Tuesday, August 11, 2009

KENYATAAN AKHBAR PAS SELANGOR

Pendirian PAS Selangor berhubung isu jual-beli arak di Selangor

PAS Selangor mahukan isu kontroversial melibatkan kawalan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu/Islam di negeri Selangor ini tidak dieksploitasi atau diputar-belitkan oleh mana-mana pihak samada individu atau mereka yang mewakili pertubuhan termasuklah pihak Umno dan Barisan Nasional.

Dalam hal ini melalui satu Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Ahad lepas, PAS Selangor telah menyambut baik segala maklum balas dan pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak khasnya dari kalangan masyarakat Melayu/ Islam di negeri ini berhubung isu tersebut. PAS merakamkan ucapan ribuan terima kasih serta sangat menghargai segala bentuk sokongan dan galakkan serta pandangan yang positif yang telah mereka tunjukkan itu yang mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap isu ini.

Dalam pada itu PAS menegaskan bahawa ia tidak pernah menyarankan kepada ahli-ahlinya untuk menganjurkan sebarang “road show” bersama dengan Umno/BN kerana PAS Selangor yakin yang ia memiliki kekuatan sendiri untuk membawa dan mempertahankan isu ini.

Melalui Mesyuarat Khas itu, PAS Selangor telah mengkaji dan menilai semula segala tindakan-tindakan yang telah diambil oleh parti berhubung isu ini dan menegaskan bahawa ia akan terus konsisten dengan tuntutannya agar segala jenis minuman arak yang diharamkan penjualan dan pembeliannya melalui Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tidak lagi dijual di kawasan majoriti penduduk Melayu/Islam di negeri ini.

Harus ditegaskan bahawa tuntutan itu bukannya ke arah “total ban” atau larangan menyeluruh ke atas penjualannya seluruh Selangor tetapi sebaliknya hanya di kawasan majoriti Melayu/Islam sahaja demi membentuk sebuah masyarakat yang sihat dari gejala buruk akibat peminuman arak ini.

PAS Selangor juga ingin menegaskan bahawa ia tidak pernah sekali-kali menuntut agar YB EXCO Kerajaan Tempatan Selangor Tuan Ronnie Liu digugurkan dari barisan EXCO kerajaan negeri. Sebaliknya apa yang dituntut adalah perubahan jawatan itu dari penyandangnya kepada YAB Dato’ Menteri Besar sendiri atau mana-mana EXCO lain yang Menteri Besar fikirkan sesuai.

Selain itu PAS Selangor kini sedang meneliti cadangan yang diberikan oleh YAB Menteri Besar berhubung kawalan kendiri atau “self regulation” terhadap penjualan arak ini dan memohon agar Menteri Besar memberikan penerangan lanjut berhubung kaedah kawalan beliau itu beserta mekanismanya. Jika dalam tempoh sebulan ini kaedah tersebut didapati gagal atau tidak berjaya maka PAS Selangor akan mengemukakan cadangan-cadangan yang difikirkannya wajar untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah ini.

10 Ogos 2009

YB DATO’ DR HASAN MOHD ALI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

3 comments:

Anonymous said...

sama macam bn lagaknyr....

Anonymous said...

tekan brek nampaknya..

Anonymous said...

sokong En Roslan SMS...

Senang jer En....MP DAP yang dok menentang tindakan PAS Selangor macam William tu, kita nyahkan jer dalam PRU nanti...di parlimen itu kita letak non-muslim dari KeADILan yang leh hormati umat Islam...

Kita nak seramai mgkn YB Tian Chua, Eli dan seangkatannya yang leh menghormati hak asasi umat Islam.

-Ir Pericapritermes-