Friday, August 07, 2009

Ini bukan tuntutan yang melampau

Isu pengharaman jual-beli arak di kawasan majoriti Islam di Selangor terus menunggu penyelesaian dari Menteri Besar selangor yang menjanjikan suatu formula terbaik yang bakal diumumkan hari ini berikutan kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri Rabu lalu. Kita mengharapkan sesuatu yang bijaksana bakal terbit dari kenyataan MB Selangor hari ini.

Bagi PAS Selangor isu ini jelas dan tiada mana-mana pihak mahu mencetuskan ketegangan apalagi meruntuhkan apa yang telah dibina dengan keringat dan airmata. Di Selangor kita telah ada Enakmen Jenayah Syariah yang berkuatkuasa sejak 1996. seksyen 18(1) dan (2) enakmen tersebut meletakkan jual-beli arak sebagai suatu kesalah jenayah di Selangor iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Ia mungkin tidak menepati hukum syarak yang sebenar namun ianya suatu permulaan ke arah kerja-kerja amar makruf nahi mungkar yang menjadi tanggungjawab setiap umat Islam.

PAS Selangor bukan mahu melaksanakan sesuatu yang baru. PAS Selangor sekadar mahu menyelaraskan agar peraturan ini terpakai dan dapat dilaksanakan dikalangan orang-orang Islam di negeri ini. Solanya mengapa sampai menuntut agar portfolio Kerajaan Tempatan yang disandang oleh seorang EXCO DAP digantikan?

Ini bukan soal peribadi, tetapi ini soal prinsip. PAS Selangor menghormati hak dan kepentingan masyarakat bukan Islam di negeri ini. Dalam isu rumah ibadat, sekolah jenis kebangsaan, acara kebudayaan dan lain-lain, tidak pernah mana-mana pimpinan PAS camputangan apalagi mencari pasal sehingga boleh mencetuskan perbalahan sesama masyarakat. Malah bukan lagi ganjil jika melihat ada ADUN PAS Selangor yang memperjuangkan nasib pengurusan kuil atau kebajikan murid-murid di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Semalam saya menyatakan pada seorang rakan ahli majlis dari DAP malahan dalam hal-hal nasib dan kepentingan masyarakat bukan Islam jika terganggu atau terancam oleh mana-mana pihak saya yakin PAS kan sanggup ke hadapan bagi membela dan mempertahankan mereka, dan ini bukan baru bagi mereka yang mahu berkawan dengan PAS.

Lantaran itu melampau sangatkah PAS dalam isu-isu nasib dan kepentingan masyarakat Islam PAS bangkit berbuat yang sama? PAS sebuah parti Islam, siapa sahaja tahu akan hakikat ini, tambah-tambah sepatutnya mereka yang mahu berkawan dengannya. Kerana itu PAS mengharapkan yang kawan-kawan juga tidak akan bertindak menguris hati dan perasaan PAS apalagi masyarakat Islam yang merupakan kuasa politik yang besar dalam negara ini.

Berbalik kepada soalan di atas, mengapa PAS menuntut ditukar penyandang portfolio kerajaan tempatan itu?

Sebenarnya siapa pun yang pegang jawatan itu tidak penting. Malah penyandang jawatan itu sekarang juga bukanlah isu yang penting sangat tetapi tuntutan ini terpaksa dibangkitkan apabila penyandangnya terlibat dalam membantutkan inisiatif PAS dalam mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak dikalangan masyarakat Islam di Selangor. Ketika PAS sedang menyusun langkah menurut saluran demokratik beliau bertindak atas kepentingan politik tanpa menyedari yang beliau telah menginjak jerangkap samara yang bakal mencederakan semua.

Usaha untuk merealisasikan inisiatif ini bukanlah mudah. Walaupun enakmen itu telah ada sejak 1996, Umno yang berkuasa ketika itu sehingga 2008 gagal memberi makna kepadanya sehingga ia kekal sekadar suatu peraturan dalam kertas. Kini PAS bangkit untuk memberi nafas kepadanya. Bukannya mahu mengharamkan penjualan arak seluruh Selangor yang terdiri dari masyarakat berbilang kaum tetapi sekurang-kurangnya memastikan yang di kawasan majority Islam minuman haram ini tidak dijual.

Ini bukan tuntutan PAS semata-mata, ini kehendak masyarakat dan saya yakin semua umat Islam tanpa mengira pegangan politik mahu melihat sekurang-kurangnya kawasan mereka bebas dari arak, kalau pun merekatidak minum jangan sampai kawan-kawan atau anak-anak dansaudara mereka terjebak, itu tanggungjawab bersama.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya Dato’ Dr Hasan Ali, baru-baru ini disebut di baba “kesimpulan” nya:

Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

Jadi marilah sama-sama kita memahami isu ini. Yang utamanya kita mahu peraturan ini digunapakai dan diseragamkan.

PAS Selangor tidak bermusuh dengan sesiapa apa lagi dengan kawan-kawan dalam Pakatan Rakyat negeri. Malah usaha ini sebenarnya bagi membuktikan bahawa PR Selangor menghormati hak semua kaum dan agama. Tidak seperti krisis “rumah sembelih babi” di Kedah, PAS Selangor tidak pernah mengugut mahu keluar dari PR. Biar semua pihak faham dan jelas akan perkara ini lebih-lebih lagi dari kalangan anggota sesama jemaah.

Dari maklumat yang diterima setakat ini masyarakat Islam di negeri ini memandang tinggi tindakan PAS ini dan kiranya MB Selangor dapat terbit dengan suatu keputusan yang meyakinkan tidak mustahil PR akan bertambah perkasa di negeri ini pada pandangan umum.

2 comments:

Anonymous said...

Nampaknya PAS tak berjaya mentarbiahkan MB Khalid ...

Dah nasib PAS

Anonymous said...

minum arak banyak mendatangkan masalah. Minta Pas tingkatkan pendidikan tentang keburukan arak kepada bukan islam. jika mereka faham sudah tentu mereka juga menjauhi arak