Sunday, August 23, 2009

KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR KONSISTEN MENEGUHKAN

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR

Sejak kebelakangan ini khabar angin tentang kononnya Umno dan Barisan Nasional akan kembali berkuasa di negeri Selangor menjelang 31 Ogos 2009 sengaja dimain-mainkan oleh pihak tertentu. Beberapa helai kain rentang yang menuntut Menteri Besar Selangor melepaskan jawatannya selain beberapa bahan yang diterbitkan untuk menggambarkan kononnya Pakatan Rakyat Selangor diambang perpecahan cuba digunakan untuk menarik perhatian rakyat.

PAS Selangor memandang segala propaganda dan usaha nakal ini sebagai tindakan “desperado” dipihak Umno dan BN Selangor dan yakin bahawa rakyat jelata rata-rata masih setia dibelakang kerajaan Pakatan Rakyat yang telah sama-sama mereka mandatkan lantaran berputus-asa terhadap kerajaan BN yang telah mengecewakan mereka selama ini.

Jentera PAS Selangor sendiri selaku komponan Pakatan Rakyat tidak sedikit pun terganggu dengan “angan-angan Mat Jenin” Umno itu malah disaat ini sedang giat menjalankan kerja seluruh negeri untuk memantapkan lagi kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Ahli-ahli EXCO, para ADUN, ahli-ahli majlis PBT PAS masing-masing sedang melipat-gandakan usaha khasnya di bulan Ramadhan ini untuk meyakinkan rakyat bahawa tidak ada sebab untuk mereka kembali kepada Barisan Nasional yang telah sama-sama mereka tolak pada PRU lalu.

Malah Lajnah Penerangan PAS Selangor sedang menyusun untuk melancarkan kempen besar-besaran selepas bulan Ramadhan ini yang bertujuan mengajak ahli-ahli Umno seluruh Selangor agar meninggalkan Umno dan bersama-sama PAS untuk membantu memantapkan kerajaan baru Selangor ini. Tumpuan akan diberikan pada kawasan-kawasan yang diwakili oleh ADUN-ADUN Umno seluruh Selangor.

PAS Selangor menjangkakan kempen ini nanti akan menerima sambutan luar-biasa dari rakyat jelata khasnya ahli-ahli Umno memandangkan kejayaan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan kepada rakyat bahawa walaupun dalam tempuh yang singkat Selangor kini ditadbir oleh kepimpinan yang berkualiti, prihatin pada rakyat dan telus dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor.

DIKELUARKAN OLEH:

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

23 Ogos, 2009

No comments: