Wednesday, May 22, 2013

Antara himpunan aman dan keganasan (22/5/13)


Saya mungkin jadi tidak popular kerana posting ini. Tetapi saya sebagaimana anda semua masing-masing punya hak dan kebebasan bersuara. Hak dan kebebasan itu sewajarnya dihormati kecualilah sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Negara.
Kerana itu selaku seorang blogger contohnya, beliau perlu bertanggungjawab di atas segala yang ditulis dan diterbitkannya. Jika melanggar sebarang undang-undang atau peraturan, blogger tadi perlu berani bertanggungjawab sebagaimana ia berani mengeluarkan pandangannya itu.

Politik keganasan contohnya, adalah sesuatu yang ditolak rakyat Malaysia. Perhimpunan aman walaubagaimanapun yang menyuarakan hak dan tuntutan tidaklah termasuk dalam kategori ini. Jenis politik keganasan adalah menghasut hadirin bangkit menentang dengan cara tidak demokratik, menggunakan tangan dan tidak undang-undang.
Kebelakangan ini kita membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin muda PAS yang kini masing-masing bakal duduk dalam Dewan Rakyat. Antaranya Nik Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas yang menyatakan dalam facebooknya bahawa:

 Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum?

Orang muda perlu insaf, semangat tidak boleh meminggirkan ketuanan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Kesedaran rakyat baru bermula. Kita masih ada masa dan masa itu sedang bersama kita.

Itu pandangan seorang anak muda pemimpin Islam yang waras. Pandangan itu turut dikongsi oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, ahli parlimen Temerloh yang juga Ketua Pemuda PAS. Kata beliau:
Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.

Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam
Dan kedua-dua kenyataan ini disahut secara positif oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib apabila beliau menyatakan:

Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai bila-bila.
Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu berlaku huru-hara.

Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara.
Saya membangkitkan hal ini ekoran insiden yang melibatkan aktivis pelajar Adan Adli yang ditahan polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana ucapannya dalam satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini.

Antara kandungannya:
Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.

Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada,
Adam telah mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan yang ada melalui kuasa selain demokrasi. Lalu beliau didakwa. Jika benar kenyataan ini jelas ia bertentangan dengan kenyataan-kenyataan di atas. Apa pun Adam kini akan dihadapkan ke mahkamah dan beliau akan di adili. Di sana beliau berhak mempertahankan diri dan proses undang-undangnlah yang akan menentukan nasibnya.

Bagi saya kenyataan seperti ini dan kenyataan-kenyataan lain yang hampir serupa yang dinukilkan oleh blogger tertentu dalam blog mereka adalah keras dan tajam dan dalam proses politik berpilihanraya, ianya sangat bertentangan.
Apa pun sesiapa sahaja layak menyatakan apa sahaja yang tertunjam dibenak hatinya, kalau mahu dikongsi dengan orang-ramai, asalkan ia sanggup bertanggungjawab.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya setuju dengan kaedah perhimpunan aman dan bantahan secara terbuka namun apa sahaja yang berunsur ketegangan dan kekerasan perlu ditolak oleh semua, wallahualam.

1 comment:

amirul said...

Saya tidak bersetuju dengan kata-kata Adam adli, tetapi saya lagi tidak bersetuju dengan sikap pilih bulu dalam dakwaan hasutan. 'Sebelah sana', boleh menghasut sesuka hati, tanpa perlu risau akan tindakan. Saya simpulkan, kita tidak pernah bersetuju atau redha dengan penipuan, tetapi, yang patut kita fikirkan sekarang, kenapa Allah benarkan mereka menipu, dan menang dengan penipuan? Bukankah muhasabah itu lebih baik? Dan dalam masa yang sama, saya tidak akan menghina mana-mana pihak yang membantah atas kapasiti menghormati pandangan mereka. Ya, abg lan, pandangan kita memang tidak populis, tetapi, jika kita tahu bahawa kemenangan hak mutlak Allah, kita akan terus berdakwah. Orang bukan Islam makin dekat dengan PAS, kenapa yang Islam makin jauh?? Terus berdakwah abg lan...