Sunday, March 05, 2006

Rais bermatian mahu menyelamatkan Makyung

Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan persembahan Makyung dari tontonan umum atas alasan wujudnya unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam di dalam persembahan seni tari yang diwarisi dari Siam ini. Antaranya termasuklah pemujaan dan seumpamanya yang mengambil kira amalan mistik dan jampi serapah yag diluar amalan agama.



Kita tidak pernah mendengar sepanjang pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan sejak tahun 1990, rakyat Kelantan membantah dan menolak langkah kerajaan negeri berhubung Makyung ini, kalau pun ada cumalah dikalangan para pengamal dan pendukungnya. Bermkana rata-rata rakyat Kelantan sendiri akur bahawa seni tari ini bertentangan dengan Islam.

Dalam akhbar NST semalam di bawah tajuk:

Mak Yong to be saved from cultural death

dilaporkan:

The Culture, Arts and Heritage Ministry has stepped in to rescue mak yong, the ancient dance theatre frowned on by the PAS controlled State Government.

Kementerian Kebudayaan, Seni dan Warisan telah mengambi langkah menyelamatkan mak yong, satu seni tari teater silam yang ditolah oleh kerajaan PAS Kelantan.

Dilaporkan bagi tujuan ini Menterinya Rais Yatim menegaskant bahawa bantuan kewangan akan disalurkan kepada Kumpulan Makyung Kelantan untuk bagi memudahkan mereka membuat persembahan di tempat yang selamat.

Dan Rais dengan berani berkata:

Kerajaan negeri (Kelantan) sepatutnya mengkaji semula betapa tindakan mereka itu sebenarnya mengancam salah sebuah warisan budaya Malaysia yang paling berharga. Soalan saya kepada kerajaan Kelantan, adakah tindakan mereka itu didorong oleh agama atau sebab-sebab politik?

Dalam hal ini saya merasakan kita umat Islam perlu berhati-hati dalam berjuang dan mempertahankan apa-apa sahaja amalan dan budaya kita dan tidak membuta-tuli menerima sesuatu tanpa usul periksa lebih-lebih lagi sekiranya ia bertentangan pula dengan amalan agama.

Banyak amalan dan budaya Melayu telah samada kita tolak atau padankan dengan hukum dan peraturan Islam demi memelihara kesucian akidah kita dan saya pasti sebagai Menteri yang bertanggung jawab Rais sepatutnya sensitif dan lebih mengetahui akan hal ini. Kenapa orang Melayu sudah tidak ke pantai untuk mandi Safar bagi membuang sial setiap tibanya bulan Safar contohnya? Tak silap saya 30 tahun lalu amalan ini masih diwarisi dan diamalkan sehinggalah dihapuskan atas tekanan para ulamak dan cerdik pandai Islam.

Segalanya ini kita lakukan kerana taat kepada agama, pepatah biar mati anak jangan mati adapt itu saya kira bagi seorang Muslim hanya terpakai selagi mana adapt yang dimaksudkan tidak bertetntangan dengan Islam.

Rais tidak perlu menjolok-jolok dalam isu ini sehingga mempertikaikan tindakan kerajaan PAS itu adakah didorong oleh agama atau ada maksud politik!

Dalam hal Makyung ini saya yakin kalau kita tanyakan pada mana ulamak sekali pun pasti pendirian mereka selari dengan sikap kerajaan PAS itu bukan kerana ianya sikap PAS tetapi kerana amalan-amalan pemujaan dan misitk dalam Makyung itu sendiri.

Takkanlah Menteri Kebudayaan bersungguh mahu mempertahankan juga sesuatu yang jelas bertentangan dengan akidah dan amalan Islam? Tak perlu kita kemukakan hujah lain cukup dengan kita berkata bahawa amalan Makyung itu bertentangan dengan Prinsip Pertama Islam Hadhari yang dijuarai oleh parti Rais sendiri iaitu, Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Illahi.

Bertaqwa kepada Illahi bermakna menolak segala amalan dan budaya yang bertentangan dengan kehendak Nya!

Saya rasa adalah lebih bermakna dan kena pada tempatnya jika Rais sebaliknya menumpukan tenaga dan masa beliau dan kerajaan kepada menyelamatkan Utusan Melayu, akhbar Jawi yang terkubur dizaman beliau adalah Menteri Kebudayaannya dari beliau sibuk mempertahankan sesuatu yang bathil.

Biarlah kumpulan dan pengamal Makyung ini berbicara dan berdailong dengan Kerajaan PAS Kelantan untuk membincangkan masadepan mereka. Jika dikir barat dan wayang kulit pun boleh dibenarkan dengan beberapa syarat saya tidak nampak mengapa Makyung tidak boleh diteruskan dengan beberapa adjustment sebagaimana yang dikenakan ke atas dikir barat dan wayang kulit.

Tak malukah kita sebagai seorang Islam, benda yang bertentangan dengan Islam pun mahu kita pertahankan kononnya atas alasan ia warisan budaya kita, sedangkan mereka yang bukan Islam berhimpun di tepi gelanggang mentertawakan kita!

Cukuplah Rais, pertahankan budaya dan warisan Negara selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Islam, kecualilah ianya merupakan amalan masyarakat bukan Islam. Janganlah berbalah dan mahu menjadi juara atas perkara yang seumpama ini.

No comments: