dan kuasa ada kalangan yang sanggup menggunakan apa sahaja untuk mencapainya. Tidak kiralah samada cara yang digunakan bertentangan dengan profesionnya ataupun lebih berat lagi bertentangan dengan agama.

Hairan juga dalam bersia-ia Pak Lah mahu memerangi rasuah rupa-rupanya anak-anak buah di bawah dagunya bergelumang dengan najis rasuah yang kotor dan busuk namun tak terhidu oleh hidung Pak Lah. Sementara itu dengan hukuman yang ringan ini Zaid selesa untuk terus menjadi penggubal dan pengamal undang-undang serta juga barangkali akan terus mencabar hukum hudud yang sangat beliau tidak senangi itu.

Kasihan para pengundi Kota Bharu ......

Wednesday, April 06, 2005

MUNCUL LAGI KUMPULAN BIADAP TERHADAP ISLAM
SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB?!

Sejak akhir-akhir ini muncul dengan begitu subur sekali berbagai pihak yang mula berani mencabar dan mempertikaikan peraturan dan penguatkuasaan Islam dalam negara secara terang-terangan. Ada pihak dengan berani menyuarakan pandangan dan tuntutan bahawa Islam menyekat kebebasan dan menafikan hak individu.

Hari ini akhbar THE MALAY MAIL pula melaporkan terdapat satu kumpulan yang mewakili 221 individu Muslim yang menuntut agar undang-undang syariah yang diguna pakai dalam negara disemak semula kerana dikatakan terdapat peruntukkan yang menafikan individu dari menyampaikan pandangan dan pendapat.

Kumpulan ini turut menuntut agar apa yang dikatakan IMUNITI Mufti dan Majlis Fatwa disemak semula agar sebarang keputusan mereka boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Menurut mereka cara penguatkuasaan undang-undang syariah di dalam negara begitu operasif ataupun menekan dan ianya bertentangan sama-sekali dengan budaya yang diamalkan dalam negara.


JURUCAKAP KUMPULAN BIADAP (dari Malaysiakini)

Kumpulan ini dilaporkan telah pun menyerahkan tuntutan mereka kepada Yang Dipertuan Agung. Mereka dikatakan diwakili kononnya oleh individu Muslim dari pelbagai profesion. Jurucakap kumpulan ini adalah TUANKU AAMASH TUANKU ADNAN dan antara individu Muslim yang aktif menyokong adalah ABDUL MANAN HARUN, ISMAIL IBRAHIM, MASTURA JOHAR, REDZA SHAWIS dan JEFRI AHMAD JAILANI.

Apa sudah jadi dengan umat Islam dalam negara ini? Penjajah British dan Jepun yang tidak Islam itu pun tidak berani menyentuh ataupun mencuit mana-mana peraturan ataupun amalan Islam yang telah diguna pakai dalam negara di zaman mereka. Tiba-tiba dalam negara Malaysia yang merdeka hari ini anak-anak bangsa yang mengakui menganut Islam secara biadap dan kurang ajar berani bangun menuntut untuk disemak dan dibelah-belah peraturan Islam yang sudah pun cukup longgar itu.

Institusi Mufti dan Majlis Fatwa turut dipertikaikan. Bagaimanakah fenomena ini boleh muncul secara tiba-tiba di alaf baru ini, di bawah pemerintahan yang dikatakan mahu berpegang pada prinsip Islam Hadhari? Tidakkah dengan cara ini kita sekaligus memaparkan wajah Islam yang sangat serba kekurangan, hodoh dan cacat di mata rakyat yang bukan Islam? Mengapa tidak, Islam kini dipertikaikan oleh umatnya sendiri, orang Islam sendiri hilang keyakinan ke atas institusi agamanya, Islam mahu digambar operasif dan jumud laksana kominis di dunia Soviet satu ketika dahulu! Tidak mustahil jika golongan biadap ini terus diberi ruang mereka akhirnya akan menelanjang dan meranapkan Islam kerana barangkali bagi mereka Islam yang ada dilihat setaraf dengan kominis yang perlu dirobohkan demi memperolehi kebebasan mutlak.

Siapakah yang bertanggungjawab memberi nafas dan tenaga kepada golongan dan kumpulan seperti ini? Menurut akhbar ini gesaan kumpulan ini dibangkitkan ekoran peristiwa serbuan JAWI ke atas pusat maksiat Zouk beberapa bulan lalu! Tak kanlah kerana itu maka Islam mahu disemak semula!

Golongan ini sesungguhnya lebih merbahaya dari ancaman militan dan pelampau agama, kerana militan dan pelampau agama sekadar mahu mencetuskan huru-hara dengan keganasan yang pastinya tidak popular dan tidak dapat diterima rakyat samada yang Islam maupun bukan Islam. Sedangkan kumpulan seumpama ini cuba bersuara secara menipu dan mengaburi mata rakyat, bermain dengan sentimen jelmaan barat yang sudah pun popular dikalangan mereka yang leka terhadap agama termasuklah yang bukan Islam. Jika dibiarkan terus bernyawa mereka akhirnya akan membunuh Islam dari hati sanubari penganutnya, mana yang lebih merbahaya? Mana yang lebih sepatutnya ditahan dan disumbat ke dalam penjara!

Jika kerajaan Umno dan BN terus mengizinkan individu seperti Astora Jabat, kumpulan seperti Sisters in Islam, golongan anti Hadis dan kini kumpulan sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail ini terus diberi publisiti dan ruang percuma maka tidak ada pihak lain yang perlu dipersalahkan selain Kerajaan Umno dan BN sendiri kiranya Islam nanti menimpa nasib yang lebih malang dan punah.

Demi mempertahankan maruah dan martabat agama, segeralah bertindak ke atas kumpulan ini sebelum kita ditimpa musibah dan laknat yang tidak mampu kita bendung dan tahan lagi. Kembalilah kepada Islam yang sebenar. Perangilah segera musuh dalam selimut ini sebelum Islam berterusan menjadi mangsa!

Sementara itu sekadar untuk pengetahuan laman web MALAYSIAKINI melaporkan kenyataan kumpulan biadap ini yang berbunyi:

Just as the church state divide is characteristic of Christianity, Islam in Malaysia should not enjoy state support in terms of policing public morality.

Sebagaimana pemisahan gereja dan negara merupakan ciri utama bagi penganut Kristian maka Islam di Malaysia juga sepatutnya tidak disokong oleh negeri dari sudut mengawal akhlak orang awam

Berderau darah saya bila membaca kenyataan ini, anda bagaimana? Mereka meminta pandangan orang ramai dengan memberikan nombor faks 03 2698 3948 meraka, lakukanlah sesuatu!

Tuesday, April 05, 2005

JANGAN BIMBANG KENYATAAN KHAIRY
BELIAU TIADA JAWATAN KERAJAAN

Akhbar asing INTERNATIONAL HERALD TRIBUNE bertarikh 28 Mac 2005 melaporkan:

As for criticism that the government is not pushing hard enough against corruption, Jamaluddin (Khairy) said (Prime Minister) Abdullah (Ahmad Badawi) decided after the election not to dig up the past. We decided not to focus on retroactive actions, he said, but rather look forward.

Berhubung kritikan yang mendakwa kerajaan tidak bersungguh dalam menangani rasuah, Khairy Jamaluddin berkata Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah memutuskan selepas pilihanraya lalu bahawa beliau tidak akan membongkar perkara yang lalu. Kita telah memutuskan untuk tidak memberi tumpuan kepada tindakan yang lalu sebaliknya akan lebih melihat ke hadapan.

Petikan akhbar di atas telah di bawa ke sidang Dewan Rakyat semalam dengan Ketua Pembangkang memohon penjelasan dari kerajaan berhubung kenyataan ini kerana Khairy bukan sekadar Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia malah beliau juga menantu PM.

Kata Nazri Aziz mewakili kerajaan bahawa rakyat sepatutnya tidak PANIK dengan kenyataan Khairy kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Dalam erti kata lain apa yang dinyatakan Khairy itu tidak benar malah jangan diambil pusing kerana ianya tidak mewakili pandangan ataupun pendirian kerajaan.


KHAIRY VS NAZRI
Tetapi bukankah Khairy juga Naib Ketua Pemuda Umno serta menantu Pak Lah yang pernah berkhidmat di pejabat PM?!

Penjelasan yang dibuat Nazri memang tidak memuaskan hati malah memperlihatkan seolah ada usaha untuk menjauhkan diri dari anak emas Pak Lah itu dan tak secara langsung menjauhkan diri dari Pak Lah sendiri. Dan saya bersetuju dengan Sdr Lim Kit Siang bahawa Pak Lah lah yang sepatutnya bertanggungjawab membuat penjelasan.

Kalau betul kita tidak perlu ambil serius kenyataan Khairy maka jangan diindahkan lagi apa-apa kenyataannya selepas ini. Teapi akan jadi jika apa yang diperkatakan Khairy itu memang merupakan cetusan idea dan minda Pak Lah sendiri. Apakah Pak Lah mahu memberi imuniti kepada pihak tertentu dan dengan ini mereka akan terkecuali dari tindakan mahkamah ataupun mana-mana pihak. Lupakan kerja-kerja rasuah yang lalu, buka buku baru, demikiankah sikap Pak Lah sebenarnya?

Memang kita tiada jawapannya, yang jelas Nazri mewakili kerajaan berkata, tak usah ambil pusing kenyataan Khairy dan selepas ini apa saja yang bakal diperkatakan Khairy persetankan sahaja.
AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN
KETINGGALAN ZAMAN: SUAHAKAM

Kita berbangga apabila ada pihak ataupun badan yang berani bersuara atas dasar kebenaran walaupun ianya mungkin pahit untuk dihadam oleh mana-mana pihak lain. Salah satu badan yang masih boleh dikagumi adalah SUAHAKAM. Sebelum ini kita dengar ada pesurjayanya yang mendesak agar pihak kerajaan membebaskan tahanan ISA yang telah ditahan lebih 2 tahun, hari ini kita mendengar suatu lagi tuntutan baru.

Pengerusinya dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman sebagaimana dilaporkan oleh akhbar hari ini mendesak agar mana-mana undang-undang negara yang telah lapok disemak semula agar ianya selaras dengan perkembangan semasa serta memenuhi tuntutan masyarakat yang berilmu.

Kata Abu Talib salah satu undang-undang lapok yang dimaksudkan adalah AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1988.

Akta ini mewajibkan penerbit-penerbit akhbar agar memperbaharui lessen mereka pada setiap tahun. Menurut Abu Talib syarat ini tidak lagi sesuai memandangkan kebebasan akhbar pada hari ini dikira sebagai suatu hak asasi yang diterima ramai.

Akta ini juga menafikan hak penerbit membuat rayuan di mahkamah apabila Kementerian Dalam Negeri membatalkan permohonannya untuk memperbaharui permitnya. Menurut Abu Talib lagi akta ini yang sepatutnya memelihara kepentingan semua pihak sebenarnya adalah satu undang-undang yang mengekang kerana ia tidak membenarkan pihak-pihak yang terbabit untuk menuntut pembelaan di mahkamah apabila hak mereka dinafikan.

Inilah jenis undang-undang yang sentiasa tergantung di atas kepala para penerbit akhbar dan majalah di Malaysia. Kiranya mereka terlalu bebas dan dilihat tidak menguntungkan pihak pemerintah maka peruntukkannya akan digunakan untuk membatalkan sahaka permita akhbar dan majalah berkenaan. Antara yang pernah menimpa nasib berkenaan adalah Majalah Nadi Insan yang popular di tahun 80an dulu.

Inilah juga undang-undang yang menghantui hidup Harakah.

Takkanlah kita mahu menjadi seperti Zimbabwe (Cuba ataupun Korea Utara) yang menguna-pakai kuasa seumpama ini untuk menutup akhbar-akhbarnya. Kalau pun bimbang hak ini disalah-guna maka berilah hak kepada yang didakwa untuk membela diri apabila tindakan diambil.

Batalkan ataupun semak semula undang-undang zalim ini, terima kasih dan syabas SUHAKAM!

Monday, April 04, 2005

MORAL POLICING:
APA SIKAP UMNO SEBENARNYA?

Isu MORAL POLICING masih hebat diperdebatkan. Ada kumpulan yang mendesak agar segala peraturan dan undang-undang yang mengawal moral ataupun akhlak dan perlakuan individu perlu dihapuskan atas alasan ianya menganggu dan menghalang hak kebebasan seseorang. Mereka berhujah bahawa isu moral ataupun akhlak seharusnya diserahkan kepada keluarga masing-masing dan bukannya kerajaan.

Bersungguh-sungguh betul kumpulan ini sehingga satu memorandum telah diserahkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan melalui jurucakap mereka Nori Abdullah iaitu anak Perdana Menteri sendiri. Selain kumpulan mereka sendiri, terdapat individu tertentu yang telah menyokong dan menurunkan tandatangan pada memorandum ini menandatangan setuju masing-masing. Antaranya termasuklah para menteri kabinet Umno iaitu Nazri Aziz, Rasi Yatim, Azalina Othman.

Kemudian terbit pula kenyataan Setiausaha Agung Umno Radzi Sheikh Ahmad dan Menteri di JPM Andullah Mat Zain yang menyelar tuntutan kumpulan ini atas alasan ianya keterlaluan.

Pasti ramai yang prihatin akan merasa gelisah melihatkan pertelagahan antara kenyataan sesama menteri kabinet Umno ini sedangkan Umnolah yang sepatutnya muncul sebagai juara Islam Hadhari.


BADRUDDIN AP JERAI

Dalam akhbar NST semalam dimuatkan temuramah dengan seorang tokoh Umno dari Kedah iaitu Badaruddin Amiruddin ahli parlimen Jerai yang telah menyentuh isu ini secara khusus. Antara lain dalam temuramah tersebut beliau menyebut:

Memastikan wujudnya hak asasi adalah suatu perkara yang baik. Namun ianya tidak boleh dituntut dengan cara merugikan negara. Ada pertubuhan yang menuntut dan menjuarai hak itu dan ini. Bagi mereka sekiranya seorang Muslim mahu meminum arak atau berpakaian menjolok mata, ianya merupakan hak, tetapi hak bagaimana sedangkan ianya HARAM.

Sekiranya umat Islam terlibat dalam aktiviti yang HARAM nanti apa pula reaksi orang lain terhadap kita?Pasti ianya mencemar imej negara dan agama.

Demikianlah reaksi Badaruddin terhadap isu ini. Beliau menambah:

Adakah anda mahu melihat anak-anak kita mengunjungi kelab-kelab malam dan pulang pada jam 3 ke 4 pagi, merokok dan minum arak? Saya dapat menyaksikan ini berlaku di ibukota dan saya sangat sedih. Mereka yang belum berkahwin berpeluk-pelukan.

Adakah anda mempunyai anak? Anda akan fahami maksud saya jika anda ada anak sendiri. Adakah ketika itu anda akan berkata: Itu hak dia, bila melihat anak anda sendiri meminum arak dan mengambil dadah?

Apa sebenarnya sikap Umno dalam hal ini? Sesama pemimpin Umno pun nampak tidak bersatu pemdapat sedangkan isu ini sangat kritikal terhadap nasib dan masadepan umat Islam dalam negara ini! Jangan dipolitikkan isu ini untuk kepentingan mana-mana pihak. Kalau memorandum dan tuntutan ini melampau walaupun anak PM yang menjuarainya yang salah tetap salah. Jangan dibela dan diberi muka dalam hal yang membabitkan maruah agama!

Saya yakin bukan hanya parti Islam, NGO Islam dan individu Islam tidak dapat menerimanya malah sahabat-sahabat kita dalam Umno juga demikian sebagaimana yang ditunjukkan oleh reaksi Badaruddin ini. Ayuh kita pertahankan yang hak dan bersama mencegah kebatilan.

Sunday, April 03, 2005

KEMATIAN POPE JOHN PAUL II

Pope John Paul II meninggal dunia jam 2137 waktu Itali semalam. Beliau meninggal dunia pada usia 84 tahun setelah dilantik menjadi Pope, Ketua Katholik dunia, pada tahun 1978. Mendiang meninggal dunia setelah diserang pelbagai penyakit kronik pada usia yang telah lanjut ini.



Sebagai seorang Muslim kita mengucapkan takziah kepada saudara-saudara kita yang beragama Kristian Katholik dan bagi kita, kita mendoakan semoga disaat akhir nafas beliau dalam sedar mudah-mudahan beliau telah sempat mengucapkan dua kalimah syahadah disaksikan oleh para malaikat.

Apa yang mahu saya utarakan di sini adalah pendirian John Paul yang tegas sepanjang menjawat jawatan Ketua Katholik dunia ini.

Dalam bab perancangan keluarga dan aktiviti seks selamat John Paul menentang pengunaan alat mengawal kehamilan ataupun kondom. Dalam erti kata lain bagi yang sah telah bernikah beliau melarang penggunaan alat ini dan lebih penting lagi beliau menentang penggunaan alat ini dikalangan remaja yang menggunakannya kononnya atas alasan mahu mengelakkan kehamilan.

John Paul juga menentang keadah pengguguran kerana ia membunuh nyawa yang tidak berdosa walaupun siibu mengandung kerana hubungan luar nikah. Dan dalam isu homoseks ataupun budaya gay, beliau telah menolaknya sama-sekali kerana bertentangan dengan ajaran Katholik.

Mendiang juga tegas dalam menentang peperangan di Afghanistan dan Iraq atas alasan banyak nyawa yang tidak berdosa akan terkorban. Walaupun demikian beliau menyokong capurtangan di Balkan kerana peperangan saudara di sana sudah sampai ketahap genocide.

Kesimpulannya kalau kita renungkan usaha-usaha penentangan mendiang di atas, kita hairan menagap ada individu dan kumpulan Islam tertentu pula bersungguh-sungguh menyokong kerja-kerja ini kononnya atas alasan hak asasi, hak individu dan entah apa-apa lagi.

Ada kumpulan di Malaysia yang bersungguh mempromosi penggunaan kondom sebagai alat seks selamat. Demikian juga ada individu dan kumpulan yang menganngap cara hidup gay yang dilaknat Allah sebagai satu cara hidup pilihan yang perlu diberi hak. Dan dalam baba peperangan di Afghanistan dan Iraq juga masih ada kumpulan yang bersetuju dengan tindakan AS atas alasan kononnya mahu memerangi keganasan.

Disaat ini perlu sangat kita mneyedarkan saudara-saudara kita se Islam betapa telah jauhnya mereka menyimpang. Kalau Katholik yang tidak menerima Islam pun menentang kemungkaran, takkanlah kita yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya saw memilih sebaliknya. Fikirkanlah.