Kebelakangan ini ramai membicarakan darihal keperibadian dan
kepimpinan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Ini barangkali
ekoran keceluparan mulut seorang pemimpin muda dari kalangan Pakatan baru-baru
ini yang telah menyerang Tuan Guru dalam ucapannya.
Memang hanya jauhari yang mengenal manikam.
Ilmu, ketokohan dan keperibadian Tuan Guru bagi saya yang
pernah berkesempatan berkhidmat di bawah beliau jauh mengatasi mana-mana
pemimpin tempatan dan pemimpin politik yang ada pada hari ini. Beliau memiliki
keupayaan untuk melihat secara mendalam dan jauh satu-satu isu dan permasalahan
yang saya percaya anugerah dari ilmu dan kewarakkannya yang tiada pada yang
lain.
Pernah pada satu hari sebelum PRU ke 12, seorang pemimpin
datang menemui beliau dengan beberapa helaian kertas yang menunjukkan analisa
pemimpin itu terhadap jangkaan prestasi PAS bagi PRU ke 12 (saya tidak pasti
pemimpin itu ingat atau tidak kerana dengan takdir Allah beliau juga kemudian
menang satu kerusi Parlimen di tempat yang PAS tidak pernah menang). Ternyata
bacaannya menunjukkan PAS tidak mempunyai harapan yang baik ketika itu.
Tuan Guru dengan tenang melihat kertas berkenaan dan
mendengar hujah pemimpin itu. Kemudian katanya itu analisis pemimpin berkenaan
yang dibuat berdasar angka-angka fizikal yang ada. Bagaimana dengan bantuan
langit yang tidak dapat kita hitung dan jangka, kata Tuan Guru terus tenang.
Benar bacaan itu tetapi kata Tuan Guru beliau juga percaya pada janji-janji dan
bantuan Allah (lebih kurang begitulah kerana saya hadir ketika itu).
Dengan kuasa Allah swt, dalam PRU ke 12 PAS menang besar
bersama PR selain mengekalkan Kelantan, PAS dan PR tumbangkan BN di Kedah,
Selangor, Perak dan Pulau Pinang!
Itu mukadimmah saya berkenaan Tuan Guru. Cuma dalam posting
ini saya mahu kaitkan dengan satu lagi persitiwa yang lebih rapat dengan saya
kerana kebetulan kita membincangkan ketokohan beliau selain dalam masa yang
sama kita berhadapan dengan sitiuasi dimana PAS hai ini mencatatkan prestasi terbaik
di negeri Selangor. PRU ke 12 lalu kita menang 8 kerusi, kali ini 15.
Pada penggal yang lalu PAS bersama PKR dan DAP buat pertama
kali berkongsi kuasa memerintah Selangor. Ketika itu sudah pastilah pengalaman
baru ini membawa pelbagai cabaran dan dugaan baru. Dalam sejarah PAS tidak
pernah berkongsi memerintah dimana ia bukan blok yang dominan seperti di
Kelantan, Terengganu atau Kedah.
PAS Selangor ketika itu diketuai Dato Dr Hasan Ali, yang
semua tahu dipenghujung penggal ke 12 itu telah dipecat dari parti.
Dr Hasan berhadapan pelbagai permasalahan diperingkat
pentadbiran negeri diperingkat awal yang yang pada pandangan beliau sukar
diselesaikan. Berbagai forum digunakan untuk meleraikan kekusutuan, namun tidak
memuaskan hati. Beliau buntu dan ramai yang lain turut buntu sehinggalah saya
dan Setiuasaha Perhubungan mencadangkan agar kita mendapatkan nasihat dan
pandangan pemimpin kita, iaitu Tuan Guru Presiden sendiri yang saya yakin akan
memberi bimbingan berasaskan ilmu dan pengalaman beliau.
Lalu disusunkan pertemuan tertutup. Saya dan Setiausaha
Perhubungan hadir. Tuan Guru mendengar luahan hati Dr Hasan dan apabila tiba
giliran beliau Tuan Guru berhujah berdsasarkan kisah riwayat Salahuddin al
Ayubi.
(Untuk mengetahui kisah terperinci saya syorkan kita
masing-masing mengimbas semula kisah Salahuddin yang berkenaan melalui bacaan
masing-masing)
Menurut Tuan Guru
apabila diperintahkan oleh Khalifah (Nururddin Zanki) untuk menjadi wakilnya, ke
Mesir, Salahuddin menerima amanah tersebut dengan penuh kegusaran serta tidak
selesa. Kerana apa? Kerana kerajaan Mesir ketika itu di bawah pemerintah Fatimiyyah
yang pro Syiah. Salahuddin gelisah namun menerima juga amanah berkenaan dan
yang paling penting menurut Tuan Guru, Salahuddin BERSABAR. (banyak amalan
Syiah dipraktikkan di Mesir ketika itu termasuk yang ekstrim dan bertentangan
dengan amalan Ahli Sunnah).
Akhirnya (pada 567H) Al-Adid yang memimpin Kerajaan
Fatimiyyah ketika itu meninggal dunia. Salahuddin al Ayubi terus dilantik
menjadi pemimpin Mesir, menandakan tamatnya pemerintahan Fatimiyyah yang pro
Syiah itu.
Dari situ dengan kuasa yang ada, Salahuddin telah bangkit
membersihkan amalan Syiah dan membina Mesir sebagai salah sebuah kuasa Sunni
sehinggalah ke hari ini.
Pengajaran dari kisah Tuan Guru ini, bahawa dalam berhadapan
dengan situasi seumpama ini dalam kes Selangor, Dr Hasan selaku pemimpin
harakah Islam di negeri berkenaan, sewajarnya bersabar. Gunakan waktu yang ada
membina kekuatan dalaman dan menyibarkan dakwah Islamiyyah. Kata kuncinya
BERSABAR!
Itulah nasihat terakhir Tuan Guru Presiden buat beliau
sebagai pemimpin nombor satu PAS Selangor, saya hadir dan mengiakan nasihat
itu. Malangnya barangkali dalam kamus Dr Hasan ketika itu SABAR tiada wujud
sebagai satu formula penyelesaian. Dr Hasan tidak sanggup menjadi Salahuddin,
kesudahnnya kita semua telah tahu akan nasib yang menimpa Dr Hasan.
Hari ini saya berani menyatakan bahawa pandangan Tuan Guru
Presiden kita itu Subhanallah memang tepat. PAS semakin kuat di negeri
Selangor, kiranya SABAR menjadi formula yang digarap oleh Dr Hasan ketika itu,
hari ini barangkali suasananya persis Salahuddin al Ayubi di Mesir!
Kesimpulannya itulah keistimewaan Tuan Guru Presiden PAS dan
sudah tentu banyak lagi pengalaman, insiden dan cerita yang boleh dikhabarkan
berkenaan kredibiliti dan karisma beliau. Orang lain atau orang luar mungkin
pandang rendah atau mudah menghina dan merendah-rendahkan beliau (termasuklah
tidak terkecuali segelintir dari dalam). Tetapi orang yang kenali dan rapat
dengan beliau sangat menyayangi dan mengkagumi tokoh ulamak ini.
PAS insyallah akan kekal relevan dan kuat selagi ia bernaung
di bawah kepimpinan ulamak samada ada yang suka atau tidak kerana kekuatannya
bukan semata-mata bersandar pada kekuatan fizikal dan angka, tetapi apabila menepati syarat-syaratnya maka akan turut sertalah kekuatan
bantuan dari langit!
No comments:
Post a Comment