Selangor "Negeri PAS" : YB Iskandar (28/5/13)

Tuesday, May 28, 2013


Saya kagum melihat dan membaca kenyataan akhbar berikut yang dikeluarkan oleh YDP PAS Kawasan Pandan, Selangor yang juga ADUN Cempaka YB Iskandar Abdul Samad:
Ahli dan pimpinan PAS di seluruh negara mesti menganggap Selangor sebagai sebuah "negeri PAS" sepertimana selama ini mereka menganggap Kelantan, Kedah dan Terengganu.

PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke 13 telah memenangi 15 kerusi Dewan Negeri, sama banyak jumlah kerusi PAS di Terengganu dan melebihi kerusi PAS di Kedah.

 Selangor adalah unik kerana selain dari menjadi "negeri PAS" ia juga "negeri DAP" dan "negeri PKR". Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini "negeri mereka" kerana jumlah kerusi Dewan Negeri setiap parti adalah hampir sama. Ianya adalah "negeri Pakatan Rakyat" yang sebenar.
Oleh yang demikian, pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Isu-isu negeri Selangor mesti turut dibincang dan dibahas secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Muktamar sepertimana dilakukan pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Kongres PKR atau DAP.
Dengan ura-ura perlantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai "political liaison" atau pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor, seorang Naib Presiden PAS juga mesti ditugaskan untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor.

Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi
Sememangnya kemenangan di Selangor kali ini adalah luar biasa buat PAS. Peningkatan bagi PAS jauh mengatasi rakan-rakan lain dalam PR. Selangor adalah kes pertama buat PAS dalam mengamalkan tahaluf siyasi dimana bilangan wakil PAS seimbang dengan DAP dan PKR dengan 14 kerusi.

Uniknya di Selangor walau kedudukan kerusi PAS dan DAP iaitu 15 masing-masing mengatasi kerusi PKR iaitu 14 namun PAS dan DAP memberi laluan kepada PKR menjadi MB. Ia tidak boleh disamakan dengan insiden di Perak pada PRU lalu apabila Ir Nizar menjadi MB sedangkan PAS rakan kongsi terkecil, kerana di Perak ianya masalah Perlembagaan.
Saya setuju dengan YB Iskandar, bahawa PAS perlu beri tumpuan kepada Selangor kerana ia kini Negeri PAS sebagaimana Kelantan. Cuma teraju sahaja bukan PAS. Dan saya juga setuju bahawa jika PKR meletakkan pemimpin kanannya sebagai “political liaison” di Pejabat MB Selangor, PAS juga perlu mengambil langkah yang sama. Malah PAS lah yang sepatutnya ke sana. Mungkin YB Takiyuddin Hasan yang kini Penolong Setiausaha Agung PAS, bekas EXCO Kelantan boleh menjadi wakil PAS di Pejabat MB.

PAS dengan kedudukannya yang besar di Selangor sedar tak sedar kini sudah menggantikan Umno sebagai tunggak kuasa politik Melayu/Islam di negeri ini (Umno cuma tinggal 12 kerusi). Sudah pastilah pengharapan rakyat khasnya dalam isu berkenaan sangat tinggi dan malah PAS perlu membuktikan bahawa dalam isu-isu Islam di Selangor khasnya, PAS jauh lebih mampu dari Umno.
Saya tahu ada dikalangan pimpinan entah lantaran apa, apabila kita sebut sahaja isu Melayu/Islam boleh jadi fobia, kononnya mahu meniru agenda JATI Hasan Ali!

Bagi saya PAS suka tak suka tidak boleh lari dari agenda Melayu/Islam selain memperjuangkan hak semua rakyat. DAP tidak pernah segan silu apabila memperjuangkan hak sekolah jenis kebangsaan, hak peniaga-peniaga kecil Cina, hak rumah ibadat bukan Islam dan dalam waktu yang sama mereka juga memperjuangkan hak semua rakyat.
Orang Melayu di Selangor sudah mula pindah dari Umno ke PAS sebagaimana rakyat di Kelantan. Oleh itu sudah pastilah mereka mahu melihat sesuatu yang isitimewa dijuarai oleh PAS bagi menggantikan Umno yang sudah semakin tidak relevan.

Sebagaimana yang diluahkan YB Iskandar:
Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi.

Justeru kita harapkan dalam pembahagian EXCO nanti pun PAS diwakili setimpal dengan kekuatannya. Kalau sebelum ini MB umumkan 4 EXCO buat PAS yang memang 15 kerusi, kita harap begitulah, tanpa dikurang-kurang terutama dengan salah seorang memegang portfolio Agama Islam.
Diharapkan PAS mampu mengisi kemenangan ini dan muncul lebih teguh dalam PRU berikutnya insyallah.

4 comments:

am said...

setuju sangat.. jgn kata selangor ni kerajaan PKR... selangor adalah kerajaan PR yg diterajui oleh pakatan 3 parti..apa2 tindakan perlulah persetujuan bersama..

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan YB Iskandar, namun kepentingan yang perlu dijaga adalah kepentingan Islam, kepentingan melayu?; akan terjaga secara automatik jika PAS menjaga kepentingan Islam. Jika asyik dengan Melayu/Islam; tidak mustahil, kita benar-benar mengganti UMNO. Saya yakin; dengan hanya menjaga kepentingan Islam; kepentingan Melayu akan turut terbela.

Anonymous said...

saya setuju dan saya mohon dap lebih matang agar disekitar institusi pendidikan di jauhkan sumber arak... kerana mereka mudah mendapat kan sumber haram disekitar demi pembebasan sumber arak di sekitar institusi pendidikan... agar pendidikan malaysia lebih menambah kualiti...

"yang pernah terkena"

kama_yus said...

Salam Abang Roslan,

Dah lama tak komen blog Abg Roslan, kali ini saya ingin melontarkan satu pertanyaan, sejauh kerajaan negeri Selangor memastikan rakyat di negeri ini menutup aurat dan apakah langkah2 atau kempen yg telah dijalankan.

Sekiranya belum, sempena kehadiran madrasah ramadhan ini merupakan satu titik tolak dalam memastikan syariat Allah dapat dimartabatkan, berikut adalah cadangan saya:

1. Kelulusan untuk memberi tapak Bazar Ramadhan kepada peniaga yang memohon hendaklah mensyaratkan peniaga hendaklah menutup aurat.

2. Peniaga juga hendaklah memaparkan mesej peringatan tentang kewajipan menutup aurat pada premis mereka (saiz A4) atau mesej tersebut disediakan oleh PBT.

In Sha Allah, dengan adanya usaha ini, pihak kerajaan negeri boleh kembangkan lagi kepada semua peniaga di negeri Selangor. Mungkin Abg Roslan ada idea yg lebih bernas lagi.Sekian, sekadar cadangan